Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
3/2/2015 08:05:36
7,159
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

BAB 1

SINAR matahari tegak di ubun-ubun kepala. Langkah dihayun laju mengharungi denai-denai kecil di situ. Dia mesti cepat. Kalau tak, dia pun akan jadi mangsa. Matanya melingas ke kiri dan ke kanan mencari jalan keluar dari hutan tebal itu. Namun masih gagal.

Apa benda yang dilihatnya tadi? Hatinya berulang-ulang kali bertanyakan soalan yang sama. Rasa takut mula menguasai diri. Namun dia perlu kuat. Langkah dihayun lagi dengan pantas meredah semak-samun dan pohon-pohon renek yang menjalar di sana sini.

Dia tidak kisah badannya calar-balar terkena duri-duri pohon renek itu. Asalkan dia dapat cari jalan keluar dari hutan tebal ini. Fikirannya masih lagi berlegar-legar tentang benda tadi. Macam mana mayat itu boleh jadi begitu rupa? Kering seperti tunggul kayu.

Bayang-bayang lembaga itu yang dipanggil mayat masih lagi melekat kuat di layar memorinya. Seperti perakam DVD memainkan semula tayangan gambar cerita ‘Alien’. Badan mayat itu mengerekot keras, mulutnya kecut merenyut dan kulitnya melekat rapat menyaluti tulang-temulang dalam keadaan seperti kulit kayu mati.

Soket matanya pula berlubang dan kosong tiada isinya lagi. Gendernya tidak diketahui. Tidak sempat untuk diteliti. Hee...ngeri!

Langkah dihayun lagi seperti orang gila. Dia tidak sabar-sabar hendak meninggalkan hutan yang dianggap puaka itu. Anak matanya melingas memandang sekeliling, mahu memastikan yang tiada sesiapa mengekorinya. Ketakutan masih menguasai diri.

Fikirannya tidak tenteram. Tidak berfungsi dengan waras. Fokus matanya kini jadi tidak tentu arah. Bimbang sekiranya makhluk yang membaham mayat itu menerkam dirinya pula.

“Hisy! Mana jalan keluar ni?” dengus lelaki itu dengan kuat.

Bulu romanya meremang bila teringatkan keadaan mayat itu tadi. Sungguh ngeri! Semangat jantannya terus hilang. Kini dia berlari-lari anak pula.

Eh! Takkan tak ada jalan keluar? Hatinya berdetik lagi.

Menyesal pula dia melalui kawasan ini. Gara-gara ingin mencari jalan pintas, akhirnya dia terjebak dengan pemandangan yang tidak diingini.

Keletihan mula mencengkam tubuh. Lelaki itu seperti sudah hilang arah. Dia semakin jauh tersesat menuju ke dalam perut hutan dara itu. Tiba-tiba semak-samun yang dilaluinya semakin terang.

Tidak semak. Seperti pernah dilalui orang. Rumput-rumput semakin jarang dan diganti dengan pokok-pokok getah tua yang tinggi. Perasaan cemas lelaki itu mula kendur. Dia berlari anak melalui jalan itu.

Samar-samar di hujung denai, ternampak sebuah rumah kayu yang sederhana besar. Hayunan kakinya dipercepatkan lagi agar cepat sampai di rumah itu. Harap-harap dapatlah meminta bantuan dari penghuni rumah itu atau meminjam telefonnya.

Wajah lelaki itu mula terlukis riak ceria. Perasaan lega bertandang membuatkan dia terlupa sejenak kengerian yang baru dilaluinya tadi. Peluh jantan yang memercik keluar dari dahi diseka pantas. Rambutnya yang kusut-masai, serabai tidak diendahkan langsung.

Dia sudah tidak kisah lagi bagaimana rupanya sekarang. Yang penting, dia dapat keluar dari hutan puaka ini dengan segera!

Langkahnya semakin menghampiri rumah kayu itu. Rumah kayu itu nampak usang namun masih kukuh. Tingkap kaca rumah kayu itu ada sebilangannya sudah pecah. Bersepai di atas tanah. Berserakkan dan ada yang sudah terbenam di dalam tanah.

Sesekali dia menoleh ke kiri dan ke kanan kalau-kalau ada manusia lain berdekatan yang boleh menawarkan bantuan. Namun hampa.

Tanpa berlengah lagi, lelaki itu memberi salam.

“Assalamualiakum!”

Senyap sunyi tiada sahutan. Sekali lagi lelaki itu memberi salam. Namun seperti tadi, tiada orang yang menyahut.

Hai! Takkan tak ada orang? Hatinya berdetik.

Tanpa membuang masa lagi, lelaki itu memutar tombol pintu dengan hati-hati. Namun agak ketat. Ternyata dah lama tidak digunakan. Pintu rumah kayu itu dikuak perlahan-lahan. Berkeriut bunyinya kerana sudah dimamah karat.

Dari rekahan kecil itu, lelaki itu mengintai terlebih dahulu sebelum melangkah masuk. Mahu pastikan yang keadaan benar-benar selamat.

Fikirannya masih lagi terbayang-bayang mayat yang dijumpainya tadi. Kengerian yang menguasai dirinya sukar disingkirkan dari ingatan. Tangannya mula menggeletar. Perasaan takut mula mendominasi fikirannya.

Kraaak! Bunyi ranting kayu patah kedengaran. Terbeliak biji mata lelaki itu kerana terperanjat. Lantas dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Jantung mula terasa sakit bagaikan ditumbuk dari dalam.

Kawasan hutan itu mula diselubungi remang senja. Namun bayangan mayat tadi masih kuat mendiami layar memori lelaki itu. Tiba-tiba kakinya terasa lemah. Perlahan-lahan dia mula melangkah masuk. Harap-harap dia selamat daripada sebarang ancaman yang berada di luar sana.

