Bunyi nyamuk mencari mangsa mengganggu kesunyian malam yang
semakin dingin membeku. Aziz menilik jam yang dipakai di pergelangan tangan
kirinya. Suara Ustaz Rahman memberikan ceramah berkenaan dengan azab kubur
menerjah ke gegendang telinganya. Sesekali dia menampar nyamuk yang singgah di
kulit lengannya yang terdedah. Rasa gatal menjengah selepas itu.
Keadaan
kawasan perkuburan itu sungguh menyeramkan. Kegelapan melatari persekitaran.
Hanya cahaya lampu suluh yang dipegang oleh setiap fasilitator yang memberikan
sedikit cahaya kepada mereka. Peserta-peserta
yang menyertai kursus pengurusan jenazah kali ini seperti sedang khusyuk
mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Rahman. Senyuman sinis
terpampang di ulas bibir Aziz sebaik terpandang susuk tubuh seorang peserta
perempuan yang duduk di barisan hadapan sekali.
Aziz
bingkas bangun daripada posisi mencangkung dan menghampiri salah seorang
fasilitator yang turut ditugaskan untuk menjaga keselamatan peserta-peserta
pada malam itu. Bahu fasilitator itu ditepuk kuat. Hamim tersentak daripada
kekhusyukannya mendengar tazkirah seraya berpaling ke arah Aziz yang
mendapatkan tempat di sebelahnya.
“Kau
nampak budak tu?” soal Aziz kepada Hamim.
Hamim
memandang ke arah peserta yang ditunding oleh Aziz. Kepalanya dianggukkan
perlahan. Peserta perempuan itu seperti sedang tekun mendengar tazkirah yang
disampaikan. Tetapi tidak pasti pula samada peserta itu benar-benar khusyuk
atau sedang mengawal rasa takut kerana berada di kawasan perkuburan di waktu
tengah malam sebegitu.
“Kenapa
dengan dia?” soal Hamim kepada Aziz semula.
Aziz
tersenyum sinis. Cahaya remang bulan penuh menyuluh tepat ke permukaan bumi.
Wajah Hamim dapat dilihat dengan jelas melalui simbahan cahaya bulan. Dia mula
bersila di sebelah Hamim.
“Aku
ada plan baik punya. Budak tu mangsa terbaik,” bisik Aziz. Suaranya
diperlahankan serendah mungkin. Risau sekiranya rancangannya tidak menjadi.
Fasilitator lelaki yang lain kelihatan sedang berlegar-legar di sekeliling
kawasan perkuburan itu.
Hamim
menoleh ke arah Aziz. Keningnya berkerut. “Kau nak buat apa dengan budak tu?
Dari siang tadi kau asyik kenakan dia. Ini kursus pengurusan jenazah bukan
minggu orientasi!” sanggah Hamim. Dia kurang bersetuju dengan rancangan Aziz.
Perasaan kasihan menjentik hatinya. Peserta perempuan tersebut kerap menjadi
mangsa usikan Aziz sepanjang tempoh dua hari mereka berkampung di rumah Ustaz
Rahman.
Aziz
mendecit marah. Dia bingkas bangun daripada duduknya. Tangannya mencapai kain
putih dibahunya dan dibelitkan di sekeliling kopiah putih yang dipakai. Lilitan
yang membentuk sebuah serban itu dikemaskan. Tubuhnya dibongkokkan ke arah
Hamim.
“Aku
nak kenakan budak tu. Kalau kau tak nak join, itu kau punya hal. Apa salahnya.
Bukan selalukan?”
Hamim
mengalihkan pandangannya kepada Aziz yang tersenyum sinis memandangnya. Satu
keluhan berat dilemparkan oleh Hamim. Aziz meninggalkan Hamim dan berdiri di
tepi kawasan semak. Keadaan yang agak berangin itu menggoncangkan lalang dan
semak samun yang tumbuh di kiri kanan lorong sempit yang berbatu.
Srrrrrrrrrrrr…
Bunyi
gemersik lalang dan semak yang ditiup angin menaikkan bulu roma yang mendengar. Kecuali Aziz yang
seperti tidak peduli dengan keadaan tersebut. Jubah yang dipakainya diangkat
hingga ke paras betis.
Ptuih!
Aziz
meludah ke tepi semak sebelum berjalan meninggalkan kumpulan peserta itu. Rasa
bongkak yang beraja di hatinya menjadikan dia berani untuk bergerak seorang
diri di dalam kawasan hutan yang gelap itu. Hatinya mula mengatur rancangan untuk
mengenakan peserta perempuan itu. Senyuman sinis mengiringi langkah Aziz dan
tubuh itu menghilang di sebalik lorong kecil yang gelap gelita.
Tanpa
Aziz sedari, sepasang mata bercahaya merah memandang tajam tepat ke arahnya.
Suara deraman kedengaran membingit.
“Aziz…”
***
Nur berjalan masuk ke dalam perkarangan sekolah. Kebanyakan
peserta-peserta Kursus Pengurusan Jenazah sudahpun memenuhi ruangan padang
sekolah itu. Dua buah bas sekolah juga telah kelihatan di tepi jalan berdekatan
pintu pagar masuk sekolah.
Kursus
Pengurusan Jenazah ini adalah merupakan acara tahunan yang wajib diadakan di
sekolahnya. Lazimnya, kursus ini akan dikendalikan oleh Ustaz Rahman
memandangkan kawasan rumahnya agak luas dan mampu menampung jumlah peserta yang
hadir. Ustaz Rahman turut menyediakan kemudahan dewan yang akan diubah menjadi
surau apabila masuk waktu solat dan tempat beristirehat sebaik program berakhir.
Gadis
itu berjalan mengharungi ruangan yang hiruk-pikuk dengan peserta-peserta bersama
beg pakaian bersaiz sederhana besar yang dibimbit di tangan kanannya. Beberapa
orang peserta melihat ke arah Nur seraya melemparkan senyuman. Nur masih
mencari kelibat kawan-kawannya yang turut serta di dalam kursus kali ini. Nur mempercepatkan
langkah menuju ke arah Nazira sebaik melihat kelibat rakannya yang sedang duduk
menunggu di dalam sebuah kelas kosong.
“Dah
lamake sampai?” soal Nur sambil meletakkan beg pakaian di atas sebuah meja
kayu.
Nazira
yang sedang duduk di atas sebuah meja melihat ke arah Nur sambil menggoyangkan
kakinya. “Baru je. Umi aku hantar tadi.”
Nur
mengangguk laju sambil membetulkan lipatan tudung. Wajah-wajah peserta lain diperhatikan. Kebanyakan mereka kelihatan
seperti sangat teruja. Mungkin ini merupakan kali pertama mereka mengikuti
kursus sebegini.
“Mas
tak sampai lagike?” soal Nur lagi. Kelibat Mas masih belum kelihatan. Hatinya
terasa agak lega. Kadang-kadang kelakuan Mas agak menjengkelkan. Suka bercakap
besar tidak kira waktu dan masa. Apatah lagi kalau berhadapan dengan pelajar-pelajar
lelaki. Kelakuannya akan berubah serta-merta. Nur menjuihkan bibir. Perasaan
mual menyerang hati.
Nazira
memandang wajah Nur sambil tergelak kecil. “Ha, jangan nak gaduh kat sini eh.
Kita tak naik bas pun lagi.”
