Home Novel Seram/Misteri Nisan Cinta Miriam
Nisan Cinta Miriam
AD Rahman Ahmad
10/5/2016 10:46:38
7,068
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 11

Bab 11

Nisan Cinta Miriam

"Aku rasa, aku dah mula jatuh cinta."

Sesaat apa yang sedang dikerjakan Samik terhenti, memasuk-masukkan buah kelapa ke dalam bakul. Peluhnya yang jatuh ke lantai jeti diperhati. Namun, tumpuan tidak terarah ke situ, tetapi pada apa yang baharu Reza katakan tadi.

Tak mahu mengendahkan apa dikata Reza setelah difikir-fikir, Samik meneruskan kerjanya yang sedikit lagi bersisa. Tak ada apa-apa hendak dihairankan dengan apa yang baharu didengar. Sudah seringkali didengar dari mulut itu, sehingga nilainya sama seperti peluhnya yang laju merintik.

"Kau dengar tak apa aku cakap?"

"Sudah selalu aku dengar."

Apa yang sedang dikerjakan Samik terhenti lagi apabila terasa bahunya ditepuk. Anak mata pantas dibawa berlari ke ekor pelupuk cuba melihat Reza yang berada di belakangnya.

"Tapi ini kali lain," Reza seakan berbisik.

"Lain? Apanya yang lain?"

"Ini kali cinta bukan datang dari mulut... tapi dari hati."

"Dari hati?" Samik kerutkan dahi.

"Ya, dari hati! Kali ini aku dapat merasakan hati aku berbisik cinta. Benar-benar kali ini aku dapat rasakan!"

Samik senyum sinis. Menoleh, Reza dipandang. "Cinta pada seseorang yang belum tentu akan membalasnya, itu sama dengan mendekatkan diri dengan duka."

Reza gelak kuat tanpa mempedulikan sekeliling. Menggeleng-geleng memperlihatkan ketidakpuasan hati. Diri, benar-benar rasa tercabar dengan apa yang baharu dikatakan Samik. Mukanya sesaat kemudian didekatkan ke muka Samik yang sama-sama sudah basah disimbahi keringat.

Mata bertentang mata, saling tikam-menikam dan hunus-menghunus. Raut wajah masing-masing serius, jauh berbatu dari sebarang senyuman. Suasana, seakan beku di saat itu.

"Kau tak perlu bermadah dekat sini," ujar Reza. Kening tinggi dijulang. Di mata, ada api sedang menyala. "Aku tak perlukan itu semua... dan aku tak mahu dengar! Faham?"

Tuala kecil dipegang dihayun ke bahu, tanpa banyak bicara lagi Reza beredar meninggalkan Samik dan kerjanya sendiri yang masih belum lagi selesai. Menonong jalan tak mempedulikan apa-apa.

"Wehh, Reza! Kau nak pergi mana?" laung Samik.

Langkah Reza terhenti. Perlahan dia menoleh. Senyum mengejek dilayangkan. "Mahu ke mana? Aku mahu pergi jumpa kekasih hati baru aku, Miriam!"

"Apa? Kekasih hati baru kau? Eh! Kau jangan mimpilah!"

Reza gelak lagi membalas herdikan Samik. Semakin lantang gelaknya daripada tadi sengaja mahu menyakitkan hati sahabatnya itu. Tanpa lengah, dia meneruskan langkah.

Menggeleng-geleng marah, Samik hanya mampu memerhatikan dan menyumpah-nyumpah di dalam hati. Memaling, kerjanya diteruskan. Mahu diselesaikan secepat mungkin.

Hamparan laut di saat itu tenang dan mendamaikan, tampak keemasan disimbah sinar mentari yang sedang menuju ke barat. Ombak menggulung ramah, datang dengan lembut mencumbui pantai.

