Aidid mengangkut satu kotak yang berisi dengan
pakaian-pakaian ke dalam rumah itu dengan pantas. Peluh berjejeran mengalir
membasahi wajahnya. Cepat-cepat Aidid meletakkan kotak tersebut di atas lantai
kondominium itu. Berat. Lenguh urat-urat lengan Aidid mengangkat barang-barang
yang banyak begitu. Betullah kata orang, berpindah itu memang memenatkan. Aidid
menyeka peluh di dahi dengan belakang tangannya. Itu merupakan kotak terakhir
yang perlu diangkat oleh Aidid. Aidid menarik nafas lega.
“Dah
habiske bang?”
Aidid
berpaling ke arah suara itu. Rossa memandang ke arah kotak terakhir yang
diangkut oleh suaminya sambil menatang segelas air epal sejuk. Dihulurkan gelas
tersebut kepada suaminya. Aidid menyambut gelas tersebut sambil tersenyum
memandang Rossa.
“Alhamdulillah
dah habis. Yang ni last. Lega sikit
rasanya.”
Rossa
tersenyum senang memandang Aidid. Selepas ini, tugas beralih kepada dia pula
untuk mengemas barang-barang tersebut di dalam kondominium itu. Aidid menjenguk
ke bahagian dapur kondominium itu. Dia tidak nampak kelibat anak perempuan
tunggalnya sejak dari tadi lagi. Ke mana pula Qalisya menghilang, gumamnya.
“Qalisya
mana?”
Rossa
mendongak ke arah suaminya. Tangannya ligat mengeluarkan pasu-pasu porselin
daripada kotak di bahagian hujung ruang tamu kondominium itu. “Dia tidur tadi,
penat sangat agaknya.” Aidid melabuhkan punggungnya di atas sofa sambil
menghidupkan televisyen di ruang tamu itu. Sesekali angin sejuk penghawa dingin
menyentuh kulitnya. Damai sekali.
“Lepas
ni kita kemaskan bilik Qalisya dulu ya. Selesa sikit dia nak tidur,” cadang
Aidid. Rossa mengangguk perlahan sambil tekun mengelap pasu porselin
kesayangannya dengan berhati-hati. Aidid hanya tersenyum lebar memerhatikan
tingkah Rossa yang sememangnya obses dengan pasu bunga porselinnya itu.
Mereka
sekeluarga menikmati hidangan makan malam di luar malam itu. Aidid sengaja
mengajak mereka makan di luar kerana kasihankan Rossa yang tidak berhenti-henti
membersihkan kondominium mereka seharian. Pasti Rossa keletihan, fikir Aidid.
Mereka menikmati hidangan makan malam itu dengan penuh selera. Sesekali
kedengaran suara Rossa bertelingkah dengan Qalisya yang agak gopoh menjamah
hidangan. Sudahnya, Qalisya menarik muncung panjang tanda protes terhadap
Rossa. Aidid hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua tanpa bersuara.
“Qalisya,
sebelum tidur tu gosok gigi dulu ya. Jangan lupa tukar baju dan basuh kaki,”
Rossa mengingatkan Qalisya sebaik mereka melangkah masuk ke dalam kondominium
itu. Qalisya menganggukkan kepala sambil berlari masuk menuju ke kamar
tidurnya.
Qalisya
memetik suis lampu di dinding berhampiran pintu masuk kamarnya dengan
pertolongan bangku kecil di dalam bilik itu. Seketika, bilik itu menjadi
terang. Qalisya menyusun langkah menuju ke meja komputernya perlahan-lahan.
Langkahnya terhenti di penjuru katilnya.
Apa
ni, fikir Qalisya.
Sepasang
kaki kecil terjulur keluar daripada bawah katilnya. Qalisya membongkokkan
badannya dan menarik kaki tersebut
keluar. Sebuah anak patung berambut panjang yang diikat tocang berada di dalam
tangan Qalisya. Qalisya ketawa gembira. Comelnya, gumam Qalisya. Qalisya
meletakkan anak patung tersebut di sebelah bantal di atas katilnya. Hatinya
girang. Dia mendapat sebuah anak patung yang sangat comel. Qalisya mencapai
tuala yang disangkut pada penyangkut baju di tombol almarinya lalu menuju ke
bilik air. Sekujur tubuh kecil berdiri kaku memerhatikan gerak geri Qalisya.
Raut wajah yang suram menghiasi wajah yang pucat tidak berdarah itu.
