BAB 5
: FARHANA BT. FADZIL
5
“Pindah?” Aku mendengar perkataan itu seolah-olah diulang-ulang banyak
kali, entah kali ke berapa. Berulang-ulang lagi. Berkali-kali diputarkan daripada cuping telinga, mengalir ke
kokleaku, dan iya bergema ke dalam otak.Berulang kali lagi. Lagi dan
lagi, seolah akhirnya memberi satu tekanan kepada perasanku.
Kuulang bertanya lagi dengan memandang ke wajah mama. “Pindah? Mama?”
“Ya pindah.” Jawapan mama dengan sebuah senyuman. Indah.
“Pindah? Mama? Mana boleh macam tu!” Kuperhatikan wajah mama lagi. Wajah
yang masih kelihatan muda dengan potongan rambut pendek yang disisir rapi,
bagaikan tidak menunjukkan ekpresi negatif langsung terhadap permasalahan yang
aku bicarakan.
“Mana boleh? Apa yang tak boleh?” Mama
mendesak bertanya balik.
“Tak bolehlah kita nak pindah?” Aku
membalas.
“Bukan kita. Kami. Only us!”
“Kami? Bukan kita?”
“Kami. Kan papa dah habis kontrak kerja
dah. Papa nak pencen. Mama pun nak rehat. Mahu duduk diam-diam di tempat yang
damai.” Nada suara mama perlahan, mungkin dengan tujuan memujukku.
Tapi aku tidak akan betah dipujuk.‘A’ kataku, ‘A’ jugalah yang mesti
berlaku. “Pencen? Di mana-manapun boleh pencen?”
Aku bergerak lagi berdekatan dengan mamaku. Wajah mama kuperhatikan lagi.
“Di sini tak damai ke mama?”
“Sini? Damai? Berserabut adalah!”
“Berserabut?Mana ada berserabut? Mama tengok langit sana tu!”
Mama tersenyum kembali. “Hah, mama
tengah tengok langit sana. Apa kaitannya pula dengan kita yang akan pindah
rumah?”
“Langit sana tu biru warnanya!”
“Langit memang biru kecuali kalau hari
mendung.” Nada suara mama bertukar pelik sedikit. Tentulah dia pelik dengan
ayat yang aku pertuturkan.
“Mama tengok pula kolam di bawah rumah
kita ni!”
Mama menjungkitkan keningnya lagi. Hanya
kening sebelah kanannya yang terangkat, serupa rupanya dengan penyanyi bersuara
lantang, Ziana Zain. Hanya insan istimewa sahaja mempunyai kelebihan yang
serupa, menjungkitkan hanya sebelah
kening sahaja. Kebiasaannya insan lain akan menjungkitkan kedua-dua kening serentak.
“Langit tu sama warna birunya. Mama
tengok bawah sana pulak! Sama kan? Biru langit dan biru kolam!”
Aku memandang terus wajah mama.Mama mendongak ke langit sana
lagi. Agaknya dia bersetuju dengan
kata-kataku yang langit sana, biru. Sebiru nila yang menyenangkan jiwa. Dan
kusorot pandangan mata mama yang bergerak ke balkoni, dan menyorot pandangannya
ke kolam mandi di bawah sana. Di satu sudut, bebola mata coklat mama bertembung
dengan mata coklatku yang lebih gelap, agaknya, mengikut bebola mata papa.Daripada sepasang mata, lirikku
bergerak ke bawah hidung mama, terpandang sepasang bibir nipis yang tersenyum.
Mama terus menyambut kata akhirku,
“Kolam tu memang biru juga, jadi apa kaitannya …”
“Birukan maksudnya tenteram mama. Langit yang tenteram. Kolam yang
tenteram.” Aku beriya menyakinkan mama agar tidak berpindah dari rumah yang
menjadi ‘belahan jiwaku’ sekian lama.
“Tenteram tu Cik Adik? Kalau setakat warna biru saja?”
“Tenteram apa?Jadi selama ini mama nak katakan yang hidup kita tak
tenteram? Selama ni mama tak tenteram di sini? Pelik!”
Mama tersenyum, manis sungguh rupa mama.
