Home Novel Seram/Misteri I Don't Want To Die!
I Don't Want To Die!
27/2/2015 23:42:37
4,275
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Prolog

Prolog

Tip! Tip! Tip! Bunyi cecair pekat menitis atas lantai bilik itu membuatkan hati gadis itu semakin panik. Dia memulas-mulaskan tangannya yang digenggam erat oleh dua orang lelaki berbadan sederhana besar itu hendak melepaskan diri.

“Lepaskan! Lepaskanlah aku!” pekik perempuan yang berumur awal 20 an itu. Dia cuba memberatkan badannya sesekali untuk menghentikan langkah kaki. Seluar pijama merah jambu muda yang dipakainya tersenseng sedikit menampakkan pangkal kakinya yang putih mulus. Tetapi lelaki-lelaki itu masih tetap senang saja mengheret badannya yang genit itu terus maju ke depan. Kasar saja perlakuan mereka itu.

“Lepaskan aku! Mana kau orang nak bawa aku ni hah? Lepaskanlah aku... Tolonglah..” perempuan itu mula teresak-esak menangis. Perasaan takut mula menguasai emosinya. Namun rayuannya dan tangisannya bagaikan didengari oleh dinding sahaja. Dia terus diheret dengan kasar ke suatu tempat yang tersembunyi. Sepanjang jalan perempuan itu terus-terusan meronta minta dilepaskan.

“Huhuhuu... korang nak bawa aku ke mana ni?” soal perempuan itu sambil mengongoi sayu. Dia mengikut saja ke mana badannya diheret dalam paksa. Dia benar-benar dikuasai oleh ketakutan.

Mereka memasuki sebuah bilik yang terletak di tingkat bawah rumah banglow dua tingkat itu. Kelam dan suram tiada cahaya lampu. Hanya sinar cahaya dari bulan yang menerobos masuk dari tingkap kecil bilik tersebut. Mata perempuan itu terbeliak tatkala terpandangkan sebuah pelantar pembaringan yang bersememeh dengan kesan-kesan darah. Walaupun dalam cahaya yang suram perempuan itu dapat mengenali darah itu. Tambah lagi dengan bau hanyir darah. Tekaknya mula mual. Segala isi perutnya terasa bagai nak terkeluar.

“Korang nak buat apa ni? Apa korang nak buat pada aku?” soal perempuan itu dengan suara yang bergetar. Ketakutan meresapi segenap urat nadinya. Fikirannya sudah mula membayangkan perkara-perkara yang buruk. Dia semakin agresif meronta untuk melepaskan diri. Dua orang lelaki itu semakin menguatkan pegangan mereka. Semakin kuat perempuan itu meronta semakin kuat juga mereka mencengkam.

“Lepaskan!” jerit perempuan tu lagi. Kali ini dia menjerit sekuat-kuat hatinya. Terasa darah naik laju memenuhi urat kepalanya. Perit anak tekak menjerit dan dia semakin hilang kewarasan diri. Kakinya mula menerajang angin. Dia sanggup buat apa saja, asalkan dia dapat melepaskan diri.

Perempuan itu meronta-ronta sekuat hatinya sehinggakan rambutnya yang berikat satu itu terburai ikatannya. Butang baju pijamanya tertanggal satu kerana rentapan kasar ketika meronta.

“Jangan fikir kau boleh terlepas!” suara lelaki yang garau itu berjaya menghentikan rontaan gila perempuan itu. Dadanya turun naik dengan pantas. Matanya meliar mencari punca suara itu. Anak matanya menikam ke arah satu sudut bilik yang gelap.

“Siapa kau? Apa kau nak daripada aku, hah? Lepaskan aku. Lepaskan!” pekik perempuan tu lagi. Wajah lelaki itu terlindung di sebalik bayang-bayang gelap di satu sudut bilik itu. Dia yakin perempuan itu tak akan nampak dia dengan jelas. Belum masanya lagi untuk dia menonjolkan dirinya. Tak seronoklah kalau rahsianya selama ini yang telah tersimpan kemas terbongkar dengan begitu cepat. Ha ha ha ha... tawanya memenuhi ruang bilik suram itu. Sungguh gerun bunyinya. Macam puaka yang bermaharaja lela. Dia teruja keseronokkan. Tak lama lagi dia dapat berendam sambil menyegarkan tubuhnya dalam air ajaib itu!

Bilik itu berdindingkan marmar putih, bermula dari tengah dinding hingga ke lantai. Sebuah tab mandi yang selalu digunakan dalam cerita-cerita filem orang putih terletak di bahagian hujung bilik jauh dari pintu. Keadaan bilik itu sungguh menggerunkan. Deretan pisau dari berbagai saiz tersusun rapi di atas sebuah troli bersebelahan tempat pembaringan. Cahaya bulan terpantul terang dari mata pisau yang berkilat itu.

