“Kau
dengan aku macam tembikai dengan madu,” ujar Dian sambil menunjukkan sehiris
tembikai yang ditaburi dengan serbuk asam boi kepada Syabil.
Syabil
mengerutkan keningnya sambil memandang tepat ke wajah Dian. Tembikai yang sudah
dihiris kecil-kecil itu ditilik. Madu yang dicurahkan ke atas lempeng di dalam
pinggan di hadapannya diperhatikan.
“Maksud
kau?” soal Syabil.
Dian
membetulkan tudungnya yang rosak ditiup angin pantai. Dia berdehem perlahan
sebelum menyambung kata-kata. Muka Syabil ditilik dalam-dalam.
“Kau
memang failed sastera eh? Berapa kau dapat masa SPM?”
“Heh,
cikgu aku tak ajar perumpamaan pasal madu tembikai bagai ni. Cikgu kau ajar
kot,” tungkas Syabil. Lempeng di dalam pinggan dipotong kecil-kecil sebelum
dicicah dengan madu.
Dian
menggelengkan kepala.
“Aku
kan sebenarnya tak sukalah orang asyik nak satukan kita berdua. Tembikai dengan
madu mana boleh campur. Boleh mabuk tahu?” seloroh Dian.
Syabil
merenung wajah Dian yang tunduk memandang tembikai di dalam plastik. Entah
kenapa kata-kata Dian seperti menghiris hatinya.
“Maksud
kau kita tak sesuai?” tebak Syabil. Hatinya berdebar menunggu jawapan Dian.
“Yesss!
Akhirnya kau faham jugak! Kau imagine, kita sama kelas, sama group, sama hobi.
Mana aku ada kau ada, mana aku pergi kau pergi. Eh, bosan tau kalau kena hadap
muka sama dua puluh empat jam!” jawab Dian sambil bertepuk tangan. Tawa besar
meletus dari bibir mungilnya. Dia tidak faham kenapa kebanyakan orang suka
menyatukan dirinya dengan Syabil.
Syabil
terdiam seraya melepaskan pandangan ke laut yang luas terbentang di hadapannya.
Lempeng di hadapannya ditolak ke tepi.
Dian
masih lagi ketawa.
“Kau
mesti setuju dengan aku kan? Tak sesuai!” sambung Dian dengan tawa yang masih
bersisa.
Syabil
hanya mendiamkan diri. Sesudu madu dikaut dan dipandang sepi.
“Eh,
jom balik. Dah lewat ni. Aku nak siapkan assignment lagi ni,” ajak Dian yang
telahpun bingkas bangun daripada kerusi batu.
Syabil
memerhatikan langkah Dian yang bersahaja. Madu yang dikaut dibuang ke atas
pasir pantai. Melekit-lekit dan akhirnya ditutupi pasir…
*****
“Dian,
bos suruh kita standby meeting dekat Avenue Corporation. Dia lambat sikit. Jom
gerak dulu.”
Azian
mencapai beg tangan dan mengepit beberapa keping fail di lengannya. Dian
menoleh ke arah Azian . Helaian kertas putih di tangannya dimasukkan kembali ke
dalam fail di atas meja.
“Oh
okey. Kau drive eh?” Dian menjeling ke arah Azian yang sudah menunggu di muka
pintu.
Azian
menganggukkan kepalanya. Kunci kereta di tangannya digoyang-goyangkan.
“Dah
ready mem!”
Dian
ketawa riang sambil berjalan menghampiri Azian. Kedua-duanya meninggalkan
bangunan tersebut beberapa minit kemudian.
“Siapa
yang akan lead meeting ni, Yan? “ soal Dian ketika mereka berdua terperangkap
di dalam kesesakan jalanraya. Matahari sudah terpacak di atas kepala.
Azian
mengetuk stereng kereta dengan jari. Matanya dikecilkan.
“Tak
silap aku, someone nama Syabil. Something like that.”
Dian
tergamam. Matanya bulat memandang ke hadapan. Azian menjeling ke arah Dian yang
membisu tiba-tiba. Kening Azian berkerut rapat.
“Mungkin
Syabil lain…” bisik Dian. Tangannya digenggam erat. Hatinya terasa berdebar.
“Kau
kenapa?” sergah Azian.
Dian
tercengang memandang Azian. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Tak
ada apa-apalah.”
Azian
menghadap semula jalanraya di hadapannya. Sesekali bibirnya mendecit. Kenderaan
bergerak perlahan di seluruh arah.
“Pukul
berapa nak sampai ni…” bebel Azian. Jam di pergelangan tangannya dijeling.
Dian
hanya mendiamkan diri. Fikirannya sudah jauh melayang. Syabil…
*****
Ruang
legar lapangan terbang itu sesak dengan pengunjung yang sedang menunggu masa
penerbangan masing-masing. Syabil duduk berteleku di sebuah bangku sambil
menatap skrin telefon bimbitnya. Nombor telefon yang terpampang di atas skrin
telefonnya dipandang sepi. Dibiarkan deringan itu mati sendiri.
