Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM CERMIN
PROJEK SERAM CERMIN
21/7/2016 08:42:42
5,100
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Sirna seri bab 1

Bilik itu berbau wangi dengan bau perfum jenama Jadour kesukaan Wina. Dia membelek wajahnya di cermin dengan senyuman yang sangat manis. Hari ini dia akan menghadiri majlis hari jadi kawan sepejabatnya, Remi. Jejaka kacak kesukaan Wina yang ala-ala model hindustan cerita Raaz.

“Amboi mak...lawanya kau hari ni Wina! Macam orang nak bertunang pulak,” tegur Siti dengan senyuman melirik. Dia menghampiri Wina sambil menyeluk lengan gadis tersebut. Wangian Jadour menyucuk hidungnya. Sambil itu, dia juga sempat mengintai bayangnya di cermin sekali imbas. Senyuman yang manis terbias dari balikkan bayangan dalam cermin untuk tatapan mereka berdua.

“Kau pun apa kurangnya...” puji Wina. Lantas dia meninggalkan Siti mengadap cermin sorang-sorang. Dia mengemaskan baju-baju yang bersepah di atas katil. Disangkutnya kembali semua baju-baju ke dalam almari. Jenuh juga dia hendak memilih pakaian yang sesuai cantiknya dengan majlis jejaka pujaannya. Akhirnya baju kurung moden warna krim ni juga yang dipilihnya.

“Tetapi perlu ke kau melawa sampai macam ni sekali demi untuk lelaki hipokrit macam tu, Wina? Aku tak nak kau terluka kemudian hari nanti...kau pun tahukan yang dia bukannya ikhlas pun dengan kita-kita ni. Entah apalah niat dia bila mengajak aku dan kau ke majlis ‘Diva’ dia tu,” Siti meluahkan rasa kebimbangannya. Bibirnya dimuncungkan usai meluahkan apa yang dia rasa.

Sedang dua orang gadis itu sibuk berbicara sesama sendiri, di luar sedar satu bayangan terbentuk dari kepulan asap yang wujud di dalam cermin itu sendiri. Bayangan asap putih tersebut membentuk satu figura wanita yang sempurna, namun tiada wajah. Bayangan itu memerhatikan gadis-gadis tersebut dengan garang! Apakah itu?

Teringat Wina kali pertama dia diperkenalkan dengan Remi. Ketika itu hatinya tiba-tiba berdebar-debar dan mukanya terasa panas. Masakan tidak, jejaka itu memberikan satu senyuman yang menggoda. Sampai termimpi-mimpi dalam tidurnya. Maka bermulalah angan-angan indah buat Wina. Gadis yang sederhana dan manis orangnya.

“Awak ni staf yang baru masuk tu kan?” soal Remi dengan senyuman tersungging manis di bibir berkumis nipis kepunyaannya. Dibalas dengan senyuman manis dari Wina juga. Hati gadis yang berwajah sederhana itu berdetak laju. Tiba-tiba dia menjadi‘blur’ macam baru lepas bangun dari mimpi. Wina, gadis kampung yang baru menetap di bandar seminggu. Biasalah bila ditegur oleh jejaka bertaraf macam ala-ala model, mulalah perasaan teruja membaluti jiwa.

Dalam hati Remi yang iras pelakon Dino Moreo hero filem Raaz itu penuh dengan kata-kata kutukkan dan cemuhan, “...hek ele.. mana datanglah punya perempuan macam ni punya jenis? Tersenyum-senyum macam kucing busuk!” Ejeknya di dalam hati. Namun begitu, seukir senyuman masih mampu terlukis pada wajah Remi yang penuh dengan sifat kepura-puraan. Manusia macam ni pun ada!

Sebulan sudah berlalu, Wina melakukan kerja-kerja pejabat seperti biasa. Dia menerima layanan yang baik dari semua kawan-kawan pejabatnya, terutama sekali Siti. Siti merupakan gadis yang berasal dari kampung juga di Muar. Orangnya lembut dan baik hati. Malah, mereka telah menjadi kawan baik dan tinggal serumah pula.

Wina rajin dan cekap membuat segala tugasannya, maka dia selalu menjadi ‘bahan gunaan’ buat Remi yang suka mengambil kesempatan atas kerajinan dan kelemahan orang lain. Senanglah dia ‘menggula-gulakan’ Wina. Dengan hanya bermodalkan wajahnya yang kacak macam hero hindustan serta kata-kata yang manis, dia dengan mudah saja pergunakan Wina. Gadis tu saja yang tak tahu sebab sudah dibuai perasaan.

