Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
31,049
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Hisham terpinga-pinga masuk kedalam restoran yang dia tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kakinya ke dalam restoran itu.Izara tersenyum melihat Hisham. Dalam hatinya merasa simpati kepada Hisham yang seolah-olah seperti rusa masuk kampung.

“Iza, saya tak pandailah makan di tempat macam ini. Saya cuma biasa makan di warung-warung aja. Habis tinggi pun di restoran makanan segera. Tak pernah bermimpi untuk masuk ke restoran sebegini,” kata Hisham lagi sambil memerhati ke sekeliling.

“ Kenapa kita kena tunggu kat sini? Kenapa kita tak masuk aja. Kan banyak meja kosong kat dalam tu,” kata Hisham lagi tertanya-tanya. Izara bertambah simpati dengan perangai naif Hisham itu. Perkataan berbahasa Inggeris yang tertulis ‘Please wait to be seated” seolah-olah tidak dihiraukan oleh Hisham.Samada dia tidak perasaan perkataan yang terpampang di pintu masuk restoran atau dia tidak memahami Bahasa Inggeris.

Izara bersuara separuh berbisik. “Syhh, jangan cakap kuat sangat. Nanti satu restoran akan dengar suara awak,”kata Izara tersenyum melihat Hisham. Kelihatan peluh bermanik di dahi Hisham walaupun tempat itu berhawa dingin.

Selang beberapa ketika pelayan restoran lengkap berpakaian dengan suit dan bow tie bergerak menghampiri Izara dan Hisham.” Berapa orang cik? “ tanyanya dengan sopan.” Dua orang aja” jawab Izara.

“ Silakan puan, encik,” kata pelayan sambil membawa mereka berdua ke satu sudut restoran yang agak terpencil atas permintaan Izara. Hisham hanya menurut sahaja.

Melihat menu yang diberikan kepadanya jantung Hisham seakan gugur. Semuanya mahal-mahal. Mahu hampir setengah bulan gaji dia akan habis sekali makan berdua di restoran ini.

“ Iza, biarlah saya berterus terang dengan awak. Saya tak biasa makan tempat macam ni. Saya tak mampu makan di tempat macam ni. Hari ini pun saya tak ada duit nak bayar kalau menu macam ini. Kita keluar ajalah ye. Kita cari kedai makan yang murah-murah. Kat luar sana banyak kedai makan yang sedap-sedap. Makanan kat sini tak usah kata nak makan, nak menyebutnya pun saya tak reti,”. Wajah Hisham kelihatan begitu sugul dan malu. Dia fikir lebih baik berterus terang dan jujur dari dipaksa membasuh pinggan di restoran ini kerana tak mampu membayar harga makanan yang dipesan.

“ Awak ni kan. Kan saya yang ajak awak datang ke sini. Sayalah yang akan bayar. Awak cuma perlu tenang dan jangan mengelabah. Tengok tu berpeluh satu muka,” kata Izara. Serentak dengan ituI zara membawa keluar tisu dari beg tangannya dan menggelap muka Hisham. Hisham tergamam dengan perbuatan Izara.  Bukan dia tidak pernah keluar  makan bersama dengan perempuan. Dah ramai perempuan yang keluar bersama dengannya tapi inilah pertama kali perempuan yang berani menggelap mukanya. Memang Izara lain dari yang lain.

Selepas membuat pesanan Izara dan Hisham bersembang bertanyakan latar belakang masing-masing. Izara kini faham kenapa Hisham begitu kekok dengan suasana sebegini. Bercerita dengan Hisham membuatkan Izara merasa insaf dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.Betullah seperti kata orang tua-tua jika memandang bintang di langit jangan lupa rumput di bumi. Jika sesekali kita merasakan hidup kita sukar dan penuh dengan masalah, ramai lagi orang lain yang menghadapi kehidupan yang jauh lebih sukar dari kita.

“ Kenapa Hisham tak sambung belajar selepas SPM?” kata Izara apabila Hisham menceritakan latar belakangnya kepada Izara. Keputusan SPM Hisham bukanlah teruk sangat. Paling tidak pun dial ayak untuk belajar diploma di mana-mana Institut PengajianTinggi Awam di Malaysia ini.