Syabil
mengeluh panjang. Telefon yang berdering sekali lagi menyentak ketenangan
Syabil. Kali ini dia tidak sampai hati mahu membiarkan panggilan itu putus
tanpa jawapan. Butang hijau ditekan. Corong telefon ditekapkan ke telinga.
“Syabil!
Sampai hati kau nak pergi oversea tak bagitahu aku!” sergah Dian sebaik
panggilan dijawab.
Syabil
diam tidak berkutik. Pandangannya berbalam-balam. Hati lelakinya seperti mahu
menangis.
“Syabil!
Kau dengar tak ni? Hello?” Dian masih bersuara di hujung telefon.
Syabil
menelan air liur. Bibirnya terketar-ketar. “Aku dengar… Sorry sebab tak
bagitahu kau. Aku takut ganggu kau.”
“Apa
yang kau merepek ni? Ganggu apa? Since when wujud perkataan ganggu antara kau
dengan aku?” soal Dian bertubi-tubi. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang
dia dengar. Syabil sudah meletakkan jarak yang jauh di antara mereka berdua.
“Look,
aku tak tahu apa masalah kau. Aku call kau tak jawab. Whatsapp tak reply. Sms
jauhlah sekali. Ni tiba-tiba kau nak pergi oversea. Aku ada buat salahke?”
tebak Dian bertubi-tubi.
Syabil
memegang kepalanya sendiri. Jawapan untuk soalan Dian ada, tetapi di sudut
hati. Soalan Dian dibiarkan tergantung.
“Aku
dah nak fly. Kau jaga diri kau elok-elok. Aku dah tak ada dekat dengan kau.
Jangan cuai. Makan jangan comot. Lagi satu, bunga ros biru susah nak cari.
Jangan paksa Malikie cari,” ucap Syabil dengan nada yang bergetar. Ada tangisan
yang cuba dilindung. Serentak dengan itu, talian diputuskan.
Dian
memandang skrin telefon yang sudah gelap. Tangisan yang berhamburan keluar
selebat hujan yang mencurah di luar…
*****
Bilik
mesyuarat yang berukuran memanjang itu sudah dipenuhi dengan wakil-wakil
syarikat yang sudah bersedia dengan pembentangan plan projek masing-masing.
Dian mendapatkan tempat duduk yang bertentangan dengan pintu masuk bersama-sama
dengan Azian. Majikannya juga sudah berada di dalam bilik yang sama.
Suasana
agak bising dengan suara setiap ahli mesyuarat yang terlibat. Semua kelihatan
fokus dengan pembentangan masing-masing untuk memastikan syarikat mereka
terpilih di dalam projek terbaru.
Pintu
yang dibuka menarik perhatian semua. Suasana terus sunyi. Hanya bunyi derapan
kasut kedengaran memasuki ruangan bilik mesyuarat itu. Dian masih tunduk
menatap nota di hadapannya.
“Assalamualaikum
dan selamat tengahari. Maaf terlambat sedikit. Saya Syabil, wakil untuk Avenue
Corporation,” suara itu memperkenalkan diri.
Dian
terkesima. Suara itu pernah didengar sebelum ini. Suara yang selalu dicari
setiap kali dirinya ingin meluahkan rasa. Orang yang sentiasa dicari setiap
kali ingin berkongsi rasa gembira. Dian segera berpaling ke arah suara itu.
Matanya terbuntang luas.
Syabil
menghampiri Dato’ Jalal yang sedang berbual dengan pengarah Avenue Corporation
sebaik selesai mesyuarat.
“Tahniah
Dato’. Pembentangan syarikat Dato’ sangat menarik. Tunggulah keputusan yang
akan dikeluarkan oleh pihak kami dalam seminggu lagi,” ujar Syabil sambil
melemparkan senyuman manis.
Dato’
Jalal tersenyum mendengar pujian Syabil. “Itu semua usaha Dian dan Azian.
Mereka memang letak 200% untuk projek ini.”
Syabil
terdiam saat mendengar nama Dian disebut. Wajah Dian yang terkejut memandangnya
terbayang di minda Syabil. Kelibat Dian diintai dicelah orang ramai.
“Dian,
kenapa kau nampak macam nervous ni?” bisik Azian sambil menghulurkan segelas
jus oren kepada Dian.
Dian
menyambut gelas tersebut dengan pandangan kosong. Senyuman yang diukirkan
kepada setiap hadirin terasa palsu. Hatinya sebak. Sedaya upaya ditahan supaya
air matanya tidak tumpah di khalayak ramai.
“Aku
nak balik. Tiba-tiba rasa tak sihat,” jawab Dian seraya melangkah pergi. Gelas
berisi jus oren dibiarkan di atas meja. Ais yang memenuhi gelas tersebut mula
mencair dan menitik membasahi permukaan meja.
Syabil
memerhatikan langkah Dian dari jauh. Dia terasa ingin menegur gadis itu tetapi
ada sesuatu yang menghalangnya.
“Sayang,
dah habis meetingkan? I laparlah. Jom teman I makan,” satu suara menjengah di
tengah keriuhan orang ramai.
Syabil
memandang ke kanan. Wajah Jasmin yang sedang tersenyum melirik dipandang.
Lengannya dicapai Jasmin dengan gaya yang sengaja dimanjakan. Syabil tidak
selesa dengan situasi itu. Tangan Jasmin ditepis.
