AKU
sedang asyik bermain guli bersama adik-adikku , Ilham dan Imran di halaman
rumah. Manakala ibu pula begitu khusyuk menyapu dedaun kering yang sudah mula
menutupi tanah. Sudah seminggu aku tidak melihat ibu menyapu dedaun kering itu.
Mungkin kerana letih atau kurang sihat, aku sendiri tidak pasti.
Tiba- tiba perhatianku
terhadap permainan kami tiga beradik terganggu. Suara Kak Salwa, jiran sebelah
rumah kami menjerit memanggil nama ibu begitu kuat menyapa pendengaranku. Aku
berpaling. Jelas, sosok tubuh Kak Salwa sedang berjalan pantas menghampiri ibu
sambil tersenyum. Senyuman yang aku rasakan dibuat-buat dan tidak ikhlas. Aku
menjadi tidak sedap hati lalu berdebar-debar sendiri. Bimbang dengan cerita
yang bakal keluar dari mulut Kak Salwa. Cerita kurang enak yang selalu
menganggu emosi ibu dan juga emosiku sendiri.
Teguran adik-adikku
agar aku meneruskan permainan yang telah tergendala tidak aku hiraukan. Aku
hanya berdiam diri sambil memasang telinga, cuba mencuri dengar perbualan antara
Kak Salwa dan juga ibu. Mataku pula tetap setia memandang kedua-dua mereka.
“Ha… Alia, kau dah
pergi sekolah ke, belum?” tanya Kak Salwa. Senyuman tidak ikhlas masih lagi menghiasi
wajah wanita yang hampir sebaya dengan ibuku.
“Dah… kenapa?” soal ibu
sambil tersenyum tawar. Mungkin kerana ibu sudah dapat mengagak maksud
kedatangan Kak Salwa yang sememangnya terkenal dengan sikapnya yang suka
membanding-bandingkan kepandaian anaknya Aiman dengan anak-anak orang kampung.
“Macam mana dengan
keputusan UPSR Ikram? Lulus tak? Berapa A yang dia dapat?” Tanya Kak Salwa
lagi. Lagaknya sudah seperti pegawai polis yang sedang menjalankan tugas
menyoal siasat pesalah. “Atau… gagal? Yalah…Ikram tu, kan tak berapa nak
cerdik. Pendek kata lembab!”
Pap! Aku berasa
tertampar dengan kata- kata Kak Salwa. Kak Salwa memang kejam! Tidak pernah
langsung berfikir tentang perasaan orang lain. Pantas wajah ibu aku perhatikan.
Ibu bersedih! Semuanya jelas tergambar di sebalik hambar senyuman. Redup sinar
mata ibu juga sudah cukup untuk menjelaskan segalanya walau ibu cuba bertenang
sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, Ikram
lulus walau tak secemerlang mana.” Bergetar suara ibu menjawab pertanyaan Kak
Salwa. Ibu masih tetap tersenyum walau agak payah. Senyuman yang jelas tawar
dan hambar.
“Itulah… dari dulu aku
dah kata yang Ikram tu tak payah hantar ke sekolah. Tak ada gunanya pun! Buat
habis duit kau aje. Budak kalau dah slow
memang payah nak terima pelajaran.”
Aku terkedu! Tanpa rasa
bersalah, Kak Salwa melontarkan kata- kata yang sangat tajam dan kejam seolah-olah
masih tidak cukup lagi melukakan hati ibu. Sekali lagi wajah cengkung ibu
kucari. Wajah ibu sudah mula merona merah. Pasti hati ibu benar- benar terpukul
dengan kata-kata penghinaan yang keluar dari mulut Kak Salwa. Aku pasti kerana
hati aku juga turut sakit mendengarnya. Kalaulah aku bukan seorang anak yang
terdidik dengan sikap sopan dan hormat kepada orang tua, pasti mulut Kak Salwa
sudah aku tampar sekuat hati. Rasa hormatku kepada Kak Salwa selama ini mati
saat itu juga!
Dari jauh aku melihat
air mata ibu sudah mula bergenang. Penghinaan ke atas anak yang dikandung dan
dibesarkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima oleh sesiapa pun. Aku
tahu ibu benar- benar kecewa. Kasihannya ibu!
“Kenapa Lia? Tak betul
ke apa yang aku kata tadi?” Tanya Kak Salwa lagi apabila ibu tidak membalas
kata-katanya sebentar tadi.
“Tak apalah Salwa.
Kalau dah itu rezeki dia… aku terima. Lagipun, langkah Ikram masih panjang,
masih ada lagi masa untuk dia berubah dan berusaha bersungguh-sungguh. Dan aku
sebagai ibu… tidak boleh berputus asa dengan anak yang aku kandung dan
lahirkan. Aku akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Ikram dan
adik-adiknya.” Sayu suara ibu meluahkan rasa hati.
Kecewa? Ya, aku tahu
ibu kecewa! Yang pasti, akulah puncanya kerana gagal melakukan sesuatu yang
terbaik untuk ibu. Gagal mengharumkan nama ibu. Aku mengeluh.
“Balik-balik doa! Doa
aje takkan ke mana kalau tak ada usaha. Budak yang malas dan slow macam tu… boleh ke?” Sekali lagi
Kak Salwa cuba mendera dan bermain-main dengan perasaan ibu dan juga perasaanku
sendiri. Pipiku terasa panas, manakala dadaku pula sudah mula terasa sesak
akibat rasa sakit yang hampir-hampir membunuh kesabaranku.