Rossa menutup pintu rumahnya dengan tergesa-gesa. Dia
sudah terlewat untuk ke tempat kerja pagi itu. Mujur Aidid tiada mesyuarat hari
ini. Lantaran itu, tugas menghantar Qalisya ke sekolah diserahkan kepada Aidid.
Selepas memastikan pintu sudah dikunci, Rossa mengatur langkah menuju ke lif
yang terletak di hadapan rumahnya. Langkah Rossa terhenti apabila berpapasan
dengan jirannya yang keluar sambil membimbit dua plastik sampah. Seulas
senyuman manis terukir di bibir Rossa sebagai tanda perkenalan dan disambut
mesra oleh jirannya. Kedua-dua mereka cepat-cepat masuk ke dalam lif sebaik
pintu lif terbuka.
“Baru
pindah ke sinike?”
Rossa
tersentak dengan soalan tersebut setelah masing-masing membatukan diri di dalam
lif itu. “Ye kak, baru je pindah semalam.”
“Panggil
je akak, Kak Liza. Kak Liza dah lama duduk kat sini,” sambungnya lagi mesra.
“Oh,
saya Rossa. Ada masa lapang nanti jemputlah datang ke rumah ye kak,” pelawa
Rossa berbasa basi. Kak Liza mengangguk sambil tersenyum.
Ting!
Bunyi
loceng di dalam lif tanda pintu akan terbuka menarik penglihatan mereka.
Seketika kemudian, pintu lif terbuka dan mereka melangkah keluar daripada perut
lif itu. Kak Liza berpusing menghadap Rossa. Kelihatan air muka Kak Liza
seperti serba salah sahaja. Rossa memerhatikan Kak Liza dengan raut wajah
kehairanan.
“Kenapa
Kak Liza?”
Kak
Liza memandang Rossa sebelum memulakan ulas bicara. “Errr… Kak Liza nak pesan,
kalau jumpa anak patung dalam rumah tu jangan ambil. Kalau boleh, buat tak tau
je,” pesan Kak Liza.
Anak
patung? Rossa berfikir sendirian. Tiba-tiba matanya terpaku pada jam di
pergelangan tangannya.
“Alamak
Kak Liza, saya dah lambat! Terima kasih atas nasihat tu, lainkali kita berbual
lagi ya,” Rossa meminta diri sambil berlari-lari anak menuju ke tempat parkir
keretanya. Kak Liza menganggukkan kepala sambil memerhatikan langkah Rossa yang
kelam kabut itu. Dia mengharapkan Rossa tidak menjadi mangsa yang seterusnya.
Qalisya
terbaring kepenatan di atas katilnya setelah pulang dari sekolah. Dia berpaling
menghadap ke kiri dan terpandangkan anak patung comel yang dijumpainya semalam.
Diraih anak patung tersebut ke dalam pelukannya sambil tersenyum senang.
“Itu
anak patung saya.”
Qalisya
berpaling ke arah suara yang muncul tiba-tiba daripada belakangnya. Pantas dia
bingkas bangun sebaik melihat seorang gadis kecil berwajah pucat lesi berdiri
di sisi katilnya.
“Awak
siapa? Macamana awak masuk dalam bilik saya?” soal Qalisya ketakutan.
Ditilik-tilik wajah pucat itu sambil mengintai ke daun pintu biliknya yang tertutup
kemas. Papake yang bagi dia masuk, soal Qalisya di dalam hati.
“Itu
anak patung saya,” jawab gadis tersebut dengan riak wajah tenang. Tangannya
diunjukkan ke arah anak patung di dalam pelukan Qalisya. Qalisya memandang ke
wajah anak patung itu sebelum mengalihkan pandangannya ke wajah pucat gadis
itu.
“Tapi
saya jumpa anak patung ni kat situ,” tungkas Qalisya sambil melihat ke arah
penjuru katil itu. Gadis itu tetap berdiri tegak tanpa perasaan. Seketika, air
mata jernih mengalir daripada birai mata gadis itu dan jatuh membasahi lantai
marmar bilik itu. Qalisya kaget. Rasa kasihan menjentik tangkai hatinya.
Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke arah gadis kecil itu.
“Saya
minta maaf… Baiklah, saya bagi balik anak patung awak. Janganlah nangis,” pujuk
Qalisya. Air mata tetap mengalir di birai mata gadis itu. Tetapi gadis itu
tidak bersuara. Qalisya menghulurkan anak patung tersebut kepada gadis itu.
