BAB 10: AKU @ NURUL FARINA BT. FADZIL
10
Rencana yang aku cuba
siapkan kali ini seolah memerah separuh tenaga dalaman daripada mindaku.
Rencana yang mengupas isu petempatan guru di Kuantan. Aku harapkan rencana ini
tidak akan menjadi satu isu sensitif kepada pihak yang terlibat. Sebagai
pengamal media, melaporkan isu dan berita sebenarnya terletak di bahuku. Tetapi
di satu pihak yang lain, penulisan pengamal media tidaklah seolah-olah mahu
secara sengaja mahu memburuk-burukkan pihak kerajaan pula. Sudah banyak yang
telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia
dalam usaha memberi yang terbaik kepada rakyat
dalam negara ini.Satu dua kelemahan dalam perlaksanaan
perkhidmatan adalah satu perkara yang biasa.
Suara temanku, Noor Zihan atau Zi
bagaikan menyambar kokleaku, “Aduh Far, kau punya pak we romantik giler!”
“Pak we?”
“Ha’ah. Pak we.Kalau bahasa kampung dipanggil dengan Mamat Cintun.
Kalau Bahasa Inggerisnya Boy friend!
Kalau dalam bahasa lain, aku belum belajar lagi!”
“Pak we?” Aku bertanya lagi.
“Kalau nak perkataan yang bagus sikit,
boleh kata hero.”
Aku berpaling sambil tersenyum, “Sayangku jambu, hero tu perkataan
inggeris.Perkataan kita, wira.”
Dia tergelak, “Lagi bagus kalau
ditambah, Adi wiraku.”
Ketawa kami terlerai bersama-sama..
“Habis, Far memang ada Adi wiralah?”
Aku terus menggelengkan kepala. Jemariku pula leka menaip akan berita
yang sepatutnya kusiapkan petang ini juga. Sedikit sebanyak, pertanyaannya
memang mengganggu fokusku terhadap rencana ini. Aku masih lagi meneruskan usaha
untuk menamatkan penulisanku, dengan berusaha untuk tidak berpaling ke arahnya.
“Ala,
pak we! Buat tak tahu pulak si Far ni! Lelaki pilihan kau tu.” Sekali lagi
pernyataan yang menyambar kokleaku, sekali ini dia berjaya membuatkan aku cuba
berpaling ke arahnya.
Aku menoleh ke arah sigadis, rakan sekerjaku yang kugelar ‘Cik jambu’
dengan penuh rasa kehairanan. Ialah, kalau aku sendiri tidak kenal pak
we yang dikatakan wujud, entah bagaimana pulak ‘Si Jambu’ ni tahu yang aku
berpak we.Tuan punya badan pun tidak mengetahui yang hatiku sudah
dipunyai, alih-alih dia punya cerita sensasi. Nampaknya, dia ni perlu
menukarkan gelarannya kepada ‘Miss Gosip’ yang meletup!
“Pelik sikit la Jambu, macam mana pula kau
tahu wujudnya pak we aku ni? Aku sendiri tak tahu dia wujud?” Sepasang mataku
memerhatikan wajahnya lagi. Wajah bujur sireh dengan sepasang mata galak.
Sekuntum senyuman dia lakarkan dengan sepasang bibirnya yang penuh. Seksi
bagiku, mata galak dan bibir yang penuh, bagaikan bibir heroin Hindustan,
Kareena Kapoor. Dia sebaliknya tidak menghiraukan pandangan mataku yang
merenung ke arah wajahnya. Dia segera berpaling membelakangkan aku, dan aku
hanya mendengar hilai ketawa panjangnya. “Ala, kau yang tak mahu mengaku dia
wujud, itulah sebabnya. Jual mahal sangat!”
“Apa yang mahal? Aku jual mahal?”
“Ya lah. Kau lah. Kau yang jual mahal”
“Pasal jual mahal aku tak tahulah. Tapi…
Aku memang la mahal.” Jawabku selamba. Kata-kata Zihan menjadikan kerjaku
segera terhenti. Fokusku ternyata terarah kepada ayat-ayatnya yang dimuntahkan
daripada sepasang bibir ala-ala Kareena Kapoor.
“Berapa mahal diri kau tu Far?”
Eh dia ni, main-main pulak, dengan soalan yang pelbagai. Idea baru
mencurah datang bertalu.“Kau nak nilai harga aku dalam Vietdong
ke? Manat ke? Rupiah? atau Rupee?”
Dia hanya ketawa kuat. “Banyaknya nilai
matawang. Mana-mana pun kan sama saja.”
