Prolog
Tip!
Tip! Tip! Bunyi cecair pekat menitis atas lantai bilik itu membuatkan hati
gadis itu semakin panik. Dia memulas-mulaskan tangannya yang digenggam erat
oleh dua orang lelaki berbadan sederhana besar itu hendak melepaskan diri.
“Lepaskan! Lepaskanlah aku!” pekik
perempuan yang berumur awal 20 an itu. Dia cuba memberatkan badannya sesekali untuk
menghentikan langkah kaki. Seluar pijama merah jambu muda yang dipakainya
tersenseng sedikit menampakkan pangkal kakinya yang putih mulus. Tetapi lelaki-lelaki
itu masih tetap senang saja mengheret badannya yang genit itu terus maju ke
depan. Kasar saja perlakuan mereka itu.
“Lepaskan aku! Mana kau orang nak
bawa aku ni hah? Lepaskanlah aku... Tolonglah..” perempuan itu mula
teresak-esak menangis. Perasaan takut mula menguasai emosinya. Namun rayuannya
dan tangisannya bagaikan didengari oleh dinding sahaja. Dia terus diheret
dengan kasar ke suatu tempat yang tersembunyi. Sepanjang jalan perempuan itu
terus-terusan meronta minta dilepaskan.
“Huhuhuu... korang nak bawa aku ke
mana ni?” soal perempuan itu sambil mengongoi sayu. Dia mengikut saja ke mana
badannya diheret dalam paksa. Dia benar-benar dikuasai oleh ketakutan.
Mereka memasuki sebuah bilik yang
terletak di tingkat bawah rumah banglow dua tingkat itu. Kelam dan suram tiada
cahaya lampu. Hanya sinar cahaya dari bulan yang menerobos masuk dari tingkap kecil
bilik tersebut. Mata perempuan itu terbeliak tatkala terpandangkan sebuah
pelantar pembaringan yang bersememeh dengan kesan-kesan darah. Walaupun dalam
cahaya yang suram perempuan itu dapat mengenali darah itu. Tambah lagi dengan
bau hanyir darah. Tekaknya mula mual. Segala isi perutnya terasa bagai nak
terkeluar.
“Korang nak buat apa ni? Apa korang
nak buat pada aku?” soal perempuan itu dengan suara yang bergetar. Ketakutan
meresapi segenap urat nadinya. Fikirannya sudah mula membayangkan
perkara-perkara yang buruk. Dia semakin agresif meronta untuk melepaskan diri.
Dua orang lelaki itu semakin menguatkan pegangan mereka. Semakin kuat perempuan
itu meronta semakin kuat juga mereka mencengkam.
“Lepaskan!” jerit perempuan tu lagi.
Kali ini dia menjerit sekuat-kuat hatinya. Terasa darah naik laju memenuhi urat
kepalanya. Perit anak tekak menjerit dan dia semakin hilang kewarasan diri.
Kakinya mula menerajang angin. Dia sanggup buat apa saja, asalkan dia dapat
melepaskan diri.
Perempuan
itu meronta-ronta sekuat hatinya sehinggakan rambutnya yang berikat satu itu terburai
ikatannya. Butang baju pijamanya tertanggal satu kerana rentapan kasar ketika
meronta.
“Jangan fikir kau boleh terlepas!”
suara lelaki yang garau itu berjaya menghentikan rontaan gila perempuan itu.
Dadanya turun naik dengan pantas. Matanya meliar mencari punca suara itu. Anak
matanya menikam ke arah satu sudut bilik yang gelap.
“Siapa kau? Apa kau nak daripada aku,
hah? Lepaskan aku. Lepaskan!” pekik perempuan tu lagi. Wajah lelaki itu
terlindung di sebalik bayang-bayang gelap di satu sudut bilik itu. Dia yakin
perempuan itu tak akan nampak dia dengan jelas. Belum masanya lagi untuk dia menonjolkan
dirinya. Tak seronoklah kalau rahsianya selama ini yang telah tersimpan kemas terbongkar
dengan begitu cepat. Ha ha ha ha... tawanya memenuhi ruang bilik suram itu.
Sungguh gerun bunyinya. Macam puaka yang bermaharaja lela. Dia teruja keseronokkan.
Tak lama lagi dia dapat berendam sambil menyegarkan tubuhnya dalam air ajaib
itu!
Bilik itu berdindingkan marmar putih,
bermula dari tengah dinding hingga ke
lantai. Sebuah tab mandi yang selalu digunakan dalam cerita-cerita filem orang
putih terletak di bahagian hujung bilik jauh dari pintu. Keadaan bilik itu
sungguh menggerunkan. Deretan pisau dari berbagai saiz tersusun rapi di atas
sebuah troli bersebelahan tempat pembaringan. Cahaya bulan terpantul terang
dari mata pisau yang berkilat itu.
“Apa yang kau nak buat ni, hah?”
pekik perempuan itu lagi bila sorotan matanya terpandangkan tab mandi tersebut.
Dadanya berombak laju. Badannya terasa lemah akibat meronta tadi. Takkanlah aku
akan dilemaskan dalam tab mandi tu? Pergelangan tangannya mula terasa perit dan
panas. Sangkaannya meleset sebenarnya.