Gadis itu menyambutnya dengan linangan air mata. Qalisya serba salah.
“Nama
saya Nana…” sambung gadis itu. Esak tangisnya beransur hilang. Tangannya
mengusap-usap kepala anak patung itu.
“Nama
saya Qalisya. Rumah awak kat mana?” soal Qalisya. Pucatnya muka dia, gumam
Qalisya sendirian.
Nana
menatap mata Qalisya. Esak tangisnya bersambung semula. “Saya takde rumah…”
Qalisya
terdiam. Fikirannya berputar. “Emmm… awak tinggal dengan saya jelah nak? Mama
dan papa saya mesti tak marah,” pelawa Qalisya riang.
Nana
menggelengkan kepalanya. “Mama dan papa awak mesti tak suka saya tinggal kat
sini. Kita mesti tak boleh jadi kawan.”
“Eh,
mama dan papa saya baik. Mesti mereka tak marah punyalah,” bantah Qalisya.
Nana
mencapai tangan Qalisya. Matanya menatap tajam ke mata Qalisya. “Boleh tak awak
janji dengan saya, jangan bagitau mama dan papa awak yang saya tumpang dalam
bilik awak?”
Qalisya
membalas pandangan Nana. Seketika dia mengangguk perlahan sambil tersenyum.
Nana turut tersenyum. Qalisya gembira kerana dia telah mendapat kawan baru dan
Nana juga gembira kerana akhirnya dia mempunyai seorang teman baru.
Rossa berhenti di hadapan pintu bilik Qalisya.
Telinganya ditekapkan ke pintu bilik Qalisya. Dia terdengar Qalisya seperti
sedang berbual dengan seseorang. Jelas. Tetapi tiada suara yang menyambut
setiap tutur kata Qalisya. Rossa membuka pintu bilik Qalisya perlahan-lahan.
Gelap.
Perlahan-lahan
Rossa memetik suis lampu bilik Qalisya. Suasana gelap bertukar terang. Matanya
menyorot ke arah katil Qalisya. Qalisya sedang tidur lena sambil memeluk sebuah
anak patung. Kening Rossa berkerut. Seingatnya, Qalisya tidak pernah memiliki
anak patung sebegitu. Mungkin Aidid baru belikan agaknya, gumam Rossa. Rossa
menutup kembali lampu bilik tersebut setelah membetulkan selimut yang membaluti
tubuh Qalisya.
Qalisya
membuka matanya perlahan-lahan sebaik dia mendengar pintu bilik itu ditutup.
Dia berpusing menghadap Nana yang berbaring di sebelahnya sambil tersenyum.
Nana turut tersenyum memandangnya.
“Mama
saya tak marahkan?”
Nana
mengangguk perlahan-lahan sambil tersenyum lebar. Qalisya ketawa kecil sebelum
melelapkan mata. Nana memandang Qalisya sepi. Air mata menuruni tubir matanya.
Dia takut Qalisya juga akan meninggalkannya sendirian di situ seperti orang
lain.
Rossa menyapukan mentega kacang ke atas roti sebelum
menghulurkannya kepada Qalisya. Qalisya menyambut roti tersebut sambil
tersenyum gembira.
“Terima
kasih mama.”
Rossa
tersenyum senang mendengar olahan Qalisya. Qalisya anaknya yang bijak dan
bersopan santun. Aidid menarik kerusi meja makan itu sambil membawa senaskhah
surat khabar. Dia meletakkan surat khabar tersebut ke atas meja sebaik
sepinggan bihun goreng disuakan kepadanya oleh Rossa.
“Hari ni kita pergi jalan-jalan nak tak?”
Aidid memberi cadangan sambil memandang wajah Qalisya. Rossa menganggukkan
kepala sambil tersenyum. Sudah lama mereka tidak meluangkan masa bersama
Qalisya.
“Tak
mahulah papa. Hari ni Qalisya nak duduk rumah je. Nak baca buku,” tolak
Qalisya. Aidid dan Rossa saling berpandangan. Aneh. Qalisya adalah manusia yang
paling gembira kalau diajak keluar berjalan-jalan.
“Qalisya,
betulke ni?” soal Rossa sambil anak matanya memandang tepat ke wajah Qalisya.