“Manalah sama Cik Jambu ooi.Kalau Viet-dong, rupee atau rupiah,
kenalah sampai berbilion.Kalau setakat juta saja, manalah aci.
Kau ingat, harga aku ni macam harga anak ayam ke? Dua-tiga ringgit seekor?”
Dia menyambung ketawa. “Iya juga. Aku
lupa yang nilai matawang tu lagi rendah daripada Malaysia.” Dia meyambung
ketawanya. Entahlah istilah manalah yang lucu sangat!
“Sebenarnya Zi, yang aku sebut, itu
hanya harga semasa meminang aku. Bukan harga diri aku. Harga kita ini infiniti.
Tidak ternilai. Betul Cik Jambu?”
“Setuju.” Dia berkata berulang kali
sambil terangguk-angguk.Agak
lucu melihat gelagatnya yang begitu.
Aku kembali mengalihkan pandanganku
kepada skrin komputer di hadapanku. Jemariku ligat menaip sambil sesekali
memandang ke arah i-padku yang mengandungi informasi dan fakta yang telah aku
siapkan sebelum ini.
“Eeeh, jadi kau tak naklah ni?” Sekali
lagi soalan cepu emasnya berjaya mengalihkan fokusku lagi.
“Apa yang nak? Apa pulak yang aku tak
nak? Aku tak fahamlah Zi. Boleh cakap dalam bahasa yang aku faham!” Memulangkan
pertanyaan. Semakin lama berbual, semakin pelik komunikasi ini dihalakan. Aneh
sangat bunyinya.
“Jadi memang tak nak lah ni? Kalau tak
nak, ambik je barang tu, yang lain, aku simpan dan makan.”
“Eh jambu, makin peliklah kau ni.” Aku
menjawab kepadanya tanpa menoleh. Jemariku semakin ligat menyiapkan berita.
Satu perenggan yang cuba aku habiskan dengan gangguan daripada Cik Jambu sejak
tadi.
“Apa yang barang? Apa yang makan? Aku
tak fahamlah Zi!”
“Betul kau tak tahu?”
“Adoiii Cik Zihan Jambu. Memang-memang tak faham langsung la.Sekejap
kau kata barang. Sekejap kata makanan. Apa yang aku tahu? Apa pulak yang aku
tak tahu?”
Zihan tersenyum semula. “Ooo, jadi tak
fahamlah ni… Maksud aku, kau betul-betul
tak tahulah ni?”
Aku hanya menggelengkan kepala. Yang
sarat dalam fikiranku hanyalah jawapan, kepada soalan, kenapa dia diberi
gelaran jambu?
Pertama, disebabkan wajahnya yang masih
seolah-olah keanak-anakan. Walaupun sudah berusia pertengahan dua puluhan,
wajahnya manis persis gadis yang baru berusia lewat belasan tahun. Manis
bersari, kata boss kami. Kedua, kebetulan dia pula gemar memakai baju merah
jambu. Seminggu barangkali, dua tiga kali memakai baju merah jambu. Hari-hari
lain, walaupun mengenakan pakaian daripada warna lain, pasti terselit warna
merah jambu kepada pelengkap pakaiannya, tas tangan, atau barangkali sepatu
merah jambu. Dan bukan itu sahaja, mejanya juga dihiasi dengan perhiasan
berwarna merah jambu pelbagai.Alasnya yang berwarna merah jambu dengan corak garis putih yang memang
sedap mata memandang.
Aku hanya
mampu menggelengkan kepalaku, memang patutlah dia dipanggil dengan nama ‘Cik
Jambu’. Memang jambu kiri dan kanan. Meja, baju, malah make up pun masih
berwarna merah jambu. Walaupun solekannya hanya senipis, selapin nipis yang
dioles ke wajah, warna merah jambunya memang jambu! Memang selayaknya, dia
digelar Minah Jambu!
Dan apa lagi, ‘jambu’ jugalah gelaran yang diberi kepadanya.Pun
begitu, hanya aku yang boleh mengelarkan dia jambu. Jika teman-teman kami yang
memanggilnya ‘jambu’, dia pasti melenting.
“Kau tu yang pelik Cik Far?”
“Aku pulak yang pelik?Aku dah makin pening ni Zi. Tolong
jelaskan betul-betul. Mula-mula aku rasa kelabu je, blurr, lepas tu rasa macam
kelabu asap dah!”
“Ialah Far, memang kau pelik. Penat-penat orang beri, kau tak nak ambik
pulak.”
“Ambik. Ambik apa? Siapa yang beri apa?
Kenapa pulak aku yang pelik?” Pelik bercampur ragu. Kenapa pulak dia mesti
mengeluarkan kata-kata yang begitu?
