Home Novelet Thriller/Aksi PROJEK THRILLER ORGAN: KEJAM
PROJEK THRILLER ORGAN: KEJAM
Ninie Othman
28/11/2016 02:28:30
14,364
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 6

SARAH terkebil-kebil di hadapan pintu yang terbuka. Tiada sesiapa pun di luar. Seingat-ingatnya loceng dibunyikan sebanyak dua kali sebentar tadi. Atau diakah yang tersilap dengar? Dia malas mahu melayan ‘prank’ ini dengan berdiri di luar lama-lama. Dia kembali ke dalam dan mengunci pintu kemas.

Sesusuk tubuh tinggi lampai keluar perlahan-lahan dari balik dinding. Mulutnya tersenyum. Jadi memang benar gadis itu tinggal di unit apartment itu. Hanya selang lima unit dari apartmentnya. Hatinya berbunga-bunga.

Bersabarlah sayang. Aku akan membawamu pulang tak lama lagi…

Puan Alina berdiri di muka pintu bilik anaknya sambil mengukir senyuman. Anak daranya itu sedang membelek-belek nota yang ditulisnya di dewan kuliah pagi tadi.

“Dah solat maghrib?” Dia menyoal Sarah.

Sarah berpaling dan mengangguk.

“Okey. Selamat study.

Puan Alina tidak mahu mengganggu konsentrasi Sarah. Dia membuat keputusan untuk ke bilik tidurnya sahaja. Dia sendiri masih ada kertas kerja yang harus disiapkan untuk mesyuarat minggu depan. Banyak benda yang harus dia nilai sebelum meletakkannya di dalam kertas kerja itu. Sarah menggigit bibir. Peristiwa siang tadi masih melekat di fikiran. Sepanjang 15 tahun dia tinggal di situ, tidak pernah kejadian seperti itu berlaku. Siapa ya?

Dia membuat keputusan supaya merahsiakan cerita itu daripada pengetahuan mamanya. Mungkin ia angkara anak-anak jiran yang nakal. Hmm, dia meneruskan sesi ulangkajinya. Botol yang berisi jantung Sara direnung penuh perasaan. Jika dia merindui Sara, dia akan merenung organ itu selama beberapa minit. Kerinduannya pada Sara akan terubat sedikit.

Dia bersandar ke kerusi. Matanya merenung lampu kalimantang yang terpaku di siling dapur. Apakah nama gadis yang seiras Sara itu? Berapakah umurnya? Sudah berpunyakah dia? Berlegar-legar di benak fikiran Leo. Perasaan suka dan tertanya-tanya kini bercampur baur.

Dia memejamkan matanya buat seketika. Wajah gadis itu menghiasi ruangan gelapnya. Hatinya berdebar-debar setiap kali memandangnya. Ah, dia harus mendekatinya secepat mungkin. Mata dibuka. Wajahnya serius sekali.

Gadis itu harus menjadi miliknya. Dia tahu itu Sara.

Bau busuk yang datangnya daripada mayat Sara semakin melemaskan. Selepas bertemu gadis seiras Sara, mayat itu seolah sudah tiada makna lagi. Dalam fikiran Leo, roh Sara sudah beralih ke tubuh gadis itu dan apa yang tinggal hanyalah cebisan tubuh yang sudah tidak berharga lagi.

Tak mengapa, dia akan menguruskan mayat itu selepas tengah malam nanti.

“Ting… Ting…”

Leo yang sedang duduk di ruang tamu bingkas bangun. Jam sudah berbunyi dan ia menandakan malam kini sudah tengah malam. Sudah tiba waktu untuk dia membawa Sara ke satu tempat. Di situlah dia akan menguburkan Sara. Keadaan dalam apartment tersebut suram sekali. Hanya lampu di bilik tidur sahaja yang terpasang. Dia mencapai topi hitam yang terletak di atas meja dan menyarungkannya di kepala.

Di badannya pula tersarung jaket kulit hitam dan seluar jeans yang sedikit terkoyak di lutut. Plastik yang berisi mayat Sara diseret keluar dari dalam almari. Memang sudah membusuk dan baunya sangat meloyakan. Dia menyeret plastik itu sehingga ke pintu utama. Kesan seretan jelas sekali kelihatan di lantai apartment tersebut. Darah pekat kembali menyelubungi lantai.

Wajahnya dijengulkan ke luar pintu. Setelah memastikan tiada sesiapapun di luar, dia menbimbit plastik itu menuju ke lif. Suasana di luar juga sunyi sepi kerana rata-rata penduduk di situ sudah lama lena diulit mimpi.