Tapi kemanisan itu seakan membunuh kesedapan rasa di hati yang aku alami.
“Bukanlah begitu. Mama suka tinggal di sini. Tapi di sana tu lagi seronok
rasanya. Cuba Hana dengar alasan mama.”
“Kak Ana tahu hal ni?”
Mama hanya mengangguk.
“Kak Far tahu tak?”
“Tahu.” Perlahan sahaja suara mama
menjawab soalanku.
Aku mengubah gerak badanku dengan mengadap mama. Perkataan ‘Hana’ menarik
perhatianku. Biasanya mama akan memanggilku dengan nama gelaranku ‘adik’,
penanda adik bongsu, yang bunyinya lebih mesra dan manja.Hana bermakna
perasaan mama beralih daripda ‘manja’ kepada sesuatu yang lebih serius. Suara
mama masih bersahaja, tetapi belum cukup menyakinkan aku yang mama hanya
berperasaan biasa. Aku cuba mendengar kata-kata mama dengan penuh khusyuk.
Manalah tahu nada panggilan ‘Hana’ sebentar tadi akan berubah kepada ‘adik’
yang lebih manja nadanya.
“Tengok rumah kita ni. Lantai rumah kita
ni, jadi bumbung orang. Bumbung kita pula, lantai rumah orang lain. Kiri dan
kanan pun dinding rumah orang.Papa dan mama dan tinggal di rumah yang ada dinding sendiri, ada lantai
sendiri dan ada bumbung sendiri.”
“Itu saja? Apa masalahnya kalau bumbung, lantai dan dinding yang
dikongsi?Adik tak Nampak apa masalahnya pun?”
Mama hanya tersenyum lagi. Tapi riak
matanya melemparkan pandangan lirik mata yang tidak menyenangkan. Sakit hati
melihat jelingan maut mama. Mata kecil yang menjeling pun, aku lihat tidak
‘enak’. Sering membunuh rasa. Jelingan itu seolah memberi tahu, masa bertanyaku
sudah tamat. Aku hanya boleh memilih, sama ada setuju untk mengikut atau tidak
sahaja.
“Jadi, keputusan mama muktamad ke?”
“Ya, keputusan kami muktamad. You can choose. Either you’ll be part of the plan, or you’re out of the plan.”
Keputusan yang dinoktahkan. “Kalau Hana
nak tahu lanjutnya, tanyalah papa sendiri. Mama pasti tempat tu menarik. Nanti
tanyalah papa sendiri.”
Ayat yang dihabiskan mama sekali lagi
mencengkam jantungku. Adrenalin yang bertempiaran lari dalam ruang lohong
jantungku, hanya menjadikan pukulan drum jantung tidak menentu. Seolah
menjongkang-jongkit tidak menentu! Dalam kesamaran fikiran, terdengar suara
kunci yang berbunyi daripada luar. Tentunya papa sudah pulang daripada
permainan golfnya.
“Tanya papa?” Kata mama lagi, masih
dengan jelingan mautnya, tetapi diimbal balik dengan senyuman manisnya
mengiringi ke sorotan mataku yang tepat memandang wajah bujurnya.
“Ya, Adik akan tanya papa?” Aku memegang
lengan mama, seolah cuba menarik dia agar menyokong aku yang keberatan untk
berpindah sama dengan mereka.
Mama menjeling aku lagi. Tangannya yang kupegang dijeling lagi.“Mama
sudah buat keputusan untuk berpindah. Hana tidak dipaksa.Hana boleh terus tinggal di sini.
Boleh tinggal dengan Kak Ana. Atau boleh tinggal dengan Kak Far.”
Bagaikan berulang kali perkataan-perkataan itu berulang disebut-sebut
lagi “Kak Ana atau Kak Far. Kak Far atau Kak Ana…”
Wajah ayah yang muncul di sebalik daun pintu seolah sesuatu yang tidak
melegakan sekali.Andai aku merayupun, pasti papa akan tetap
dengan keputusannya.
“Macam mana ni papa?” Segera menerpa
papa.
“Ahaii… kalau iyapun, bagilah salam
dulu.”Papa memulakan
dengan salam. Salam bersambut.Mama dan diriku segera menyambut salam
papa.