Cepat-cepat aku mengeluarkan telefon
bimbit daripada tas tanganku. Skrin yang aku lihat tidak menunjukkan kedatangan
sms baru atau panggilan yang tidak berjawab. Bermakna, tiada pemberitahuan
tentang, apa-apa jenis pemberian sesiapa. Aneh sangat kata-kata Cik Jambu
sebentar tadi.
“Oooohhh, jadi Far tak tahulah ni?”
Aku memusingkan kerusiku yang beroda
mengarah kepadanya. Apatah lagi mejaku dan mejanya hanya berselang satu kotak
kubikel. Kali ini mataku terus memandang dia yang leka memandangku.
“Tahu apa?”
“Memang sah tak tahu ni?”
“Memang sangat-sangat sah Cik Propa!”
Aku menggelengkan kepalaku berterusan. “Adui si gadis jambu, janganlah
berteka-teki lagi. Apa dia? Cakaplah, apa yang tak kena?”
Sigadis jambu yang pada hari ini juga,
memakai baju merah jambu, terus tersenyum.Dan sepasang mataku terpandang akan bibirnya, yang tentunya
tercalit warna bibir merah jambu.
“Tak ada apa yang tak kena.Kau tu Far yang berjaya mengena.”
“Adoii. Tak fahamlah Mona. Boleh tak kau
terangkan sikit.”
“Tak payah terang-terangkan lagi. Ikut aku. Nanti bila kau nampak … tu,
baru kau ‘terang lagi bersuluh’.”Ayat Zihan memeningkan kepalaku.
“Aku kena siapkan rencana ni hari ni
juga, satu jam lagi perlu hantar kepada editor. Kalau kau tak kacau aku, 30
minit aku boleh semak dan habiskan ayat terakhirku.”
“Ala lima minit je. Lepas tu kau buatlah
kerja kau, aku tak kacau lagi.”
“Janji Jambu?”
“Janji.” Jawapan pendeknya memjadikan
aku merasakan bahawa janjinya adalah benar belaka. Mahu tidak mahu aku hanya
bangun dan bergerak bersamanya. Melayan dia selama lima minit lebih baik
daripada membiarkan dia mengganggu kerjaku selama mungkin. Nampaknya dia
berjalan laju menuju ke tangga.
“Ke mana kita?”
“Ikut aje lah.”
Aku hanya mengikutnya menurui anak-anak
tangga menuju ke ruang bawah, ke bahagian penyambut tetamu. Dua puluh anak
tangga lagi, kami akan sampai ke ruang bawah. Lagilah pelik! Perasaan yang
berbaur-baur. Perasaan berombak dalam kepala. Aku bimbang, kalau-kalau si Mamat
tu sudah menunggu di ruang hadapan. Tetapi, mana pula si Zihan ini akan
berkomplot dengan si mamat tu? Mana pulak dia tahu nombor telefon si Zihan @
Cik Jambu aku ini.
‘Jangan-jangan…’Terasa cuak sungguh dalam hati.
“Apa sebenarnya Zi?” Aku menyoal dia lagi.
Dia tersenyum. “Isskhh, tak sabar sungguh kawan aku ni?Sabarlah.
Kan kau selalu kata sabar tu separuh daripada iman.”
Akhirnya kami tiba ke tempat penyambut
tetamu. Lega melihat sesusuk tubuh itu tiada di situ. Nada jazz yang berlagu
dalam dada mulai tenang kembali, bagai tenangnya ombak sebaik laut mulai surut.
Jantung yang berdebaran seakan berdegup dengan nada perlahan kembali. Tidak
lagi perlu rasa berdegupan laju. Si penyambut tetamu yang baru sahaja bekerja
minggu lepas hanya tersenyum memandang kami.
“Ini Cik Farina ni.” Mona cepat-cepat
menyatakan kepada si Manis yang berada di kaunter.
“Ni ada jambangan bunga dan coklat untuk
Cik Farina.” Dia menghulurkan jambangan dan sekotak coklat.
“Cik Farina, sila tandatangan di sini.”
Dia menghulurkan sebuah buku kecil untuk ditandatangan.
“Terima kasih.”
Aku segera menyerahkan jambangan bunga
ke tangan Zihan yang sejak tadi sibuk, cuba membelek nama pengirim yang mungkin
ditulis di atas kad yang dikirimkan kepadaku.
“Pelik sungguh. Kad ni kosong saja?” Aku
merungut. Mana pernah pengirim mengirimkan kad kosong, tanpa nama. Malah
sepatah ayat pun tidak dititipkan di atas kad ini.