“ Saya anak sulung dari lima beradik. Saya orang susah. Ayah dan emak kerja penoreh getah aja. Sebagai abang sulung tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu meringankan beban kedua-dua ibu bapa saya. Sebab itu saya memilih untuk tidak menyambung pelajaran tapi terus membawa diri berhijrah di Kuala Lumpur ini mencari rezeki,” kata Hisham merenung wajah Izara. Izara merasa malu apabila Hisham memandang tepat ke dalam anak matanya.

“ Saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur ni ikut kawan-kawan. Tak pernah jejak kaki ke bandar metropolitan kata orang. Betul-betul memperjudikan nasib. Kalau saya tak berani menghadapi cabaran sampai bila saya nak terus terperusuk di kampung?. Nak menoreh pun bukannya ada kebun getah sendiri. Kalau nak ambik upah menoreh di kebun orang lain berapa sen sangatlah saya dapat kan.” kata Hisham kepada Izara.

“ Awak tahu tak? Masa kami mula-mula sampai di Kuala Lumpur untuk beberapa hari saya menumpang di rumah abang kawan saya. Kawan sekampung saya nama Aziz. Yerlah kan, kita baru sampai dari kampung. Tak tahu arah tujuan. Rumah abang kawan saya tu bukannya luas mana. Rumah flat dua bilik. Anak-anak dia pun dah 4 orang. Ditambah lagi dengan saya dan Aziz. Betul-betul macam dalam tin sardin duduk di rumah tu,” kata Hisham bersemangat menceritakan latar belakang hidupnya kepada Izara.Izara hanya mendengar segala kata-kata Hisham.

“ Lepas seminggu kami duduk di rumah abangnya, Aziz mengajak saya mencari rumah lain. Dia tengok muka kakak iparnya masam mencuka sejak kami tinggal di situ. Maklumlah, selain dari menanggung dua lagi tambahan perut, rumah yang sempit itu memanglah tidak selesa.   Kami pulak  menambahkankan lagi kesesakan di dalam rumah itu. Aziz cakap pada saya sebaiknya kita keluar rumah itu sebelum dihalau.”kata Hisham sambil meneguk minuman yang baru diletakkan oleh pelayan.

Izara mendengar dengan penuh minat kisah hidup Hisham. Kalau selama ini dia ingat kisah yang sebegini hanyalah boleh ditonton di dalam drama televisyen atau di dalam filem sahaja tetapi kali ini kisah ini benar-benar berlaku dan sedang diceritakan dengan begitu jelas oleh watak sebenarnya.

“ Saya dengan Aziz menumpang di rumah setinggan bersama-sama dengan orang Indon dan Bangla.Aziz dapat kerja sebagai pengawal keselamatan. Saya pula dapat bekerja sebagai pekerja am di Supermarket tempat saya bekerja sekarang. Sebutlah apa kerja yang saya tidak pernah buat. Saya pernah jadi pengelap lantai, pencuci tandas, pengangkat barang.Pendek kata semua kerja yang perlukan tulang empat kerat ini saya dah buat.” kata Hisham.

“ Kali pertama saya terima gaji saya pergi ke rumah abang Aziz. Saya belikan anak-anak dia baju seorang sehelai. Masa tu baru saya nampak ada senyum di muka kakak ipar Aziz. Saya tak lupa jasa orang. Biar saya miskin, biar saya tidak ada harta tapi saya ada harga diri. Saya lakukan kerja saya dengan sebaik mungkin. Berkat usaha gigih saya lama kelamaan saya dinaikkan pangkat ke tahap saya sekarang ini. Taklah kaya tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini,” kata Hisham tersenyum puas.