Siti yang nampak akan niat jahat Remi, sudah beberapa kali memberikan nasihat dan amarannya kepada Wina. Tetapi semua cerita buruk pasal Remi hanya mendapat balasan senyuman saja dari Wina. Tegar betul gadis itu.

“Biarlah Siti apa pun niat dia, asalkan dia cari aku bila minta tolong untuk siapkan kerja-kerja dia. Itu maknanya dia ingat selalu kat aku,” jawab Wina sambil ketawa dengan rasa bangga. Hatinya berasa kembang bila jejaka ‘terhansem’ dalam pejabat itu mencari dia bila nak selesaikan kerjanya. Hehehe... Terasa macam orang penting pula. Siti dah tak terkata apa, dia hanya mampu mengangkat bahu dan menggeleng.

Semoga kau tak akan menyesal dikemudian hari nanti sudahlah, keluh Siti dalam hatinya dengan sedih. Dia simpati dengan nasib Wina. Kalaulah Wina terdengar apa yang pernah diperkatakan oleh Remi tempoh hari tentang dirinya pasti hancur hati gadis tersebut. Semoga ALLAH sentiasa melindungi insan bernama Wina ini.

Sebagai kawan dia selagi boleh cuba untuk melindungi Wina setakat yang dia terdaya. Setiap kali bila Siti bertembung pandang dengan anak mata Remi, perasaan bencinya semakin meluap-luap bagaikan air panas yang sedang mendidih sehingga 200 darjah selsius! Dia tak faham apa yang Remi bencikan sangat dengan Wina tu. Tetapi muka masih tak malu bila pandai minta tolong Wina menyiapkan kerja dia setiap hari. Dasar jantan!

“Hei Remi!” seru kawannya Zali. Dia sama saja bersengkongkol dengan Remi dalam komplot nak menggunakan Wina. Dialah batu apinya.

“Happylah kau ...lagi seminggu saja lagi nak sambutbirthday,” sambil menuturkan kata-kata itu sempat lagi dia mengerling ke arah Wina yang sedang tekun menaip sesuatu dalam komputernya.

“Kau tak ajak Wina datang sekali ke? Dia kan staf favourite kau?” perli Zali sambil mengenyitkan mata kirinya. Membuatkan hati Remi terbakar. Tiba-tiba terpacul ketawa mengejek dari kerongkongnya. Remi membuntangkan matanya ke atas. Membuat muka yang menjengkelkan. Diherotkan bibirnya.

“Ohplease! Takkan aku nak ajak ‘kucing busuk’ tu datang ke majlis aku yang kelas tu? Hisy! Buat rosaksceneryje nanti. Buat apa?” selamba saja kata-kata ejekkan itu keluar dari bibirnya yang tak ada insuran. Langsung tak ada rasa bersalah.

“Hahaha... Betul juga tu. Buat apakan? Nanti rosak pula harispecial kau,” sambut Zaki dengan ketawa sambil melabuhkan punggungnya di sisi meja Remi. Sambil duduk bersilang kaki. Nampak berlagak semacam penuh dengan ego. Matanya masih melirik ke arah Wina.

BAAAM!

Tiba-tiba tumpuannya termati dengan kemunculan fail merah atas meja Remi. Siti sengaja meletakkan fail itu dengan kasar.

Nak bagi sedar sikit dua orang manusia yang tak sedar diri tu. Macamlah mereka tu sempurna sangat! Kalau ALLAH ambik balik apa yang ada pada mereka...hah baru tahu langit tu tinggi ke rendah.

“Hoi! Tak boleh letak baik-baik ke? Main campak je...” tegur Zaki dengan renungan tajam . Siti menjeling.

“Harus ke aku letak baik-baik?” sergah Siti balik sambil membulatkan sepasang matanya yang bundar. Langsung meninggalkan dua manusia ego dengan garangnya. Panas betul hati Siti bila melihatkan gelagat dua manusia tersebut. Lebih-lebih lagi bila dia terdengar apa yang disoksek-soksekkan oleh mereka berdua.

Sebuah teksi berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat, lalu seorang gadis turun dengan tubuh yang terbongkok-bongkok sedang menahan esak-tangisnya. Serasakan bagai hari ini adalah hari amat malang bagi dirinya. Apa saja yang dilakukan semuanya tidak betul dan membawa duka nestapa kepada diri sendiri.

