11
Beberapa belas tahun kemudian...
JARUM jam baru menuding ke angka 8.30 pagi. Di dalam
bilik berhawa dingin itu, kelihatan seorang perempuan muda bernama Doktor
Humaira. Dia yang merupakan seorang doktor pakar psikiatri itu sudah
bersemangat untuk memulakan tugasnya. Dia membelek-belek dada planner untuk memeriksa jadual temu
janji dengan para pesakit yang dirujuk kepadanya sepanjang hari itu.
Tugasnya agak berbeza daripada tugasan yang biasa
dilakukan oleh doktor-doktor lain. Di situ, dia mempunyai kepakaran untuk
merawat dan mengubati kelainan yang berlingkar di dalam otak manusia. Dia
mempunyai beberapa temu janji sepanjang hari itu tetapi perhatiannya tertumpu
kepada temu janji pertamanya dengan seorang pesakit bernama Hidayat pada pukul
9.30 pagi nanti.
Kisah kemalangan ngeri yang menimpa Hidayat sekeluarga
bukanlah asing lagi malah menjadi perbualan orang ramai yang mengetahuinya
melalui liputan meluas media massa. Kereta Mercedes Benz yang dipandu Hidayat
dikatakan tidak dapat dikawal dan terbabas ke jurang lalu terhumban ke dalam
sebuah anak sungai. Dia diketemukan pengguna jalan raya merayau-rayau dalam
keadaan cedera serta terpinga-pinga lalu terus dibawa ke hospital. Mujurlah dia
tidak cedera parah dalam kemalangan itu.
Ironinya, dia langsung tidak mampu mengingati apakah yang
telah berlaku kepada dirinya serta bagaimana dia merangkak keluar dari jurang
yang dalam itu. Disebabkan kegagalannya membekalkan maklumat tepat tentang di
manakah lokasi sebenar dia terlibat dalam kemalangan membuatkan anggota penyelamat
berhadapan dengan kesukaran untuk mengesan isteri serta anaknya. Hanya empat
hari kemudian barulah mereka menemukan mayat isteri serta anak perempuannya
yang berusia dua tahun terperangkap di dalam bangkai kereta yang terhumban ke
dasar sungai.
Ngeri dan trajisnya insiden itu membuatkan lensa-lensa
kamera tertumpu ke arahnya. Pencarian yang mengambil masa beberapa hari itu
tiba-tiba sahaja menjadikan Hidayat terkenal dan diburu oleh pihak media massa
yang dahagakan skop untuk berita mereka. Ditambah lagi dengan paparan wajahnya
sebagai seorang lelaki yang boleh dikatakan tergolong dalam kategori kacak
serta arwah isterinya yang jelita, maka sudah pastilah ramai yang bersimpati
dengan nasib malang yang menimpa pasangan muda itu.
Sewaktu kisah tentang Hidayat galak disiarkan dalam
ruangan berita di televisyen, Doktor Humaira juga tidak ketinggalan untuk
mengikutinya. Malah, beberapa keratan akhbar tentang kejadian itu juga telah
digunting kemas dan disimpan di dalam sebuah fail khas, tabiat yang sering
dilakukannya sejak dia bergelar siswi di Universiti Malaya dahulu lagi. Tidak
sangka sama sekali, lelaki yang beberapa minggu lalu hanya dilihat wajahnya di
dada-dada akhbar dan di kaca televisyen, hari ini akan berada bersamanya di
dalam bilik itu.
Populariti Hidayat itu buat dia rasa sedikit teruja untuk
temu janji pertama kali mereka ini. Entah kenapa dia tidak selesa akan perasaan
sebegitu.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar. Jururawat muda
bernama Ayu Latifah yang baru lima bulan menamatkan pengajiannya di sebuah
kolej kejururawatan, menjengahkan kepalanya. Doktor Humaira dihadiahi seulas
senyuman.
“Assalamualaikum, doktor.” Ucap Ayu Latifah dan tanpa
dipelawa dia terus melangkah masuk.
“Waalaikumussalam.”
“Pagi-pagi begini elok kalau kita murah dengan senyuman,
doktor.” Dalam lembut bicaranya sempat juga Ayu Latifah menyindir Doktor
Humaira yang sentiasa serius dan sukar tersenyum itu.