Nur
hanya menjongketkan kening. Kata-kata berbaur amaran yang diberikan oleh Nazira
ibarat masuk telinga kanan dan keluar ke telinga kiri. Jarang sekali pertemuan
di antara mereka berdua berakhir dengan perdamaian. Selalunya, ada sahaja benda
yang akan menjadi punca salah faham di antara mereka.
“Tengoklah.
Aku malas nak janji apa-apa,” ujar Nur bersahaja. Gadis itu berdiri di hadapan pintu kelas
sambil menunggu kehadiran rakan-rakannya yang lain. Nur tersenyum panjang
sebaik melihat kelibat Rose dan Azwani yang menghampirinya sambil membimbit beg
pakaian masing-masing.
Senyumannya
terus mati sebaik melihat Mas yang turut sama menghampiri mereka. Wajah yang
tersipu-sipu tatkala melintasi sekumpulan fasilitator lelaki itu menjelikkan.
Nur terus melangkah masuk ke dalam kelas.
“Gedik!”
bebel Nur sendiri. Nazira hanya tersengih seraya menjenguk ke luar tingkap.
“Hai!
Dah lama sampai?” sapa Mas yang turut meletakkan beg pakaiannya di sebelah beg
pakaian Nur yang hanya memerhatikan tanpa suara. Malas mahu memulakan perbualan
yang pasti berkesudahan dengan sessi sindir-menyindir di antara satu sama lain.
Nur tidak mahu merosakkan angin sendiri.
Gadis
itu bergegas keluar sebaik mencapai beg pakaiannya. Langkahnya tersekat di
hadapan seorang fasilitator lelaki. Beg pakaian Nur sengaja dilanggar hingga
tercampak ke tepi. Fasilitator itu memang sengaja melanggar Nur!
“Lainkali
jalan tu pakai mata. Dah tak sabar nak kena dendake?” soal fasilitator itu dengan nada sinis. Hati
Nur dipenuhi dengan sumpah seranah tetapi wajahnya masih cuba dimaniskan.
“Aziz!
Suruh semua peserta buat barisan. Dah nak jalan dah ni!”
Suara yang
menjerit itu mengejutkan mereka. Hilang segala kata-kata berbaur makian yang
dilemparkan untuk fasilitator yang bernama Aziz itu. Nur tidak faham kenapa
Aziz suka mencari salahnya. Seolah-olah
gadis itu pernah buat kesalahan besar dengannya.
Kesemua
perserta termasuk Nur terus membuat satu barisan panjang sebelum mereka semua
dibenarkan untuk menaiki bas sekolah yang telah disediakan. Sebuah bas untuk
pelajar lelaki dan sebuah lagi untuk pelajar perempuan.
Nur
berlari mendekati Rose dan Azwani yang sudah pun memasuki barisan panjang itu.
Mereka berbisik sesama sendiri sambil menunggu giliran untuk menaiki bas. Aziz
mencuri-curi pandang ke arah Nur sambil memegang pembesar suara.
“Jangan
nak berbual! Tumpukan pada barisan!” suara Aziz mematikan suasana bingit yang
menghurung peserta. Nur terus terdiam. Mulutnya segera tertutup. Gadis itu
berpaling ke kiri jalan sebaik melihat Aziz tersengih memandangnya.
“Aku rasa
macam nak balik je,” ujar Nur kepada Nazira sebaik mendapatkan tempat duduk di
dalam bas itu.
Nazira
memandang dengan riak terkejut. “Kenapa? Kita baru nak jalan ni.”
Nur hanya
mendiamkan diri. Pandangannya dihalakan ke luar jendela bas. Fasilitator-fasilitator perempuan
mula memenuhi ruang bas itu. Sungguh, hati gadis itu sangat sebal. Sebal dengan
Aziz!
***
Ustaz Rahman sekeluarga menyambut kedatangan mereka dengan
senyum manis. Kesemua peserta diarahkan untuk membuat dua barisan di dalam
dewan berukuran panjang itu. Peserta-peserta lelaki memenuhi ruang hadapan
manakala peserta-peserta perempuan berkumpul di barisan belakang.
Mereka mula
dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan peserta perempuan akan
ditempatkan di sebuah rumah penduduk kampung yang bersetuju untuk memberikan
penempatan sementara sepanjang kursus itu berlangsung. Manakala peserta lelaki
akan tidur di dalam dewan itu.
Seperti
yang dijangka, Nur ditempatkan di dalam satu kumpulan bersama-sama dengan Mas.
Nasibnya agak baik kerana Rose turut dimasukkan ke dalam satu kumpulan bersama
dengannya. Sekurang-kurangnya, Rose akan mengurangkan rasa sebal dan jengkel
yang sudah bersarang di dada Nur sebelum sampai ke situ lagi. Mereka mula
bergerak menuju ke rumah yang menjadi
tempat mereka tumpang berteduh sepanjang program itu berjalan. Seorang
fasilitator perempuan turut berjalan bersama-sama dengan kumpulan itu.
Kehadiran
mereka disambut dengan mesra oleh Makcik Zainab. Hidangan petang turut
disediakan kepada mereka semua. Sebaik selesai menjamu selera, mereka dipelawa
untuk melepaskan lelah di sebuah bilik yang terletak di tengah ruang tamu rumah
itu. Peluang itu sememangnya ditunggu memandangkan kesemua mereka tidak
berkesempatan lagi untuk berehat sebaik sampai ke dewan rumah Ustaz Rahman
tengahari tadi.
“Rehatlah
dulu. Tapi korang kena berkumpul kat rumah ustaz tepat pukul 7.15 petang tau.
Akak kena balik kat dewan dulu sebab nak uruskan kerja sikit. Nur, akak
amanahkan Nur untuk jaga kumpulan ni ya,” arah Kak Aini kepada Nur yang terlongo
di hujung pintu bilik.
Gadis
itu menganggukkan kepala laju-laju walaupun hatinya terasa berat untuk menerima
amanah itu. Bukan senang untuk menjaga kumpulan yang ada ahli seperti Mas,
fikirnya. Tetapi rasa tidak puas hati itu hanya mampu dilemparkan di sudut
hati. Nur hanya mampu berdoa semoga tiada pertikaman lidah yang akan berlaku di
antara mereka berdua.
***
“Eh
korang, aku tak biasalah mandi air telaga macam ni,” Mas mula mengadu dengan
nada yang sengaja dimanjakan ketika mereka sama-sama memasuki ruangan bilik air
di rumah itu.
Nur
mencebik sambil meneliti segenap ceruk ruangan itu. Bilik air itu terletak di
bahagian tepi dapur. Suasana kampung memang sungguh dirasai di situ. Hanya
sebuah telaga yang disediakan tanpa kemudahan air paip. Bumbung
juga tidak ada! Nur mula risau. Bagaimana sekiranya dia perlu ke bilik air
malam nanti? Melihat pokok-pokok yang besar di sekeliling ruangan bilik air itu
sudah menimbulkan berbagai bayangan di dalam kepalanya. Perasaan tidak enak itu
diusir jauh-jauh. Dia perlu kuat hanya
untuk tempoh dua hari dua malam sahaja.
Nur
mencapai timba plastik yang telah diikat dengan tali panjang dan
mencampakkannya masuk ke dalam telaga. Air mula memenuhi timba tersebut dengan
pantas. Tangannya terus menarik timba yang sudah dipenuhi dengan
air ke atas permukaan telaga dan membasahkan kaki. Deburan air telaga yang
sejuk itu sungguh mendamaikan. Sumber alam yang semulajadi, bisik gadis itu
sendiri.
