Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
31,057
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

“ Assalamualaikum semua. Tujuan saya memanggil saudara dan saudari semua ke perjumpaan ringkas pada petang ini alah untuk memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai Ketua Bahagian Kuala Bertahan berkuatkuasa serta merta. Saya dengan rasa berat hati meletak jawatan atas faktor usia dan kesihatan yang tidak mengizinkan. Saya dengan ini ingin memaklumkan yang YB Amran akan dilantik sebagai pemangku Ketua Bahagian sehingga pemilihan parti yang diadakan nanti. Perlantikan YB Amran sebagai pemangku Ketua Bahagian telah pun dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar dan beliau telah bersetuju dengan perlantikan ini.” kata Dato’ Rosman.

Dia berhenti berucap seketika apabila batuknya semakin kuat.Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu memberi reaksi yang  biasa-biasa sahaja kerana mereka telah pun menjangka keputusan itu. Spekulasi telah berlegar dikalangan ahli parti dan pengundi kawasan Parlimen Kuala Bertahan tentang peralihan pucuk pimpinan peringkat Bahagian yang akan berlaku.

Malik adalah diantara kira-kira 50  orang pemimpin parti yang hadir pada ketika itu.Sebaik sahaja Dato’ Rosman mengumumkan perlantikan Amran sebagai pemangku Ketua Bahagian tiba-tiba Malik merasakan yang ruangan di dalam bilik mesyuarat itu panas walaupun penyaman udara berfungsi dengan baik. Dia merasakan seolah-olah ada beberapa mata yang memandanganya dengan pandangan menyindir. ‘Padan muka kau Malik, gila sangat nak jadi Ketua Bahagian. Akhirnya dapat kepada Amran juga. Kata-kata menyindir yang dirasakan oleh Malik disebalik renungan beberapa pasang mata yang memandang ke arahnya.

Selepas batuknya berkurangan Dato’ Rosman meneruskan ucapannya.Amran yang duduk di sebelahnya tersenyum lebar menerima pengumuman Dato’ Rosman tadi, menambahkan rasa sakit hati Malik.

“ Saya telah menabur bakti selama lebih 30 tahun di dalam parti keramat kita ini. Pelbagai cabaran saya telah tempuhi. Perpecahan akibat perebutan kuasa saya telah alami. Bukan mudah untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat apabila parti yang memerintah negara ini telah berpecah belah. Oleh itu saya memohon sangat-sangat kepada semua yang hadir pada hari ini agar memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada YB Amran selaku pengganti saya.” kata Dato’ Rosman memandang ke arah Amran yang tersenyum lebar. Malik melihat dengan rasa seolah-olah Amran menikam ulu hatinya dengan pisau belati. Kalau diikutkan rasa hati mahu pada ketika itu dia meninggalkan bilik mesyuarat itu tetapi hati kecilnya meminta agar dia terus bersabar.Nak jadi ahli politik perlukan lakonan gred A wahai Malik, bisik hatinya.

Dato’ Rosman meneruskan ucapannya untuk beberapa minit lagi sebelum menyerahkan kepada Amran peluang untuk berucap. Nampaknya Dato’ Rosman boleh berucap dengan lebih baik tanpa membaca teks ucapan.

“ Assalamualaikum semua. Pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar yang telah menaruh kepercayaan kepada saya untuk menyandang jawatan Pemangku Ketua Bahagian. Saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dato’ Rosman yang telah menyarankan nama saya kepada Dato’ MB. Tanpa sokongan dari Dato’ Rosman tentulah saya tidak akan diberi kepercayaan untuk memangku jawatan ini.Saya merasakan tugas pemangku Ketua Bahagian ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia merupakan satu tanggungjawab yang besar. Apatah lagi parti kita akan menghadapi pilihanraya umum yang akan diadakan tidak begitu lama lagi. Saya dengan ini merayu kepada saudara dan saudari sekelian agar dapat membantu saya dalam menjalankan amanah ini. Tanpa sokongan dan dokongan dari saudara dan saudari sekelian saya tidak mampu memikul tanggungjawab ini seorang diri,” kata Amran menamatkan ucapannya.

Sebaik sahaja Amran menamatkan ucapannya serentak dengan itu juga mereka yang hadir bangun sambil bertepuk tangan, mengejutkan seorang dua yang hadir dari lena. Semuanya bersalaman dengan Amran dan Dato’ Rosman sambil mengucapkan tahniah kepada mereka berdua atas peralihan pucuk pimpinan yang begitu lancar, tanpa memecah belahkan parti.

Malik berjabat tangan dengan Amran sambil mengucap tahniah. Dia cuba sebaik mungkin untuk menunjukkan keikhlasannya di depan Amran. Satu sahaja yang dia harapkan. Malik berharap Amran tidak dapat membaca apa yang ada di dalam hatinya. Malik tahu ramai ahli politik bijak membaca bahasa badan atau isyarat badan. Malik sangat-sangat berharap lakonan dia di depan Amran dan Dato’ Rosman berjaya untuk kali ini.

....................................................................................................................................................................

“ Tambahlah lagi nasi tu. Alah,masakan orang kampung aja ni” kata Limah, ibu Hisham.

“ Sedap mak cik masak,” kata Izara mengambil hati Mak Cik Limah.

Limah tersenyum dipuji.

“ Iza nak tahu tak? Mak saya ni dulu guru memasak. Sebab tu masakan mak saya ni sedap” kata Hisham yang sedang menyuap nasi sambil memandang Izara tersenyum.