Sewaktu mula-mula bekerja sebagai pembantu doktor itu
dahulu, hati Ayu Latifah sering mempersoalkan bagaimana seorang yang serius,
sukar senyum dan ketawa seperti Doktor Humaira boleh mengendalikan pesakit yang
menghadapi masalah berkaitan mental. Sepatutnya seorang doktor haruslah ceria
ketika berhadapan dengan para pesakitnya.
“Agaknya wajah Doktor Maira yang semulajadi lembut dan
keibuan itu mampu menyembunyikan kekurangan dirinya yang susah nak senyum dan
ketawa.” Akhirnya Ayu Latifah membuat kesimpulannya sendiri.
“Berdesing telinga saya ni dengar sindiran awak tu, Ayu.”
Kata Doktor Humaira.
“Doktor ni manis orangnya. Kalau doktor selalu tersenyum
mesti lebih manis lagi. Orang yang banyak senyum dan ketawa ni, awet muda,
doktor.” Ayu Latifah sengaja mengusiknya.
“Nanti ramai pulak yang terpikat.” Sahut Doktor Humaira,
selamba. Tanpa menghiraukan Ayu Latifah yang sedang duduk di depannya, dia leka
membelek fail yang mengandungi keratan akhbar mengenai pesakit yang bakal
ditemuinya seketika nanti.
Begitulah tabiatnya, sebelum bertemu dengan pesakit yang
dirujuk kepadanya. Dia akan membuat sedikit kajian tentang latar belakang
mereka dahulu. Dalam erti kata mudah, dia mahu mengenali terlebih dahulu
siapakah pesakitnya itu. Secara tidak langsung ini akan memudahkan proses
komunikasinya dengan mereka ketika berdepan nanti.
“He he he...” Ayu Latifah ketawa mengekel-ngekel
membuatkan Doktor Humaira mengalihkan pandangan daripada artikel yang sedang di
bacanya ke wajah bulat Ayu Latifah.
“Doktor takut ke kalau ada patient yang jatuh hati pada doktor?” gurau Ayu Latifah lagi.
Tahap keseriusan yang bertapak di wajah Doktor Humaira
semakin bertambah. Kenapa dengan perempuan depan aku ni? Dia ingat aku ni jenis
yang tak laku ke sampai kepingin kepada pesakit sendiri? Gerutu hati doktor
muda itu.
“Awak ni tak ada kerja ke, Ayu? Apa tujuan awak jumpa
saya ni?” Doktor Humaira menghentak suara. Di saat-saat begitu, dia ingin
dibiarkan bersendirian bukannya berbicara kosong yang tiada faedahnya.
Ayu Latifah dapat rasakan sesi perbualannya dengan Doktor
Humaira awal pagi itu sudah sampai ke penghujungnya dan perlu ditamatkan
segera.
“Errr... sorry, doc.
Jangan marah ya dengan gurauan saya tadi. Doktor dah breakfast?”
“Hmmm... concern
jugak awak tentang saya ya? Sebelum keluar rumah tadi, saya dah breakfast. Sempat minum kopi dengan roti jagung aje pagi ni. Awak dah sarapan?”
Ayu Latifah mengangguk. Dia mengangkat punggungnya hendak
melangkah keluar dari bilik itu. Ketika itulah telefon hitam yang tercatuk di
atas meja kerja Doktor Humaira berbunyi. Doktor Humaira segera mencapai gagang
lalu memekapkannya ke telinga.
“Saya keluar dulu, doc!” Ayu Latifah yang sudah sampai di
muka pintu, bersuara.
Doktor Humaira hanya menganggukkan kepalanya.
“Hello, Doktor
Humaira.” Sapanya ke arah si pemanggil. Dia menelinga beberapa ketika. “Tak
apalah kalau Encik Hidayat ada hal pagi ni. Kita boleh aturkan pertemuan
semula. Saya sambungkan Encik Hidayat dengan pembantu saya ya,” kata Doktor
Humaira sambil segera menyambungkan panggilan yang diterimanya seketika tadi ke
meja Ayu Latifah.
Panggilan yang diterimanya seketika tadi adalah daripada
Hidayat. Dia menelefon sekadar untuk memberitahu yang dia tidak dapat hadir
untuk sesi temu janji mereka yang dijadualkan pada pagi itu.
Untuk makluman: Ini adalah entri terakhir saya untuk manuskrip ini di Ilham Karangkraf. JANGAN lupa baca karya-karya saya yang lain juga ya. Terima kasih.