Nasibnya
lebih teruk dari itu. Peluh dingin mengalir laju membasahi pijama tidurnya. “Aaaaaargh...!”Tiba-tiba
rambutnya direntap dengan kuat dari belakang sampaikan kepalanya terdongak ke
atas. Menampakkan lehernya yang jinjang itu. Hatinya semakin cemas.
“Fieeew... memang cukup sempurna,”
suara garau itu bersuara lagi. Dari nada suaranya terdengar jelas keseronokkan
yang dialami. Seperti baru mendapat hadiah hari jadi. Lelaki itu masih
menyorok. Tak mahu identitinya dikenali.
Ha
ha ha ha... lelaki itu ketawa lagi dengan gembiranya. Tangannya ditepuk-tepuk
beberapa kali dan digosok-gosok menandakan dia memang cukup berpuas hati dengan
‘piala hidup’ yang ada di hadapan matanya kini.
Pandangan matanya diarahkan ke situ.
Dengan sepantas kilat tangannya sudah pun terpulas ke belakang. Lantas diikat
dengan tali yang tebal. Perempuan itu meronta lagi. Tapi tetap sia-sia hanya
kepenatan saja yang bertambah. Kudratnya tidak terlawankan kudrat dua lelaki
yang sedang menahannya.
Seorang
dari lelaki itu berlalu dari situ, tak tahu menuju ke mana. Sedangkan tubuhnya
yang sudah terikat itu ditolak mendekati pelantar pembaringan yang comot dengan
kesan darah itu. Jiwanya semakin dimamah cemas dan ketakutan menunjang rasa.
“Oh Tuhanku, apa yang dah berlaku
ni? Kenapa aku?” gumam perempuan itu perlahan. Adakah aku sedang bermimpi
buruk? Gumam perempuan itu pada dirinya sendiri.
Takkanlah aku akan mati di sini? Aku
tak nak mati lagi.. aku nak hidup lagi. Aku tak nak mati! Perempuan itu
terkedu. Terasa bagaikan nyawanya sudah sampai ke penghujung halkum. Sepasang
matanya membuntang bulat dek kerana ketakutan tatkala terpandangkan pelantar
yang berdarah itu. Tubuhnya menggigil. Nafasnya semakin tersangkut-sangkut.
Kerongkongannya
mula kering dan air matanya semakin lebat membasahi pipinya sekaligus kolar
bajunya turut basah sekali. Perempuan itu memejamkan matanya. Menangisi nasib
dirinya yang malang itu. Impiannya punah kini. Harapannya untuk hidup bahagia
dan memberikan kesenangan kepada ibunya di kampung habis hancur. Tiada apa yang
tinggal lagi untuk dia buat kini hanya menunggu kematian datang menjemput
dirinya.
Tiba-tiba saja kakinya menjadi lemah
longlai. Hilang sudah tenaganya untuk melawan secara mendadak. Degup jantungnya
semakin kencang sebab ketakutan yang amat sangat. Telah memakan segala
tenaganya untuk melawan. Akhirnya dia jatuh terkulai di sisi pelantar
pembaringan. Pengsan. Sayup-sayup cuping telinganya menangkap suara ketawa
terbahak-bahak tanpa rasa belas kasihan pun sebelum dia hanyut dalam pengsannya.
“Hai? Takkan dah pengsan kut? Belum
lagi dibuat apa-apa. Huh! Lemah semangat perempuan ni. Aku belum puas lagi
mendengar suaranya menjerit ketakutan.” Gumam lelaki yang berdiri dalam
bayangan gelap itu. Nampak sangat dia seorang yang psiko. Sakit! Dua orang
pembantunya hanya menurut segala kehendak lelaki itu dengan patuh.
Perempuan itu terasa bagaikan tubuhnya
melayang diangkat dan diletakkan di atas pelantar tersebut. Bau darah yang
tajam menyengat menusuk rongga hidungnya dan akhirnya dia tidak dapat merasa
apa-apa lagi...
Apabila
tersedar dari pengsan, dia sudah berada di atas pelantar pembaringan dengan
kepalanya terkulai di hujung pelantar. Memang sengaja dibiarkan begitu oleh si
pelakunya agar mudah untuk disembelih! Perempuan
itu hanya dapat melihat kilauan mata pisau dengan sekali lalu sebelum senjata
itu menyentuh kulit mulus di lehernya. Dia cuba untuk menjerit. Tetapi suara
itu sukar untuk keluar, kerongkongnya tegang. Ya ALLAH ini ke pengakhiran
perjalanan hidup ku Ya ALLAH? Rintih hatinya.
Lehernya
terasa ada sesuatu yang sejuk menyentuh lehernya. Dan akhirnya tanpa sebarang
amaran ... sekelip mata sahaja.
“Aaaaaaaaaaaa...”
satu jeritan yang nyaring memecah kesunyian bilik yang dingin itu. Zaaas! Darah memancut tanpa
henti.