“Kenapa
dengan you ni!” marah Jasmin. Syabil tidak pernah menolak dia sebelum itu.
Wajah Syabil kemerah-merahan menahan malu. Walaupun Jasmin anak kepada pengarah
besar Avenue Corporation, dia tidak berasa selesa dengan keadaan itu.
Syabil
membisu di tengah keriuhan orang ramai. Hatinya seperti sebu. Wajah Dian
bermain di fikirannya.
*****
Malikie
menunggu Dian di sebuah restoran makanan barat sambil membaca berita online di
dalam telefon bimbitnya. Sesekali dia menjeling pada jam di pergelangan
tangannya. Dian lewat daripada waktu yang sepatutnya.
Dian
berjalan tergopoh-gopoh menuju ke restoran Tony Roma’s. Mukanya agak gelabah
memandangkan dia sudah lewat setengah jam daripada waktu yang sepatutnya.
“Malikie
mesti bising,” bisik Dian di dalam hati. Nafas ditarik dalam-dalam. Kekuatan
cuba dicari untuk menghadap Malikie.
Kelibat
Malikie sudah dapat diintai dari jauh. Kaki Dian semakin laju melangkah
menghampiri Malikie yang sudah berubah kelat air mukanya.
“Sorry
lambat,” sapa Dian sebaik mendekati Malikie.
Malikie
mendongak memandang Dian sebaik disapa oleh tunangnya. Air mukanya kelihatan
agak keruh. Telefon bimbitnya diletakkan ke atas meja.
Dian
menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di hadapan Malikie. Bibirnya dikemam.
Dia menyedari kelewatan yang disebabkan oleh dirinya.
“Kenapa
lambat sangat? Dah setengah jam I tunggu,” Malikie sudah mula menunjukkan api
kemarahan kepada Dian.
Dian
mengutis menu yang ada di hadapannya. “Sorry, tadi jem. Hujan lebat kat luar.”
Malikie
mendengus marah. Menu di hadapannya dibuka kasar. Pelayan dipanggil sebaik menu
dipilih. Tiada soalan diajukan kepada Dian. Apa yang dipilih, itu yang harus
diterima oleh Dian.
Dian
menjeruk rasa. Sikap Malikie jauh berbeza dari sikap Syabil. Tidak dapat tidak
dia teringatkan lelaki itu.
“Aku
nak makan sushi!” ujar Dian kepada Syabil sebaik selesai menonton wayang.
Syabil
menarik rambut sendiri. Sudahlah dipaksa menonton wayang The Despicable
Me-Minion. Kali ini dia terpaksa mengikut kehendak Dian yang mahu menjamah
sushi.
“Ala…
aku tak rasa nak jadi orang Jepun hari ni. Jomlah jadi orang Melayu tulen. Nasi
melambai-lambai ni,” pujuk Syabil. Perutnya benar-benar berkeroncong.
Dian
menarik muka masam. Dia berjalan laju menjauhi Syabil. Langkahnya menonong
tidak ada arah.
“Wey
minion! Babababa! Oklah! Watashi mau makan sushi hait!” pujuk Syabil dari
belakang.
Dian
tersengih nakal. Taktiknya menjadi!
“Yes!
Jom! Sushi King ada bonanza!” ujar Dian seraya berlari anak menuju ke restoran
Sushi King di hadapan mereka. Syabil turut berlari menuruti langkah Dian.
“Kejam
betullah kau ni. Aku nak makan nasi…” bebel Syabil kepada Dian yang asyik
melihat pinggan-pinggan sushi yang berlegar-legar di hadapan mereka. Sepinggan
sushi dicapai dan diletakkan di atas meja.
Sekali
lagi Dian berteleku di hadapan papan yang berpusing membawa piring-piring
berisi sushi. Syabil melihat ke atas meja yang sudah hampir dipenuhi dengan
sushi.
“Hoi,
ni sapa nak makan! Bagi habis yang ni dululah!” marah Syabil. Pelbagai jenis
sushi berada di hadapan mereka.
Dian
tersengih sambil menatang satu piring sushi di hadapan Syabil. “Ni feveret kau
kan?”
Syabil
memandang ke dalam pinggan. “Memanglah feveret aku. Tapi aku nak nasi…”
Dian
mencebik. “Ni nasi la ni! Ke kau nampak macam pizza?”
“Cakap
dengan kau memang tak menang. Lawyer tak jadi. Ni sapa nak makan banyak-banyak
ni. Kau bawak saka ke?” perli Syabil kepada Dian yang sudah mengunyah seketul
sushi.
“Oi
banyak kau punya saka! Makanlah!” marah Dian dengan mulut yang sudah dipenuhi
sushi. Beberapa biji nasi tersembur ke muka Syabil.
“Teruk
betulla pompuan ni! Separuh sushi masuk perut kau. Separuh lagi selamat
mendarat atas muka aku!” bebel Syabil sambil mengesat sisa nasi yang terlekat
di mukanya.
Dian
ketawa besar. Nafasnya tercungap-cungap. Segelas air teh hijau sejuk dicapai
dan dihirup. Nafasnya kembali lancar. Syabil turut ketawa dengan gelagat Dian.