“Cakap
tu slowlah sikit. Kalau makcik dengar kecil hati dia,” tegur Rose keras. Nur menjeling ke arah Mas yang masih berdiri
kaku di tepi telaga tanpa ada rasa mahu menyampuk.
Mas
mencebik seraya mencapai kain tuala yang disangkut pada penyidai dawai. Nur
hanya menjeling tajam dan menyudahkan bilasan yang terakhir sebelum menukar
kain basahan yang dipakai kepada kain bersih.
“Nak
kata lahir atas dulang emas tak jugak. Tapi berlagak macam anak raja,” sindir
Nur sambil melangkah menuju ke arah bilik yang disediakan oleh Makcik Zainab setelah siap berpakaian lengkap.
“Kau sindir
aku ya?” tebak Mas dengan wajah merah padam.
Gadis
itu tersengih memandangnya. “Kau pernah dengar pepatah ni tak? Siapa makan cili
kaulah terasa pedas!”
Mas
menghentakkan kakinya ke atas lantai. Rose menjegilkan biji matanya kepada
mereka berdua. Jari telunjuknya diletakkan di hadapan bibirnya. Matanya
melingas ke kiri dan kanan seperti mengintai kelibat Makcik Zainab. Risau kalau
perbalahan yang mula meletus ini didengar oleh tuan rumah itu.
“Lagi
sehari aku kena hadap perangai diva kau tu. Harapnya aku tak termuntah,” sindir
Nur lagi. Dia tersenyum puas sebaik melihat memek muka Mas yang sudah mula
menyinga.
“Dahlah
tu Nur!” marah Rose sebaik Nur selesai berkata-kata.
Nur
mencapai kain tuala dan menyelubungkan kepalanya. Mereka perlu bersiap-siap
cepat untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah di dewan rumah Ustaz Rahman.
***
Mereka berjalan secara berkumpulan menuju ke rumah Ustaz
Rahman sebaik selesai bersiap. Perbualan kosong menemani perjalanan menuju ke
dewan itu. Sesekali mata Nur liar memerhatikan keadaan sekeliling yang mula
dibaluti remang senja. Kebun getah yang berada di kiri kanan jalan menimbulkan
aura yang tidak menyenangkan.
“Kau
orang tahu, mak aku cakap bila kita masuk dalam hutan kita kena hati-hati. Masa
nilah banyak hantu syaitan yang berkeliaran,” Mas mula membuka cerita yang pada
pendengaran mereka lebih kepada untuk menakut-nakutkan.
Nur
mula tidak senang dengan Mas. Hatinya semakin tidak sedap. Dia seperti dapat
merasakan yang langkah mereka sedang diperhatikan. Tetapi tidak tahu siapa.
“Macam
kau sorang je tau. Kau ingat kami tak tauke?” tebak Laili yang berjalan di
antara mereka. Bulu roma Laili seakan merinding. Berbicara mengenai hantu
syaitan di kala remang senja sememangnya bukan satu tindakan yang bijak. Tambahan
pula keadaan sekeliling sudah semakin gelap dan mula membataskan penglihatan
mereka.
Nur
tergelak kecil mendengar omelan Laili. Walaupun perasaannya mula membusut dengan
ketakutan, tetapi kata-kata Laili ibarat permainan bingo yang berjaya disudahkan
di kala itu. Mas menjeling ke arah Nur dengan memek muka tidak berpuas hati.
Dia terasa seperti dimalukan oleh Laili.
“Apa
yang kau gelak? Aku cakap benda betul!” marah Mas kepada gadis itu yang mula
terkekeh-kekeh ketawa. Perasaan seram yang menujah dada sebentar tadi seperti
tidak wujud. Hilang secara tiba-tiba.
“Ada
aku cakap kau tipu? Aku tak hairan pun kalau kau tahu serba-serbi pasal roh dan
syaitan ni. Mungkin masa kau lahir, kau disambut oleh hantu!” ujar Nur.
Langkahnya semakin ke hadapan meninggalkan peserta yang lain. Suara Mas
membebel dibiarkan tidak berjawab.
Tak
guna layan orang yang perasan bagus, omel Nur sendiri.
Hati
Nur kembali tidak enak. Walhal itu bukan kali pertama dia menyertai kursus
sebegitu. Rose berlari mendapatkan Nur lalu memegang tangannya dengan erat.
Matanya melingas ke arah kebun getah yang terletak di kiri kanan jalan. Tangan
itu seperti sejuk.
“Nur,
aku rasa tak sedap hatilah…” bisik Rose perlahan. Sekadar untuk pengetahuan Nur
sahaja.
Nur menelan
air liur perlahan. Dadanya berdegup laju. Kawasan di sekeliling mereka semakin
gelap. Cahaya senja sudah melabuhkan tirainya. Nur membalas genggaman tangan
Rose. Ketakutan mereka bersatu di situ. Entah kenapa, Nur seperti dapat
merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku selepas ini. Hatinya semakin
berdebar.
“Baca
ayat Kursi banyak-banyak. Aku pun rasa tak sedap hati jugak,” Nur berbisik ke
telinga Rose perlahan. Rose mengangguk laju. Kepalanya kadang-kadang tertoleh
ke kiri dan kadang-kadang tertoleh ke kanan. Nur sedikit rimas dengan keadaan
itu.
Tiba-tiba
Mas berlari dan memeluk bahu Nur. Tubuh Nur terdorong ke kiri dan tertolak Rose
yang sedang memegang tangannya. Rose terjatuh ke atas jalan yang berbatu.
Telekung yang dipakainya kotor terkena
tanah. Nur menyentap tangannya dari terus dipeluk oleh Mas dengan rasa
geram. Rose bingkas bangun seraya menepuk kotoran yang melekat di telekung
solatnya.
“Kau
kenapa? Habis kotor telekung Rose!” tengking Nur kepada Mas yang kelihatan
seperti pucat di sebelahnya.
Mas
tersentak apabila mendengar suara Nur yang meninggi. Matanya bulat memandang ke
wajah gadis itu. Rose pula membebel seorang diri. Telekungnya sudah dikotori
dengan tanah. Hendak pulang ke rumah Makcik Zainab seperti mustahil
memandangkan waktu Maghrib sudah semakin hampir.
“Aku
macam nampak ada orang intai kita kat dalam kebun getah tu. Tak ada badan!”
ujar Mas. Serentak dengan itu, bulu roma mereka semua berdiri tegak. Kesemua
lima orang ahli kumpulan itu sudah mula memeluk di antara satu sama lain.
Masing-masing diam tidak berkutik.
“Apa
yang kau merepek ni?” Nur menyoal dengan nada suara yang sengaja dikeraskan.
Perasaan kurang enak semakin galak menerpa dadanya. Tetapi hatinya mengakui
kebenaran kata-kata Mas.
Rose
menghampiri Nur seraya menarik tangannya. “Jom, kita semua dah lambat. Nanti
tak pasal-pasal kena denda.”
Nur
mengangguk perlahan sambil memandang setiap ahli kumpulannya. Mereka berjalan
laju sambil memegang erat tangan di antara satu sama lain. Mas berjalan di
sebelah Nur. Sesekali dia menarik telekung yang dipakai oleh gadis itu. Mas
seperti berlari-lari anak. Nur mendengus perlahan. Perjalanan yang sepatutnya
hanya mengambil masa selama lebih kurang lima belas minit bertukar setengah
jam.