Qalisya mengangguk senang. Aidid merenung Qalisya sebelum membuang pandangan ke
arah Rossa yang turut kehairanan dengan sikap Qalisya.
Qalisya
menutup pintu biliknya perlahan-lahan. Langkahnya diatur berhati-hati menuju ke
meja komputernya. Dia ingin mengejutkan Nana yang sedang duduk menghadap
komputernya. Dia ketawa kecil sambil menutup bibirnya.
“Hah!”
Qalisya menyergah Nana sambil menepuk bahu Nana. Nana terkejut dengan sergahan
Qalisya sambil memegang dadanya. Seketika, tawa meletus daripada bibir
kedua-dua gadis kecil itu.
“Nana,
awak tak laparke? Kalau awak lapar, saya boleh ambilkan makanan,” pelawa
Qalisya. Sudah puas dia mengajak Nana untuk bersarapan dengan keluarganya pagi
tadi, tetapi Nana enggan. Nana menggelengkan kepalanya.
“Saya
tak lapar. Kalau saya lapar saya bagitau awak ya?”
Qalisya
tersenyum memandang Nana. Mereka kemudiannya asyik bermain dan berbual sesama
mereka di kamar itu.
Rossa
berpatah balik ke hadapan bilik Qalisya. Dia mengesan sesuatu yang pelik sejak
akhir-akhir ini. Qalisya kerap dilihat berbual sendirian. Hatinya risau melihat
keadaan itu. Rossa menekapkan telinganya ke daun pintu bilik Qalisya. Dia cuba
mendengar apa yang sedang dibualkan oleh Qalisya ketika itu.
“Anak
patung ni cantikkan? Siapa yang belikan untuk awak?” suara Qalisya jelas
kedengaran seperti sedang berbual-bual.
“Oh,
pandai ibu awak pilih. Mama dan papa saya pun selalu belikan anak patung untuk
saya. Bolehlah kita main sama-sama!”
Rossa
sudah tidak tahan dengan setiap apa yang dia dengar. Pantas dia menolak daun
pintu tersebut dengan kasar. Qalisya tersentak dengan tindakan Rossa. Rossa
menerpa masuk ke dalam bilik Qalisya. Matanya melilau ke segenap ceruk bilik itu.
Dipandangnya muka Qalisya dengan renungan yang tajam.
“Qalisya
cakap dengan sapa tadi? Bagitau mama!”
Qalisya
ketakutan dengan riak menyinga di wajah Rossa. Perlahan-lahan dia meraih anak
patung Nana ke dalam pelukannya. “Qalisya tak cakap dengan sapa-sapa…”
“Jangan
tipu mama! Mama dengar tadi. Ni anak patung ni, mana Qalisya dapat? Papa
bagike?” soal Rossa bertubi-tubi.
Qalisya
menggeleng laju. Dibiarkan soalan Rossa tergantung di situ. Matanya melirik
perlahan ke arah Nana yang berdiri di hujung katil bersebelahan dengan mamanya.
Mama tak nampak Nanake? Qalisya menutup matanya rapat-rapat.
“Apa
yang kecoh-kecoh ni?” soal Aidid yang masuk ke bilik Qalisya setelah mendengar
suara riuh rendah Rossa.
“Papa…”
Qalisya berlari mendapatkan Aidid dan bersembunyi di belakang Aidid. Tangannya
masih memeluk erat anak patung itu. Nana hanya memerhatikan kaku.
“Abang,
Rossa dah bagitau abangkan, Qalisya selalu cakap sorang-sorang. Tu anak patung
tu, abangke yang belikan?” soal Rossa sambil jarinya dihalakan ke arah anak
patung itu.
Aidid
menarik Qalisya yang ketakutan itu untuk berhadap dengannya. Matanya melirik ke
arah anak patung di tangan Qalisya. Dia tidak pernah membelikan anak patung
tersebut untuk Qalisya. Dia mengusap kepala anaknya lembut sebelum bersuara.
“Qalisya,
kat mana Qalisya dapat anak patung ni?”
Qalisya
memandang wajah Aidid tepat ke mata. Dia menundukkan penglihatannya ke lantai
selepas beberapa ketika beradu pandang dengan Aidid. “Patung ni kawan Qalisya
punya…”
“Siapa
kawan Qalisya?” soal Aidid lembut. Dia tidak mahu Qalisya menjadi anak yang
takut untuk meyatakan kebenaran di tempat yang sepatutnya. Qalisya melirikkan
matanya ke arah Nana. Nana menggelengkan kepalanya perlahan-lahan. Qalisya
bagaikan dipukau.