“Alamak Far, tak de nama pulak atas ni. Agaknya adalah tu secret admire ni!” Dia mengusik lagi.
Dia mulai mereka dengan perkataannya sendiri, membaca perkataan demi perkataan
yang kononnya tertera di atas kad tersebut kuat-kuat.
“Ayat powerla Far! Mantop!
Meletup!”
“Ayat power atuk kau Zi. Kau ni kan,
dah macam orang tak der kerja.Kalau ada pun orang yang syokkan aku,
takkan nak susah payah hantar macam ni? Entahlah kalau ada yang meletup-letup
mahu kat aku ni!” Aku terasa malas mahu melayan kerenah si Cik Jambu lagi@ Noor
Zihan. Kepalaku ligat memikirkan rencana yang perlu aku tamatkan segera.
“Dah la, jangan banyak songeh lagi. Aku
nak habiskan kerja aku ni.” Tangganku segera memberi dia jambangan bunga dan
sekotak coklat yang hanya dibalut dengan plastik jernih, serta berikat reben
yang berwarna merah menyala. Merah Ferrari atau dikenali dengan nama ‘Red
Ferrari.’
Dan kami cepat-cepat kembali ke meja
kerja kami.“Tolong beri
aku masa, nak siapkan cepat ni, sebelum editor mula ‘ring-ring lagi’.” Kali ini
aku seolah merayu dirinya.
“Okay. Aku tak kacau lagi. Aku nak pergi beli goreng pisang di gerai
bawah sana.Far nak
tak?”
“Pergilah beli, lama-lama sikit. Kau ni
kan jambu, ganggu konsentrasi aku sajalah.”
Dia hanya tersengih menampakkan pendakap giginya yang dihiasi dengan
warna-warni.Katakanlah apa sahaja, dia nampaknya tidak kisah dengan
apa sahaja gurauan yang keluar daripada mulutku. Katanya dahulu, “Aku sudah lali
dengan kaulah Far. Semua kata-kata kau, dah tak lut lagi.”
“Nah.” Segera aku menghulurkan dua keping duit berwarna biru cair kepada
dia.
“Tak payah, aku pun ada duit la.”
“Tak pe lah, kita kongsi. Nanti pasti
ada tetamu yang akan singgah ke meja kita ni.”
Melihat dia, ‘Si Jambu’ yang melirik pergi menjadikan aku
segera menyiapkan rencanaku yang sepatutnya dihantar segera ke editor bagi
membolehkan rencana disemak dengan kadar
segera. Maklumlah, akan ada lagi tugasan baru yang akan ditugaskan untukku nanti.
“Fokus Cik Far. Fokus. Kalau tak siap nanti Cik Puan akan
marah-marah aku nanti. Fokus.” Aku segera memberi amaran keras kepada diriku
sendiri. Sebenarnya sekadar memberi amaran palsu kepada diri sendiri agar cepat
melaksanakan tugasan yang diberi. Dan tiba-tiba fikiran segera memberi signal
pantas, “Alamak, Kak Ana pulak nak balik rumah mama malam ni. Kena cepat ni.”
Bukan senang untuk mendapat kesempatan bersama-sama, ramai-ramai begini.
Fokus selama jangka masa tanpa gangguan Cik Jambu
benar-benar memberi ruang dan peluang agar aku melunaskan tugasan dengan
segera. Saat yang berlalu bagaikan tidak terasa.
Jari telunjukku segera menekan perkataan ‘hantar’ ke
alamat emel ketua editorku dengan perasaan berlapang dada. Segera jemari
mendail ke nombor telefon ke mejanya, sekadar memberitahu aku sudah menghantar
tugasanku, walaupun aku sedar, dia pasti tahu jika ada emel dia yang baru
singgah lagi.
Segera
memberi salam apabila mendengar suaranya di hujung gagang. “Puan, saya Farina.
Saya baru saja menghantar tugasan.”
“Saya kenal
suara awak Far. Okay. Terima kasih.”
Mendengar
suara itu bagaikan mengangkat beban batu berat yang digalas di atas puncak
kepala.Lega. Tenteram rasanya di jiwa. Jam di tangan kiri segera
diperhatikan. Sudah agak dua puluh minit rupanya Cik Zihan ke kedai mamak di
hadapan bangunan tempat kami bekerja.
“Hai, lama pulak Cik Jambu ni pergi. Takkanlah kedai yang
hanya 10 meter pun ambil masa lama untuk ke sana?”
Jemari segera menekan telefon bimbit Black Berry, segera
mencari nama Zihan-si jambu dan segera menekan panel telefon untuk menghantar
mesej kepadanya.
