DIA
duduk di atas kerusi yang disediakan sambil menunggu giliran untuk dipanggil
masuk ke bilik rawatan. Sesekali matanya memandang poster- poster yang ditampal
di dinding klinik. Terasa agak bosan bila terpaksa menunggu lama untuk berjumpa
doktor walau hanya untuk membuat pemeriksaan rutin kandungan.
“Dah berapa bulan?” tanya seorang wanita yang duduk selang satu kerusi
darinya sambil tersenyum ramah. Mata wanita itu turut memandang perutnya yang
membusung.
“Nak masuk tujuh bulan,” jawabnya ramah lalu membalas senyuman wanita itu.
“Tujuh bulan? Tapi akak nampak perut adik macam besar sangat. Kembar ke?”
soal wanita itu pula dengan dahi yang berkerut. Mungkin hairan dengan perutnya
yang sedikit besar dari kebiasaan.
Dia hanya tersenyum sambil mengangguk mengiakan.
“Datang seorang aje ke? Dari tadi akak tak nampak suami adik,” ujar wanita
itu yang masih mahu memanjangkan perbualan.
Serta- merta wajahnya berubah. Senyuman yang tadinya terukir di bibir mati
tiba-tiba. Pertanyaan wanita itu terasa seperti api yang membakar kulitnya saat
ini. Merah pipinya menahan rasa yang berkecamuk di dalam dada. Nafas ditarik
panjang sebelum dihembus laju.
“Seorang aje,” jawabnya ringkas lalu kembali memandang poster- poster di
dinding tanda tidak mahu meneruskan perbualan. Wanita tadi juga berhenti
bertanya seolah- olah memahami keadaan.
Dia harus kuat melalui jalan hidupnya walau tidak ada seorang pun yang
menemaninya saat ini. Dia harus bangkit melawan keperitan yang merantai dirinya
demi jasad yang sedang bernyawa di dalam rahimnya. Ini adalah jalan yang
dipilihnya. Dia tidak akan kembali rebah dan mengalah pada takdir yang tertulis
untuknya. Dia sudah penat menanggung luka dan sengsara. Jadi, biarlah kali ini
dia hidup tenang sendiri, mencipta bahagia untuk diri dan anak- anak yang bakal
dilahirkan tidak lama lagi. Aku harus kuat! Aku tak boleh mengalah!
Perlahan-lahan tangannya mengusap lembut perutnya yang sedang membesar.
Terasa di jarinya gerakan-gerakan halus yang menendang-nendang dinding perutnya.
Dia tersenyum kecil.
“Anak-anak mama kena kuat, ya. Kita akan bina hidup kita sama- sama. Mama
akan jaga anak-anak mama baik- baik dan tak akan benarkan orang lain menyakiti
kalian. Kalian adalah kekuatan mama. Hanya anak- anak mama ni yang mama ada,”
bisiknya perlahan. Sesaat kemudian, sekali lagi jasad-jasad kecil di dalam
rahimnya menendang-nendang dinding perutnya seolah- olah membalas kata- kata
ibu mereka.
Ya, aku harus kuat dan tenang. Harus!