Selesai
solat maghrib, Farish tidak membuang waktu. Dia menghidupkan laptop kesayangannya dan menyambung apa
yang ditulisnya siang tadi. Kebetulan ilhamnya datang mencurah-curah. Jika dia
tidak memanfaatkan ilham itu, rugilah dia nanti. Jemarinya ligat menari di atas
papan kekunci.
Manakala
Ariff pula sedang sibuk melayari internet
di telefon bimbitnya. Pelbagai kisah seram dibacanya terutamanya
kejadian-kejadian seram yang pernah berlaku di hotel itu. Sesekali bulu romanya
merinding mengenangkan tragedi berdarah yang pernah berlaku pada 3 tahun yang
lepas.
Pintu
balkoni bergoncang ditiup angin kencang di luar. Sesekali kedengaran bunyi
guruh di kaki langit. Suasana seperti itu menambah rasa teruja dalam hati
Farish, jemarinya laju menaip patah demi patah perkataan. Dia ingin menyiapkan
manuskrip yang ditukang secepat mungkin. Sekurang-kurangnya selepas ini
bolehlah dia merehatkan minda walaupun sekejap.
Ariff
merendahkan telefon bimbit yang sedang dipegang. Ada sesuatu yang dijumpainya
di dalam sebuah blog di internet. Blog itu ditulis oleh individu yang berbeza, malahan isi blognya juga lebih padat dan memuaskan hati
pembaca. Rakannya yang sedang berkarya di katil sebelah, dipandang. Dia ada
maklumat baik untuk dikongsikan dengan Farish namun khuatir jika ia akan
mengganggu konsentrasi lelaki itu nanti. Jika mood menulis Farish terganggu, dia yang akan dipersalahkan nanti.
Dia
mengatur duduk di atas katil. Dari berbaring, dia bersandar ke kepala katil.
Peristiwa berdarah itu terjadi di
tingkat 3, di bilik bernombor 302.
Kening
Ariff terangkat. Bilik yang mereka sedang sewa bernombor 301. Matanya membulat.
“Is,”
dia memanggil Farish yang sedang fokus menyiapkan manuskrip. Dia sudah tidak
peduli lagi. Dia mesti berkongsi maklumat itu dengan Farish.
Farish
hanya mengangkat dagu tanpa memandang Ariff yang berada di katil sebelah.
Bimbang jika fokusnya hancur.
“Bilik
tu bernombor 302,”
Kata-kata
Ariff masih tidak mampu menarik perhatian Farish. Dia masih menumpukan sepenuh
perhatian pada manuskripnya. Ariff mengetap bibir seraya menukar posisi
menghadap Farish.
“Kau
dengar tak ni?” soalnya. Boleh pula Farish membuat bodoh ketika dia bercakap.
Farish
hanya mengangguk malas. Kacau daun betul si Ariff ni!
“Bilik
terjadinya pembunuhan tu bernombor 302, bilik kita pulak 301...Bersebelahan
aje,” jelas Ariff, bersungguh-sungguh.
Farish
berhenti menaip. Tidak semena-mena bulu romanya meremang. Bagaimana dia boleh
terlupa tentang nombor bilik yang dia dan Ariff sedang menginap ketika itu?
“Dari
mana kau dapat info ni?” tanya Farish sambil merenung bulat wajah Ariff.
“Internet,” ringkas jawapan Ariff.
Farish
memakukan pandangannya ke katil. Namun lamunannya tidak lama apabila Ariff
mengajaknya keluar untuk makan malam. Sementara kedai makan masih dibuka,
eloklah mereka mengisi perut yang berkeroncong dengan segera.
Ketika
melangkah keluar, Farish dan Ariff memandang bilik sebelah yang dikatakan bilik
302 walaupun tiada sebarang nombor yang tertera di situ. Bilik itu telah
dikunci dan tidak dibuka untuk penginapan. Kemudian, keduanya beriringan menuju
ke lif untuk ke bawah.
Farish
memesan mihun goreng dan segelas air teh o beng sebagai juadah makan malamnya.
Manakala Ariff pula memesan nasi goreng ikan masin bersama secawan air kopi
panas. Berselera sekali dia mengunyah nasi goreng kegemarannya itu. Sesekali
dia menghirup air kopi untuk menghilangkan dahaganya.
“Bilik
tu berkunci,” ujar Farish secara tiba-tiba.
“A’ah
sebab sebelum ni pelancong pernah kena sampuk masa menginap kat bilik tu,” Ariff
berkata selamba. Keenakan nasi goreng yang dimakannya, menghilangkan moodnya untuk bercakap banyak.
“Aku
tak pernah tau pun? Kau baca kat internet
jugak ke?”
Soalan
Farish sekadar dibalas dengan anggukan kepala Ariff. Banyak lagi yang Farish
belum tahu sebenarnya.
“Menginap
di hotel Versailles ke?” tauke kedai,
Pak Ja bertanya. Ini kali kedua anak-anak muda itu singgah makan di kedainya.
Tidak pernah dia melihat mereka sebelum ini.
Farish
mengukir senyuman, “Ye, pak cik.”
“Panggil
je aku Pak Ja. Nama kamu berdua ni siapa?”
“Saya
Ariff, kawan saya ni Farish,” Ariff memperkenalkan dirinya dan Farish.
Pak
Ja mengangguk-angguk. Sambil melabuhkan duduk di meja sebelah, dia memandang
mereka dengan takjub.
