Home Novelet Keluarga Hari-hari Sebelum Ramadhan
Hari-hari Sebelum Ramadhan
Zhar Aruzi Hairi
25/5/2017 22:25:05
4,265
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 3

BAB 3

 

Setelah bersesak-sesakuntuk mencari pakir, semua kawasan telah penuh. Hijaz meletakkan kereta dibelakang kereta lain. Cuma brek tangan di lepaskan. Mudah untuk orang menolak keretanya jika mahu keluar. Resam penduduk flat di situ memang begitu.Kawasan pakir sangat terhad dengan jumlah penduduk yang ramai.


Mata Makcik Holijah melangut ke atas melihat rumah flat tempat tinggal Hijaz. Bungkusan kerepeknya dijinjing bersama. Sayup dia melihat kelibat manusia yang kelihatan sekecil semut.


“jom Makcik?”


“Tingkat berapo Anok?”


“Tingkat 17”


“Anok tingga dengan Mok ja ?.”


“Ya..saya ni anak tunggal. Ayah pun dah lama meninggal”


“Anak yatim la anok ni?”


“Dah besar Makcik.Yatim la jugak dulu” Jawab Hijaz tersengih.


Bungkusan mee goreng yang dipesan emaknya dibawa bersama.

 



Sayup sahaja Makcik Holijah memandang ke bawah setelah lif terbuka. Dia menuruti Hijaz hingga ke sebuah rumah berjeriji hitam.


“Assalamualaikum Mak!..Mak!”


Laung Hijaz dari luar.Bunyi berkeriut kedengaran hampir dengan pintu.


“Lambat hari ni..” Puan Khalsom membongkokkan badan membuka kunci.


“Saya bawa tamu Mak. Ni Makcik Holijah yang sama-sama berniaga di depan bank. Dia nak tumpang bermalam di sini”


“Boleh, boleh...Jemput masuk!”


Salam yang dihulurdisambut Makcik Holijah. Hijaz kemudiannya menyorong kerusi roda emaknya ke ruang makan.


“Ijaz bungkuskan mak mee goreng tadi, Mee goreng Mamak”


Bungkusan mee itu diletakkan di meja.


“Makcik duduklah dulu.Ijaz kemaskan bilik sekejap”


Mata Makcik Holijah menjeling di sekitar rumah yang serba sederhana itu. Sebuah televisyen lama dan set sofa usang yang menghiasi ruang tamu.


“Inilah teratak tempat kami berlindung dari hujan dan panas” Ujar Puan Khalsom yang perasan tamunya itu sedang meneliti keadaan rumahnya.


“Harapkan Hijaz sahaja yang ada untuk jaga Makcik. Kesian dia, sampai sekarang masih takut untuk beristeri”


“Alah Kak, sampa jodohnya nanti, adolah. Baik budak tu. Bertuah awok ado anok mace ni” Puji Makcik Holijah.


“Itulah yang saya doakan dari dulu. Harap-harap Allah kekalkan dia sampai akhir hayat saya”


“maaf tanyo deh. Lamodoh ko Kak ni pakai kerusi roda”


“Hmm..sejak Hijaz lima tahun lagi. Masa Ayah dia masih ada”


“Kenapo buleh jadi mace ni?”


“Eksiden Kak,masa naik moto nak pergi jual kuih. Doktor suruh potong kaki ni kalau nak terus hidup.Akak menangis tak mahu. Suami pujuk supaya Akak tabah. Katanya, Hijaz masih perlukan emak dia. Akhirnya Akak redha dengan ketentuan ini”


“ Kak Holijah tak ada suami?”


“Ado, tapi doh kahwin lain. Kito ni keno cerai. Mujor anok-anok duduk dekat dengan rumah. Tok la sunyi sangat. Hari-hari buleh jumpo anok cucu”


“Jauh meniaga sampai ke sini?”


“Cari rezeki Kak. Mano tempat hok ramai oraghe kami gi la. Baru buleh banyok juale sikit” jelas Makcik Holijah.


“Ya lah. Syukur sangat sebab Holijah masih sempurna. Kalau macam akak ni, banyak perkara tak boleh dah nak buat. Harapkan anak tunggal ni je..”

 


 

 Hijaz kemudiannya muncul di situ.


“Saya dah siapkan bilik untuk Makcik. Kalau nak mandi dan solat, bilik air kat depan bilik tu jer”


Makcik Holijah bangun untuk ke bilik tersebut.


“Mak tak makan lagi?”


Hijaz mengambil pinggandan membuka bungkusan mee. Diambilnya sudu dan garfu. Kemudian diletakkan dihadapan ibunya.


“Mak nak Hijaz suap ke?” Gurau anak muda itu.


“Jangan nak mengada-ngada. Macammana meniaga hari ni?”


“Dua botol je laku Mak.Esok kena cari tapak lain pulak.”