Air mata Izara tiba-tiba memenuhi kelopak matanya. Dia memang berjiwa sensitif. Dia membayangkan kesukaran yang dihadapi oleh Hisham. Betul seperti orang selalu sebut, Allah menduga dengan pelbagai cara. Ada yang diduga dengan kesakitan, ada yang diduga dengan kemiskinan, ada yang diduga dengan harta yang melimpah ruah. Bila dia fikirkan masalah dan dugaan yangmenimpa Hisham dia merasa begitu insaf.Aku hanya diberi dugaan kecil sahaja. Aku belum lagi dikurniakan cahaya mata tetapi aku seolah-olah menyalahkan takdir, kata Izara berbisik di dalam hati.

“ Kenapa Iza menangis? “ tanya Hisham.

“ Tak ada apa. Mata masuk habuk,”kata Izara menyembunyikan rasa sedih di hatinya.

Pelayan restoran datang membawa sup. Hisham tertanya-tanya di dalam hati. Takkan bayar mahal-mahal dapat sup aja?.Dia rasa segan untuk bertanya kepada Izara. Dia melihat di depannya ada deretan pinggan dan sudu serta garfu yang tersusun kemas di depannya.

Dia mengambil sudu yang berada di atas meja tetapi di tegur oleh Izara. “ Hisham, kalau makan sup kena ambil sudu yang ini,” kata Izara sambil memegang sudu yang saiznya agak lebar berbanding sudu yang lain di atas meja.

Hisham tersipu malu di atas kesilapannya. dan berkata kepada Izara. “ Maaflah, saya ni memang tak pandai benda-benda macam ni. Bagi saya sudu tu sama aja. Sudu besar ke sudu kecil ke sama sama boleh digunakan untuk menghirup kuah. Hehe,” kata Hisham tertawa kecil.

“ Tak apa. Kalau tak tahu kan boleh belajar. Yang penting awak jujur. Saya nampak Hisham ini bukan seorang yang hipokrit,” kata Izara memandang wajah Hisham. Kali ini Hisham kelihatan lebih tenang.

Izara melihat ada kuah sup yang menitik di bawah bibir Hisham. Izara mengambil kain dan mengelap kuah sup yang melekat di bawah bibir  Hisham. Tangan mereka tersentuh. Izara merasa berdebar atas sentuhan yang tidak disengajakan itu.

Tidak lama selepas itu pelayan datang membawa dua   pinggan steak yang masih berasap dan meletakkan di depan Izara dan Hisham.Sekali lagi Hisham merasa hairan dengan cara penyediaan makanan di restoran ini. Kalau kebiasaanya dia akan makan nasi bungkus atau nasi yang dihidang di restoran sekaligus. Tidak berperingkat-peringkat seperti di restoran ini.

“ Saya dah banyak cerita tentang saya. Sekarang nak dengar kisah Iza pulak,” kata Hisham sambil mengunyah steak di depannya.

Izara menceritakan sedikit sebanyak latarbelakang keluarganya. Kisah perkenalan dia dengan Amran dan kehidupan dia pada masa kini.

“ Saya rasa begitu kerdil nak membandingkan kehidupan saya dengan awak,” kata Hisham.

“ Awak umpama merak kayangan sedangkan saya adalah gagak di rimba,” kata Hisham lagi.

“Wah, peminat P.Ramlee ye Hisham ni,” kata Izara tertawa.

“Saya ni kan kalau awak nak tahu minat menulis novel. Minat membaca novel. Terutamanya novel-novel romantis,”kata Hisham mengelap mulutnya.

“ Serius?” Izara bertanya dengan nada terkejut.

“ Tak sangka kan. Orang yang macho macam awak minat baca novelr omantis. Orang sekarang guna istilah mat bunga untuk lelaki macam awak ni,”kata Izara sambil tertawa.

Hisham turut tertawa mendengar usikan Izara.

“ Saya selalu membayangkan kalau saya ini orang kaya. Kalau saya tidak perlu bekerja untuk menampung kehidupan,saya nak menjadi penulis sepenuh masa. Saya akan bina rumah samada di tepi laut atau di pinggir sawah padi. Saya akan menulis sepanjang masa. Mesti seronok kankehidupan yang bebas dari masalah kewangan. Tak perlu fikir tentang kerja. Tak perlu fikir tentang apa bos kata. Tak perlu terburu-buru menunggu masa. Tak perlu menunggu hari gaji,” kata Hisham.