Sesekali
dada Nur seperti berdebar. Wajah-wajah fasilitator yang garang sudah beratur
panjang di dalam benaknya. Mereka pasti
akan didenda sekiranya lambat sampai ke rumah Ustaz Rahman. Muka Aziz yang
tiba-tiba berterbangan di dalam kepala semakin membuatkan dadanya bercelaru.
“Habislah
aku…” omel Nur sendirian. Peluh mencurah-curah membasahi tubuhnya.
Seperti
yang dijangka, kedatangan mereka sudahpun dinantikan oleh beberapa orang
fasilitator. Nur menarik nafas panjang sebaik kelibat Aziz tidak
kelihatan. Wajah Kak Aini iaitu salah
seorang fasilitator perempuan yang bertugas kelihatan tegang saat menyambut
ketibaan kumpulan itu.
“Kenapa
lambat?” soal Kak Aini tegas. Riaknya seperti mahu menelan mereka satu-persatu.
Nur
menelan air liur yang terasa seperti tersekat mengalir di rengkung. Wajah Rose
yang pucat dan Mas yang masih menggigil ketakutan dipandang silih berganti.
“Rose
jatuh kat tengah jalan tadi, kak,” terang Nur sambil menunjuk ke arah telekung
Rose yang sudah kotor.
Rose
mengangguk tanpa sepatah kata. Tiada kata-kata yang terkeluar daripada
bibirnya. Tangannya masih menggenggam tangan
Nur dengan erat. Tubuh itu seperti menggeletar. Nur juga merasakan
keadaan yang sama. Baju kurung yang tersarung di tubuhnya seperti sudah boleh
diperah akibat dibasahi peluh.
Kak
Aini memandang ke arah telekung Rose yang mempunyai kesan kotor lalu menggelengkan
kepalanya. Wajah Nur dan Rose ditatap silih berganti. Gadis itu hanya mampu
berdiri tercegat di hadapannya dan menantikan apa jua bentuk hukuman yang akan
dikenakan di atas kelewatan mereka. Mas, Laili dan Izreen juga berdiri kaku.
Masing-masing tidak mampu bersuara.
“Ni
kenapa?”
Aziz
berjalan di hadapan mereka sambil menilik wajah peserta itu satu-persatu. Hati
Nur mula dipenuhi dengan debaran. Wajah yang tidak ingin dilihat sudah terpacul
di hadapan matanya!
Kak
Aini memandang Aziz yang mula menghampirinya. Matanya menatap ke anak mata Aziz
dengan tajam. Bibir itu mula bersuara tegas.
“Tak
ada apa-apa. Saya boleh kawal keadaan peserta-peserta di bawah jagaan saya.
Awak sila jaga peserta lelaki sahaja.”
Kak
Aini seperti jengkel dengan sikap berlagak yang ditunjukkan oleh Aziz. Lelaki
itu mencebik sebelum berlalu pergi. Matanya sempat menjeling ke arah Nur dengan
pandangan sinis. Gadis itu tunduk memandang tanah. Terasa tebal kulit muka Nur
ketika itu.
“Sudahlah.
Lainkali jangan lambat lagi. Pergi masuk dalam. Dah nak mula solat Maghrib dah.
Rose, pergi ambil telekung lain kat dalam bilik fasilitator ya,” arah Kak Aini
sekaligus melegakan mereka semua. Hati Nur tidak putus-putus mengucapkan rasa
syukur.
***
Aziz mendapatkan Hamim dan Razlan yang sedang berkumpul di
tengah halaman rumah Ustaz Rahman. Mereka berdua kelihatan sedang sibuk
berbincang tentang program yang akan dilakukan sebaik selesai ceramah pada
malam itu.
Fasilitator
perempuan pula sibuk membantu isteri Ustaz Rahman menyediakan makan malam bagi
kesemua peserta program itu. Sesekali suara Ustaz Rahman memberikan ceramah
menyapa gegendang telinga mereka bertiga.
Hamim
menjeling Aziz yang masam mencuka. Keningnya berkerut rapat. Raut kehairanan
terpacul di wajahnya.
“Apesal?”
Aziz
tidak membalas pandangan Hamim. Dengusan nafas dilepaskan kasar. Bibir Aziz
tidak berhenti mengomel tanpa difahami tiap ulas bicaranya. Hamim semakin
hairan.
“Kenapa?
Ada apa-apa masalah yang kau tak puas hatike?” tebak Hamim sekali lagi selepas
soalannya dibiarkan sepi oleh Aziz.
Aziz
menjeling Hamim dengan tajam. Matanya berkalih memandang beberapa orang
fasilitator perempuan yang sibuk di bahagian belakang dewan. Kelibat Aini tidak
kelihatan di antara mereka. Mungkin gadis itu sibuk mengawal peserta-peserta di
dalam dewan.
“Tak
ada apalah!” balas Aziz kasar seraya bingkas bangun dan berlalu meninggalkan
Hamim dan Razlan yang terkedu memandangnya.
“Dah
kenapa dengan dia?” soal Razlan sebaik Aziz melangkah menjauhi mereka. Hamim
hanya diam tanpa jawapan. Pertanyaan Razlan tidak mampu dijawab olehnya.
***
Nur duduk di sebelah Rose sebaik selesai menunaikan solat
Isyak secara berjemaah. Perutnya sudah mula berkeroncong. Kelaparan semakin
mencucuk-cucuk. Bau gulai semakin menyentap seleranya.
“Laparnya…”
adu Nur kepada Rose yang sedang khusyuk mendengar ceramah. Dia tidak pasti
samada Rose sedang menghadam setiap ceramah yang diberikan oleh Ustaz Rahman
ataupun turut menahan rasa lapar seperti dirinya.
Nur
memerhati ke arah kesemua peserta. Ada yang sedang mencatit sesuatu di atas
kertas tentatif, ada yang sedang khusyuk mendengar dan ada juga yang sedang
tidur. Dia menoleh ke arah Rose sekali lagi. Tiada tindak balas yang diberikan
membuatkan Nur mula mendengar ceramah itu semula.
Nur
menarik nafas kelegaan sebaik ceramah tersebut berakhir. Sesekali dia mengintai ke ruangan muka pintu
mengharapkan sesiapa akan datang dan menjemput
mereka untuk mengisi perut. Kelibat Aziz yang melintas di hadapan muka
pintu membuatkan dia berpaling ke tempat lain.
Hilang
selera aku, bisik Nur sendiri.
Suara-suara
peserta berbual sesama sendiri mula kedengaran sebaik Ustaz Rahman berhenti
berucap. Keadaan sedikit bising sebelum kembali senyap beberapa minit kemudian.
Nur mendongak ke hadapan. Fasilitator lelaki yang bernama Hamim kelihatan
sedang memegang mikrofon bersama sekeping kertas tentatif di tangannya.
“Assalamualaikum.
Terlebih dahulu saya nak mohon maaf. Makanan lewat sikit ya. Dalam sepuluh
minit lagi inshaaALLAH kita dapat makan,” ujar Hamim sambil melemparkan
senyuman manis kepada kesemua peserta yang sudah kelihatan lapar.
Nur
mula mengeluh. Perutnya semakin galak berbunyi. Hamim masih memandang mereka
dengan senyuman manis. Terasa kelaparan yang menjengah hilang sedikit demi
sedikit sebaik memandang wajah manis Hamim.
“Emmm…
selepas makan, kita akan masuk semula untuk aktiviti seterusnya. Lepas tu,
peserta perempuan bolehlah pulang ke rumah penjaga masing-masing untuk berehat.