“Apa soalan tu tadi?”
“Macam mana ni papa?”
“Macam mana apa? Papa ni tak tahu hujung
pangkalnya? Apa yang Adik mahu?”
Aku segera memindahkan tempat dudukku
berhampiran papa di kerusi empuknya. Bersebelahan dengan papa, melihat
senyumannya membuatkan aku rasa ingin mendesaknya dengan soalanku berterusan.
“Pasal kita. Kita kan nak pindah!”
“Bukan kita. Kami.” Jawapan yang
disampaikan papa dengan senyuman. Sama sahaja dengan jawapan mama. Agaknya
telepati minda mereka sama serupa.
“Bukan kami papa. Kita.” Aku memberi
jawapan mulusku. Bagaimana pula papa dan mama mahu berpindah dengan
meninggalkan aku di sini.
“Papa dan mama memang mahu pindah. Adik
boleh pilih nak ikut kami atau tinggal dengan Kak Far atau Kak Ana. Papa takkan
paksa Adik pindah kalau itu yang Adik mahu.”
“Adik tahu…”
“Kalau dah tahu, apa pula halnya?” Papa
memulangkan senyumannya kepadaku, yang aku percaya mempamerkan wajah yang
kelat.
“Masalahnya si Adik ni tak mahu kita
pindah. Dia nak kita tinggal di sini, sampai habis STPM dia.” Mama mulai
menyampuk bicara kami. Memang kata-kata mama ada betulnya. aku tidak mahu mama
dan papa berpindah. Aku mahu mereka tetap tinggal di sini. Sekurangnya sampai
aku habis STPMku.
Papa hanya tersenyum. Lelaki yang sudah
mencecah 56 tahun ini hanya melirik senyumannya lagi.
“Mama nampak sangat masalah ni ke mana.
Mula-mula adik kata sampai dia habis STPM. Lepas tu, tunggu sampai dia habis U.
Lepas tu, dia kata, tolonglah mama,
sampai adik kahwin je. Lepas tu sampai lagi dia beranak sulung. Begitulah.
Beginilah. Mama kenal sangat dengan adik ni.Penuh dengan muslihat.”
“Betul-betul… Si adik ni penuh dengan muslihat.”Sapa papa pula.
Mengiyakan kata-kata mama menjadikan hatiku terasa luka. Tercalar dengan
kata-kata yang sebenarnya ada kebenarannya.
“Tak baik mama tuduh adik macam tu!”
Hatiku terasa tersentuh. Sampainya hati mama berburuk sangka denganku. Tetapi
benar sekali kata-kata mama, akal panjangku sudah terfikir akan helah-helah
yang sebegini.
“Adik. Beginilah…” Papa mula berkata
sesuatu. Suasana yang hening sebegitu lama. Semuanya terdiam seketika.
“Papa dan mama sudah sangat-sangat
demokrasi. Kami mahu menikmati sisa kehidupan dengan ketenteraman.Kami mahu bercucuk tanam.”
Terdiam mendengar ayat-ayat maut’ ayah. Ialah, ‘berumah pangsa’, tanpa
mengira rumah flat, pangsapuri kos
sederhana, pangsapuri kos mewah atau
kondominium mewah sekalipus seperti
rumah mama dan papa, masakan boleh memberi ruang untuk mereka bercucuk tanam.Jangankan
tanah ‘sekangkang kera’, tanah ‘sekangkang anak kera pun’ tiada di ruang rumah
kami. Pokoknya tiada tanah untuk bercucuk tanam.
“Kami mahu beli ikan dalam kolam. Itulah
sebabnya.” Papa menghabiskan kata-katanya.
“Ikan? Kolam?” Aku bertanya lagi. Pelik
dan semakin pelik dengan cita-cita dan harapan papa yang tidak pernah papa
nyatakan sebelum ini.
“Dah lama ayah fikir dah.Tapi kami terpaksa tunggu sampai papa
pencen. Papa sudah bersara. Tak ada sebab papa mesti tinggal di sini lagi.”
“Tapi papa, adiklah sebabnya kenapa papa
mesti tinggal di sini.”
