Home Novel Seram/Misteri Projek Seram HIGHWAY : DOSA SEMALAM
Projek Seram HIGHWAY : DOSA SEMALAM
Ninie Othman
9/4/2016 05:29:53
11,793
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB : 5

     “Kalau terjumpa, aku langgar je sampai penyek,” Shah berkata, celupar. Dia ketawa berdekah-dekah.

Hakimie mencebik. Entah-entah si Shah dulu yang pengsan bila ternampak puaka Karak!

Ketika berhenti sementara menunggu lampu trafik kembali hijau, alunan bacaan al-Quran kedengaran di masjid berdekatan. Cuping telinga empat sekawan itu bergerak-gerak. Mereka sengaja memekakkan telinga dan membutakan hati. Langsung tiada perasaan mahu menghayati setiap ayat dari Kalam ALLAH itu.

Shah menguatkan volume radio dan lagu nyanyian kumpulan Scorpion bergema mengisi ruangan kereta. Sesekali mulut mereka menyanyi bersama-sama. Bagi mereka melodi kumpulan rock kapak itu lebih sedap didengar dari alunan ayat-ayat suci al-Quran.

Shah memecut kereta apabila lampu hijau menyala. Dia mahu segera beredar dari situ.

Di sepanjang perjalanan, empat sekawan itu tidak habis-habis bergelak ketawa. Apa yang menjadi topik utama ialah keseronokan yang bakal mereka rasai kelak. Mereka tidak sabar mahu memeluk gadis-gadis itu. Oh, indahnya dunia…

Jeffrey sudah tidak selesu tadi. Malah dia yang paling petah berbicara tentang Star Highlands. Dia sering ke sana kerana urusan kerja dan juga untuk berfoya-foya. Bak kata pepatah, sambil menyelam sambil minum air.

    

     Shah akhirnya memandu masuk ke kawasan Karak. Sampai sahaja di lebuhraya itu, suasana serta-merta berubah. Keceriaan yang mengisi alam semesta tiba-tiba lenyap entah ke mana. Kesunyian mula terasa.

Hakimie merenung jalanraya yang lengang. Tiada kenderaan lain di situ kecuali mereka. Hatinya semakin cuak. Semua cerita yang didengari sebelum ini menyerang benak fikirannya satu-persatu. Benarkah tempat ini berhantu?

“Sunyinya..” Fadley berkata. Sebiji dengan apa yang berada di fikiran Hakimie.

Jeffrey memandang ke luar tingkap yang tertutup. Kesunyian di luar memang jelas terasa. Dia memandang rakan yang duduk di sebelahnya. Pandangan mata keduanya bertaut.

“Macam dalam mimpi aku. Sunyi macam nilah,” Jeffrey berbisik ke arah Fadley.

Hakimie melirik jam di tangannya. Jarum jam berhenti di nombor 5. Tidak ‘bernyawa’ lagi. Jam itu baru digunakan selama seminggu. Ia masih baru, takkanlah sudah mahu rosak?

“Pukul berapa sekarang?” Hakimi menyoal rakan-rakannya.

“Pukul 5..” Shah, Jeffrey dan Fadley menjawab serentak.

Ada sesuatu yang mengganggu perasaan Hakimie. Sesuatu yang aneh sedang berlaku sejak mereka menjejak lebuhraya Karak. Dia merenung semak-samun yang berada di bahu-bahu jalan. Ia bergerak-gerak dihembus angin. Pada masa yang sama, ia seolah digerakkan oleh sesuatu.

“Kau orang tak rasa apa-apa ke?” Hakimie berbisik. Berwaspada bagaikan ada orang yang sedang memerhatikan mereka pada ketika itu.

Fadley dan Jeffrey bertukar pandangan. Ada betulnya soalan Hakimie. Sebenarnya mereka rasa terganggu sejak tadi namun tidak tahu apa sebabnya.

Rintik-rintik hujan mengenai kereta Shah. Makin lama makin lebat.