“Apa yang kau nak buat ni, hah?” pekik perempuan itu lagi bila sorotan matanya terpandangkan tab mandi tersebut. Dadanya berombak laju. Badannya terasa lemah akibat meronta tadi. Takkanlah aku akan dilemaskan dalam tab mandi tu? Pergelangan tangannya mula terasa perit dan panas. Sangkaannya meleset sebenarnya.

Nasibnya lebih teruk dari itu. Peluh dingin mengalir laju membasahi pijama tidurnya. “Aaaaaargh...!”Tiba-tiba rambutnya direntap dengan kuat dari belakang sampaikan kepalanya terdongak ke atas. Menampakkan lehernya yang jinjang itu. Hatinya semakin cemas.

“Fieeew... memang cukup sempurna,” suara garau itu bersuara lagi. Dari nada suaranya terdengar jelas keseronokkan yang dialami. Seperti baru mendapat hadiah hari jadi. Lelaki itu masih menyorok. Tak mahu identitinya dikenali.

Ha ha ha ha... lelaki itu ketawa lagi dengan gembiranya. Tangannya ditepuk-tepuk beberapa kali dan digosok-gosok menandakan dia memang cukup berpuas hati dengan ‘piala hidup’ yang ada di hadapan matanya kini.

Pandangan matanya diarahkan ke situ. Dengan sepantas kilat tangannya sudah pun terpulas ke belakang. Lantas diikat dengan tali yang tebal. Perempuan itu meronta lagi. Tapi tetap sia-sia hanya kepenatan saja yang bertambah. Kudratnya tidak terlawankan kudrat dua lelaki yang sedang menahannya.

Seorang dari lelaki itu berlalu dari situ, tak tahu menuju ke mana. Sedangkan tubuhnya yang sudah terikat itu ditolak mendekati pelantar pembaringan yang comot dengan kesan darah itu. Jiwanya semakin dimamah cemas dan ketakutan menunjang rasa.

“Oh Tuhanku, apa yang dah berlaku ni? Kenapa aku?” gumam perempuan itu perlahan. Adakah aku sedang bermimpi buruk? Gumam perempuan itu pada dirinya sendiri.

Takkanlah aku akan mati di sini? Aku tak nak mati lagi.. aku nak hidup lagi. Aku tak nak mati! Perempuan itu terkedu. Terasa bagaikan nyawanya sudah sampai ke penghujung halkum. Sepasang matanya membuntang bulat dek kerana ketakutan tatkala terpandangkan pelantar yang berdarah itu. Tubuhnya menggigil. Nafasnya semakin tersangkut-sangkut.

Kerongkongannya mula kering dan air matanya semakin lebat membasahi pipinya sekaligus kolar bajunya turut basah sekali. Perempuan itu memejamkan matanya. Menangisi nasib dirinya yang malang itu. Impiannya punah kini. Harapannya untuk hidup bahagia dan memberikan kesenangan kepada ibunya di kampung habis hancur. Tiada apa yang tinggal lagi untuk dia buat kini hanya menunggu kematian datang menjemput dirinya.

Tiba-tiba saja kakinya menjadi lemah longlai. Hilang sudah tenaganya untuk melawan secara mendadak. Degup jantungnya semakin kencang sebab ketakutan yang amat sangat. Telah memakan segala tenaganya untuk melawan. Akhirnya dia jatuh terkulai di sisi pelantar pembaringan. Pengsan. Sayup-sayup cuping telinganya menangkap suara ketawa terbahak-bahak tanpa rasa belas kasihan pun sebelum dia hanyut dalam pengsannya.

“Hai? Takkan dah pengsan kut? Belum lagi dibuat apa-apa. Huh! Lemah semangat perempuan ni. Aku belum puas lagi mendengar suaranya menjerit ketakutan.” Gumam lelaki yang berdiri dalam bayangan gelap itu. Nampak sangat dia seorang yang psiko. Sakit! Dua orang pembantunya hanya menurut segala kehendak lelaki itu dengan patuh.

Perempuan itu terasa bagaikan tubuhnya melayang diangkat dan diletakkan di atas pelantar tersebut. Bau darah yang tajam menyengat menusuk rongga hidungnya dan akhirnya dia tidak dapat merasa apa-apa lagi...

Apabila tersedar dari pengsan, dia sudah berada di atas pelantar pembaringan dengan kepalanya terkulai di hujung pelantar. Memang sengaja dibiarkan begitu oleh si pelakunya agar mudah untuk disembelih! Perempuan itu hanya dapat melihat kilauan mata pisau dengan sekali lalu sebelum senjata itu menyentuh kulit mulus di lehernya. Dia cuba untuk menjerit. Tetapi suara itu sukar untuk keluar, kerongkongnya tegang. Ya ALLAH ini ke pengakhiran perjalanan hidup ku Ya ALLAH? Rintih hatinya.

Lehernya terasa ada sesuatu yang sejuk menyentuh lehernya. Dan akhirnya tanpa sebarang amaran ... sekelip mata sahaja.

“Aaaaaaaaaaaa...” satu jeritan yang nyaring memecah kesunyian bilik yang dingin itu. Zaaas! Darah memancut tanpa henti.