“Tak ada tapi-tapi lagi Adik. Adik boleh ikut
serta atau terus tinggal di sini.” Giliran mama menyampuk. Aku kalah dengan
tujahan ayat yang begini dan begitu.
Mata mama terus memandang tepat ke
arahku. Pandangan matayang seolah menikam tajam ke jantung. Terasa jantungku
bernyanyikan lagu rancak, berbagai irama. Benar, pandangan itu seolah membunuh
rasa sukaku. Jantungku bagaikan mahu terasa terhenti dengan pandangan mata
mama.
“Sepanjang hidup kami Adik, mama dan papa berfikir tentang anak-anak.
Dulu berfikir tentang Kak Ana. kemudian Kak Ana masuk U, bekerja dan berkahwin.
Lepas tu berfikir lagi tentang Kak Far. Kak Far pula masuk U dan bekerja. Kami
tahu Adik akan mampu mengulangi kejayaan yang sama. Berilah kesempatan kami
berfikir untuk diri kami sendiri.”
Sekali lagi ayat yang keluar daripada bibir mama membunuh segala ayat
penghujahan yang sedang bermain dalam fikiranku. Aku hanya mengangguk-angguk
ringan. Terasa bersalah dalam hati. ada ketikanya aku memikirkan yang mama dan
papa hanya mementingkan diri mereka sendiri. Sebenarnya, aku yang bersalah. Aku
akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan hujah-hujah mama. Memang ada
kebenarannya, sudah masanya mama dan papa berfikir tentang diri mereka!Aku
hanya pentingkan diriku sendiri. Selama ini kehidupan mereka hanya berpaksikan
kepentingan anak-anak gadis mereka sahaja. Sudah masanya mereka berpaksikan
kehidupan tua mereka bersama.
“Nanti rumah ni, kami akan beri kepada Kak
Ana. Kak Ana akan terus tinggal di sini, Adik boleh tinggal bersama mereka. Tak
ada masalah.”
“Itulah masalahnya ayahnya. Si Adik ni,
tak mahu tinggal dengan Far atau Ana. Nak tinggal dengan kita.” Sekali lagi
mama menyampuk bicara kami.
‘”Macam ni lah Farhana, jangan pening-pening lagi.Nanti adik ikut
mama dan papa ke sana. Bercuti sebulan di sana. Lepas tu adik buatlah keputusan
mahu tinggal di sana atau tinggal di sini. Papa tak akan menghalang sebarang
keputusan adik.”
‘Halang! papa memang tak halang. Tapi
adik mahu tinggal dengan mama dan papa di sini.’ Hati berbisik, bagai mendengar
perlahan di telinga sendiri. Itulah masalahnya. Persoalan dan penyelesaian yang
tiada tolak ansurnya. Aku hanya mahu mama dan papa terus tinggal di sini!
“Boleh berfikir kemudian.” Kata papa
lagi. Sepasang mata coklat papa terus merenung aku.
“Papa…”
“Kenapa?” Mama cepat-cepat menyampuk.
Agaknya dia sudah lali sangat dengan karenah anak bongsunya yang ini. Aku akan
emngasak mereka berkali-kali sehingga mereka mengubah keputusan mereka.
“Tak boleh tunggu setahun lagi?
Tunggulah…” Aku terus merayu lagi walaupun aku tahu keputusan mereka sudah
muktamad. Manalah tahu, dek kerana kasihankan anak bongsu mereka ini, mereka
akan mengbah keputusanmereka.
“Setahun tu lama Adik…” Pintas mama.
“Kenapa pula lama? Setahun tak lamalah
mama.” Pelik, apa yang lama sangat tentang setahun. Setahun hanyalah dua belas
bulan. Cuma ada 364 hari suku. Genap tahun lompat, barulah cukup 365 hari.
Kalau mahu lama sedikit, kiralah dalam kiraan minit atau saat. Jadi, apalah
yang lama sangat untuk dinanti dalam setahun cuma! Berbanding dengan puluhan
tahun mama, papa serta kami tinggal di sini.
“Rumah, kalau tinggalkan setahun akan bersawang labah-labah.”