“Kawan
Qalisya kat sekolah. Dia suruh Qalisya jaga.”
Nana
tersenyum memandang Qalisya. Aidid menarik Qalisya ke dalam pelukannya sambil
mengusap-usap belakang Qalisya. Rossa memerhati dengan riak muka tidak berpuas
hati dengan jawapan Qalisya. Dia tahu Qalisya berbohong.
“Awak
jangan berkasar sangat dengan Qalisya,” tegur Aidid kepada Rossa yang sedang
menyisir rambut di hadapan meja solek di dalam bilik tidur mereka. Rossa
memandang Aidid melalui pantulan cermin besar di hadapannya. Perlahan-lahan dia
berpusing menghadap Aidid.
“Saya
bukannya berniat nak berkasar dengan Qalisya, abang. Tapi saya dengar dia
bercakap seorang diri. Tak kira masa.”
Aided
menarik nafas panjang yang kemudiannya dihela perlahan-lahan. “Imaginasi awak
agaknya tu. Dahlah, tidurlah. Dah lewat malam ni.”
Rossa
mendengus kasar. Ditariknya selimut menutupi kepalanya sebelum mengiring
membelakangkan Aidid. Merajukla tu, bisik Aidid perlahan. Aidid membiarkan
Rossa sejuk sendiri.
Aidid
melangkah menuju ke dapur sebelum dia berpatah balik ke bilik Qalisya. Dia
memicingkan telinganya.
“Awak
bagi anak patung ni dekat saya? Betulke? Yeay!”
“Mestila
saya suka!”
Dahi
Aidid berkerut. Qalisya bercakap dengan siapa? Sekilas dijelingnya ke arah
kamar tidurnya. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Rossa sebentar tadi. Aidid
membuka pintu bilik Qalisya pantas. Lampu dipasang dan bilik itu menjadi terang
benderang. Qalisya dilihatnya sedang tidur pulas di atas katilnya. Aided
menarik nafas dalam. Perlahan-lahan ditutupnya pintu bilik itu semula.
Qalisya
menjenguk ke bawah katilnya. Dia menggamit Nana untuk naik semula ke atas
katil. “Papa dah pergi,” dia berbisik kepada Nana. Nana hanya memerhatikan daun
pintu bilik itu sayu.
Rossa melangkah masuk ke bilik Qalisya dengan segera.
Nafasnya turun naik menahan lelah akibat berlari. Dia melilau di dalam bilik
Qalisya. Seketika matanya menangkap sebuah anak patung yang disandarkan di tepi
bantal Qalisya. Rossa meraih anak patung tersebut dan berlari keluar.
“Makcik,
ke mana makcik nak bawa anak patung saya tu?”
Rossa
melompat ke belakang akibat terlalu terkejut. Matanya bulat memandang wajah
pucat lesi milik gadis kecil di hadapannya itu. Tangannya terketar-ketar
memegang anak patung berambut tocang itu.
“Makcik,
boleh tak makcik bagi balik anak patung saya?” pinta gadis kecil itu sambil
menghulurkan tangannya ke arah Rossa. Gadis kecil itu bergerak perlahan-lahan
mendekati Rossa.
Rossa
menjerit nyaring sambil membuka langkah seribu tanpa berpaling ke belakang
lagi. Dia segera mencampakkan anak patung tersebut ke bawah kondominium itu.
Anak patung itu jatuh tergeletak di atas lantai kolam renang yang terletak di
tengah-tengah bangunan kondominium daripada ketinggian 15 tingkat. Nana
memandang sayu ke arah anak patung itu. Air matanya mengalir lesu.
Rossa
menekan loceng di hadapan sebuah pintu kondominium di situ. Seketika pintu itu
dibuka. Kak Liza terjengul di muka pintu. Diperhatikan muka Rossa yang lencun
dibasahi peluh. Kak Liza segera membuka pintu rumahnya dan mempelawa Rossa
masuk. Rossa masuk tanpa berlengah. Dia merasa tidak selamat untuk berada di
dalam rumahnya sendiri.
“Kak
Liza, boleh tak saya nak pinjam telefon? Saya nak telefon suami saya.”
Kak
Liza menghulurkan telefon bimbitnya kepada Rossa. Rossa menyambut telefon itu
dengan terketar-ketar. Dia mendail nombor telefon suaminya dengan pantas.