Cermin kereta mulai kabur. Shah menekan butang wiper namun ia tidak berfungsi seperti selalu. Dia menekannya berkali-kali namun wiper tetap kaku tidak berfungsi. Butang aircond juga mempunyai masalah yang sama.

“Bergeraklah..” Shah mengomel dengan jari tidak berhenti menekan butang wiper.

On wiper Shah, hujan makin lebat ni. On aircond sekali,” arah Hakimie sambil mengelap cermin kereta dengan tapak tangannya. Jika dibiarkan lebih lama, pandangan Shah akan terbatas dan kemalangan boleh berlaku.

Shah menggeleng, “Tak boleh on. Dah berapa kali dah aku try on benda alah ni..”

Fadley dan Jeffrey mulai cemas di belakang. Keduanya serba tidak kena. Peluh dingin merenik di dahi masing-masing. Pemanduan Shah juga bagaikan terganggu.

“Aku tak nampak jalan. Kesat cermin untuk aku..” arah Shah, cemas. Dia cuba bertenang namun gagal. Dalam keadaan begitu, tidak mungkin dia dapat bertenang.

Hakimie mengelap-ngelap cermin untuk memudahkan pemanduan Shah. Sekejap sahaja cermin kereta berkabus. Bagaikan duduk di negara musim sejuk pula. Jenuh Hakimie mengelap cermin yang bertukar kabur tidak sampai sesaat.

Shah menggerakkan kepalanya ke hadapan sedikit. Dia memfokuskan sepenuh perhatian pada jalanraya yang basah ditimpa hujan. Entah mengapa stereng di tangannya terasa longgar. Kereta itu seolah-olah bertindak secara berlawanan dari apa yang dia mahukan.


     Titisan hujan semakin menggila membasahi bumi. Penglihatan semakin terbatas, perjalanan di atas jalanraya terganggu. Ia semakin lama semakin licin dan beberapa kali tayar kereta yang dipandu hampir tersasar ke tembok pembahagi jalan. Stereng yang dipegang berpusing ke kiri dan kanan. Pemandunya sudah hilang arah dan pertimbangan.

“Shah, control! Control kereta!” jerit Jeffrey yang berada di tempat duduk belakang. Dia menggigil ketakutan. Bila-bila masa sahaja nyawa mereka boleh melayang!

Begitu juga dengan beberapa orang rakannya yang turut berada di dalam kenderaan itu. Mereka bertempik-tempik dengan wajah yang pucat lesi.

Kereta sudah hilang kawalan. Ia terhuyung-hayang dan sesekali menghampiri tembok pembahagi jalan namun sempat dikawal.

Shah menggenggam stereng dengan lebih erat. Wajahnya berpeluh-peluh. Dia sedaya-upaya cuba menyelamatkan nyawanya dan rakan-rakannya tetapi pada masa yang sama tangannya menggigil dan kebas. Dia mesti mengawal kereta supaya ia tidak terbabas. Tiada siapa yang harus cedera pada hari itu!

Mata Hakimie terbeliak. Apa yang sedang berlaku di hadapannya kini membuatkan Shah semakin hilang pertimbangan.

“Jaga-jaga Shah!” Hakimie menjerit lantang di sebelah Shah.

Fadley yang duduk bersama Jeffrey di belakang memegang kerusi dengan erat. Peluh dingin merenik di dahi masing-masing. Tiada kata yang terlafaz dari mulut mereka pada ketika itu.

Tangan Shah terlepas dari stereng disebabkan panik. Hakimie pantas mengambilalih stereng sebelum kereta melanggar pokok yang terlentang di atas jalan. Dia memusingkan stereng ke kiri dan kereta mewah itu berpusing beberapa kali sebelum berhenti di bahu jalan.

Kepala Shah terhantuk ke stereng. Rakan-rakannya juga begitu. Mereka terdorong ke hadapan dan terhantuk ke objek yang keras. Dunia yang kelabu serta-merta menjadi gelita.

Empat sekawan itu pengsan tidak sedarkan diri.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.