Jambu- apa yang lama sangat!
Belum sempat jari telunjuk menekan perkataan ‘send’,
kelibat dia sudah mulai menjengah ruang hadapan meja kami.
“Apa yang lama sangat Cik Jambu?”
Zihan hanya ketawa mendengar nama panggilan manjanya
lagi. “Ala, sajalah aku lambat-lambatkan.Kalau cepat-cepat, ada pulak orang yang tak habis kerja!” Dia
memulangkan ‘ayat pedas’ tetapi dengan secebis senyuman.
“Adoiii, bisa
ooi.Bisa sungguh, kata-kata tu.”
“Bisa macam gigit dek semut je. Aku takkan bagi bisa kala
jenging dekat hang Far ooi.” Dia ketawa terus.
“Kau ngorat mamak kat kedai tu ka?”
“Ngorat! Kalau ngorat Mamat Bangla kat kedai tu pun, tak
akan ambil masa 20 minit Far. Seminit pun aku akan berjaya ajak dia dating.”
Dia tergelak-gelak lagi.
“Amboii. Mudahnya ngorat!” Aku melirikkan pandangan
mataku ke arahnya lagi.Dia
hanya tersenyum simpul lagi.
“Aku nak
balik cepat ni. Kak Ana nak datang rumah!”
“Belum jam lima lagi la.Kot iya
pun kalau mummykau tak panggil pasal
tugasan tadi.” Sempat Cik Zihan menyebut lagi pasal rencana tadi. Aku berdoa
dalam hati perlahan agar rencana yang kuhantar tadi akan memuaskan hati ketua
editor, jadi, bolehlah aku pulang ke rumah dengan senang hati.
“Zi, doakan sama untuk aku!” aku merayu dia. Aku
mengharapkan dia mendapat mesej yang aku cuba sampaikan.
“Doa yang mana?”
“Rencana aku tidak ditolak, mahu pun kena rombak secara
besar-besaran. Aku nak balik rumah cepat.”
“Oh rencana, aku ingatkan kau nak minta aku doakan
sekali, pemberi bunga ni cepat-cepat masuk meminang kau Far!”
“Bunga?”
Zihan tersenyum lagi. “Eiikk, dah lupa pulak.”Dia segera bergerak kembali ke
mejanya.Jambangan bunga yang aku terima tadi dia letakkan di atas
mejanya bersama sekotak coklat.
“Sibukkan bunga yang aku dapat je! Mana pisang goreng
tadi?”
Zihan bergerak kembali ke mejanya. Segera dia menghampiri
mejaku dengan sepinggan kecil goreng pisang, siap beralaskan pinggan kaca
berwarna coklat gelap.
“Kau makan dulu Far. Rumah kau dekat je, apa nak kisah.
Lagipun kalau jalan jem, surehati
panas beb!”
Sedang kami
leka berbual, telefon di mejaku berdering lagi. Dalam hati berdebar, ‘Janganlah
puan editor meminta aku merombak rencanaku lagi.Dah tak kuasa
mahu menunggu, sedangkan hatiku sudah lama singgah ke Vista Angkasa.’
“Hello.”
“Tahniah Farina. Rencana yang sangat menarik dan berkesan
di jiwa. Ini rencana terbaik awak bulan ini. Tahniah sekali lagi. Sebab tu saya
minta awak yang siapkan tugasan ni.” Kata-kata azimat yang melegakan sukma.
“Kenapa Far?” Jelingan Zihan seolah pelik dan meragukan.
“Puan. Bukan sekadar puas hati, siap ucapkan tahniah
lagi.”
Zihan tersenyum sama, tentunya dia turut merasa seronok.
“Tahniah Far. Bolehlah kau balik dengan senyuman sampai ke telinga.”
“Kau sebut pasal balik, jadi aku nak baliklah Zi.” Aku
cepat-cepat mengemaskan mejaku dan cepat-cepat bangun daripada kerusi empukku.
“Aku belum
habis cakap dengan kau Far.”
Dia masih merayu-rayu agar aku menunggu dan
berbual dengannya. Aku sedar, ada perkara yang ingin dia bongkarkan.
Betul-betul macam ‘geng propa.“Esok sambung
okay.” Aku cepat-cepat berlalu tanpa menghiraukan lagi suaranya yang masih
memanggilku. Di tanganku menjinjing beg kertas yang mengandungi jambangan bunga
dan sekotak coklat tanpa nama. Hati di dalam bagaikan bergendangan, tertanya
siapakah pengirim tanpa nama tersebut.