Manakala
lelaki psiko yang menunggu kejadian itu sejak dari tadi, bertepuk tangan
kegembiraan. Dia menjilat bibirnya bagaikan ada hidangan lazat di hadapan
matanya ketika itu. Macam menyambut hari raya Korban pula.
Sedikit
demi sedikit darah yang memancut itu mengalir perlahan lalu ditadah dengan
sebuah bekas khas. Disalurkan terus masuk ke dalam tab mandi yang sudah
tersedia menunggu.
Pekerja-pekerja lelaki yang setia
itu terus melangsaikan tugas mereka dengan penuh tekun. Segala jejak dan
tanda-tanda bukti mereka bersihkan
dengan penuh teliti agar tidak ada orang yang dapat menjejaki sebarang kesan. Manakala
lelaki tadi dengan rasa amat puas hati telah merendamkan dirinya di dalam tab
mandi yang mengandungi darah segar dari beberapa mangsanya. Selesa dia
bersandar di tab mandi itu bagai menikmati mandian sauna lagaknya!
Keesokkan
harinya keadaan di rumah agam itu kecoh dengan kehilangan seorang pekerjanya.
Seorang gadis awal 20 an yang baru tujuh bulan bertugas sebagai pembantu di
situ. Gadis itu seorang yang pendiam, tidak banyak kerenah. Seorang yang ringan
tulang dan mudah bergaul dengan semua orang malah pandai mengambil hati orang
tua.
Mak Jah sedang menangis sambil
mengesat air matanya dengan hujung baju kurung hijau yang dipakainya. Mak Jah
sayang sungguh dengan Karina, gadis yang malang itu. Mak Jah sudah menganggap Karina
itu seperti anaknya sendiri. Kepada Karinalah tempat dia menumpahkan kasih
sayangnya.
“Mak Jah tak sangka pulak perkara
macam ni boleh berlaku kepada dia. Budaknya baik, rajin buat kerja dan tak
pernah merungut pun.” Ujar Mak Jah sambil tersedu-sedu. Matanya sudah agak
bengkak sebab asyik dikesat dengan lengan bajunya.
“Sejak
bila Mak Jah sedar dia hilang?” Tanya Haris yang bekerja sebagai pemandu Tuan
Shakir. Dia juga sudah lama berkhidmat untuk keluarga bangsawan itu sejak Tuan
Shakir baru berumahtangga lagi. Sudah tentu dia mengenali keluarga itu luar dan
dalam. Tetapi pasti ke? Manusia ni penuh dengan rahsia.
“Mak
Jah pun tak tahu. Pagi tadi Mak Jah nak kejutkan dia untuk solat subuh. Tetapi
dia tak ada dalam biliknya,” ulas Mak Jah.
“Mak
Jah ingatkan dia sudah bangun jadi Mak Jah takdalah ingat yang bukan-bukan.”
Perempuan separuh umur itu kelihatan gelisah. “Tolonglah Haris... Mak Jah tak
tahu nak buat apa lagi. Semua pekerja di sini sudah Mak Jah tanyakan, tapi seorang
pun tak nampak Karina pagi tadi,” gumam Mak Jah lagi.
“Tak
mengapalah Mak Jah saya cuba-cuba cari dia dekat-dekat kawasan sini. Mana tahu
kut-kut dia keluar sekejap cari sesuatu,” ulas Haris memujuk Mak Jah. Dia tak
mahu Mak Jah pula yang bimbang tak keruan. Tak pasti lagi apa yang sudah
terjadi.
“Nanti
Mak Jah beritahu Tuan Shakir ye,” pesan Haris. Lantas dia bergegas meninggalkan
Mak Jah yang masih berdiri di situ. Dia juga berasa pelik dengan kes kehilangan
Karina yang tiba-tiba itu. Ke mana pula Karina sudah pergi pagi-pagi buta tadi?
Tak akan tak seorang pun tak nampak kelibat Karina? Entah-entah Karina sudah
melarikan diri sebab tak tahan bekerja di rumah agam itu. Siapa yang tahu, kan?
Getus hati Haris. Dia meneruskan pemanduannya menyelusuri lorong yang menuju ke
bandar. Mana tahu mungkin gadis itu ke bandar agaknya.
Ketika
keadaan dalam rumah agam itu kecoh mencari Karina, Radi pula sedang duduk
senang-lenang di balkoni biliknya. Sambil merentangkan kakinya di atas kerusi
di hadapannya dia menghirup udara pagi dalam-dalam memenuhkan rongga paru-parunya dengan oksigen.
Segar seluruh anggota badannya setelah dapat berendam dalam ‘air ajaib’ itu. Dua
orang pekerja lelaki setianya berdiri berhampiran. Tiada sebarang riaksi pada wajah mereka.
“Keluarkan
iklan untuk mencari pembantu baru. Sudah tiba masanya untuk mencari pengganti.”
Perintah Radi sambil tangannya mengacau gula dalam cawan teh yang masih lagi
berasap. Aroma teh yang harum menerawang ke segenap ruang.
“Baik
tuan muda.” Sambut pekerjanya yang setia. Salah seorang dari mereka lantas
berlalu dari situ untuk membuat apa yang Radi kerahkan.