Pemuda yang dia puja dan angaukan setiap hari tidak pedulikan perasaan hati gadisnya yang halus. Selama ini dia amat memandang tinggi pada pemuda pujaannya. Namun, segalanya musnah bila pemuda tersebut telah menghinanya dan menginjak-injak maruahnya di hadapan rakan-rakan sepejabat yang lain.

Betapa malunya dia hanya Tuhan saja yang tahu...

“Apa pasal pulak aku mesti terima hadiah ni dari kau? Selama ni aku baik dengan kau pun sekadar nak kau siapkan kerja-kerja aku saja,” anak mata Remi menikam tajam ke wajah Wina. Perasaan meluatnya terhadap Wina menjajah hatinya dengan rakus sekali. Satu tolakan kasar ditujukan ke arah bungkusan hadiah berwarna biru turqois dalam tangan Wina lantas tercampak ke lantai.

Wina terkesima dengan perlakuan Remi dan dia tercegat kaku bagai patung. Memang dia tersentak habis.Wina tak tahu nak respons macam mana dalam situasi begitu. Ia berlaku dengan pantas. Fikiran Wina terus kosong. Wajah Wina mula terasa panas. Perasaan malu mula merayap menyelinap dalam hati Wina. Beberapa pasang mata yang ada berdekatan dengan tempat mereka mula melirik mengintai cerita.

“Hei Remi! Kenapa kau buat macam tu? Tu kan hadiah untuk kau?” marah Siti kawan baik Wina. Siti sudah lama simpan rasa marahnya terhadap Remi. Dia sudah tidak dapat menahan empang kesabarannya lagi. Perangai Remi sudah sangat melampau!

“Aku tak perlukan hadiah dari dia ni,” jerkah Remi dengan angkuh sekali. Remi menjeling Wina. Wina menunduk menahan rasa sebal yang sedang mencengkam hatinya. Tak sangka Remi berkelakuan begitu terhadapnya. Pemuda itu boleh berubah terus 360 darjah dari asal yang Wina kenal.

“Siapalah yang nak berkawan dengan perempuan kuno macam kau ni? Dah lah tak cantik!” Kutuk Remi sambil menyungging senyum sinis. Sepasang matanya sungguh kejam melemparkan pandangan penuh menghina. Perlahan-lahan Wina mendapatkan hadiah yang tergolek atas lantai. Dipungutnya dengan hati yang sebal. Sedih diperlakukan macam kain buruk oleh Remi.

Bunyi seperti serpihan kaca berderai mengiringi bungkusan hadiah bila dipungut Wina. Dalam kotak hadiah tersebut, Wina menghadiahkan sebuah kapal layar diperbuat dari kristal khas untuk Remi. Berjuraian air mata Wina. Hatinya hancur bagai deraian kristal dalam kotak hadiah tersebut.

“Sudahlah perempuan. Kau tak perlu tagih simpati aku kat sini. Lebih baik kau balik saja. Jangan buat malu diri sendiri.... blahlah,” Remi menghalau Wina tanpa berasa kasihan walau sebesar kuman pun dalam hatinya. Malah rasa meluat sedang marak menyala-nyala membakar hati Remi.

Wina masih terpaku di situ. Fikirannya kosong. Segala imbasan peristiwa yang dia lalui semasa di pejabat berputar ligat dalam kotak fikirannya. Saat-saat manis yang dia tempuhi semasa membuatkan tugasan pejabat untuk jejaka pujaannya itu. Kebaikkan yang diberi tetapi tuba yang dibalas!

Wina masuk ke dalam rumah dengan sisa rembisan air mata masih bertakung di tubir mata dan pipinya juga masih kebasahan. Malas dia hendak ambil pusing biarlah air mata itu tetap di situ. Fikirannya lebih berserabut lagi dengan kejadian yang memalukan tadi di majlis harijadi Remi.Tak sangka Remi boleh kenakan dia di majlis yang terbuka macam tu tanpa berasa bersalah langsung. Kejam!

“Tak guna punya jantan! Ooo... selama ni kau tak ingat , akulah orangnya yang kau cari bila nak siapkan semua kerja-kerja kau. Tak guna!” Bentak Wina sambil menghempas daun pintu di belakangnya. Laju saja Wina menghayun kaki masuk ke dalam bilik. Perasaan geram dan marah serta sedih bercampur-baur dengan ligat merobek hatinya.

Tas tangan berwarna merah darah dicampak kasar di atas katil. Rasa marahnya belum terlerai lagi. Kebetulan ketika itu, anak mata Wina terpandangkan sebuah gunting di atas meja solek lalu di ambil lantas dilontarkan sekuat hatinya ke dinding bilik.

TING!!