“Labah-labahkan I tak takut mama, I
takut ada jin pulak yang menumpang!” Kata-kata papa bagaikan panahan petir yang
melintas.
Aku
terasa semakin pelik. Rumah yang mana pula yang mama dan papa maksudkan.
“Rumah? Rumah yang mana?”
Mama dan papa saling berpandangan.
“Rumah di sana. Papa dah mulakan projek membuat rumah empat bulan yang lepas.
Jadi elok saja papa pencen, ayah dan mama mahu tinggal di sana.”
“Jadi, papa dan mama dah lama rancang
semua ni?”
Mama mengangguk ketika mataku memandang
ke wajahnya. Ayah juga mengangguk ketika mataku memintas pula memandang ke
wajahnya.
“Papa bukannya mahu membelakangkan Adik.
Papa cuma agak jemu dengan kehidupan di sini. Papa suka kehidupan kampung.
Nenek dan datuk kamu sudah lama berikan papa sekeping tanah di sana.”
“Sudah lama kami hidup dalam impian
orang lain Adik. Mama dan papa kepingin menikmati impian kami.” Aku dapat
rasakan itulah ayat penyudah berbincang kami. Ayat yang memisahkan bahawa kami
tidak boleh berbincang lagi.
Keputusan ayah dan mama nampaknya
muktamad. Aku yang perlu memuktamadkan hati. Hatiku berbisik, persoalan antara
dua jawapan. Di sana? Atau kekal di sini? ‘Masih mahu kekal di sini, tidak
berkesempatan lagi tinggal dengan papa dan mama! Atau berpindah ke sana,
bersama mereka dengan meninggalkan teman-teman baikku di sini, sekolahku,
bandar yang aku cintai dan mengharungi dunia baru di sana!’
“Banyak lagi masa untuk Adik fikir. Ikut
saja kami dulu ya.” Papa memujuk perlahan. bahunya menepuk-nepuk ringan bahuku.
Mama hanya mengangkat keningnya menandakan dia setuju.
“Okay ayah. Adik akan fikir
masak-masak.”
“Memang kena masak-masak, tak boleh setengah masak lagi.”Kata
mama sambil tergelak. Ah mama! Main persendakan pulak! Dia barangkali tidak
tahu gelodak kepahitan yang bermain dalam fikiranku.
“Jadi, bila mama dan papa nak ke sana?”
“Tiga minggu termasuk hari ini.”
“Dua puluh satu hari?” Secepat itu
mereka akan berpindah. Mana mungkin, semua barang belum berkemas lagi.
“Cukup tiga minggu untuk kemaskan barang?”
Papa mengangguk-angguk ringan. “Kami tak
bawa semua barang. Semua ni kecuali televisyen, alatan perakam video, pakaian
saja yang akan mama bawa.”
“Kusyen kesayangan ayah ni pun nak
tinggalkan?”
Papa tergelak. “Set Kusyen ni ayah bawa.
Yang lain, kan Kak Ana dah ada.Kak Ana dan Abang Sham akan bawa barang mereka ke sini. Kan mereka yang akan
tinggal di sini.”
“Kos beli barang baru lagi murah
daripada bawa pindah barang dari sini.” Mama menyambung dengan ketawa kecil.
“Tak ada apa pun yang akan berubah di sini, kecuali set kusyen Kak Ana
yang akan diletakkan di sini.”Kata-kata mama lagi yang menyambung,
seolah menyengat perasaan. Mengusik hilu rasa hati.
“Mana pulak yang tak berubahnya mama,
kan mama dan papa tak tinggal di sini lagi!”
Mama hanya tersenyum. “Kalau macam tu
Adik, ikutlah mama pindah. Tentu Adik akan sukakan tempat baru tu. Mama yakin.”
‘Yakin! Aku yang tidak yakin akan
menyukai tempat itu.Aku
kan gadis
bandar. A town girl. City girl. Aku
dilahirkan di Lembah Klang dan berada di sini sepanjang usiaku!Aku kan
gadis Kuala Lumpur. Aku berada di persekitaran bandar sepanjang hidupku!
Bandar inilah yang menjadi jalan-jalan dan lorong-lorong permainanku.Jalan
Tunku Abdul Rahman, Sogo, Pasar Budaya, KLCC, itukan padang permainanku!