Yang lelaki, tidur di dalam dewan ini sahaja,” sambung Hamim lagi.
Nur
mengutis hujung kain telekung solatnya. Mengingatkan perjalanan yang bakal
mereka tempuh selepas ini membuatkan perutnya sedikit kecut. Rose berpaling
memandang Nur. Mereka berbalas renungan dan sama-sama tunduk ke lantai. Nur memahami
isyarat mata yang dihantar oleh Rose.
“Untuk
malam besok, tepat jam 12.00 tengah malam, kita akan menziarahi kubur panjang
di kampung ini. Menariknya, saya difahamkan ada kubur raja di situ. Jadi, saya
harap kamu semua dapat menjaga tatasusila dan adab ketika berada di situ,” ujar
Hamim yang sekaligus menyebabkan bulu roma Nur semakin berdiri tegak.
Ini
bukan kali pertama dia menyertai program Kursus Pengurusan Jenazah. Tetapi
entah kenapa, gadis itu merasakan ini merupakan program yang paling menyeramkan
berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.
***
Mereka berjalan meninggalkan kawasan rumah Ustaz Rahman
untuk pulang ke rumah Makcik Zainab sebaik tamat program. Mereka berjalan
dengan rapat sehinggakan tiada ruang yang wujud di antara mereka berlima. Perjalanan itu agak menakutkan memandangkan
tiada fasilitator yang menemani. Kak Aini akan menyusul selepas selesai
bermesyuarat dengan fasilitator lain berkenaan dengan program yang akan
diadakan pada esok hari. Jam menunjukkan tepat pukul 11.00 malam.
Nur berjalan
di tengah-tengah. Lengannya sudah kebas dipeluk oleh Mas dan Rose yang berjalan
mengapit dirinya. Jujurnya gadis itu
juga takut. Tetapi dia perlu kuatkan hati supaya rakan-rakan yang lain tidak
terlalu terbawa dengan perasaan itu. Lidahnya tidak henti-henti membaca ayat
Kursi. Bayangan kebun getah yang gelap mula menjelma di dalam kepala.
Mas
berbisik di telinga Nur. Kata-kata Mas membuatkan jantungnya hampir terkeluar.
Nur berpaling memandang Mas.
“Jangan
cakap pelik-pelik. Kita nak lalu kat tempat yang kita tak biasa lalu. Kalau
nampak apa-apa pun jangan ditegur. Biarkan. Jangan lepaskan tangan kita,” Nur
berbisik perlahan. Kesemua rakan kumpulannya menganggukkan kepala. Mereka mula
memegang tangan masing-masing dengan erat. Kain telekung yang sudah dilipat
kemas di dalam beg kecil tergenggam erat di tangan masing-masing. Selepas
membaca doa, mereka mula mengatur langkah.
Nur
mengelak daripada memandang ke dada langit. Pokok-pokok kayu besar yang tumbuh
meliar di kiri kanan jalan seakan-akan memayungi perjalanan mereka. Sebiji
lampu suluh tersemat erat di dalam genggamannya. Angin malam mula bertiup
lembut. Tetapi hembusan itu tidak memberikan rasa yang mendamaikan. Sebaliknya
perasaan nyeri mula memenuhi dada Nur.
Perjalanan
mereka menjadi semakin perlahan sebaik sampai di kawasan kebun getah. Rumah Makcik
Zainab sudah tidak jauh. Nur cuba menarik nafas untuk bertenang.
Sikit
lagi, gumamnya sendiri untuk menyedapkan hati.
Srrrr… bunyi dedaun pokok bergesel menambahkan lagi
rasa seram yang sudah tinggi berkubu di dalam dada gadis itu.
Tiba-tiba
Izreen memeluk Rose dengan kuat. Jeritan halus kedengaran dari bibir Izreen
membuatkan semua semua turut menjerit di tengah-tengah kawasan kebun getah itu.
Nur mula kalut. Mas sudah mula menangis ketakutan. Rose masih cuba
bertenang walaupun Nur tahu dia turut
merasai debaran yang sama. Laili tidak bersuara sedari tadi. Mungkin dia juga
menahan takut seperti mereka, fikir Nur.
“Pergi
balik! Jangan datang ke kubur esok!” tiba-tiba Laili bersuara dengan nada yang
keras.
Mereka
berempat tersentak ke tepi jalan sebaik mendengar suara Laili yang sudah
berubah. Ketakutan yang sudah tidak mampu ditahan akhirnya pecah di situ. Laili
tunduk memandang ke arah jalan bertanah di hadapan mereka. Mas dan Izreen sudah
mula mengongoi ketakutan di tengah pekat malam itu. Rose masih tidak menitiskan
air mata. Wajah Laili diperhatikan. Tetapi Laili hanya tunduk memandang bumi.
“Laili…”
Nur memanggil Laili dengan lembut. Hembusan angin yang bertiup di telinganya
terasa begitu nyilu.
Tiada
jawapan yang diperolehi. Sebaliknya Laili masih berdiri tegak menghadap mereka.
Sesekali kain baju kurung yang dipakainya terbang mengikut tiupan angin.
Nur berjalan
merapati Laili. Tangannya digenggam kemas oleh Rose. Dia menepuk tangan Rose
sebagai tanda tiada apa-apa yang akan berlaku. Nur kembali merapati Laili
walaupun langkahnya seperti teragak-agak.
“Laili…
Kau okey?” soal Nur perlahan.
Laili masih
membisu. Nur mula resah. Dia berpaling memandang Rose, Mas dan Izreen yang
berdiri di belakangnya. Kini Nur berada di tengah-tengah di antara mereka.
Gadis itu kembali memandang Laili. Kali ini dia tersentak ke belakang dan terus
rebah ke atas jalan bertanah itu. Matanya terbeliak memandang Laili. Wajah itu
kelihatan mengerikan dan sinaran bebola mata berwarna merah yang memandang
tepat ke muka Nur.
Mas,
Izreen dan Rose mula menjerit lantang. Rose berlari ke arah Nur dan mengheret
tangan itu sekuat-kuat hatinya. Tubuh Nur bagaikan sudah terpasung di permukaan
bumi. Tiada pergerakan yang mampu dilakukan. Nur masih terlopong memandang ‘Laili’ di
hadapan mereka. Mas dan Izreen sudah berlari jauh meninggalkan Nur dan Rose.
“Bangun
Nur! Allahuakbar!” teriak Rose. Bacaan ayat Kursi kedengaran tunggang-langgang
di bibirnya.
Nur
cuba untuk bangun, tetapi tidak boleh. Air mata akhirnya menitik di pipi Nur. ‘Laili’
masih berdiri kaku di hadapan mereka berdua.
“Hentikan
perkara bodoh itu sebelum kalian ditimpa bencana!” ‘Laili’ bersuara keras.
Kata-kata itu berbaur amaran. Tetapi Nur dan Rose tidak memahami maksud di
sebalik kata-kata itu. Mereka masih terkial-kial untuk cuba menyelamatkan diri.
“Jikalau
kalian semua datang ke tempat persemayamanku, bencana akan menimpa kalian!”
ujar ‘Laili’ lagi. Bau busuk menerawang di sekeliling mereka. Nur hampir
termuntah. Bau itu tidak ubah seperti bangkai!
“Nur!”
Mereka berpaling
serentak ke arah suara yang tiba-tiba muncul di dalam kegelapan. Itu suara
Laili!