Tak
senonoh tetapi menghiburkan, fikir Syabil.
Malikie
memerhati Dian yang jauh dihanyut lamunan. Sesekali senyuman terukir di wajah
manis itu. Malikie berkerut hairan.
“Kenapa
senyum-senyum ni?” soal Malikie.
Dian
tergamam. Kenangan bersama Syabil terbang begitu sahaja. Hati Dian menjadi
walang.Dirinya seperti palsu di hadapan Malikie. Tidak seperti bila dia bersama
dengan Syabil. Dian mengeluh. Hatinya rindukan lelaki itu…
*****
Seminggu
sudah berlalu. Berita mengenai syarikat yang dipilih untuk menerima tender
projek masih tidak kunjung tiba. Dian pasrah sekiranya itu bukan rezeki
mereka.
Tetapi
dengan tiba-tiba Azian berlari masuk ke dalam bilik Dian dengan air muka yang
sangat gembira.Bunyi hentaman tumit kasutnya di atas lantai begitu
membingitkan. Mujur juga lantai itu dilapik dengan permaidani nipis.
“Dian!”
Jeritan
Azian megejutkan Dian yang asyik menaip. “Kenapa?”
Dian
menatap wajah Azian dengan persoalan. Azian menarik nafas panjang sambil
mencapai kerusi di hadapan meja Dian.
“Tender!
Kita berjaya dapat tender projek tu!” ujar Azian yang sudah duduk di atas
kerusi tersebut.
“Serius?”
soal Dian kembali. Wajah itu mula kelihatan gembira. Tetapi kembali suram
selepas itu.
Azian
memerhatikan perubahan wajah Dian dengan rasa hairan.
“Kau
nampak macam tak happy. Kenapa?” soal Azian kembali.
Dian
menggelengkan kepala. “Eh, mana ada aku tak happy. Mestilah aku happy. Ni kan
projek besar.”
Hati
Dian mula menangis. Dia harus belajar menerima hakikat yang Syabil akan kembali
di dalam hidupnya. Kepala Dian menjadi sakit. Perasaannya sukar ditafsirkan. Dia
gembira melihat Syabil, tetapi pandangan dingin lelaki itu kepadanya pada hari
mesyuarat menjadikan dirinya terasa sudah dibuang jauh dari hati lelaki itu.
“Oh,
tengahari ni kita ada lunch dengan En. Syabil. Untuk perbincangan mengenai
tender tu. Pukul 12.00 kita keluar,” sambung Azian seraya menapak keluar
daripada ruangan bilik itu.
Dian
memandang dengan suara yang tersekat di kerongkong.
“Kau
nampak tak En. Syabil?” soal Azian sebaik mereka sampai di hadapan restoran
Sushi King. Syabil telah menetapkan pertemuan mereka di situ.
Dian
terlongo di hadapan premis restoran itu dengan rasa sebal yang mula bertakung
di dada. Syabil masih ingat makanan kegemaran aku… bisik Dian.
“Ha,
tu dia. Jom!” ujar Azian sambil menarik tangan Dian. Syabil sudah sedia
menunggu di dalam premis tersebut. Beberapa pinggan sushi sudah kelihatan di
atas meja.
Dian
tercengang saat terpandang sepinggan sushi yang dipilih oleh Syabil. Hatinya
menangis sendiri. Kenangan bersama Syabil melintas di fikiran Dian. Setiap yang
pernah menjadi kegemaran Dian masih diingati Syabil.
“Ini
kerabu sotong!” ujar Syabil dengan yakin.
“Sedih
betullah kau ni!” Dian mencebik. Sepinggan Goma Tare Ika ditolak ke hadapan Syabil.
“Ini
namanya tsumami goma tare ika!” sambung Dian.
Syabil
memegang kedua belah pipinya dengan mata yang sengaja dibulatkan. “Tsunami?”
Dian
memegang kayu chopstick dengan wajah kegeraman. “Kau ni karang aku cicah dalam
kicap masin ni kang!”
Ketawa
meletus daripada bibir Syabil.
“Dian,
duduklah. Kenapa berdiri je,” bisik Azian kepada Dian yang masih berdiri kaku
di hadapan mereka. Kenangan itu pecah berderai.
Syabil
hanya memerhatikan tingkah laku Dian yang tidak ceria seperti dahulu.Tanggapan
Syabil bahawa Dian akan gembira sebaik menjalinkan hubungan dengan Malikie
seakan-akan tersasar.
“Ha?
Oh maaf,” sahut Dian dengan suara yang tidak bersemangat. Lamunannya terganggu.
Pandangannya ditundukkan apabila matanya berlaga dengan Syabil. Dia terasa
seperti orang asing di hadapan lelaki yang pernah berkongsi segala-galanya
suatu masa dahulu.
Perbincangan
mengenai projek yang akan dijalankan oleh syarikat mereka dijalankan secara
serius. Dian menumpukan sepenuh perhatian terhadap perbincangan itu. Syabil
juga seperti tidak mempedulikan tentang hal masa lalu mereka. Hati Dian semakin
terasa jauh.