“Tak
takut ke?” soalnya.
Ariff
memandang Farish. Ada eloknya dia mengorek cerita tentang pembunuhan tragis itu
dari orang tua ini. Dia orang lama tempat itu, pasti banyak cerita yang dia
tahu.
“Kenapa
Pak Ja tanya macam tu?” Ariff bertanya. Sengaja mahu mengumpan orang tua itu
supaya berkongsi cerita-cerita mistik di hotel Versailles.
Ada
segaris senyuman di bibir Pak Ja.
“Hotel
tempat kamu menginap tu terkenal dengan cerita-cerita tak menyenangkan. Aku tau
kamu berdua dah tau,” Pak Ja berkata selamba.
“Pak
cik tau pasal apa hotel ni keras?” soal Ariff lebih lanjut. Nasi goreng ikan
masin yang berbaki di dalam pinggan sudah tidak menaikkan seleranya.
Farish
sekadar bertindak sebagai pendengar sahaja pada malam itu. Lagipun Ariff lebih
bijak bersosial darinya. Jadi biarlah Ariff sahaja yang menemubual Pak Ja.
Pak
Ja tersenyum pahit kerana dia mengenali mangsa yang dibunuh kejam itu. Baik
budaknya.
“Nanti
kamu tau sendiri,” orang tua itu membalas lalu bangkit dari duduknya. Dia pergi
melayan para pelanggan yang baru masuk ke kedainya.
Ariff
menghabiskan sisa nasi di dalam pinggan dan mengajak Farish pulang ke hotel.
Dia akan mendapatkan maklumat di blog-blog
sahaja. Lebih mudah.
Farish
dan Ariff merenung bilik 302 dengan penuh minat. Kebetulan bilik mereka
terletak bersebelahan sahaja. Berdiri di hadapan bilik 302 mengundang rasa aneh
dalam hati keduanya. Bulu roma mereka meremang mengenangkan apa yang pernah
berlaku di bilik itu.
Farish
menghidupkan laptopnya. Mahu
menyambung manuskrip yang masih belum-belum siap. Dia menoleh ke katil sebelah.
Ariff sudah lena diulit mimpi. Jam sudah menunjukkan pukul 11:55 malam. Tidak
lama lagi waktu tengah malam akan tiba.
Ketika
jemarinya menaip beberapa perkataan, dia dikejutkan dengan bunyi sesuatu. Dia mematungkan
diri di atas katil. Cuba mengamati bunyi yang sedang mengganggu konsentrasinya ketika
itu. Bunyi itu datangnya dari bilik sebelah.
Ya
ALLAH! Apa yang patut aku lakukan?
Sudah
terang lagi bersuluh bahawa bilik sebelah itu tiada penginap dan sudah lama
dikunci. Dia cuba mengamati bunyi itu sekali lagi. Seperti sesuatu terhempas ke
dinding. Kuat juga bunyinya. Dia menoleh memandang Ariff yang sedang tidur.
Lena lelaki itu langsung tidak terganggu. Dia terpaksa menghadapinya seorang
diri. Dia menuruni katil dan perlahan-lahan menekapkan telinganya ke dinding.
Suasana
tiba-tiba sunyi. Bunyi yang didengarinya sebentar tadi sudah hilang entah ke
mana. Namun dia dapat mendengar dengan jelasnya bunyi angin yang menderu dalam
bilik itu. Terbukakah pintu balkoninya?
Peristiwa-peristiwa
aneh yang dilaporkan pernah berlaku di situ sebelum ini bukanlah omongan kosong
semata-mata. Baru sehari di situ dia sudah diganggu dengan bunyi-bunyian aneh.
Mungkin selepas ini dia pula yang akan menulis blog mengenai penampakan hantu bellboy
di hotel Versailles. Dia sudah tiada mood untuk menulis. Mungkin sudah sampai
masanya untuk dia tidur.
Tetapi
pada tepat pukul 2 pagi, lena Farish terganggu dengan bunyi ketukan di pintu.
Siapa pula yang mengetuk pintu pada tengah-tengah malam begitu?! Mustahil room service kerana dia tidak memesan
apa-apapun sebelum ini. Dengan wajah sembab, dia bergegas membuka pintu.
Tiada
sesiapa ketika pintu dibuka. Farish menelan liur. Tanpa berfikir panjang, dia
menghempas pintu dan menguncinya kemas.
Jangan buka pintu selepas lewat tengah
malam kerana yang mengetuk bukan seorang manusia.
Sudah
diberitahu namun dia masih juga gatal pergi membuka pintu bilik selepas
mendengar bunyi ketukan. Memang sengaja mencari nahas. Sudahnya dia sudah tidak
mampu melelapkan mata. Apa yang dibacanya di blog sudah mulai berlaku satu-persatu dan ia bukan petanda yang
baik.
Bunyi
aneh di bilik sebelah sudah tidak kedengaran lagi. Yang kuat menyentap
gegendang telinganya ialah dengkuran Ariff di katil sebelah. Tidak pula
terganggu lena Ariff walaupun bunyi ketukan di pintu seperti diketuk orang gila.
Ataukah dia seorang sahaja yang mendengarnya?
Enggan
melayani fikiran yang bukan-bukan, dia akhirnya memaksa matanya untuk tidur
semula. Berdoa supaya tidak didatangi mimpi-mimpi buruk. Secara tidak sedar dia
telah menjadi seorang lelaki yang penakut.