Corong telefon ditekapkan ke telinganya.
“Hello
abang. Abang, boleh tak abang balik cepat? Jemput Qalisya kat sekolah. Jangan
bagi dia balik sorang.”
“Kenapa
ni Rossa?” Aidid menyoal kehairanan.
“Abang,
abang jangan banyak tanya. Abang jemput Qalisya. Kita kena keluar dari rumah
itu bang,” balas Rossa dengan perasaan tertekan. Seketika telefon itu
diserahkan kembali kepada Kak Liza yang memandangnya hairan.
“Kenapa
ni Rossa?”
“Kak
Liza, saya tertekan. Saya selalu nampak anak saya bercakap sorang-sorang dalam
bilik,” terang Rossa.
“Ada
tak dia main dengan satu anak patung yang berambut tocang?” soal Kak Liza.
Rossa memandang muka Kak Liza sebelum menganggukkan kepalanya.
“Saya
buang anak patung tu kak. Saya dengar anak patung tu menangis tadi.”
Kak
Liza melabuhkan punggungnya di kerusi bertentangan dengan Rossa. Pandangannya
dihalakan ke arah Rossa. Rossa mesti tahu cerita sebenar, bisik Kak Liza.
“Rossa,
sebenarnya rumah yang Rossa sewa tu ada ceritanya…”
Bulat
anak mata Rossa memandang Kak Liza. “Cerita apa Kak Liza?”
Kak
Liza menarik nafas panjang. “ Dua tahun yang lepas, ada sebuah keluarga tinggal
di situ. Mereka ada seorang anak perempuan. Nana namanya. Nana budak yang baik,
bersopan santun. Comel pulak tu. Satu hari Nana hilang. Puas kami semua mencari
Nana. Ibu Nana dah jadi macam sasau. Akhirnya kami jumpa Nana kat dalam kolam
renang. Tapi, Nana dah takde. Hasil siasatan polis, Nana dibunuh sebelum
mayatnya dicampak ke dalam kolam renang itu. Anak patung tu memang kesayangan
Nana. Lepas kejadian tu, keluarganya jual kondominium tu dan berpindah ke
tempat lain. Mereka tertinggal anak patung Nana. Tapi Kak Liza tahu, anak
patung tu memang sengaja ditinggalkan sebab ayah Nana tak mahu ibu Nana terus-terus
tertekan. Sejak itu, ramai yang keluar masuk kondo tu sebab tak tahan dengan
gangguan. Ada yang hilang anak mereka berhari-hari, tetapi anak mereka ditemui
selamat.”
Rossa
tergamam mendengar cerita itu. Terbayang di matanya raut wajah gadis kecil yang
penuh rasa sayu itu. Raut wajah yang pucat lesi. Dadanya berombak kencang.
Aidid
tiba di rumah setengah jam kemudian. Kak Liza menggamit Aidid ke rumahnya
sambil menceritakan apa yang telah berlaku. Aidid menerpa masuk mendapatkan
Rossa.
“Mana
Qalisya?” soal Rossa setelah dia melihat Aidid masuk tanpa Qalisya.
“Abang
dah pergi sekolah Qalisya tadi, tapi cikgu dia cakap Qalisya dah balik. Puas
abang cari.”
Rossa
mula menangis. Mana Qalisya? Rintih hati Rossa sayu.
Qalisya berjalan beriringan dengan Nana. Tangan
mereka bertaut erat. Sesekali tawa meletus daripada mulut kecil mereka. Mereka
berjalan menuju ke kondominium Qalisya.
“Mama
saya suruh awak datang jemput saya?”
Nana
mengangguk perlahan sambil memandang ke hadapan. Qalisya tersenyum senang.
Pasti mama suka kat Nana, bisik Qalisya sendiri.
“Awak
nak tak datang kat rumah saya?” soal Nana tiba-tiba sebaik mereka tiba di
hadapan kondominium 21 tingkat itu. Qalisya menunjukkan riak hairan.
“Hari
tu awak cakap awak takde rumah?”
Nana
tersenyum sumbing. “Saya ada rumah, tapi rumah saya sejuk sangat. Saya takut
awak tak suka.”
“Eh,
saya suka rumah awak. Bolehlah saya main dengan anak patung awakkan?”