“Saya
nak pergi ke ladies kejap. En. Syabil berbuallah dulu dengan Dian ya,” ujar
Azian. Dian memandang langkah Azian dengan hati terbuku. Dia tidak selesa
ditinggalkan berdua dengan Syabil begitu. Ada rasa janggal di antara mereka.
“Kau
sihat?” soal Syabil sesudah agak lama dibaluti kebisuan.
Dian
tergamam. Kepalanya dianggukkan perlahan. “Kau?”
Syabil
tersenyum. Cincin yang tersarung di jari manis Dian diperhatikan. Hatinya
berbunga rasa cemburu terhadap lelaki yang berjaya mengikat Dian. “Aku sihat.”
Kedua-duanya
berbalas senyuman. Suasana sunyi kembali.
“Kau
dah bertunang?” soal Syabil lagi.
Dian
sekali lagi tergamam. Kilauan batu permata yang bertaburan pada sebentuk cincin
yang tersarung di jari manisnya diperhatikan. “Ya.”
Syabil
tunduk memandang meja. “Tahniah. Dengan Malikie?”
Dian
menganggukkan kepala. Senyuman tawar dilemparkan kepada Syabil. Hati Dian
menangis sayu…
*****
Syabil
berdiri di hadapan pintu gelongsor. Langit malam kelihatan bercahaya ditaburi
bintang-bintang. Sinaran bintang itu mengingatkan dia pada sebentuk cincin yang
tersarung di jari manis Dian.
Dian
yang dia kenal dahulu sukakan sesuatu yang tidak menonjol. Tetapi, mungkin
minat Dian sudah berubah seiring masa.
“Aku
suka cincin yang tak nampak sarat sangat,” ujar Dian sambil menilik pamplet
yang diambil daripada Habib Jewels.
Syabil
turut menjenguk sama ke dada pamplet tersebut. “Cincin yang tak sarat tu macam
mana?” soal Syabil.
“Haish.
Yang macam ni ha. Batu permata dia ada satu je,” jawab Dian seraya menunjuk
gambar sebentuk cincin bertatah sebiji batu permata.
Syabil
menganggukkan kepalanya. Pamplet itu disimpan kemas di celah buku rujukannya.
Bunyi
deringan telefon mencantas lamunan Syabil. Telefon itu dicampak ketepi.
Panggilan daripada Jasmin dibiarkan tidak berjawab. Dia rimas dengan gadis
tersebut yang sering menganggap dirinya sebagai teman lelakinya.
Syabil
berjalan memasuki bilik tidurnya. Sekeping pamplet yang tersisip kemas di celah
buku dicapai. Gambar sebentuk cincin bertatah sebiji batu permata itu
diperhatikan sekali lagi.
“Mungkin
Dian sudah bertukar selera…” Syabil berbisik sendiri. Lampu bilik itu
dipadamkan. Syabil cuba melelapkan matanya walaupun jiwanya terseksa.
*****
Dian
termenung di hadapan pintu kaca. Cincin yang sarat dengan kilauan batu permata
dibelek perlahan. Ini bukan pilihannya. Tetapi pilihan Malikie beberapa minggu
sebelum majlis pertunangan mereka.
“I
suka yang ni,” ujar Dian ketika sedang memilih cincin pertunangan di antara
dirinya dan Malikie.
Malikie
menjeling seraya menggelengkan kepala. “No, I tak setuju. Ringkas sangat. Yang
ni cantik.”
Cincin
yang sarat dengan batu permata itu ditunjuk kepada Dian sebaik dikeluarkan
daripada dulang cincin. Dian memandang tanpa sebarang riak.
Dia
tidak boleh membantah kata-kata Malikie. Putih katanya, putihlah yang harus
dipilih oleh Dian. Dan kini, cincin tersebut sudah disarungkan ke jari
manisnya.
“Dian,”
sapa satu suara.
Dian
berpaling ke belakang. Wajah ibunya menangkap penglihatannya. Dian tersenyum
tawar.
“Termenung
apa tu?” soal Zaharah lembut. Bahu Dian disentuh mesra.
Dian
tersenyum sambil berkalih ke hadapan semula. Pandangannya kembali dihalakan
pada kolam ikan buatan yang dibina di sebelah banglo itu.
“Mommy,
Syabil balik…” ucap Dian sayu. Air mata yang ditahan menitik juga.
Zaharah
terdiam mendengar nama Syabil. Cincin yang tersarung di jari manis Dian
diperhatikan. Dia tahu Dian tidak bahagia.
Senyuman
Dian sudah mati bersama-sama pemergian Syabil yang mendadak. Tiada ribut tiada
angin.
Tangisan
Dian saat Syabil meninggalkan negara ini beberapa tahun yang lepas masih mampu
didengari.
“Mommy…
Syabil dah pergi!” teriak Dian pada satu malam.
Zaharah
terkebil-kebil mendengar teriakan Dian yang bersulam dengan tangisan. Air mata
membasahi pipi gadis itu.
“Pergi
mana?” soal Zaharah cemas. Dia kenal Syabil. Pemuda yang berkawan rapat dengan
Dian.
Dian
berlari merapati Zaharah. Mukanya disembamkan ke atas bahu ibunya.