Masakan aku bisa hidup tanpa padang itu!’ Hatiku berdetik. Seakan berasak jauh
ke dalam jiwa. Keputusanku terasa perit untuk dibuang. Bagaikan ditelan mati
emak dan diluahkan mati bapak. Semuanya susah dan menimbulkan keluh kesah!
“Minggu depan adik nak keluar dengan kawan-kawan?” Aku cepat-cepat
meminta izin. Maklumlah hari minggu ini, kedua-dua hari sabtu dan ahad ini aku
habiskan dengan belajar di rumah sahaja.
“Ke mana?” Soal papa. Aku tahu papa yang akan menyoal macam-macam
perkara. Tidak seperti mama, yang seolah sudah yakin dan percaya sangat dengan
anak gadisnya ini.
“Tak tahulah lagi ayah. Selalunya kami ke Central Market atau ke KLCC.”
“Tahu ke macam mana nak ke sana?”
Aku tergelak. Entah berapa ratus kali
aku ke sana dengan menaiki LRT, yang kebetulan stesyen betul-betul di bawah
apartment kami.
“Jangan kata buka mata papa, pejam mata
pun Adik boleh sampai ke sana. Adik dah besar ayah. Janganlah ayah risau
sangat.”
“Besar? Besar tak payah risau?Pasal dah besarlah lagi perlu risau
Adik!”
“Ramai tau gadis remaja yang lari dari rumah. Sebaya Adik ni.”
Aku tergelak. “Itu orang yang tak tahu apa maksud kasih sayang.Sikit-sikit
nak merajuk. Sikit-sikit nak lari dari rumah. Adik bukan orang yang macam tu.
Tak ada sebab Adik nak lari dari rumah papa ni. Bodoh sangat kalau Adik buat
macam tu!”
Papa hanya mempamerkan senyuman yang
berwajah kelat, mempamerkan perasaannya yang masih ragu-ragu. “Itu kata mulut,
belum kata hati Adik. Remaja Melayu kalau ikut statistik jumlah peratus yang
paling tinggi lari meninggalkan rumah dan keluarga. Buat papa bimbang.”
“Ala, janganlah bimbang mama, ayah.
Kalau Adik nak larikan diri dari rumah, Adik akan pastikan Kak Ana, atau Kak
Far tahu tentang hal ni.”
Ayah sekadar menggeleng-gelengkan
kepalanya. Mama cepat menghulurkan jari runcingnya dan mencubit kuat lenganku.
“Adooii. Sakitlah mama.” Berulang-ulang
kali aku menjerit kesan ketaman halus mama.
“Sekarang ni dia main-main. Nanti bila dah jadi seorang ibu barulah tahu,
susah ke senang ke jaga anak ni. Terutamanya anak perempuan. Macam yang pernah
disebut orang tua, menjaga anak perempuan ni bagai menjaga sekandang kerbau.”
Aku hanya tergelak. Entah bagaimana pula dikaitkan menjaga anak-anak
perempuan dengan sekadang kerbau. Dalam kepala segera membayangkan diriku
dibandingkan dengan sekandang kerbau. “Mama, betul ke orang-orang tua ni,
takkanlah susah sangat nak menjaga sekandang kerbau. Kalau kurung dalam kandang
kerbau-kerbau tu, bagi makan, taklah susah sangat.Takkanlah susah
sangat nak dibandingkan membesarkan anak perempuan.” Aku tergelak lagi.
Kadangkala pemikiran orang tua lama-lama ini tidaklah boleh digunapakai lagi.
Mereka mencipta kata-kata perbandingan yang kurang sesuai dengan zaman baru,
a.k.a Zaman Milenium baru.
“Kerbau kalau seekor memang la tak susah
Adik oo. Kalau dah sekandang, tentulah macam-macam karenah. Susahlah jadinya.”
Aku masih tergelak. Entahlah kenapa
kerbau pula yang diambil sebagai perbandingan dengan menjaga anak perempuan.Kenapa tidak pula membandingkan
dengan lembu, atau kambing, atau ayam atau itik?
