Home Novelet Seram/Misteri ANAK PATUNG NANA
ANAK PATUNG NANA
Suzani Nadzir Mohd Nadzir
2/7/2015 11:44:57
11,607
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 2
SUASANA di kompleks membeli-belah itu sungguh bingit. Muzik bergema memecahkan gegendang telinga di setiap ceruk bangunan setinggi tiga tingkat itu. Ramai pengunjung yang turut memenuhi kawasan kompleks itu termasuk Madiha dan Nana.

Madiha memimpin tangan Nana memasuki premis Toys N Kids yang terletak di tingkat dua kompleks membeli-belah itu. Haruman lavender menyambut kedatangan mereka berdua. Madiha menghidu bauan itu dengan penuh rasa tenang. Wanginya, bisik hati Madiha. Seorang gadis manis menyambut mereka dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Madiha membalas mesra senyuman itu.

“Nana, tadi Nana cakap nak anak patung, kan? Pergilah pilih yang mana Nana suka. Hadiah daripada ibu untuk anak ibu,” ujar Madiha sambil meletakkan tangan ke atas bahu Nana.

Nana membuntangkan mata. Jelas anak kecil itu begitu teruja dengan tawaran itu. Madiha tersenyum gembira. Hatinya tercuit dengan rasa terharu apabila melihat Nana teruja dan gembira begitu. Pantas Nana menghilangkan diri di sebalik rak-rak yang terdapat di premis itu. Madiha mengambil kesempatan itu untuk mencuci mata dengan melihat susunan alat permainan di dalam premis itu.

Sebaik sahaja kakinya dijejakkan ke kawasan yang mempamerkan anak-anak patung, Nana melompat keriangan. Mata Nana meliar memerhati susunan anak-anak patung di hadapannya sebelum pandangannya terjatuh kepada sebuah anak patung bertocang dua yang memakai gaun berwarna merah jambu lembut. Perlahan-lahan Nana menyentuh rambutnya yang turut bertocang dua.

Nana menghampiri anak patung itu dan kakinya dijongketkan untuk mencapai anak patung itu. Kaki anak patung yang terjulur keluar itu dicapai dengan susah payah. Satu senyuman kepuasan diukirkan sebaik sahaja anak patung itu berada di dalam genggamannya.

Mata Nana yang galak bulat memandang anak patung itu. Entah kenapa hatinya teruja untuk memiliki anak patung di tangannya walaupun masih banyak lagi anak patung yang lebih comel daripada itu. Sinar mata anak patung itu menusuk ke anak mata Nana. Jiwa Nana seakan-akan dirasuk. Ketika itu, hatinya bertekad, anak patung itu harus dimiliki!

Madiha berpaling sebaik sahaja mendengar namanya dijerit oleh Nana. Satu senyuman dilemparkan kepada Nana yang turut melemparkan senyuman manis kepadanya.

“Ibu, cantik tak anak patung ni? Macam Nana kan, bu?” soal Nana sambil memegang rambutnya yang ditocang dua.

Mata Madiha terpaku pada anak patung itu. Hatinya tidak mengalunkan irama yang menyenangkan. Sebaliknya rasa seram seolah-olah mula bertakung di dadanya apabila melihat anak mata kehitaman milik anak patung itu.

“Yang lain tak cantik?”

Madiha bersuara lembut yang jelas tidak bersetuju dengan pilihan Nana. Nana menundukkan pandangan ke lantai sebaik sahaja mendengar soalan Madiha. Senyumnya terus hilang ditelan kesugulan. Madiha mengeluh kesal dengan keterlanjuran katanya. Nafasnya ditarik panjang. Anak patung di tangan Nana diraih ke dalam pelukan.

“Comel anak patung ni, pandai Nana pilih. Okeylah, kita pergi bayar ya?” pujuk Madiha.

Perlahan-lahan Nana melemparkan senyuman yang sangat manis di mata Madiha. Madiha menarik nafas lega. Tidak susah untuk mengambil hati anak kecil itu bagi Madiha. Perasaan seram yang menujah di sudut hatinya dilemparkan jauh-jauh. Mungkin itu hanya khayalan sahaja.

Nana menyambut anak patung bertocang dua itu dengan wajah yang bersinar dengan kegembiraan. Anak patung itu dipeluk seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Madiha hanya memerhatikan gelagat Nana dengan senyuman melebar. Hatinya puas apabila melihat Nana mampu tersenyum dan berasa gembira seperti kanak-kanak seusianya. Terasa segala penat lelahnya terbang melayang ketika melihat anak kesayangannya tersenyum girang.

Setelah membuat pembayaran, kedua-dua mereka melangkah meninggalkan premis itu untuk mengisi perut yang mula berkeroncong. Kegembiraan meresapi wajah comel Nana.

***

KHOR melangkah memasuki premis Toys N Kids dengan muka cemberut. Wajah itu jarang sekali menguntumkan senyuman. Lantaran itu, Khor amat ditakuti pekerja-pekerjanya. Sikapnya yang terlalu tegas dan kadangkala seperti tidak bertempat itu membuatkan pekerja-pekerjanya tidak kekal lama bekerja dengannya.

Beberapa orang pekerja yang sedang berdiri di dalam kedai itu bangun seolah-olah memberikan penghormatan ketika melihat kelibat Khor. Hanya anggukan yang diberikan pada pekerja-pekerjanya. Tiada senyuman yang menghiasi wajahnya.