“Mommy,
Syabil dah tinggalkan Dian! Dian dah hilang Syabil!” adu Dian. Tangisan sayu
masih kedengaran.
Zaharah
menggosok belakang Dian dengan lembut. “Malikie kan ada?”
Dian
terdiam. Tangisannya berhenti. Kepalanya kosong. Di saat itu dia sedar, Malikie
tidak akan mampu menandingi Syabil. Dan mulai hari itu, senyuman Dian mati.
*****
Projek
yang diterima oleh syarikat mereka berjalan dengan lancar. Tetapi ada
kejanggalan di antara Syabil dan Dian. Masing-masing seperti berlagak
profesional tetapi kelihatan kekok di mata Azian.
"Ada
apa sebenarnya di antara kau dengan Syabil?" soal Azian pada satu
petang.
Dian
terdiam dengan soalan Azian. Air kopi di dalam cawan dikacau perlahan dengan
sudu kecil. Sudah ditambah gula tetapi tetap pahit di tekak Dian.
"Dia
sahabat aku satu ketika dulu. Tetapi tidak sekarang. Dia menjauhkan diri
daripada aku. Aku sendiri tak tahu kenapa," Dian akhirnya berterus-terang.
Dia sudah cuba bertindak profesional tetapi gagal.
"Aku
nampak Syabil macam sukakan kau. Kau pun sama?" tebak Azian. Dia yakin
telahannya tidak salah. Bahasa tubuh Syabil dan Dian menguatkan tekaanya.
Dian
melepaskan sudu di tangannya. Tangannya menekup muka sendiri.
"Aku
keliru. Aku tak ada rasa cinta pada Malikie. Aku rindukan Syabil yang
dulu..."
Azian
terdiam selepas mendengar cerita Dian. Kejanggalan yang tercipta di antara Dian
dan Syabil akhirnya terjawab juga. Kepalsuan hubungan di antara Dian dan
Malikie juga turut terbongkar.
“Maksudnya,
kau tak cintakan Malikie?” soal Azian.
Dian
mengangguk lesu. Itu hakikat. Dia tidak boleh menjadi dirinya setiap kali
bersama dengan Malikie. Tidak seperti saat dia bersama dengan Syabil.
Azian
menepuk dahi. Wajah Dian ditilik.
“Kau
cintakan Syabil?” soal Azian lagi.
Dian
terdiam. Separuh hatinya mengiyakan dan separuh lagi menafikan. Dia tidak mampu
untuk memberikan jawapan yang tepat.
“Istikharah.
Masih tak terlambat lagi untuk kau minta petunjuk daripada Allah,” Azian
memberikan cadangan. Walaupun Dian cuba menafikan, tetapi dia tahu Dian
cintakan Syabil.
*****
Hanya
tinggal sebulan sahaja lagi sebelum tiba majlis yang ditunggu-tunggu di antara
Dian dan Malikie. Sekeping kad jemputan yang diserahkan oleh Dian kepada Syabil
dengan hati yang berat.
Syabil
merenung kad undangan di tangannya bersama keluhan yang memberat. Harapannya
seperti punah.
Surat
permohonan cuti diserahkan kepada majikannya. Dia perlukan ruang untuk dirinya
bersendiri. Dugaan demi dugaan yang dihadapinya seakan membebankan. Dirinya
seperti tidak berpeluang untuk bernafas.
"Mama,
Syabil nak pergi bercuti ke Cherating," ujar Syabil sebelum berangkat
pergi.
Asmira
memandang wajah Syabil yang kusut. Pasti ada masalah yang disembunyikan kali
ini.
"Syabil
okey?" soal Asmira.
Syabil
mengangguk lesu. "I need some peace."
Asmira
menghantar Syabil di hadapan pintu. Kereta yang dipandu Syabil hilang daripada
pandangan.
Dia
melangkah menuju ke dalam rumah sebelum terpandang sekeping kad berwarna emas
di atas meja kopi. Tangannya mencapai kad tersebut.
Asmira
berpaling ke arah pintu semula. Kini dia mengerti kenapa Syabil berubah sendu
sekali lagi. Kad undangan perkahwinan Dian dipegang kemas.
*****
Dian
merenung busana berwarna biru di hadapannya dengan penuh minat. Biru adalah
warna kesukaannya. Busana kain songket itu dipegang.
Kepalanya
ditoleh menghadap Malikie yang setia di sisinya.
"Boleh?"
soal Dian lembut.
Malikie
memandang ke arah busana pengantin yang dipegang oleh Dian. Kain songket peplum
berwarna biru itu ditolak ketepi.
“I
tak suka biru. Tak cantik,” ujar Malikie. Tangannya menarik sepasang busana
berwarna maroon dan ditayangkan di hadapan Dian.
“Yang
ni I suka. Cantik,” ujar Malikie. Lelaki itu jelas bersikap pentingkan diri
sendiri.
Dian
melepaskan busana songket di tangannya dan melangkah meninggalkan butik
pengantin itu. Hatinya semakin tetap. Malikie dirasakan tidak sesuai dengannya
sesudah dia melakukan solat sunat istikharah selama beberapa malam. Doa
istikharahnya sudah terjawab. Hatinya tenang walaupun itu kenyataan yang
menyakitkan.