“Kenapa
tinggal aku!” marah Laili yang tiba di situ bersama Kak Aini. Hamim dan Razlan
turut berada bersama-sama mereka. Lampu suluh dihalakan kepada kedua-dua gadis
itu yang terduduk di atas tanah.
Nur dan
Rose tersentak! Mereka segera berpaling kepada lembaga di hadapan kami. Sekali
lagi keberanian mereka tercarik. Lembaga tersebut sudah tiada!
***
“Punyalah jenuh aku panggil korang! Apesal korang tak
berenti?” suara Laili bingit menghentam telinga mereka berempat.
Mas dan
Izreen masih terketar-ketar ketakutan di dalam selimut masing-masing. Kedua-dua
mereka tidak bersuara walaupun sepatah. Rose pula duduk di sisi Nur sambil memegang
lengannya dengan kejap. Tiada siapa yang
berani mengungkit peristiwa menakutkan yang berlaku sebentar tadi.
“Haah
Nur. Kak Aini siap mesyuarat awal tadi. Ingatkan nak ajak korang makan pulut
ikan kering sama-sama. Tapi bukan main semangat lagi korang berempat berjalan.
Macam tak dengar kami panggil,” sambung Kak Aini. Matanya menilik wajah mereka
satu-persatu.
Izreen
menelan air liur yang terasa payau di tekak. Terasa seperti ada cerucuk duri
yang tiba-tiba tumbuh di sekeliling kerongkongnya. Jika itu bukan Laili, jadi
siapakah yang berpimpin tangan dengannya sebentar tadi? Hati Izreen semakin
gementar.
“Kalau
betul tu bukan kau, jadi siapa yang ada dengan kita tadi?” soal Mas dengan
suara yang bergetar. Matanya melirik ke wajah Laili.
Mereka
terdiam dan berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tidak berani mengeluarkan
pendapat. Nur tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sudah kelihatan semakin
berserabut. Fikirannya masih terbayangkan
‘Laili’ yang mereka temui di kebun getah tadi.
“Dahlah,
mari kita tidur. Esok lepas subuh kita dah ada program. Sebelum tidur, jangan
lupa baca surah lazim dan ayat Kursi ya,” ujar Kak Aini sekaligus mematikan
perbualan di antara mereka.
Mereka
berlima mula berhimpit sesama sendiri. Ruang yang sederhana luas itu seperti
terlalu sempit. Masing-masing tidak mahu berada di ruang paling hujung yang
mengunjur ke muka pintu bilik. Kak Aini menggelengkan kepala seraya merebahkan
badan di bahagian hujung ruang bilik itu.
Nur
memejamkan mata walaupun perasaan mengantuk masih belum terasa. Telinganya
dipicingkan. Bunyi desiran angin yang di bawa malam menyilukan pendengaran. Nur
mengalunkan bacaan ayat Kursi di dalam hati tanpa henti. MP3 yang terpasang di
telinganya mengalunkan bacaan ayat suci daripada surah Yassin. Matanya dipujuk
untuk segera lena.
“Pergi
dari sini! Hentikan perkara bodoh itu!”
Mata
Nur tercelik luas sebaik mendengar jerkahan di tepi telinganya. Bau busuk
seperti bangkai mula menyerbak masuk ke lubang hidung. Nur menekup hidung
sambil berkalih menghadap Rose yang tidur di sisinya. Ketakutan semakin menujah
hati Nur.
“Nur,
dengar tak? Aku takut…” bisik Rose perlahan. Nur kelu mendengar soalan Rose.
Nampaknya bukan dia sahaja yang mendengar suara itu. Tetapi, mungkin hanya
mereka berdua yang mendengar kerana yang lain sudah jauh diulit mimpi.
***
Aziz mengambil angin malam di luar dewan sebaik kesemua
peserta lelaki diarahkan untuk tidur. Hamim berjalan merapati Aziz dengan
secawan neskafe panas di tangannya. Pantas disuakan kepada Aziz yang
kemudiannya menolak huluran tersebut.
“Minum
kafein nanti aku tak boleh tidur,” terang Aziz.
Kantung
matanya sudah mula memberat. Tetapi dia sengaja keluar mengambil angin malam
memandangkan keadaan agak panas di dalam dewan. Hamim tidak memberikan apa-apa
jawapan. Sebaliknya dia asyik menghirup air neskafe panas di hadapannya.
“Tadi
apa cerita dengan budak yang nama Nur tu? Aku dengar dia terpekik terlolong kat
dalam kebun getah tu,” soal Aziz selepas kedua-dua mereka membisu.
Hamim
mengerling Aziz. Dia berdehem perlahan. Hamim tidak faham kenapa Aziz begitu
berminat dengan Nur. Hatinya merasa kasihan dengan Nur ketika waktu makan malam
sebentar tadi. Kumpulan Nur telah didenda oleh Aziz kerana kelewatan mereka
hadir ke dewan sewaktu solat Maghrib. Mereka tidak dibenarkan mengambil makanan
sebelum kesemua kumpulan lain selesai mendapatkan dulang masing-masing.
“Jangan
ganggu dialah, Aziz. Kau bukan nak tahu sangat apa jadi dengan diakan? Peserta
perempuan biarlah Aini dan yang lain jaga. Kita tumpukan pada peserta di bawah
kita,” tegur Hamim lembut.
Aziz
mendengus kasar. Dia merasa tercabar dengan teguran Hamim sedangkan dia ketua
bagi kursus itu. Dia segera bingkas bangun daripada duduknya dan melangkah
menuju ke dewan.
“Aku
ketua, jadi suka hati aku apa yang aku nak buat!” Aziz bersuara seraya meninggalkan Hamim
sendiri di situ.
Hamim
terdiam mendengar kata-kata Aziz yang penuh dengan perasaan bongkak itu. Dia
kembali menikmati hirupan neskafe panas di bawah cahaya bulan penuh. Kata-kata
Aziz hilang di bawa angin malam.
Tanpa
Hamim sedari, sesusuk tubuh tegap yang lengkap bertanjak berdiri
memerhatikannya di sebalik pepohon kayu yang tumbuh meliar di dalam hutan di
hadapan dewan itu. Sinaran mata yang berwarna kemerah-merahan kelihatan galak
bersinar di balik kegelapan malam.
***
Nur memegang sebatang buluh bersaiz sederhana besar dan
sebatang mancis. Mas menatang sebuah besen yang berisi dengan secawan beras.
Rose pula mendapatkan sedikit tiub getah bagi membolehkan mereka menyalakan
api.
“Ini
kerja gila,” ujar Nur seraya menghadap ahli kumpulannya yang lain. Mereka semua
duduk mengelilingi peralatan yang telah disediakan oleh para fasilitator.
Masing-masing berfikir dan terus berfikir.
Izreen
memandang sebatang mancis yang diletak bersebelahan dengan tiub getah.
Keningnya berkerut-kerut.
“Kalau
mancis ni tak menyala, habislah kita…” gumam Izreen perlahan. Nur hanya mampu
memandang ke arah batang mancis yang sama.
Untuk
tugasan terakhir pada hari itu, mereka dikehendaki untuk memasak nasi di dalam
sebatang buluh dengan hanya menggunakan sebatang mancis sahaja. Menurut
fasilitator yang bertugas, itu untuk menguji daya ketahanan sekiranya mereka tersesat
di dalam hutan.