Gunting itu melenting bila bertembung dengan dinding. Lalu tergeletak di atas lantai berhampiran katil dengan mata gunting tercacak ke atas. Masih tak puas hati, kemarahan Wina masih belum dilunasi. Perasaan marah bercampur sedih masih mendominasi emosi Wina. Mata Wina kembali basah.

Kau dahlah tak cantik! Tak cantik! Tak cantik!

Terngiang-ngiang lagi di gegendang telinga Wina kata-kata ejekkan dari Remi. Tak cantik? Apa... penting ke cantik tu? Bukankah aku ni dah cukup sempurna dah ALLAH jadikan...Wina menuju ke cermin soleknya. Wajah yang terpampang di cermin ditelek dengan penuh kusyuk. Tiada yang kurangnya. Matanya bulat tidak pula sepet. Mulut, hidung, pipi malah keningnya juga tebal terbentuk. Apa yang kurang?

Wina masih merenung dirinya di dalam cermin sejak lima belas minit yang lalu. Dia tidak berubah tempat dari tadi. Masih duduk berteleku di hadapan cermin solek merenung dirinya. Kali ini tiada air mata menemani atau tangisan. Wina balik bersendirian tanpa Siti. Bukan Siti tak mahu ikut balik sama tetapi Wina yang menghalang.

“Jom Wina! Kita balik. Tak guna kita datang ke majlis orang bongkak macam ni,” Siti merentap tangan Wina bagi menyedarkan gadis itu dari kesedihannya yang melampau. Siti menjadi cuak bila Wina tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Bagaikan kakinya dah berakar di lantai dewan hotel tersebut.

Siti mula panik dan kurang sabar bila melihatkan keadaan Wina yang mencurigakan. Jangan perempuan ni histeria kat sini dah lah, doa Siti dalam hatinya. Dada Siti mula berombak laju menghela nafas yang semakin menjadi pendek-pendek setiap minit. Siti mula naik cemas bila Wina hanya mematungkan dirinya sejak dari tadi di situ sambil memegang bungkusan hadiah yang tergolek atas lantai ditepis oleh Remi.

“Aku nak balik sorang-sorang, nak tenangkan diri aku,” ucap Wina perlahan namun masih dapat didengari dengan jelas pada telinga Siti. Dari situlah Wina mengambil teksi dan pulang sendirian.

Jam meja menunjukkan sudah pun pukul 10.00 malam. Wina masih lagi merenungi wajahnya di cermin solek. Apa yang kurangnya aku ni? Mata? Mulut? Tapi semuanya lengkap dan sudah sempurna ALLAH jadikan. Tetapi kenapa Remi tak sukakan aku dan dia kata aku ni tak cantik pula?

“Wahai cermin... Lihatlah aku...” dalam kebingungan Wina mula melihat cermin.

Jari-jemari Wina lantas menyentuh permukaan cermin dengan penuh emosi. Sebelah tangan lagi meraba pipinya yang mulus tanpa sebarang cela pun. Dia sendiri hairan, apa kurangnya dia pada mata Remi?

“Kenapa dia kata aku tak cantik?” tanya kepada cermin soleknya. Wina mula menangis teresak-esak semula di hadapan cermin solek lalu menunduk menekup wajahnya pada lengan. Keadaan bilik suram. Wina membiarkan saja tingkap terbuka sedikit dan cahaya dari lampu jalan menerobos masuk ke bilik. Menyumbangkan sedikit jalur cahaya pada dinding bilik. Langsir oren susu melentuk-lentuk lembut dibelai angin malam.

Tatkala Wina sedang melayan perasaan sayunya, asap mula muncul pada cermin soleknya. Lama-kelamaan membentuk sesusuk tubuh wanita yang langsing dan tiada berkepala! Tubuh itu sepertinya memerhatikan Wina dengan diam. Menunggu Wina...

Pada waktu yang sama, tak semena-mena tubuh Wina berasa seram sejuk. Bulu romanya mula meremang dan berdiri tegak hingga ke ubun kepalanya. Wina berasa tak selesa. Bulu tengkuknya turut mula merinding. Perlahan-lahan Wina mengangkat mukanya. Niat hati nak lihat keadaan sekeliling bilik kalau-kalau ada yang tidak kena.

Kenapa badannya berasa tak sedap dan terasa macam ada mata yang sedang memerhatikan dia dalam diam di bilik tersebut. Dia menoleh kiri dan kanan perlahan-lahan sebelum memandang ke hadapan pula.

Lalu pandangan matanya bertembung dengan bayangan tubuh tak berkepala di cermin!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.