11
Pengumuman hari raya puasa baru sahaja diumumkan. Sayu
hati Firuz Eidil mengenangkan Elfira. Sudah berhari-hari dia mencari isteriya
itu. Namun dia tetap menemui jalan buntu. Kini dia mengharapkan agar Elfira
terbuka hati untuk kembali kepadanya.
“L, esok dah raya. L kat mana? Abang harap sangat yang L
akan balik esok. Abang dah masakkan ketupat, rendang daging dan lodeh. Sekarang
ni abang masakkan kari ayam untuk L. Baliklah L. Abang rindu sangat pada L,”
rintihnya sendirian. Air matanya tak mampu ditahan lagi. Sejak kehilangan
Elfira, air matanya begitu murah.
Telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“L!” segera dia mencapai telefon bimbitnya. Sayangnya
panggilan tersebut daripada Tan Sri Mikhail. Punah harapannya.
“Assalamualaikum pa.”
“Along buka pintu pagar ni, sekarang!” jerkah Tan Sri
Mikhail tanpa menjawab salam Firuz Eidil.
Firuz Eidil tersentak. Segera mencapai remote control
pagar rumahnya. Sebaik pintu pagar terbuka luas, ahli keluargannya dan
mertuanya menderu masuk ke dalam rumah. Erry Edrian mendahului mereka. Tanpa
berlengah, satu tamparan kuat tepat ke muka Firuz Eidil. Perut Firuz Eidil
ditendang kuat. Lehernya dicekak kuat oleh Erry Edrian. Sedikit pun Firuz Eidil
tidak melawan. Dia hanya merelakan Erry Edrian memukulnya.
“Angah! Sudahlah tu!” laung Zamrin Edril.
Angah melepaskan cengkamannya.
“Ikutkan hati aku, memang teruk kau, aku kerjakan! Apa
kau dah buat pada L? Mana janji-janji kau nak jaga L? Kau dah lupa pesanan aku?
Sampai lubang cacing pun aku akan cari kau, kalau kau sakitkan hati adik aku!”
“Angah, sudahlah angah. Bukan boleh selesai masalah
dengan cara macam ni,” sampuk Puan Sri Karmila.
“Dia ni dah melampau ma. Boleh dia tak beritahu kita.
Patutlah bila kita telefon L, dia tak angkat. Nasib baik Fea ceritakan
semuanya. Kalau tak, sampai sudah kita tak tahu apa yang berlaku dalam
rumahtangga mereka ni,” luah Erry Edrian geram.
“Sudahlah tu angah. Kita datang ni nak selesaikan
masalah. Bukan nak tambah masalah,” celah Zamrin Edril. Ikutkan hati, dia juga
bengang dengan Firuz Eidil tetapi dia tahu kekasaran tak boleh menyelesaikan
masalah.
“Along, kenapa buat macam ni?” tanya Puan Sri Faizura.
Riak kecewa jelas terpamer di wajahnya.
Firuz Eidil terduduk. Dia rela dipukul, dimarahi atau apa
sahaja yang Erry Edrian lakukan padanya. Dia tahu, itu semua salahnya. Air
matanya semakin lebat gugur ke pipi. Badannya terhinggut-hinggut.
“Bau kari. Bos masak kari ke?” celah Sofea spontan sebaik
hidungnya menghidu bau kari.
Firuz Eidil baru teringat yang dia sedang masak kari
ayam. Segera dia berlari ke dapur. Puan Sri Faizura, Puan Sri Karmila, dan
Sofea turut menuju ke dapur. Mereka melihat Firuz Eidil mengacau kuah kari.
“Along masak ke ni?”
Firuz Eidil memandang ke arah Puan Sri Faizura. Kemudian
dia mengangguk.
“Along, harap sangat yang L akan balik esok ma. Dia nak
sangat makan masakan along.”