“Aku
takkan ikut dah kursus macam ni lagi. Dahlah teruk kita kena buli dengan Aziz
hari ni. Dari mula subuh sampai sekarang. Mentang-mentang dia ketua,” bebel
Laili dengan suara yang pelahan.
Nur
tidak menafikan kata-kata Laili kerana hatinya juga meronta-ronta ingin pulang.
Peristiwa tengahari tadi membuatkan hatinya berdendam dengan Aziz. Kumpulan mereka
telah didenda sekali lagi. Tetapi kali ini lebih melampau. Mereka dipaksa untuk
berdiri di atas pentas dewan dengan memakai kain telekung solat disebabkan Mas
yang tertidur ketika ceramah berlangsung. Wajah Aziz yang sinis membuatkan hati
Nur mendongkol marah.
“Tak
apa. Hari ni hari dia. Lepas habis kursus ni, hari aku pulak yang akan tiba,”
ujar Izreen dengan wajah yakin. Nur hampir ketawa mendengar kata-kata itu.
“Jangan
di tengok aje beras tu. Masak sekarang. Lepas ni nak solat Asar pulak,” tegur
Kak Aini. Mereka segera berkejar ke tempat yang disediakan untuk memasak nasi
di dalam buluh. Hati Nur berdegup. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia
memasak nasi di dalam batang buluh. Wajah Aziz sekali lagi berterbangan di
dalam kepala. Nur terasa seperti ingin menjerit!
***
Kesemua peserta bersiap-siap untuk menunaikan solat Asar
berjemaah selepas selesai aktiviti memasak sebentar tadi. Nur melepaskan
keluhan berisi kelegaan sebaik kumpulannya berjaya melaksanakan tugas tersebut
dengan baik. Tambah membanggakan apabila Ustaz Rahman memuji tekstur lembut
pada nasi yang ditanak oleh kumpulan mereka.
Nur
berjalan ke hadapan untuk mendapatkan saf di belakang tirai yang tergantung dan
memisahkan saf lelaki dan perempuan. Qamat dilaungkan dan mereka semua bersedia
di barisan saf masing-masing. Sebaik laungan takbir dilaungkan, mereka
dikejutkan dengan satu jeritan!
“Jangan
teruskan rancangan kalian malam ini!”
Nur terpinga-pinga.
Jantungnya seperti mahu terkeluar. Dia mengintai ke arah sekujur tubuh yang
sudah dilingkungi oleh beberapa orang fasilitator perempuan dan peserta yang
lain. Tubuh tersebut lengkap bertelekung dan terbujur umpama mayat.
Nur menapak
menjauhi peserta itu. Bimbang sekiranya berlaku apa-apa di luar kawalan.
Keadaan mula bising. Ustaz Rahman berlari mendapatkan peserta tersebut. Air
mineral direnjis ke wajah peserta tersebut yang mula bertukar kuning.
Tiba-tiba,
peserta tersebut bingkas bangun dan bersila rapat. Kepalanya tunduk memandang
karpet berwarna merah yang terhampar di atas lantai itu. Mulutnya mula
terkumat-kamit menuturkan sesuatu. Wajahnya semakin kuning. Nur memandang dengan
perasaan cemas.
“Hentikan
rancangan bodoh kalian. Aku tidak mahu tempat persemadianku diganggu,” tutur
peserta tersebut dengan tubuh yang bergoyang ke kiri dan ke kanan. Nur menelan
air liur. Amaran itu sudah di dengar pada malam sebelum itu!
Ustaz
Rahman masih bersikap tenang. Kesemua peserta diarahkan untuk keluar dan
berkumpul di surau yang terletak tidak jauh daripada rumah Ustaz Rahman untuk menunaikan
solat Asar. Dan Nur tidak mengetahui apa yang terjadi pada peserta tersebut
selepas itu.
***
Sangkaan mereka bahawa program menziarahi kubur raja akan
dibatalkan pada malam itu meleset. Kesemua peserta sudah beratur panjang
mengikut kumpulan masing-masing dengan tali yang mengikat pinggang setiap
peserta. Nur diletakkan di barisan
paling hadapan seperti mengetuai rombongan itu. Manakala Rose berada di
bahagian belakang sekali. Hati Nur semakin berdebar. Peluh seperti menunggu
masa untuk menitik jatuh.
Kumpulan
Nur dilepaskan terlebih dahulu bersama dengan seorang fasilitator. Nur menoleh
ke muka pintu dewan dan terkedu sebaik melihat kelibat peserta yang kerasukan
petang tadi. Dia dikecualikan daripada mengikuti program itu memandangkan
keadaannya yang tidak stabil.
“Kalian
ingkar kata-kata aku. Petaka akan menimpa kalian!” jerkah peserta itu. Lidah
Nur kelu. Mas sudah mula berbisik kepadanya.
“Aku
tak sedap hati…”
Nur
tidak memberikan apa-apa tindak balas. Dia memandang ke hadapan semula dan
berjalan mengikut jejak langkah fasilitator yang sudah mendahului kumpulan
mereka. Bacaan ayat-ayat suci berkumandang di dalam hati.
Nur
duduk menghadap sebuah kubur sebaik sampai ke tempat yang dituju. Ustaz Rahman
sudah sedia menanti kedatangan mereka semua ke situ. Nur melepaskan rasa lega
sebaik menjejakkan kaki ke kubur itu tanpa ada gangguan. Rasa syukur tidak
berhenti-henti diucapkan. Mas duduk merapatinya. Tubuh itu seperti menggeletar.
“Jangan
takut. Baca ayat Kursi banyak-banyak,” pujuk Nur. Mas hanya menganggukkan
kepalanya. Ceramah yang diberikan oleh Ustaz Rahman tidak mampu dihadam oleh
gadis itu. Nur terus berzikir di dalam hati.
***
Mereka membentuk kumpulan seperti asal apabila program
berakhir. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 1.00 pagi. Sinaran cahaya bulan
mengambang penuh menyinari permukaan jalan yang tidak berturap.
“Cerahnya
bulan. Tak pakai lampu suluh pun tak apa,” bisik Mas ke telinga Nur.
Nur
berjalan di hadapan dan merentasi jalan yang dipenuhi dengan semak-samun.
Langkahnya seakan ringan sehinggalah dia menyedari sesuatu!
Tiada
sesiapa dengannya ketika itu. Tali yang mengikat pinggangnya hilang begitu
sahaja. Nur keseorangan di dalam remang cahaya bulan dan semak samun!
Srrrrrrrr…
Nur
tersentak ke tepi jalan sebaik mendengar bunyi semak-samun yang berkocak kuat.
Seakan-akan ada sepasang tangan yang menggoncangkan dedaun itu. Dia
hampir-hampir menangis ketakutan. Perlahan-lahan Nur melangkah menjauhi kawasan
semak yang semakin galak dikocak. Bunyi deraman bersilih ganti singgah ke
telinganya. Debaran yang ditanggung seakan tidak mampu ditahan lagi. Nur
berundur ke belakang dengan bibir yang terkumar-kamit menuturkan kalimah ALLAH.
Peluh sejuk membasahi pelipisnya.
Tiba-tiba
langkah Nur tersadung sesuatu dan dia terlentang ke belakang. Bisa tujahan batu-batu
kecil menghentam tubuhnya. Nur mengaduh kesakitan sambil cuba untuk bingkas
bangun. Matanya terbuntang luas sebaik menyedari objek yang telah dilangkahnya
itu adalah sebuah kubur!
