FINALE
“L, kenapa tak makan ketupat tu?” tanya Nek Zuriah.
“Tak apalah nek. Kejap lagi L makan. L nak ke pondok kat
sawah sana tu.”
“Yelah.” Nek Zuriah menggeleng melihat Elfira. Terbit
rasa kasihan di hatinya.
Elfira duduk di dalam pondok sambil menghadap sawah padi.
Kedengaran suara kanak-kanak bernyanyi riang di seberang jalan tidak
dipedulikannya. Perutnya diusap lembut.
“Selamat hari raya anak mama. Selamat hari raya, abang,”
ucapnya lembut. Perlahan air matanya mengalir. Dia yakin tentu keluarganya saat
ni sudah tahu tentang kehilangannya. Terdetik rasa bimbang di hatinya jika Erry
Edrian buat sesuatu yang tidak baik kepada Firuz Eidil. Bukan dia tidak tahu
sikap pelindung angahnya itu.
“Buat apa kau fikir pasal dia lagi, L! Dia tak cintakan
kau. Dia sendiri mengaku menyesal kahwin dengan kau. Lupakan dia L!” getusnya.
“Kak L, ni ada rendang daging untuk Kak L,” ujar seorang
kanak-kanak perempuan sambil menghulurkan ketupat kepada Elfira.
“Siapa yang bagi dik?”
“Dia kata peminat Kak L. Akak ni artis eh?”
Elfira mengukir senyum.
“Okeylah, bai bai.”
Elfira terpinga-pinga dengan tindakan budak tu. Tidak
lama kemudian muncul pula seorang kanak-kanak lelaki di hadapannya.
“Peminat Kak L bagi kari ayam. Bai bai.”
Belum sempat Elfira nak bercakap sesuatu, budak lelaki
itu terus lari.
“Kak L, ada lodeh untuk Kak L. Bai bai.”
“Eh nanti dulu!”
Budak itu terus lari tanpa mengendahkan panggilan Elfira.
“Siapalah punya kerja ni. Tiba-tiba ada peminat. Pelik.
Tapi semuanya nampak best aje.
Rendang daging, kari ayam, lodeh...” Elfira mengintai-intai jika ada
kanak-kanak lagi untuk hantar makanan kepadanya tetapi tiada sesiapa di situ.
“Apalah punya peminat. Dia bagi aku lauk aje. Habis tu
aku nak makan dengan apa? Heee entah-entah makanan ni semua beracun. Takutnya!
Tapi bau dia sedap sangat.”
“Abang ada bawakan ketupat untuk L. Jangan risau, abang
tak bubuh racun dalam tu,” ujar Firuz Eidil yang tidak semena-mena muncul entah
dari mana.
Elfira terkejut dengan kehadiran Firuz Eidil. Ikutkan
hati, ingin sahaja dia mendakap Firuz Eidil ketika itu. Namun dia sedar siapa
dirinya di hati Firuz Eidil.
“Awak buat apa kat sini? Macam mana awak tahu saya kat
sini?”
“Abang datang sini cari isteri abang yang dah merajuk
dengan suami dia yang tak guna ni.”
Elfira cuba menguatkan hatinya. Dia tidak mahu mengalah
dengan Firuz Eidil. Dia tidak mahu menangis di hadapan lelaki itu.
“Isteri abang ni dah tak sudi nak tengok wajah suami dia
yang kacak ni ke?” tanya Firuz Eidil, cuba untuk bergurau. Dia tidak dapat
menahan air matanya daripada tumpah. Kedinginan Elfira menyeksa tangkai
hatinya.
Elfira tetap seperti tadi.
“Nampaknya L dah tak sudi nak pandang wajah abang. Benci
betul L pada abang.”
“Sejak saya jatuh cinta dan berkahwin dengan Encik Firuz,
saya tak pernah bencikan Encik Firuz. Tapi Encik Firuz sendiri yang bencikan
saya. Bukan ke Encik Firuz menyesal jatuh cinta dan berkahwin dengan saya?
Jadi, buat apa Encik Firuz cari saya lagi? Saya dah kata, lepaskan saya. Saya
reda. Sekarang ni saya tengah belajar untuk lupakan Encik Firuz. Saya harap
Encik Firuz pun akan buat hal yang sama. Saya nak balik.”
Elfira turun dari pondok. Firuz Eidil segera menghalang.
Dia berdiri tepat di hadapan Elfira. Wajah isterinya itu ditatap penuh
kerinduan.
“Itu bukan reda sayang. Reda itu ikhlas, tapi itu pasrah
dan pasrah itu sebenarnya menyerah. Abang tahu, abang salah. Abang tak
maksudkan apa yang abang cakapkan pada L. Abang cintakan L, abang sayangkan L.
Cukuplah abang hilang L kali ni. Abang tak nak kehilangan L lagi. Abang sunyi,
kosong tanpa L. Abang tahu, L rasa apa yang abang rasa. Abang tahu L masih
sayang dan cintakan abang. Cukuplah hukuman ni untuk abang, L. Tolong maafkan
abang dan kembali pada abang. Abang perlukan L dan abang perlukan anak kita.
Abang sayangkan kedua-duanya.”
“L, aku minta maaf sebab beritahu Firuz kau ada kat sini.
Aku tak sanggup tengok keadaan dia, L. Dia hilang diri dia, bila kau tiada. Dan
aku tahu kau juga rasa yang sama. L, kau maafkanlah bos aku yang kurang akal
tu. L, percayalah kau tercipta untuk dia. Rasa cinta tu Allah yang hadirkan.