Pintu lif terbuka. Dia sudah berada di aras paling bawah. Selepas memastikan semuanya line clear,dia membawa beg plastik tersebut ke tempat parking. Di situ, keretanya sedang diparkir. Nasibnya betul-betul baik malam itu kerana tiada seorangpun yang ada di luar namun, dia tetap berhati-hati kerana cctv yang sentiasa mengawasi gerak-gerinya. Dia cuba berlagak setenang yang mungkin.

But kereta dibuka dan plastik itu disumbat ke dalam. Sejurus selepas dia menutup pintu but, ada dua remaja lelaki yang berjalan menuju ke blok lima. Dia menurunkan topi sehingga keseluruhan matanya tidak kelihatan. Wajahnya sentiasa menunduk ke bumi. Dua remaja itu memandang Leo dengan pandangan pelik. Perbuatan Leo mencurigakan pada pandangan mata mereka. Mengapa dia cuba menyembunyikan wajah setelah menyedari kehadiran mereka di situ?

Leo tidak membalas renungan remaja-remaja itu. Dia ke tempat pemandu dan memandu keretanya pergi dari situ. Sudah tiada masa yang boleh dibazirkan lagi. Dia tahu, selagi dia tidak menanam mayat Sara itu, selagi itu bau akan semakin kuat. Dia khuatir bau itu akan memerangkap dirinya atas perlakuannya itu.

“Bau busuk apa ni?” soal remaja berkulit hitam manis.

Dia menekup tapak tangannya ke hidung dan mulutnya. Mahu termuntah.

“Jom lah naik. Seram pulak aku kat bawah ni.”

Kedua-duanya berlari masuk ke dalam blok tanpa menoleh ke belakang lagi. Khuatir jika ada ‘kakak cantik’ pula yang menegur mereka dari atas pokok besar di sisi jalan itu.

Di sepanjang perjalanan, Leo menggenggam stereng dengan kejap. Perasaannya mula berkecamuk. Mulutnya terkumat-kamit memarahi dirinya sendiri. Kata-katanya tidak berbutir dan tidak difahami. Dia sedang berperang dengan dirinya sendiri.

Ubat, di mana ubat? Setelah tergagau mencari botol ubat, akhirnya dia menemuinya di dalam poket jaket yang sedang dipakainya. Tangannya sudah menggigil dan keadaan itu menyukarkannya untuk menyuap pil penenang ke mulutnya. Entah mengapa sejak kebelakangan ini, keadaannya semakin teruk. Apabila dia menggigil, nasi yang berada di mulut pun akan terhambur keluar. Anak tekaknya seolah-olah tertutup tidak mampu menelan makanan itu.

Ia berlaku lagi. Mindanya bagaikan berputar ke belakang. Reset. Segala kesedihan dan keperitan menggaru-garu sanubarinya. Dia tidak mampu menanggung bebanan perasaan itu lalu membuatkan seluruh tubuhnya bergetar. Dalam masa yang sama, ada suara-suara aneh berbisik-bisik di telinganya. Memaksanya supaya bertindak agresif.

Dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Di kiri kanannya dipenuhi semak-samun dan jalan tidak bertar di hadapan akan menghubungkannya dengan hutan yang lokasinya terpencil. Jarang sekali manusia akan ke situ kecuali ada hal mustahak. Di hutan itu dia merancang untuk menguburkan Sara.

Pil penenang disuap ke mulut dan ditelan sepantas yang mungkin sebelum tekaknya tidak mahu menerimanya. Dahinya berpeluh-peluh. Dia menumbuk-numbuk dada yang berasa sakit kerana degupan jantungnya yang terlalu laju. Dia tersandar ke kerusi. Wajah Sara bertalu-talu menembak layar ingatannya. Argh, dia semakin berkecamuk.

Dia kembali menggenggam stereng kereta dan menyambung pemanduan walaupun badannya masih menggigil hebat. Dia mahu cepat sampai ke dalam hutan. Dia mesti cepat ke sana! Sesekali keretanya bergerak tanpa arah. Dia menguatkan diri untuk memandu hingga ke hutan yang berada tidak jauh di hadapannya.

Sesampai sahaja dia di situ, terhuyung-hayang dia keluar dari kereta dan bergerak ke but untuk mengambil mayat Sara. Sebelum itu, dia perlu mengorek lubang untuk menjadi kuburnya. Semua kekuatan dia kumpulkan ketika menyentuh cangkul.

Lubang sedalam beberapa meter berjaya dikorek dan plastik itu dilempar ke dalam. Kemudian lubang itu ditimbus dengan tanah. Maka sudah selesai kerjanya. Dia rebah ke tanah. Wajahnya benar-benar menghadap ke langit malam. Bintang-bintang bertaburan di kaki langit, berkelip-kelip bak cahaya neon. Dia memejamkan mata dan tersenyum puas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.