“ Tapi Allah itu adil. Setiap manusia akan diduga.Orang kaya diduga cara orang kaya. Orang miskin pula diduga cara orang misikin. Allah menduga dalam sihat dan dalam sakit, dalam kaya dan dalam miskin, dalam susah dan dalam senang. Dugaan Allah membuatkan kita menjadi lebih kuat dan lebih mensyukuri rahmat dari Allah,” kata Izara.

Hisham tidak dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Izara. Susah rupanya nak berbincang dengan perempuan bijak macam Izara ini. Rasanya lebih mudah bercakap dengan Shima dari dengan Izara, kata hati Hisham.

Tiba-tiba ingatan Hisham bergerak ke arah Shima, gadis rakan sekerjanya yang selalu dijadikan teman untuk bercerita. Shima gadis sederhana. Tidak secantik Izara tetapi Hisham selesa dengan Shima. Izara adalah terlalu tinggi untuk dirinya. Mungkin kali ini pertama dan terakhir untuk dia keluar dengan Izara. Apatah lagi Izara isteri orang.

“ Awak tak takut ke kalau orang nampak kita berdua? “ Hisham bertanya.

“ Kenapa perlu takut? Saya keluar makan aja dengan awak. Bukannya awak makan saya. Hihi” jawab Izara sambil tertawa.

“ Awak tu isteri YB. Saya khuatir nanti menimbulkan fitnah,” kata Hisham.

“ Biar saya beritahu Hisham.Perempuan adalah perempuan. Tak kira dia isteri raja ke, isteri menteri ke,isteri hartawan ke semua perempuan adalah sama. Memang fitrah wanita ingin dibelai setiap masa. Saya hidup atas duit. Semua saya nak saya boleh dapat.Tapi saya sunyi. Suami saya hanya ada pada nama sahaja. Saya tak malu nak beritahu Hisham,  nak tengok suami saya sentuh saya sekali dalam seminggu pun susah. Jiwa saya memberontak. Saya manusia biasa Hisham. Ada perasaan, ada nafsu,” kata Izara.

Hisham merasa serba salah mendengar luahan hati Izara. Dia tidak menyangka yang pertemua pertama ini menjadi medan meluahkan perasaan pula.

“ Hidup saya sunyi Hisham. Kalau saya ada anak mungkin saya tidak rasa sesunyi ini. Saya tak putus asa berdoa agar Allah kurniakan kami anak tapi setakat ini doa saya belum termakbul,” airmata bermanik di kelopak mata Izara.

“ Iza, saya minta maaf kalau buat awak terasa hati. Maaf ye,” kata Hisham.

“ Awak tidak perlu minta maaf dari saya. Awak tidak ada sebarang kesalahan kepada saya. Cuma saya yang tak bersyukur dia atas nikmat kurniaan Allah. Allah beri saya segala kemewahan tapi  Allah uji saya dengan tidak memberikan saya cahaya  mata,” kata Izara teresak-esak. Hisham merasa serba salah. takut-takut kalau ada di antara pelanggan dan pekerja restoran yang nampak drama air mata yang berlaku.

“ Iza, jom kita balik,” kata Hisham.

Tanpa berkata banyak Izara memanggil pelayan untuk membayar bila dan mereka kemudiannya beredar dari situ.Beberapa pasang mata mengekori pergerakan mereka berdua. Ada yang berbisik sesama sendiri mungkin membuat spekulasi apakah yang berlaku antara mereka berdua.Tanpa mereka sedari ada sepasang mata yang mengekori mereka dari saat mereka berdua masuk ke restoran sehingga mereka meninggalkan restoran.

Sebaik sahaja melihat Izara danHisham bergerak meninggalkan restoran Ghani mengekori dari belakang. Ada perkembangan terbaru yang perlu dilaporkan kepada Haji Malik. Mesti Haji Malik akan merasa gembira dengan berita baik yang akan disampaikan nanti.

 

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.