Suara
hilaian melengking-lengking bergema-gema di tengah hutan yang hanya disimbahi dengan
cahaya daripada bulan yang mengambang penuh. Nur merangkak menjauhi kubur yang
tiba-tiba muncul di situ dengan wajah yang pucat lesi. Tangannya terasa
menggeletar menahan ketakutan yang mula bertindan satu-persatu.
“Rose!
Mas! Mana korang…” akhirnya dia mampu bersuara setelah lidahnya bagaikan
terkunci rapat.
“Nur!”
Nur
berpaling ke belakang sebaik mendengar namanya dipanggil. Cahaya lampu suluh
memberikan nafas kelegaan kepada Nur yang bagaikan sudah hampir kehabisan nyawa
di situ.
“Kenapa
kau bukak ikatan tali ni! Kan ustaz dah pesan jangan bukak! Nanti hilang!”
marah Mas kepada Nur.
Nur
tidak sedar bilakah masanya tali tersebut terlerai daripada pinggangnya. Dia
bingkas bangun dengan bantuan Mas. Anehnya, tiada fasilitator yang kelihatan di
sekeliling mereka ketika itu. Kesemua ahli kumpulannya diam tidak
bersuara. Nur kembali berjalan ke
hadapan dengan barisan yang beratur di belakangnya.
Kawasan
yang menakutkan tadi kembali sunyi.
Kubur yang tiba-tiba muncul di tengah jalan itu juga hilang begitu sahaja. Nur
mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran walaupun dia tahu bacaannya tidak tepat.
Tiba-tiba,
Nur melihat satu susuk tubuh yang lengkap bertanjak sedang berdiri di sebuah
lorong kecil yang gelap gelita. Dia terkesima. Langkahnya mati di situ. Gangguan
tidak berakhir lagi! Nur kini berdiri berhadapan dengan lembaga itu. Raut
mukanya bengis dengan sinaran mata berwarna kemerah-merahan. Bau busuk seumpama bangkai menjengah
hidungnya. Nur menahan rasa mual.
Lembaga
itu seperti bergerak menghampiri Nur yang kaku di tengah jalan. Nur tidak
melepaskan pandangannya walaupun sesaat. Air mata akhirnya terburai sebaik
lembaga tersebut jelas di hadapan mata! Lembaga yang berada di hadapan Nur
tidak berbadan. Dan kepala itu terbang menghampiri gadis itu. Senyuman
menyeringai terukir di bibirnya. Kepala tidak berbadan itu terbang
berlegar-legar mengelilingi gadis itu. Nur menjerit seperti hilang akal sebaik
dia menyedari yang dirinya keseorangan sekali lagi di situ! Mas dan ahli
kumpulannya yang lain ghaib entah ke mana. Seketika kemudian, pandangannya
gelap!
***
Nur terpinga-pinga sebaik menyedari dirinya sedang terbaring
di atas katil. Rose setia menjaganya di sisi sambil mengalunkan bacaan surah
Yassin. Nur terus bingkas bangun dan duduk menghadap Rose.
“Alhamdulillah
kau dah sedar,” ucap Rose lega.
Nur
mengerutkan dahi.
“Apa
yang dah jadi? Macam mana aku ada kat sini?” soal Nur bertubi-tubi.
Rose
mendekati Nur dengan muka yang berona pucat. Tangannya seperti sejuk saat bersentuhan
dengan tangan Nur. Gadis itu memerhatikan wajah Rose dalam-dalam.
“Tadi
kami jumpa kau pengsan kat tengah hutan. Kau tiba-tiba hilang daripada
kumpulan. Puas kami cari. Rupa-rupanya kau pengsan kat situ. Macam mana kau
boleh terlepas daripada kumpulan kita?” soal Rose semula.
Nur
terdiam. Kepalanya tunduk memandang selimut yang membungkus kakinya. Fikirannya
berputar-putar. Perit untuk mengingatkan kembali apa yang sudah berlaku
sebentar tadi. Tiba-tiba Nur tersentak dan terus berdiri. Rose terkejut dengan
tindakan Nur.
“Dia
cakap jangan kacau tempat dia!” jerit gadis itu lantang.
Jeritan
nyaring kedengaran di luar bilik dan mereka berlari keluar dari situ. Sebaik
mereka masuk ke dalam dewan, keadaan sudah seperti di luar kawalan. Beberapa
peserta menjerit-jerit dilanda histeria. Ustaz Rahman kelihatan kalut mengawal
keadaan sambil dibantu oleh fasilitator-fasilitator yang lain. Nur dan Rose
berdiri tercegat di hadapan muka pintu.
“Sudah
aku katakan jangan ganggu tempat persemadianku bukan?”
Mereka
semua tersentak seraya berkalih pandang kepada peserta yang sedang bersila di
atas pentas dewan. Itu adalah peserta yang dirasuk petang tadi! Nur menelan air
liur sendiri.
Ustaz
Rahman cuba bertenang dan menghadap peserta yang kembali dirasuk itu. Beberapa
orang fasilitator yang lain berkejaran mendapatkan bantuan daripada imam
kampung itu. Tetapi kelibat Aziz tidak kelihatan.
“Jangan
diganggu kesemua anak-anak muda ini. Mereka hanya mahu belajar. Tidak ada niat
untuk mengganggu kau,” Ustaz Rahman memulakan tutur bicara. Matanya menatap
anak mata peserta yang sudah kerasukan itu dengan tajam.
Tiba-tiba
peserta itu ketawa dengan lantang. Hilaian itu menaikkan bulu roma yang
mendengar. Anehnya, beberapa peserta lain yang turut dirasuk sebentar tadi
seolah-olah duduk melutut di hadapan peserta perempuan itu.
“Aku
ketua di kubur raja. Ada di antara kamu yang sudah membuat onar di kawasan aku!
Biadap!” jerkah peserta itu. Suaranya bertukar sama sekali. Kedengaran seperti
suara seorang lelaki.
Ustaz
Rahman terdiam. Dia masih cuba berlagak tenang. Matanya memerhatikan setiap
dari mereka. Mungkin mencari-cari punca yang menyebabkan onar itu terjadi.
“Aziz!
Biadap sekali anak muda itu! Dia sudah mencemarkan tempat persemadian aku!
Sombong dan kurang ajar!” jerkah peserta itu lagi. Serentak dengan itu kesemua mereka
terpaku memandang Aziz yang muncul tiba-tiba di hadapan pintu dewan dengan
wajah yang pucat.
Sikap
biadap Aziz sudah menyebabkan bala menimpa mereka semua. Ustaz Rahman menjeling
Aziz yang sudah pucat di muka pintu.
“Apa
yang kamu sudah buat, Aziz?” soal Ustaz Rahman.
Aziz
tunduk memandang lantai dewan. Suaranya tenggelam timbul. Tiada lagi riak
berlagak yang dipamerkan selama tempoh dua hari mereka berkampung di situ.
“Saya
minta maaf ustaz. Saya buang air di kawasan kubur raja tadi,” jawab Aziz.
Serentak
dengan itu, beberapa orang peserta lagi mula dirasuk histeria dan dewan Ustaz
Rahman menjadi semakin kalut. Rupanya Aziz telah merancang untuk mengenakan Nur
di dalam hutan tadi dan telah mengotorkan kubur raja tersebut. Kebiadapannya
telah menyebabkan kesemua mereka ditimpa kesusahan. Satu demi persatu peserta
dirasuk histeria. Dan keadaan itu berlarutan selama seminggu. Semuanya kerana
Aziz!