Jadi kenapa kau nak sia-siakan?”
Elfira memandang silih berganti antara Sofea dan Firuz
Eidil.
“Sayang, maafkan abang. Abang janji kalau sayang sepahkan
rumah pun, abang tak akan pernah merungut, kalau sayang nak abang tukar seratus
helai baju pun, abang akan tukar, sebab abang sayangkan L dan abang sanggup
buat apa aje untuk L asalkan L tak suruh abang buat perkara yang berdosa
sudahlah.”
Elfira tidak dapat menahan sebak dadanya. Air matanya
mengalir deras.
“Abang, maafkan L. L tahu L banyak susahkan abang. L,
sayangkan abang.”
Elfira memeluk erat suaminya. Firuz Eidil membalas
pelukan Elfira. Sofea menunjukkan isyarat bagus kepada ahli kelurga Elfira dan
Firuz Eidil yang menyorok di belakang pondok. Masing-masing menadah tangan
mengucap syukur.
“Yeay,” mereka semua bertepuk tangan.
Elfira terkejut melihat seluruh ahli keluarganya dan
mertuanya ada di situ. Malunya dia rasakan. Firuz Eidil sudah mengekeh ketawa.
Elfira menepuk lembut dada Firuz Eidil.
“Okey semua, suami isteri ni nak dating bertiga, yang
lain-lain tu silalah balik homestay dulu,” halau Firuz Eidil.
Masing-masing buat muka dengan Firuz Eidil. Geram mereka
apabila dihalau macam kerbau. Namun mereka faham.
Erry Edrian sempat menunjukkan penumbuknya kepada Firuz
Eidil. Cepat-cepat Firuz Eidil menggoyangkan tangannya. Kemudian mereka ketawa.
“Kenapa muka abang lebam ni?” tanya Elfira.
Firuz Eidil sekadar menguntum senyum.
“Angah buat eh?”
“Bukan salah angah. Abang yang salah sebab ingkar janji.”
“Maafkan angah tu ya. Angah memang over protective.”
“Abang faham. Kalau abang kat tempat angah pun, abang
akan buat perkara yang sama juga.”
“Oh, jadi abanglah peminat L yer,” sengaja mengubah topik
perbualan mereka.
“Iyalah, kenapa L dah ada orang lain kat sini ke?”
“Itulah tak sempat nak cari lagi. Ingatkan dah ada
peminat kat kampung ni bolehlah kot cuba nasib,” ujar Elfira bersahaja.
“Amboi, amboi, ada hati nak cari yang lain. Habis tu
abang ni nak campak mana?” tanya Firuz Eidil seakan merajuk.
“Campak dalam sawah. Biar jadi kerbau.”
“Ewah, ewah... nak sangat abang jadi kerbau eh. Kalau
macam tu, L kena jadi isteri kerbau ni lah. Baru serasi. Kerbau Firuz dan L.”
“Tak nak L!”
“Ala naklah. Temankan kerbau ni seumur hidup.” Firuz
Eidil buat muka comel kepada Elfira.
Elfira mencebik. Hatinya berbunga kembali. Rindunya
terubat kini.
“L lapar. Baby dalam perut ni belum makan lagi tau!”
“Ala ciannya anak papa ni. Mama tak makan lagi yer. Ini
papa bawakan ketupat, rendang daging, lodeh dengan kari ayam. Papa pun konfius,
ni anak papa yang nak makan atau mamanya yang nak makan.”
“Abang ni, kalau L makan, dah tentulah anak abang dalam
perut ni makan sama.” Laju Elfira menepuk lengan Firuz Eidil.
“Tengok tu mamanya dah buat perangai lama balik.”
“Kenapa? Tak puas hati?”
“Buatlah apa aje sayang, abang rela. Asalkan sayang tetap
dengan abang.”
“L sayangkan abang.”
“Abang pun sayangkan L dan anak kita ni. Abang janji
abang tak akan sakiti hati L lagi. Ada satu lagi yang L perlu tahu...” sengaja
Firuz Eidil memberhentikan bicaranya. Ditatap wajah Elfira lama. Elfira rimas
apabila direnung begitu. Malu!
“Apa yang L perlu tahu abang?”
“Abang tak pernah menyesal jatuh cinta dan berkahwin
dengan L. Abang jatuh cinta dengan L kerana L adalah L. Abang terima L
seadanya. Dan tolong jangan pulangkan cincin ini pada abang. Cincin ini hanya
milik L. Semua pemberian abang pada L adalah hak mutlak L. Hati abang juga
adalah untuk L.”
Elfira mengesat air matanya. Firuz Eidil menyarungkan
kembali cincin perkahwinan mereka ke jari Elfira.
“Terima kasih abang.”
Firuz Eidil mengucup dahi Elfira dengan penuh kasih
sayang sambil tangannya mengusap perut isterinya.
“L lapar!” pekik Elfira tidak semena-mena.
“Iya, tak payahlah jerit.”
Firuz Eidil memotong ketupat lalu menyuapkan Elfira.
Elfira, tiada wanita yang mampu singgah di hati ini selain darimu. Abang
janji akan jaga ikatan perkahwinan kita ni hingga ke akhir hayat abang. Ya
Allah, berkatilah hubungan kami,bisik hati kecil Firuz Eidil. Melihatkan keletah Elfira dia kini mampu
mengukir senyum kembali.