Dari tempat Miriam duduk di tepi pantai berdekatan Nazri's Cottage tempat penginapannya, chalet A-frame satu-satunya tempat menginap di Kampung Air Batang terletak di bahagian Selatan menuju ke Kampung Tekek, dia dapat menikmati itu semua. Dan pohon-pohon berdiri berhampiran, bergeseran daunnya ditiup angin, menambahkan lagi ketenangan suasana yang sudah sedia ada. Senang hati dan tenang jiwanya berpeluang menjamah keindahan yang alam ada sajikan.

"Miriam... "

Terhenti apa sedang dinikmati saat terdengar namanya dipanggil dari arah belakang. Miriam menoleh.

"Yeayy... " begitu senyuman Miriam meledak, "ingatkan siapa tadi. Err... siapa namanya ni?"

"Reza... "

"Hah, ya Reza. Maaf saya terlupa."

"Tak apa. Mengganggu ke saya ni?"

"Tak. Sama sekali tidak."

"Boleh saya duduk sama?"

"Iya, boleh. Silakan... "

Melonjak hati mendengar pelawaan itu. Dengan semangat berkobar-kobar, tanpa membuang masa Reza menyusun langkah mendekati Miriam.

Duduk menghadap dekat Miriam, di saat itu di mata Reza, gadis jelita asal Belanda itu tak ubah seperti sebuah potret yang indah hasil lukisan pelukis ternama. Asyik mata menatapnya. Leka dan melenakan. Dan keharumannya, harum semerbak kasturi.

"Errr... awak sudah makan?" Reza memulakan bunga bicara.

Miriam senyum. "Makan malam saja nanti. Awak pulak bagaimana, sudah makan?"

"Saya? Errr... makan malam aja juga nanti."

Miriam mengangguk-angguk. Menyendengkan kepala, Reza yang sedang terlena, leka terbuai menatapnya, dipandang. Lurus-lurus dan teliti dipandang pemuda berkulit sawo matang itu.

"Kenapa tengok saya begitu?" tanya Miriam. Mengecilkan mata, senyuman dititip.

"Errr... maaf. Maaf... " Tersedar Reza dari lenanya. "Saya... kagum."

"Kagum? Kagum dengan apanya?"

"Errr... kagum... kagum dengan kecantikan awak. Awak... sungguh cantik, Miriam. Benar-benar cantik. Belum pernah saya berjumpa dengan perempuan secantik awak."

Tersenyum sambil mengetap bibirnya yang sederhana tebal dan asli merah bak delima, Miriam mengalihkan pandangan. Ke hamparan laut yang tenang setenang perasaannya, mata ditujukan. Apa dikatakan Reza tadi, tak dibalasnya. Hanya berdiam merenung jauh.

"Miriam... " panggil Reza sebentar kemudian.

Perlahan-lahan Miriam memaling kembali memandang Reza, anak jati Pulau Tioman yang boleh dikatakan punya paras rupa bukan saja tinggi dan bertubuh sasa, malah kacak juga orangnya. Mereka saling merenung. Tajam!

"Boleh tak nanti malam kita makan sama-sama di kedai makan Nazri's tu? Boleh tak?" ajak Reza.

Sedikit demi sedikit senyuman terbit di bibir Miriam. Mata bersinar-sinar. Mematahkan renungan, hamparan laut itu kembali dipandang.

"Saya tunggu awak di kedai makan tu malam nanti, ya," kata Reza lagi.

Di balik pohon besar berdekatan pantai tersembunyi dari pandangan mata, tanpa pengetahuan Miriam dan Reza, sejak dari tadi Samik berdiri di situ memerhatikan apa yang sedang berlaku. Menyirap darahnya menyaksikan adegan-adegan itu.

Angin sedang menghembus, dingin meraba kulit, sama sekali tidak mampu menembusi dinding hatinya yang sedang terbakar. Tidak mampu memadamkan api sedang bersemarak menyala-nyala.

'Bangsat! Celaka kau, Reza!"

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.