Hari
ini Malikie telah membuktikan yang mereka sememangnya tidak serasi. Ibarat
tembikai dan madu. Kalau pun bersatu, hanya merosakkan satu sama lain. Hati
Dian sebal mengingatkan itu. Perumpamaan yang pernah digunakan untuk dirinya
dan Syabil. Sudahnya, kata-katanya itu menjerut lehernya sendiri.
“Dian!”
jerit Malikie sambil menyentak lengan Dian.
Dian
mengaduh kesakitan. Lengannya ditarik daripada genggaman Malikie. Ini bukan
kali pertama dia disakiti oleh Malikie.
“You
kenapa?” soal Malikie garang.
Dian
tunduk memandang jalan raya yang bertar. Cincin yang tersarung di jari manisnya
dibelek. Perlahan-lahan cincin itu dibuang daripada terus menghiasi jari manis
itu. Malikie melihat dengan riak yang cemas.
“Kita
umpama tembikai dan madu. Kalau disatukan akan memudaratkan diri kita. I minta
maaf. Lepaskan I,” kata-kata itu akhirnya terluah jua.
“Dian…”
suara Malikie terputus di situ.
Air
jernih bertakung dan menitik di pipi Dian. “Kita terlalu banyak perbezaan. I
dah cuba untuk sesuaikan diri dengan keadaan ni. Tapi tak boleh. Mungkin you
akan jumpa orang lain yang sesuai dengan you. Maafkan I. I akan bayar ganti rugi
atas segala persiapan yang you dah siapkan.”
Malikie
cuba menahan Dian yang mula melangkah masuk ke dalam kereta. Tetapi langkah
Dian terlalu kuat untuk dihalang. Dian benar-benar sudah nekad.
*****
Dian
semakin tenang. Bibirnya sudah mampu menguntumkan senyuman. Hatinya seakan
lapang.
Walaupun
keputusan yang dibuatnya sukar diterima oleh keluarga Malikie, tetapi
keluarganya tetap berada di belakang Dian. Masalah di antara Dian dan Malikie
diselesaikan tanpa perlu membayar ganti rugi.
"Yan,
aku rasa tenang dengan setiap keputusan yang aku buat. Adakah itu jawapan
kepada istikharah aku?" soal Dian seminggu selepas tali pertunangan di
antara dia dan Malikie diputuskan.
“Jawapan
pada setiap istikharah tu, antaranya kalau kau rasa tenang bila kau dah buat
pilihan. Kau kena lapangkan dada sebelum buat istikharah. Semoga petunjuk yang
kau dapat tu adalah petunjuk yang Allah nak beri dan bukan pilihan yang kau
kehendakkan. Kau fahamkan?” soal Azian. Dian mengangguk perlahan.Kali ini dia
tahu apa yang perlu dia lakukan.
Hati
Dian semakin nekad. Wajah Syabil kerap terbayang di dalam kepala Dian.
Mengingatkan lelaki itu hati Dian terasa melonjak dengan rasa rindu. Tetapi
lelaki itu masih tidak tahu tentang berita pembatalan pernikahannya. Dian
nekad. Syabil harus ditemui!
*****
Dian
keluar daripada rumahnya sebaik selesai menjamah segelas jus epal sebagai
sarapan. Dia tidak sempat menjamah makanan lain kerana dia perlu mencari Syabil
secepat mungkin.
Keretanya
dipandu memasuki sebuah kawasan perumahan dan berhenti di hadapan sebuah rumah
banglo yang dicat kelabu.
“Assalamualaikum…”
Dian menjenguk ke dalam perkarangan pagar yang luas sesudah memberikan salam.
Loceng juga telah ditekan berkali-kali. Tetapi suasana sunyi.
Dian
mengeluh. Dia berpaling ke belakang menuju ke keretanya.
“Waalaikumussalam…”
jawab satu suara.
Dian
berpaling semula dan senyuman manis terukir di wajahnya. Senyuman ikhlas yang
sudah lama pergi bersama-sama dengan Syabil.
“Duduklah
Dian. Syabil tak tinggal kat sini. Dia menyewa kat kondominium. Nak privacy
agaknya,” ujar Asmira sambil menuntun tangan Dian ke ruang tamu.
Dian
duduk di sebelah Asmira. Wajah Dian ditilik oleh Asmira. Masih manis sama
seperti dulu. Wajah yang menyebabkan Syabil membawa diri. Jauh ke negara orang
dengan alasan mahu menyambung pelajaran di peringkat master.
"Dian
nak kahwin?" soal Asmira sebaik teringatkan kad undangan perkahwinan yang
ditinggalkan oleh Syabil.
Pantas
Dian menggelengkan kepala. "Tak, makcik. Dian batalkan. Dian tak cintakan
Malikie."
Asmira
membetulkan duduknya. Wajah Syabil menjelma di benaknya.
Adakah
ini peluang Syabil? fikir Asmira sendiri.
“Makcik…
Syabil tinggal di mana?” soal Dian.