Manakala lelaki psiko yang menunggu kejadian itu sejak dari tadi, bertepuk tangan kegembiraan. Dia menjilat bibirnya bagaikan ada hidangan lazat di hadapan matanya ketika itu. Macam menyambut hari raya Korban pula.

Sedikit demi sedikit darah yang memancut itu mengalir perlahan lalu ditadah dengan sebuah bekas khas. Disalurkan terus masuk ke dalam tab mandi yang sudah tersedia menunggu.

Pekerja-pekerja lelaki yang setia itu terus melangsaikan tugas mereka dengan penuh tekun. Segala jejak dan tanda-tanda bukti mereka bersihkan dengan penuh teliti agar tidak ada orang yang dapat menjejaki sebarang kesan. Manakala lelaki tadi dengan rasa amat puas hati telah merendamkan dirinya di dalam tab mandi yang mengandungi darah segar dari beberapa mangsanya. Selesa dia bersandar di tab mandi itu bagai menikmati mandian sauna lagaknya!

Keesokkan harinya keadaan di rumah agam itu kecoh dengan kehilangan seorang pekerjanya. Seorang gadis awal 20 an yang baru tujuh bulan bertugas sebagai pembantu di situ. Gadis itu seorang yang pendiam, tidak banyak kerenah. Seorang yang ringan tulang dan mudah bergaul dengan semua orang malah pandai mengambil hati orang tua.

Mak Jah sedang menangis sambil mengesat air matanya dengan hujung baju kurung hijau yang dipakainya. Mak Jah sayang sungguh dengan Karina, gadis yang malang itu. Mak Jah sudah menganggap Karina itu seperti anaknya sendiri. Kepada Karinalah tempat dia menumpahkan kasih sayangnya.

“Mak Jah tak sangka pulak perkara macam ni boleh berlaku kepada dia. Budaknya baik, rajin buat kerja dan tak pernah merungut pun.” Ujar Mak Jah sambil tersedu-sedu. Matanya sudah agak bengkak sebab asyik dikesat dengan lengan bajunya.

“Sejak bila Mak Jah sedar dia hilang?” Tanya Haris yang bekerja sebagai pemandu Tuan Shakir. Dia juga sudah lama berkhidmat untuk keluarga bangsawan itu sejak Tuan Shakir baru berumahtangga lagi. Sudah tentu dia mengenali keluarga itu luar dan dalam. Tetapi pasti ke? Manusia ni penuh dengan rahsia.

“Mak Jah pun tak tahu. Pagi tadi Mak Jah nak kejutkan dia untuk solat subuh. Tetapi dia tak ada dalam biliknya,” ulas Mak Jah.

“Mak Jah ingatkan dia sudah bangun jadi Mak Jah takdalah ingat yang bukan-bukan.” Perempuan separuh umur itu kelihatan gelisah. “Tolonglah Haris... Mak Jah tak tahu nak buat apa lagi. Semua pekerja di sini sudah Mak Jah tanyakan, tapi seorang pun tak nampak Karina pagi tadi,” gumam Mak Jah lagi.

“Tak mengapalah Mak Jah saya cuba-cuba cari dia dekat-dekat kawasan sini. Mana tahu kut-kut dia keluar sekejap cari sesuatu,” ulas Haris memujuk Mak Jah. Dia tak mahu Mak Jah pula yang bimbang tak keruan. Tak pasti lagi apa yang sudah terjadi.

“Nanti Mak Jah beritahu Tuan Shakir ye,” pesan Haris. Lantas dia bergegas meninggalkan Mak Jah yang masih berdiri di situ. Dia juga berasa pelik dengan kes kehilangan Karina yang tiba-tiba itu. Ke mana pula Karina sudah pergi pagi-pagi buta tadi? Tak akan tak seorang pun tak nampak kelibat Karina? Entah-entah Karina sudah melarikan diri sebab tak tahan bekerja di rumah agam itu. Siapa yang tahu, kan? Getus hati Haris. Dia meneruskan pemanduannya menyelusuri lorong yang menuju ke bandar. Mana tahu mungkin gadis itu ke bandar agaknya.

Ketika keadaan dalam rumah agam itu kecoh mencari Karina, Radi pula sedang duduk senang-lenang di balkoni biliknya. Sambil merentangkan kakinya di atas kerusi di hadapannya dia menghirup udara pagi dalam-dalam memenuhkan rongga paru-parunya dengan oksigen. Segar seluruh anggota badannya setelah dapat berendam dalam ‘air ajaib’ itu. Dua orang pekerja lelaki setianya berdiri berhampiran. Tiada sebarang riaksi pada wajah mereka.

“Keluarkan iklan untuk mencari pembantu baru. Sudah tiba masanya untuk mencari pengganti.” Perintah Radi sambil tangannya mengacau gula dalam cawan teh yang masih lagi berasap. Aroma teh yang harum menerawang ke segenap ruang.

“Baik tuan muda.” Sambut pekerjanya yang setia. Salah seorang dari mereka lantas berlalu dari situ untuk membuat apa yang Radi kerahkan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.