“Farah, masuk ke bilik saya sekejap.”

Khor meletakkan telefon sebaik sahaja selesai memanggil Farah melalui butang interkom. Farah terpacul di biliknya dalam tempoh tidak sampai dua minit!

“Ya, madam,” ucap Farah dengan riak muka gusar.

Khor menjeling tajam ke arah Farah lantas menghidupkan komputer riba.

“Macam mana business hari ni? Okey ke?” soal Khor, tegas.

“Bagus, madam. Ramai pelanggan hari ni. Mungkin sebab hari ni hari minggu,” jawab Farah.

Khor mengangguk perlahan.

“Cek stok. Mana-mana yang dah tak ada tu tolong buat dalam list. Jangan sampai barang habis baru sibuk nak update,” arah Khor, tegas.

Matanya masih tekun menatap dada skrin komputer riba di hadapannya.

“Baik, madam. Kalau tak ada apa-apa, saya mintak diri dulu,” ujar Farah, meminta diri untuk menyudahkan kerja yang terbengkalai.

Khor mengangguk perlahan.

Khor mendepakan tangannya untuk menghilangkan rasa lenguh di tubuhnya. Kepalanya ditolehkan ke arah rak yang disusun dengan anak-anak patung serta cenderamata kegemarannya. Marie juga turut sama dibawa ke situ. Khor terpaksa membawa Marie bersamanya setelah berlaku beberapa kejadian aneh di rumahnya dahulu. Dia tidak dapat mengaitkan kejadian itu dengan Marie, tetapi apabila Sunarti seakan-akan trauma melihat Marie di situ, dia tiada pilihan lain.

Matanya meneliti anak-anak patung di situ sebelum dia bingkas bangun. Ada sesuatu yang kurang di situ. Mana Marie?

***

MADIHA melangkah keluar daripada perut lif sebaik sahaja sampai ke destinasi tujuannya. Langkahnya diatur kemas menuju ke arah kondominium yang terletak di hadapan lif.

“Diha, dari mana?” sapa satu suara.
Madiha berpaling ke arah suara itu.
“Oh, Kak Liza. Dari shopping mall tadi, bawa Nana keluar.Hari ni hari jadi Nana, jadi saya saja ajak dia keluar cari hadiah,” terang Madiha dengan senyuman yang terukir di bibir.

Kak Liza mengangguk seraya berkalih ke tepi Madiha.

“Mana Nana?” soal Kak Liza sebaik sahaja kelibat Nana tiada di situ.

“Dia pergi main kat taman kejap. Suka sangat dia bila dapat apa yang dia nak, Kak Liza,” ujar Madiha, lembut.

Renungan Madiha jauh ke hadapan seakan-akan mampu menembusi dinding batu di situ.

Kak Liza memandang ke wajah Madiha. Wajah duka yang terlindung dengan senyuman manis itu diperhatikan tajam. Terasa mahu diselami hati Madiha, tetapi Kak Liza tidak berani. Mungkin apabila sudah tiba masa yang sesuai, Madiha akan lebih terbuka untuk berkongsi rasa hatinya.

Pandangan Madiha melayang-layang jauh ke hadapan. Terbang bersama rasa duka yang berselirat di dalam jiwa. Sayu.

***


TAMAN permainan yang terletak di bawah bangunan kondominium itu kelihatan lengang. Hanya kelihatan beberapa orang kanak-kanak seusia Nana sahaja yang bermain di situ.

Nana melangkah menghampiri kawasan taman permainan itu bersama-sama dengan anak patung yang diberikan ibunya sebentar tadi. Sesekali terdengar bicara yang dituturkan Nana kepada anak patung itu seolah-olah mereka sedang berkomunikasi bersama.

“Okey, kita duduk sini ya,” ujar Nana sambil meletakkan anak patung itu ke atas kerusi yang disediakan di taman permainan itu.

Sesekali tangannya ligat membetulkan kedudukan anak patung itu supaya tidak jatuh.

Nana segera melabuhkan punggung di sebelah anak patung itu. Pandangannya terhala kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain sesama sendiri. Dia tidak berminat untuk turut serta bermain dengan mereka. Sebaliknya, dia hanya ingin bersendirian dengan anak patung baru kesayangannya.

Nana mengalihkan perhatiannya kembali kepada anak patung itu. Senyuman teruja mewarnai raut wajahnya.

“Hmm…Nana namakan awak Puteri. Cantikkan nama tu? Ibu selalu cakap, Nana cantik macam princess.”

Anak patung itu hanya kaku di situ. Tiada respons. Nana beralih ke arah anak patung itu sekali lagi. Sepi. Ditepuk-tepuknya kaki anak patung itu seperti mendodoikan bayi yang sedang tidur.

“Nana dah ada Puteri. Malam ni kita boleh tidur sama-sama. Puteri temankan Nana ya?” seloroh Nana sambil memandang anak mata Puteri.

Matanya dipejamkan rapat-rapat. Sebuah senyuman mekar menghiasi wajah manis itu.

Puteri masih kaku di situ. Tidak bersuara mahupun memberikan reaksi. Seketika, satu cahaya bening mewarnai mata Puteri. Kelopak mata anak patung itu berkedip-kedip!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.