“Tak de rezeki la tu.Kena sabarlah sikit. Mungkin esok lusa Dia bagi lebih..”


“Tapi nasi lemak Mak yang semalam semua habis. Mah Mah suruh buat lebih lagi. Tapi Hijaz dah cakap,banyak tu je yang Mak mampu buat”


“Syukurlah..Ada juga rezeki Mak..Eh, Nak rasa tak mee ni? Sedap pulak mamak ni buat”


Hijaz membuka mulut danPuan Khalsom menyuap ke mulut anaknya itu.


“Kesian Makcik tu. Takada siapa-siapa nak tolong”


“Ya lah.Sekurang-kurangnya dia ada tempat berteduh malam ni. Dah cakap kat Ustaz Amir tak?”


“Cakap apa?”


“Cakap yang kita nak sedekahkan 100 bungkus nasi lemak untuk moreh puasa esok”


“Dah. Dia suruh hantar jer. Nanti orang surau uruskan.”




 

Makcik Holijah duduk di katil merenung siling. Kepalanya berputar memikirkan apa yang terjadi hari ini.Sama seperti putaran kipas di siling itu.


Sesusah mana dia, masih lagi boleh berjalan dan sihat seluruh anggota. Dalam kesusahan pun, dia masih memiliki rumah sendiri dan ada tanah untuk berpijak dan bercucuk tanam. Dan dia juga bersyukur kerana dapat bermenantu dan beranak cucu, yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.


Hatinya tersentuh mengenangkan Hijaz yang jauh lebih susah keadaanya, tapi masih mahu menghulurkan pertolongan.


“Bertuah sungguh si ibu yang mempunyai anak berhati emas sepertinya.




“Makcik ! Pok Ja dah sampai kat bawah” Suara Hijaz berserta ketukan di pintu bilik.


Makcik Holijah mengemaskan tempat tidur sebelum keluar dari bilik. Pakaian yang dipinjam dari Puan Khalsom dilipat kemas.


“ Tadi Pok Ja telefon saya” beritahu Hijaz sebaik Makcik Holijah keluar. “Kita sarapan dulu  ya. Biarlah dia tunggu sekejap”


Makcik Holijah mengangguk. Puan Khalsom sudah ada di meja makan.


“Makcik, Kita rasa nasi lemak Puan Khalsom ni. famous sangat kat flat ni” Pujian Hijaz mengundang tawa kepada dua wanita itu.


“Jemput Kak, macam nilah sarapan kami dua beranak”


Dia menarik kerusi danduduk bersebelahan Puan Khalsom.


“Sedap!” Komennya setelah suapan pertama. Sebungkus kerepek dikeluarkan.


“Kak pun keno raso prodak kito” 

    

Bungkusan kerepek itu dibuka dengan hujung garfu. Puan Khalsom mengambil sekeping dan disuap ke mulut.


“Akak buat sendiri?”


“Tak. Tolong jualkan sahaja. Pembekal yang sediakan.”


“Dah lemau sikit ni, kak.Mungkin dah lama sangat makanan ni”


Muka Makcik Holijah berubah sedikit. Selama ini pun dia tidak pernah merasa kerepek yang dijualnya itu. Tangannya mengambil secebis dan menyuapkan ke mulut.


Dia terdiam.


“Ya Allah..makanan macam inikah yang aku jualkan selama ini” Jeritnya di dalam hati.


Riak cerianya terussahaja berubah. Air kopi yang dihirupnya tiba-tiba sahaja terasa kesat. Rasa bersalah mencengkam perasaannya.


“Saya rasa malu Kak.Selama ini saya percayakan pembekal tu. Katanya barang ini baru dibuat”


Hijaz turut merasa sekeping.


“ Bukan salah Makcik ni.Yang mintak Makcik jual ni patut bertanggungjawab” Ulas Hijaz.


“ Tak apa lah. Makcik keno mintok diri dulu. Maroh pulok Pok Ja tu”

 



Niat Makcik Holijah untuk menyerahkan sepeket dua kerepek kepada keluarga Hijaz terhenti di situ.Nyata sekali barang yang dijualnya itu langsung tidak bernilai sekalipun diberi percuma. Rasa bersalah pun bersarang di hatinya terhadap semua yang pernahmembeli kerepeknya. Kerepek yang dia sendiri pun tak pernah rasa.


Dia merenung ke atas melihatkan rumah flat tempat dia menginap semalam. Perasaan terharu dan berterima kasih masih bersarang di hati wanita ini.


Dia menunduk seketika sebelum berdoa di dalam hati.


“Semoga Allah melebihkan mereka atas apa yang diberikan kepadaku” doanya perlahan.


Ramadhan yang mendatang ini diharapkan dapat memberi warna baru dalam perniagannya.



 

SALAMRAMADHAN AL MUBARAK untuk SEMUA

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.