Sofea bersimpati dengan Firuz Eidil. Dia dapat melihat
keadaan Firuz Eidil yang tidak terurus. Sejak beberapa hari ni, tiada lagi
senyuman dibibir bosnya tu. Hanya air mata dan wajah suram serta mata yang
sembap, yang menghiasi hari-hari bosnya itu.
“Biar mama tolong along,” pinta Puan Sri Faizura.
“Tak apalah ma. Biar along yang buat. Mama pergilah duduk
depan. Nanti along datang.”
“Kalau dah begitu yelah.”
Mereka bertiga menuju ke ruang tamu.
“Kesian dia bang. Susah payah dia masak untuk L,”
beritahu Puan Sri Karmila kepada suaminya.
“Biarkan dia rasa susah. Geram angah tengok dia,” ujar
Erry Edrian dengan nada yang masih tinggi.
“Uncle faham
perasaan Erry. Uncle malu dengan
keluarga L.”
“Bukan salah uncle.
Biasalah, mereka tu masih nak sesuaikan diri hidup bersama. Lagipun tak
sampai setahun mereka berkahwin. L tu pun, masih kebudak-budakkan lagi,” ujar
Zamrin Edril. Dia tidak mahu Tan Sri Mikhail berasa bersalah.
Tidak lama kemudian, Firuz Eidil muncul di ruang tamu
beserta dengan minuman.
“Jemput minum,” pelawa Firuz Eidil. Dia mengambil tempat
di sebelah bapa mertuanya, Tan Sri Lukman Hakim.
“Kenapa boleh jadi macam ni Firuz?” soal Tan Sri Lukman
Hakim lembut.
“Maafkan Firuz pa. Firuz tahu, salah Firuz. Kalau tak, L
tak akan tinggalkan Firuz,” ujarnya dengan mencium tangan Tan Sri Lukman Hakim.
Air matanya gugur buat sekian kalinya.
“Sudahlah tu, perkara dah jadi. Sekarang ni papa nak
tanya betul-betul dengan Firuz...”
“Tanya apa pa?”
“Firuz masih sayangkan L ataupun tak?”
“Pa, sesungguhnya Firuz cinta dan sayangkan L sepenuh
hati Firuz. Cinta dan kasih sayang Firuz tak pernah berkurang. Dia nyawa Firuz.
Tanpa dia, tiada kesempurnaan dalam hidup Firuz, pa. Dia adalah pelengkap hidup
Firuz,” beritahu Firuz Eidil bersungguh-sungguh.
“Kalau macam tu dengar apa yang kami nak sampaikan.
Sofea...” Tan Sri Lukman Hakim memberi ruang kepada Sofea untuk berbicara.
“Sebenarnya bos, L selamat. Dia ada di kampung Airel.
Maaf sebab saya tak berterus-terang. Ini semua atas permintaan L sendiri. Bila
saya lihat keadaan bos, saya yakin bos tak maksudkan apa yang bos cakapkan pada
L. Saya nampak betapa bos cintakan L. Sebab tu, bila angah telefon saya tanya
pasal L, saya terpaksa berterus-terang apa yang berlaku antara bos dengan L.
Maafkan saya bos.”
“Alhamdulillah. Terima kasih Fea. Saya tahu awak cuma
menjaga amanah L. Sekurang-kurangnya saya tahu dia dalam keadaan baik. Awak
boleh bawa saya jumpa diakan?”
“Boleh bos.”
“Apalagi tercegat kat sini, pergilah siap. Kami tunggu
ni!” sampuk Erry Edrian.
Terkejut Firuz Eidil dijerkah begitu. Erry Edrian masih
serius.
“Okey, tapi lauk...”
“Tak apa, biar kami ni yang uruskan,” celah Puan Sri
Karmila.
“Terima kasih ma.”
Firuz Eidil segera menuju ke biliknya. Sementara itu
semua mata tertumpu ke arah Erry Edrian.
“Apa?” soalnya tidak
puas hati. Dia buat muka bersahaja. Kemudian bibirnya menguntum senyuman.
Mereka kemudian memecah tawa.