“Jadi macam mana Adik. Jadi ikut mama
dan papa ke pulau tu?” Soalan mama menusuk kalbu lagi. Benar ke apa yang disoal
mama lagi?
“Okaylah, adik akan ikut dulu, hanya
bercuti tau… tapi Adik… tak janji nak ikut mama dan papa …ke sana.” Aku
mengeluarkan perkataan yang bernilai ‘intan’ dari bibirku lambat-lambat. Aku
seolah-olah cuba memerangkap papa dan mama dengan kata-kata simpati, semoga
lahrlah perasaan empati agar mereka tidak tergerak hati untuk mahu berpindah
dari sini. Biarlah mereka kekal di sini.
“Terpulanglah Adik. Adik boleh tinggal
di mana-mana saja Adik mahu. Tinggal dengan papa dan mama di sana. Boleh. Tak
ada masalah.”
“Di sana?” Aku bertanya balik. Jika ada
pilihan lain untukku.
“Boleh juga tinggal dengan Kak Ana di
sini. Di rumah ni.”
“Di sini?”
Cepat nampaknya mama memintas
kata-kataku, seolah-olah dia memahami aku meminta opsyen yang lain. “Atau,
boleh juga adik tinggal dengan Kak Far di rumah bujangnya.”
“Rumah bujang? Sejak bila pula Kak Far tinggal di rumah bujang?”
“Bila mama dan papa berpindah nanti. Kak
Far mahu beri kebebasan kepada Kak Ana untuk tinggal di sini. Lagipun rumah
papa di Pantai Dalam tu dah lama disewakan orang. Papa nak beri Kak Far tinggal
di sana.” Papa menjelaskan panjang lebar.
“Ya betul tu. Sekolah Adik pun tak jauh
dari situ.”
Jantungku terasa tersentap. Seolah
terhenti seketika.Tertanya
dalam hati, adakah benar maksud ayat ayah itu sebentar tadi.Serius
sangatkah mereka untuk membiarkan aku membuat pilihan.
Melihat kepada senyuman papa dan mama,
aku menyedari mereka benar-benar maksudkan apa yang mereka sebutkan tadi. Dan
aku menjadi bimbang. Setiap pilihan yang dinyatakan, pasti ada pro dan
kontrasnya. Aku bakal kehilangan teman-teman jika mengikut berpindah bersama
ibu dan bapaku. Sebaliknya jika aku masih kekekal di sini, aku tidak akan betah
kehilangan ibu dan papaku. Dan fikiranku menjadi tidak keruan. Yang mana
satukah akan menjadi pilihanku?
“Adik nak study di bilik la
mama, papa.”Kataku sambil tersenyum. Dua minggu lagi persekolahan
akan berakhir. Dalam tempoh bersekolah di tingkatan enam rendah, atau lebih
sinonim dengan Kelas Pra U, masa yang terluang tidaklah boleh aku bazirkan
begitu saja. Aku akan meneruskan pengajianku sebaik-baik mungkin. Cuti
persekolahan yang akan tiba, bukanlah
masa untuk bergurau senda, atau hanya bermain-main kosong. Akan aku manfaatkan
untuk kebaikan diriku juga. Pintu bilik yang kubuka seolah mempamerkan
pandangan kosong. Tingkap yang mengadap awan, segera membolehkan aku menatap
pemandangan langit yang kosong, sekosong hatiku.
Entahlah! Di jiwaku terasa kosong. Dalam
hatiku terasa kosong. Dalam mindaku juga terasa sifar. Tiada lain dalam
fikiranku, hanya sifar. Infiniti. Tanpa suara. Tanpa bahasa. Aku kaku
sendirian. Di dada langit, mataku hanya nampak warna yang senada. Kelabu dan
kaku. Membayangkan yang gadis metropolitan seperti yang akan berada jauh di
utara sana menjadikan aku kelu. Kaku. Aku hanya nampak sejalur warna hitam.
Kelam. Dan lebih jauh terasa kelam kerana akulah orang di rumah ini yang tahu,
yang mama dan papa akan berhijrah jauh. Jauh lebih lambat daripada Kak Ana dan
Kak Far! Akukah ini yang terpinggir?