Di atas meja ada lauk ikan kembung masak asam pedas, beberapa ketul ayam goreng, ulam-ulam dan sambal belacan. Mudah tapi amat menyelerakan.

“ Alah Hisham ni dia memang macam tu. Suka sangat memuji mak dia. Nanti orang kata masuk bakul angkat sendiri pulak,” Limah tertawa.

“ Memang betul pun sedap mak cik masak. Saya nak belajar dari mak cik cara masak asam pedas ni. Nanti saya datang lagi nak tulis dalam buku resipi,” kata Izara sambil membasuh tangan.

“ Datanglah. Apa salahnya. Datang banyak kali pun tak apa,” kata Limah. Hatinya tertarik dengan paras rupa Izara dan tingkah laku Izara yang kelihatan begitu bersopan santun.

Selesai makan mereka beredar ke ruang hadapan rumah kampung itu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dari luar.Izara memandang keluar, sayup kelihatan berbalam-balam banjaran gunung di hadapan bendang yang terbentang luas di depan matanya. Seolah-olah satu lukisanyang terhampar di depannya.

“ Sekarang saya faham kenapa Hisham  bercita-cita nak ada rumah di tepi bendang. Sebab rumah Hisham pun menghadap bendang. Cantik kan pandangan di sini mak cik,” kata Izara melihat pandangan di depan mata melalui tingkap di rumah kayu peninggalan arwah ayah Hisham.

“ Hisham ni dulu masa budak-budak dia nakal. Kat parit di bendang depan rumah ni lah dia dengan kawan-kawan menangkap ikan. Macam-macam ikan dia dapat. Puyu, haruan, keli, sepat semua ada.Badan dah penuh lumpur bila balik ke rumah. Arwah abah dia selalu bising cakap badan Hisham dengan badan kerbau dah tak jauh beza. Tak kenal mana satu Hisham mana satu kerbau. Hihi,” Mak Limah tertawa teringatkan nostalgia zamankanak-kanak Hisham satu ketika dulu.

“ Mak ni, cerita kisah lama-lama.Malulah Hisham mak cerita kisah Hisham depan Iza ni, “ kata Hisham malu-malu kucing.

“ Nak malu apanya. Dah memang macam tu kan. Mak cakap hal yang sebenarnya aja,” kata Limah tertawa.

“ Sekarang Hisham dah tak comot pun kan mak cik,” kata Izara.

Hisham tersenyum mendengar pujian Izara.

“ Saya suka duduk kampung.Tenang. Udara bersih. Tak macam di Kuala Lumpur tu.Dengan udaranya yang berdebu, sesak jalanraya, bising dan macam-macam lagi,” kata Izara cuba mengambil hati Limah.

“ Ada orang yang tak boleh hidup di kampung. Dia kata banyak nyamuklah. Ada lintah, ada pacat. Kalau hujan becak. Habis berlumpur kasut tumit tinggi nanti,” kata Limah tertawa.

Eh, mak cik ni macam tahu aja aku suka pakai kasut tumit tinggi, kata Izara di dalam hati. Nasib baik hari ini tak pakai kasut tumit tinggi. Kalau tak mesti mak cik ni tak suka,bisik hati Izara lagi

“ Iza ni asal orang mana? “ MakLimah bertanya.

“ Mak saya memang asal KualaLumpur. Ayah pula asal orang Perak. Saya memang dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur,” kata Izara.

Hisham mula tidak senang duduk apabila melihat emaknya mula menjadi detektif. Dia takut nanti status Izara sebagai isteri orang terbongkar. Kalaulah emak dia tahu yang Izara adalah isteri orang rasanya pengsan serta merta orang tua tu.Hisham amat-amat berharap Izara dapat menepis soalan itu jika emaknya bertanya.

Serta merta Hisham mengubah topik perbualan untuk menarik perhatian emaknya.

“ Mak, Hisham nak gerak balik ke Kuala Lumpur semula ni. Besok nak masuk kerja semula,” kata Hisham

“ Yerlah, lain kali balik rumah lamalah sikit, ini tak bermalam langsung. Ajak Iza ni bermalam semalam dua kat rumah kita ni,” kata Mak Limah.

Serta merta Izara teringat apakah alasan yang dia nak berikan kepada Amran jika dia keluar rumah semalam dua. Lagipun dia tidak boleh membayangkan bagaimana tidur di rumah Hisham. Tiada penghawa dingin, digigit nyamuk.Tak apa, kalau betul dia terpaksa bemalam di rumah Hisham dia akan bawa mosquito repellant .Ish ish, jauh betul angan-angan di Izara ni, kata hatinya lagi.

Sebaik sahaja Hisham siap menyalin pakaian mereka bertiga pun turun tangga. Izara mengelurkan wang lima puluh ringgit dan menyerahkan kepada Limah.

“ Eh, apa ni susah-susah bagi makcik duit pulak,” kata Limah pura-pura menolak pemberian Izara.

“ Tak apa mak cik. Buat menambah duit belanja,” kata Izara mendesak Limah menerima wang itu.

Selepas bersalaman dengan emaknya, Hisham dan Izara bergerak ke kereta dan melambai-lambai tangan apabila kereta bergerak meninggalkan halaman rumah kampung itu.

Dalam hati mak cik Limah dia telah berangan Izara akan menjadi isteri yang baik buat Hisham. Dia bersedia menerima Izara sebagai menantunya dengan tangan terbuka.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.