Asmira
memandang Dian dengan senyuman. “Dia bercuti sekarang. Kalau makcik bagitahu
kat mana rumah dia pun tak gunakan? Pergilah ke Cherating. Dia ada kat
sana.”
Dian
tersenyum gembira. "Pergilah cari dia. Kalau dah suka, tak payah nak seksa
diri masing-masing," nasihat Asmira dengan maksud yang dalam.
Dian
mengangguk seraya memeluk Asmira erat. Hatinya sungguh tenang.
*****
Pantai
Cherating yang mempersonakan itu mengusir jauh keserabutan yang dialami oleh
Syabil. Segala rasa sedih dihamburkan di situ. Hatinya seperti lega. Tetapi
seketika sahaja.
“Seorang
je?” sapa satu suara.
Syabil
tergamam. Suara itu seperti pernah didengar. Mirip suara Dian! Syabil segera
berpaling. Mustahil, sepatutnya Dian sedang bersiap untuk majlis pernikahannya
dengan Malikie!
Wajah
Dian yang tersenyum manis ditatapnya. Syabil turut tersenyum gembira. Jari
manis Dian yang tidak bersarung dengan cincin diperhatikan.
"Kau?"
soal Syabil. "Aku tak jadi kahwin. Aku batalkan," jawab Dian sambil
mengambil tempat di hadapan Syabil yang seakan tidak percaya dengan apa yang
didengarnya.
“Macam
mana kau tahu aku kat sini?” soal Syabil. Wajahnya mula ceria.
Dian
tersenyum gembira. Kegembiraan yang sudah lama hilang akhirnya kembali. “Makcik
yang bagitahu.”
“Oh…”
jawab Syabil.
Dian
melihat jari manisnya yang kosong. “Tembikai tak boleh makan dengan madu. Nanti
mabuk. Jadi, aku dah buang. Sekarang aku bukan milik siapa-siapa.”
Syabil
tersengih. “Tembikai dan madu. Macam kau dengan aku?”
Dian
menggelengkan kepalanya. “Bukan. Kita bukan tembikai dan madu.”
Syabil
tersenyum. Kali ini dia mengerti maksud Dian.
“Kau
sudi terima aku?” soal Dian malu-malu. Tapi kali ini dia nekad.
Syabil
ketawa besar. “Dah lama aku terima kau. Tapi yelah, aku tak sado macam Malikie.
Bukan ke tu antara sebab kau pilih dia?” sindir Syabil. Wajah teruja Dian saat
bercerita mengenai Maliki masih terbayang jelas di matanya.
Dian
tunduk menghadap pasir-pasir halus di kakinya. “Itu kesilapan aku. Dan aku
harap kau tak lari pergi mana-mana dah lepas ni.”
Syabil
terdiam mendengar sindiran Dian. Pasti ibunya yang telah membocorkan rahsia dia
kepada Dian.
“Kenapa
kau lepaskan aku pada Malikie?” soal Dian.
“Sebab
kegembiraan kau adalah kegembiraan aku. Walaupun aku cintakan kau, tapi aku tak
boleh paksa kau untuk terima aku,” Syabil tersenyum memandang Dian.
"Sebab
tu kau tak pernah jawab email aku?" tebak Dian. Syabil tersenyum
sumbing.
“Kau
percaya pada jodoh?” soal Dian lagi.
Syabil
mengangguk. “Jodoh itu ketetapan yang Allah dah aturkan. Dan hari ni, setiap
doa yang aku pohon dah dikabulkan. Alhamdulillah.”
“Jasmin?”
Dian masih menebak Syabil dengan berbagai soalan. Dian tahu Jasmin sukakan
Syabil.
Tawa
besar meletus dari bibir Syabil. “Aku tak ada apa-apa pun dengan dia. Kami
kawan biasa.”
Dian
tersenyum. Hatinya terasa lapang.
Tiba-tiba
Syabil berlari mendekati seorang budak perempuan yang menjual bunga di dalam
bakul yang disangkut di bahunya.
“Sorilah,
tak ada ros biru. Ada merah je,” ujar Syabil sebaik mendekati Dian.
Dian
terkedu memandang tiga kuntum bunga ros merah di tangan Syabil. Air mata mula
bertakung di birai mata.
“Dian,
sudi tak kau jadi isteri aku?” soal Syabil.
Air
mata terus meluncur laju menuruni tubir pipi Dian. “Ya… aku sudi.”
Bunga
tersebut beralih tangan. Syabil tersenyum manis.
“Tapi
lepas ni kita dah tak boleh cakap aku kau dah tau. Kau kena panggil aku abang!”
usik Syabil.
Dian
ketawa bersama-sama dengan Syabil. Air laut turut menghempas gigi pantai
seolah-olah berkongsi kegembiraan dengan mereka.
Walaupun
masih ada rasa kekok di antara mereka berdua, tetapi segalanya baru
bermula.
Dian
tersenyum manis. Hatinya kembali berbunga-bunga.
Syabil
memandang lautan yang luas dengan senyuman. Kesabaran yang dipegangnya akhirnya
terbalas. Tiada apa yang mampu diucapkan selain rasa syukur.
Si
tembikai dan madu itu akhirnya tewas dengan kata-kata sendiri.