Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
31,017
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Izara memerhati  Amran yang baru keluar dari bilik air. Amran kelihatan mengelap rambut dengan tuala mandi . Izara melihat rambut Amran semakin banyak yang beruban. Dia simpati dengan Amran yang terlalu obses dengan kerjanya. Tapi apakan daya, puas dipujuk pun Amran masih berdegil tidak ingin meninggalkan bidang politik yang begitu digemarinya. Seboleh mungkin Izara tidak ingin berbicara tentang politik ketika Amran berada di rumah. Cukuplah Amran dibebankan dengan hal-hal politik semasa berada di luar rumah.

Amran menyarung kain pelikat dan memakai baju kemeja T yang agak lusuh. Dia mengambil kopiah yang tergantung di sebelah almari pakaian. Dia menunai Solat Isyak ketika jam menunjukkan waktu menghampiri tengah malam. Izara jarang menunggu Amran balik. Biasanya apabila Amran masuk ke rumah Izara telah lena dibuai mimpi. Entah kenapa sejak dia rapat dengan Hisham kebelakangan ini dia lebih memberi tumpuan kepada Amran.Mungkin dia cuba menutup rasa bersalahnya terhadap Amran.

Sebaik sahaja Amran memberi Salam di rakaat terakhir dan berdoa ringkas, Izara terus menghampiri Amran.

“ Abang nak minum? “ tanya Izara.

“ Dah lewat ni. Kalau minum nanti susah pulak nak tidur,” jawab Amran sambil duduk di atas katil di sisi Izara.Matanya tertumpu kepada skrin telefon di tangannya. Kelihatan dia menaip di telefon. Izara kurang pasti kepada siapakah dia menghantar mesej  di tengah-tengah malam begini.

Izara memakai pakaian tidur yang agak seksi pada malam itu. Baju tidur tidak berlengan paras peha dari kain satin dan agak terbuka di bahagian dada menyerlahkan keayuannya. Memang mereka  sudah lama tidak bersama. Setiap kali Izara cuba mendekati Amran berakhir dengan kehampaan. Kadang kala Izara merasa adakah dia tidak lagi secantik dulu. Memang dia akui faktor usia menyebabkan dia tidak lagi secantik 10 tahun yang lepas tetapi jika dibanding dengan wanita seusianya memang dia tergolong dalam kalangan wanita yang cantik.

Izara barbaring di sebelah Amran.Dia merapatkan badannya dengan Amran. Tangan kiri Amran mengusap-ngusap rambut Izara sementara tangan kanannya terus membalas whatsapp dari seseorang. Izara merasa cemburu dengan siapa juga yang sedang berwhatsapp dengan Amran.Tidak kiralah orang itu lelaki atau wanita, muda atau tua, hal rasmi mahupun peribadi. Kalau diikutkan hati mahu sahaja Izara meminta Amran menutup telefonnya dan menumpukan perhatian kepada dirinya sahaja. Tidak cukupkah lagi masa yang telah dikorbankan oleh Amran di luar sana, hinggakan masa untuk bersama yang begitu terhad ini juga turut diganggu.

Sebaik sahaja Amran mematikan telefonnya Izara segera memalapkan lampu bilik tidur mereka menggunakan alat kawalan jauh . Cahaya suram di dalam bilik tidur diharap dapat mencetus mood romantik. Amran memusing badan ke kiri dan mendakap Izara.Izara merasa begitu bahagia sekali didakap oleh suaminya. Terlintas fikiran nakal dimindanya ketika itu.Bagaimanakah agaknya dakapan Hisham? Segera Izara memadam fikiran nakal itu dari mindanya.

Tidak sampai seminit kemudian Amran sudah berdengkur. Izara merasa begitu kecewa mendengar dengkuran Amran.Sudah hampir dua bulan mereka tidak bersama. Perlahan-lahan Izara melepaskan rangkulan Amran dan berpaling membelakangkan Amran. Dia merasa begitu sedih apabila Amran tidak lagi berminat untuk bersama. Adakah aku sudah terlalu tua untuknya? Adakah tubuh badanku dah tidak menarik lagi? Adakah dia menyimpan perempuan lain di luar sana?Pelbagai soalan bermain di minda Izara.YB Amran,jangan salahkan isteri awak kalau dah nikah 10 tahun masih belum mampu memberi cahaya mata kepada awak, kata Izara di dalam hati.

 Matanya masih terkebil kebil memandang siling.Di sebelahnya dengkuran Amran semakin kuat. Mungkin kerana malam yang sunyi menjadikan dengkuran  Amran semakin jelas kedengaran di telinga Izara.Izara cuba lena tapi terganggu dengan dengkuran Amran.Jarum jam meniti ke dinihari. Ayam mula berkokok.Izara menekap telinganya dengan bantal  namun bunyi dengkur Amran berjaya menembusi bantal. Nanti kena beli ear plug, kata Izara. Dia tidak tahu samada dia membenci Amran atau masih menyayangi Amran. Kalau dia masih sayang kepada Amran kenapa dia keluar dengan Hisham? Dia benar-benar keliru dengan perasaan hatinya ketika itu.Izara berpaling melihat wajah suaminya dalam cahaya suram di bilik tidur. Dia melihat wajah Amran yang begitu tenang. Tiba-tiba timbul rasa bersalah di hati Izara. Sepatutnya dia merasa bersyukur mendapat suami yang begitu menyayanginya tapi dia telah curang.

Izara mencium pipi Amran dan menarik selimut menutup Amran ke paras dada. Alat penghawa dingin yang dipasang rendah suhunya menjadikan bilik itu betul-betul dingin.Izara memaling badan dan mendakap Amran rapat-rapat. Tanpa dia sedari air matanya mengalir membasahi pipinya. Serta merta dia mengelap air mata dengan tangannya, bimbang kalau-kalau air matanya jatuh di atas muka Amran dan mengejutkannya dari tidur.