Akhirnya dia terjelepuk tak bermaya di bawah tingkap yang masih bersisa dengan beberapa keping kaca. Keletihan mula terasa setelah hampir dua jam lamanya mencari jalan keluar dari hutan puaka itu.

Beberapa minit kemudian, dia menjenguk melalui tingkap yang pecah itu untuk melihat keadaan luar. Suasana semakin kelam dan pokok-pokok getah kelihatan berbalam-balam dek dibungkus dengan keadaan gelap.

Matahari semakin condong. Sedikit demi sedikit melabuhkan tirai. Setelah berehat seketika, lelaki itu bangun dan melihat keadaan rumah itu. Matanya liar mencari sesuatu yang boleh menerangi rumah kayu itu.

Nyrit! Nyrit! Nyrit!

Sayup-sayup kedengaran bunyi ganjil itu. Lelaki itu mula berasa cemas.

Eh! Bunyi apa pulak tu? Pelik! Tak pernah aku dengar bunyi macam tu? Getus hati kecilnya.

Tanpa menghiraukan bunyi itu, lelaki itu gigih mencari sesuatu yang boleh menerangi rumah usang itu. Tak sanggup dia duduk di dalam rumah yang diselubungi gelap-gelita.

Dia menguis-nguis lantai simen rumah itu. Habuk berterbangan bila terusik dek tangannya. Satu benda pun tidak dijumpai untuk dijadikan bahan nyalaan.

Matanya mula berair, nafasnya terasa sesak. Dia tidak mahu mati sekarang. Banyak lagi yang belum dicapai dalam hidupnya. Malah ada janji yang harus dikotakan pada seseorang. Dia harus selesaikan. Dia tidak mahu mengalah.

Di luar kelihatan alur-alur cahaya kehijauan sedang laju menuju ke arah rumah kayu itu. Malah ada juga yang sudah berseridai di perdu-perdu pokok dan daun-daunnya. Serangga itu bukannya kunang-kunang yang bercahaya itu tapi satu spesies misteri yang tidak diketahui jenisnya.

Alur cahaya itu pantas melekat pada dinding kayu rumah itu lalu merayap masuk melalui celah-celah tingkap dan dinding yang merekah. Sungguh pantas sekali pergerakannya.

Sekejap sahaja rumah kayu itu sudah dipenuhi dengan cahaya kehijauan yang pelik itu. Anak mata lelaki itu mencerlang bulat, cemas dengan situasi begini.

“Apa harus aku buat? Apa benda ni? Belum pernah aku lihat!”

Serangga hijau itu mula mendekati dirinya.

“Pergi! Pergi! Jangan hampiri aku!” jerit lelaki itu, mula diselubungi histeria.

Tanpa berlengah lagi, lelaki itu menepis-nepis serangga pelik yang bercahaya hijau itu dengan kedua-dua belah tangan. Mengalih-alih kedudukan dirinya. Berpusing ke kiri dan ke kanan dalam usaha mengelakkan dirinya dari menjadi bahan hurungan serangga hijau itu.

Pergerakan lelaki itu semakin tidak keruan. Menepis-nepis telinga, meraup-raup muka dan mengibas-ngibas badannya.

“Eh! Apa benda ni? Hisy, apa ni?” jerit lelaki itu lagi.

Cahaya hijau itu mula menyentuh kulit lelaki itu. Terasa hangat seperti terkena percikan bunga api. Bukan satu, dua, hinggap di badan lelaki itu tapi beribu-ribu.

Badan lelaki itu mula terasa miang, sakit dan pedih. Matanya sudah mula dimasuki serangga hijau itu.

“Aduh! Aduh! Sakit! Sakit!” jerit lelaki itu sambil berlari mengelilingi ruang tamu rumah kayu itu mencari tempat perlindungan dari rasa sakit yang sedang dirasainya sekarang.

“Aaargh!!! Sakit! Sakit!”

Lelaki itu terus melanggar dirinya ke dinding beberapa kali. Untung-untung rasa sakit itu hilang. Namun tiada sebarang perubahan.

Kedua-dua tapak tangannya menekup matanya yang sedang terbakar kesakitan. Bola matanya bagaikan cair ketika itu. Dia cuba mengorek keluar serangga hijau itu namun tidak berdaya. Semakin rakus serangga hijau itu bertindak.

“Aku tak mahu mati! Tolong! Tolong! Aaargh!!!”

Lelaki itu berteriak dengan sekuat hati sehingga suaranya jadi serak. Tanpa putus asa, dia berlari tanpa arah tujuan hingga dia terjumpa pintu keluar.

Walaupun dalam keadaan terhuyung-hayang, digagahi juga kudratnya. Dia berlari bagaikan orang mabuk. Beberapa kali dia terjatuh dan bangun semula untuk meneruskan hidup.

“Aduh! Sakitnya! Bisanya!” dengusnya sambil berlari.

Serangga hijau itu sudah mengganas. Langsung tidak hiraukan jeritan lelaki itu. Mata lelaki itu mula mengalirkan darah. Beberapa tempat di tubuh lelaki itu sudah mula menampakkan kulit yang sudah haus. Menampakkan daging yang segar-bugar.

Penglihatan lelaki itu sudah tidak dapat membantunya meneruskan larian. Kesakitan mula menjalar ke otak. Tanpa sedar, dia kini sudah menghampiri jalan raya.

Langkahnya semakin lemah dan akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri betul-betul di tengah jalan raya itu. Mujurlah tiada kenderaan yang lalu ketika itu.

Sedikit demi sedikit serangga hijau yang misteri itu hilang meninggalkan tubuh lelaki itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.