Nana
menganggukkan kepala sambil memimpin Qalisya menuju ke kolam renang di
kondominium itu. Qalisya mengikut jejak Nana perlahan-lahan. Riak wajahnya
sarat dengan rasa hairan. Nana tinggal kat sinike, hatinya bergumam sambil
matanya memerhati ke sekitar kawasan kolam renang itu. Senja semakin berlabuh.
Langit sudah mula dilitupi awan berwarna jingga.
Nana
memberhentikan langkahnya menghadap kolam renang itu. Pandangannya dihalakan ke
dasar kolam renang tersebut. Qalisya melihat hairan.
“Mana
rumah awak?”
“Tu…”
Nana menghalakan jari telunjuknya ke dasar kolam tersebut. Qalisya tidak
mengerti.
“Awak
janji nak ikut saya balik rumah sayakan?” soal Nana kepada Qalisya. Qalisya
memandang Nana. Dia mengangguk perlahan-lahan. Nana tersenyum. Perlahan-lahan
dia menghulurkan tangannya ke arah Qalisya. Qalisya menyambut huluran tangan
tersebut.
BUMMM!!!
Seketika,
percikan air kelihatan melimpah ke pinggir kolam renang itu. Basah.
Rossa
berlari menuju ke lif seperti orang kurang waras. Hatinya kuat mengatakan
Qalisya ada di situ. Di kolam renang itu. Aidid dan Kak Liza berlari mengejar
Rossa daripada belakang. Lif dirasakan bergerak terlalu perlahan. Rossa
mengetuk-ngetuk dinding lif tersebut dengan kuat. Geram! Aidid memeluk Rossa
untuk menenangkannya. Rossa menangis tersedu-sedu di dalam pelukan Aidid. Dia
tidak mahu membayangkan apa-apa yang buruk. Qalisya satu-satunya anak mereka.
Mereka
berlari menuju ke kolam renang sebelum telinga mereka menangkap bunyi sesuatu
jatuh berdebur ke dalam kolam renang itu. Aidid pantas mempercepatkan
langkahnya. Pengawal keselamatan turut berlari ke situ sebaik sahaja diterpa
oleh Kak Liza yang memohon bantuan segera.
“Qalisya!!!”
jerit Aidid sebaik melihat beg sekolah Qalisya terdampar di situ. Rossa
menjerit nyaring. Qalisya sudah mendap ke dasar kolam renang dewasa itu. Kak
Liza menahan Rossa yang menjerit seperti orang hilang akal apabila melihat
Qalisya tertiarap di dasar kolam renang itu. Aidid pantas terjun ke dalam kolam
renang untuk mendapatkan Qalisya. Pengawal keselamatan mula mengeluarkan
walkie-talkie bagi mendapatkan bantuan daripada pengawal keselamatan yang lain.
Keadaan menjadi hingar bingar.
Aidid
mendapatkan Qalisya yang terdampar di lantai kolam renang. Matanya bulat
memandang raut wajah seorang gadis kecil yang pucat lesi di dalam kolam renang
itu. Pantas diraih Qalisya ke dalam pelukannya dan segera di bawa ke atas untuk
mengelakkan Qalisya daripada terus lemas.
Aidid
menarik nafas panjang sebaik wajahnya mencecah ke permukaan air. Dia mengangkat
tubuh Qalisya dan disambut oleh pengawal keselamatan yang menunggu di tepi
kolam renang. Bantuan pernafasan segera diberikan kepada Qalisya oleh pasukan
paramedik yang tiba di kondominium itu. Qalisya bernasib baik kerana berjaya
diselamatkan pada waktu yang tepat. Rossa menangis nyaring sambil memeluk
Qalisya. Aidid turut memeluk Qalisya sambil memohon maaf kepada Rossa kerana
tidak mempercayai kata-katanya sebelum itu. Aidid bertekad untuk membawa
keluarganya keluar dari kondominium itu. Kondominium itu tidak sesuai untuk
Qalisya dan Rossa.
Setahun kemudian…
Adriana bernyanyi riang sambil menari di hadapan meja
solek di kamar itu. Langkahnya berhenti sebaik melihat sepasang kaki kecil
menjulur keluar daripada bawah katilnya. Dia menundukkan badannya dan mencapai
anak patung itu. Anak patung berambut tocang itu menarik perhatiannya. Adriana
tersenyum riang.
“Itu
anak patung saya.”
Adriana
berpusing ke belakang sebaik disapa oleh suara itu. Seraut wajah pucat lesi
menyambut pandangan Adriana…