Izara berazam untuk tidak lagi berhubung dengan Hisham selepas ini. Dengan azam yang baru disemai itu Izara terlelap.

................................................................................................................................................................

Hisham hairan kenapa pagi ini Izara tidak menjawab mesej dan whatsappnya.Dia risau kalau-kalau Izara tidak sihat. Baru petang semalam dia berwhatsapp dengan Izara. Dia tidak boleh fokus kepada kerjanya selagi dia tidak dapat jawapan dari Izara.Hatinya tertanya-tanya adakah suami Izara telah mengetahui rahsia antara dia dan Izara?Kecut perutnya membayangkan kalau-kalau YB Amran tahu perhubungan terlarang antaranya dan Izara.

Hisham faham perasaan cemburu lelaki. Ada orang yang sanggup membunuh disebabkan rasa cemburu. Memikirkan kemungkinan itu rasa takut menyelubungi  Hisham, bimbang kalau dia akan menjadi mangsa cemburu YB Amran, suami Izara.

Dalam Hisham berangan-angan memikirkan tentang Izara telefonnya bergetar menandakan ada mesej yang masuk.Dia melihat mesej dari Izara yang ringkas tetapi amat-amat menusuk kalbunya.

‘Hisham, saya amat berharap selepas ini kita tidak akan berhubung lagi. Anggaplah apa yang berlaku diantara kita adalah satu mimpi indah. Saya rasa bersalah terhadap suami kerana mencuranginya. Saya nak jadi isteri yang baik selepas ini.Saya berharap awak akan dapat seorang gadis yang baik yang akan menjadi isteri awak. Percayalah,sesiapa juga yang awak pilih menjadi isteri awak adalah wanita yang amat bertuah dan saya amat mencemburuinya.’

Hisham membaca mesej dari Izara berulang kali, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Mustahil Izara boleh berubah hati sekelip mata.

Dia cuba menghantar mesej melalui whatsapp tetapi whatsapp nya telah diblok oleh Izara. Begitu juga sms dan panggilan telefonnya juga telah diblok.

Hisham duduk termenung memikirkan apa yang baru sahaja berlaku. Terasa seakan di dalam mimpi pula. Baru dua hari lepas dia begitu bermesra dengan Izara, hari ini dengan mudah Izara meninggalkannya.Kalau ikutkan rasa hati mahu sahaja dia pergi ke rumah Izara tapi dia tidak tahu di manakah letaknya rumah Izara.Aku boleh aja ke pejabat YB Amran, dapatkan alamat rumah YB Amran. Lepas tu aku pergilah ke rumah dia, kata hati Hisham yang menghasutnya untuk melakukan sesuatu yang dia tidak pernah dia buat sebelum ini.

Kalau dulu jika mana-mana kawan wanitanya ingin memutuskan perhubungan tidak ada sekelumit pun rasa sedih di hatinya tetapi kali ini dengan Izara perasaannya lain sekali. Dia benar-benar kecewa. Tidak pernah seumur hidupnya dia merasa sedih sebegini kecuali ketika ayahnya meninggal dunia dahulu.

‘Hisham, kau jangan buat kerja gila. Izara itu isteri orang.Ramai lagi wanita cantik yang kau boleh jadikan calon isteri, kenapa perlu mengganggu isteri orang,’ kata suara hati Hisham yang rasional pula.

‘Adoiiii, pening kepala, Hisham memegang kepalanya dan meramas-ramas rambutnya. Nasib baik tidak ada orang di dalam pejabat pada ketika itu.

“ Eh, apa hal tu. Macam orang baru lepas mati bini aja,” tiba-tiba suara Shima memecah kesunyian. Hisham berpaling ke arah suara dan melihat Shima tersenyum.

“ Panjanglah ceritanya,” kata Hisham ringkas.

“ Aku dah boleh agak. Mesti kena tinggal girlfriend kan? “ kata Shimatertawa kecil. Hisham turut tertawa.

“ Eh, macam mana kau tahu ni? “tanya Hisham.

“ Aku dah kenal kau bukan sehar idua.Itulah rupa kau kalau putus bercinta. Nanti lepas seminggu kebahlah demam kecewa cinta kau tu nanti,” kata Shima tertawa lagi.

“ Kali ini lain lah Shima. Kali ini aku betul-betul kecewa,” kata Hisham.

“ Eh, mudahnya kasanova mengaku kalah,” kata Shima.

“ Jom kita tenangkan diri. Aku belanja kau nasi lemak pagi ni,” kata Shima lagi.

“ Mana boleh tinggalkan ofis ni.Tak ada orang ni,” kata Hisham teragak-agak. Dia memang cukup menjaga disiplin ketika berkerja.

“ Alah bukan lama sangat pun.Kalau ada hal penting nanti orang telefonlah kau. Nak ke tak aku belanja nasi lemak ni,” kata Shima.

“ Aku nak nasi lemak kau,” kata Hisham tergelak besar.

“ Gatal,” kata Shima mencubit lengan Hisham. “ Aku ajak kawin dengan aku aja kau tak nak. Kalau kau kawin dengan aku , aku akan jaga kau dengan sepenuh hati,” kata Shima dengan nada bergurau tetapi dalam hati dia memang menaruh harapan suatu hari nanti Hisham menjadi suaminya.

“ Nantilah aku Solat Isytikarah dulu,”kata Hisham sambil mengunci pintu pejabat. Mereka berdua kemudiannya berjalan ke arah kafetaria yang tidak kauh dari pejabat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.