“Insha-Allah Salwa.
Sebagai ibu, aku tak boleh berputus harap. Mereka amat memerlukan sokongan dan
doa ibu mereka,” jawab ibu perlahan.
“Kalau kau dah cakap
macam tu, aku tak boleh nak buat apa. Jangan kau menyesal sebab dah berhabis
duit tapi hasil tak ada… sudahlah!” Ucap Kak Salwa lalu berpaling memandang ke
arah aku dan adik-adikku. Hanya sekejap sebelum berpaling semula memandang ibu.
“Aku gerak dululah. Aku nak ke kedai Shida nak beli barang sikit. Nak masak special untuk makan malam kami
anak-beranak,” tambah Kak Salwa lalu beredar meninggalkan ibu.
Kulihat ibu hanya
memandang kosong pemergian Kak Salwa yang berjalan dengan angkuh dan senyuman
lebar di bibir. Wajah mendung ibu kutatap. Sesaat kemudian pandangan kami
berlaga. Cepat-cepat aku menunduk. Rasa bersalah kerana telah megecewakan ibu
telah mula membungkus dada. Kuat dan ketat.
Ibu pula pantas
menyudahkan kerjanya yang tertangguh kerana kedatangan Kak Salwa. Dedaun kering
yang sudah siap di sapu dikumpul di dalam bakul sampah. Setelah itu, pantas ibu
mengatur langkah menaiki anak tangga.
“Ikram, Ilham, Imran…
cepat naik, dah senja!” panggil ibu sebelum bayang ibu hilang di sebalik pintu
rumah kami.
Aku berdiri. Pantas
Ilham dan Imran kugamit. Ilham hanya menurut sementara Imran memuncungkan bibir
tanda dirinya masih tidak puas bermain. Seperti biasa, Imran yang baru berusia
enam tahun itu masih belum mengerti sketsa yang telah berlaku sebentar
tadi.
“Dahlah tu, esok kita
sambung lagi,” kataku lantas menarik tangan Imran agar segera mengikuti
langkahku.
AKU
gelisah sendiri. Wajah mendung ibu selama dua hari ini membuatkan rasa
bersalahku semakin parah, semakin kuat melingkari hatiku kecilku. Selepas makan
malam tadi, ibu pantas masuk ke dalam bilik. Berkurung sendiri sama seperti
malam sebelumnya. Entah apa yang ibu lakukan. Mungkin ibu menangis atau
menyesal kerana mempunyai seorang anak sepertiku yang gagal membanggakan
dirinya? Atau mungkin ibu menyesal kerana telah melahirkan anak yang telah
membuatkan dirinya dihina begitu? Telahku.
Aku akui yang aku
bukanlah seorang murid yang cemerlang dalam pelajaran. Antara aku dan Aiman
terlalu jauh berbeza. Tetapi aku bukanlah seorang anak yang lembab dan bodoh!
Aku hanya malas belajar dan lebih banyak bermain. Kalau mengulangkaji pelajaran
pun hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Tidak ada kesungguhan langsung
untuk meraih kejayaan. Aku alpa tentang tanggungjawab yang harus kupikul sebagai
seorang anak yang paling tua antara kami tiga beradik. Aku cuai dalam
menunjukkan tauladan yang baik kepada adik-adikku. Dan untuk itu, aku
benar-benar menyesal kini.
Tidak tahan dengan rasa
bersalah yang semakin bertambah, pantas aku berdiri lalu menapak laju menuju ke
bilik ibu. Bilik tempat ibu tidur bersendirian setelah kematian ayahku dua
tahun yang lalu. Pintu bilik kutolak perlahan. Aku terkaku di situ!
“Ya Allah, Tuhan yang
Maha Pemurah dan maha Pemberi Rahmat, Kau berikanlah kekuatan untukku
menghadapi segala ujian-Mu. Berikanlah cahaya keimanan dan kebijaksanaan kepada
anak-anakku. Jadikanlah mereka manusia yang Berjaya di dunia dan di akhirat.
Terangkanlah hati mereka untuk menerima sedikit dari ilmu-Mu yang Maha Luas
agar mereka boleh mengharungi segala ujian dan cabaran yang mendatang.
Jadikanlah mereka manusia yang tenang dan berjiwa besar serta dapat berbakti di
jalan-Mu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim… hanya kepada-Mu lah tempat aku meminta
dan bergantung harap. Tidak ada Tuhan selain-Mu, Ya Allah. Amin ya rabbal
alamin,” doa ibu lalu kedua-dua tangannya diraup ke wajah.
Tanpa sedar, air mataku
mengalir menuruni pipi. Aku cukup tersentuh dengan doa ibu yang tulus dan
bersungguh-sungguh. Betapa dalamnya kasih ibu untuk aku dan adik-adikku.
Semakin sesak dadaku akibat rasa menyesal kerana telah mengabaikan
tanggungjawab yang terpikul di pundakku. Tanggungjawab yang Allah berikan kepadaku
sebagai seorang anak dan lelaki yang bakal menjadi pemimpin kepada keluargaku.
Aku menyesal Ya Allah, aku menyesal!
“Ikram, kenapa berdiri
di situ? Masuklah,” tegur ibu sebaik menyedari kehadiranku di muka pintu
biliknya. Aku tersentak lalu wajah lembut ibu yang masih bertelekung kutatap.
Sesaat kemudian, aku menghampiri ibu. Tangan ibu kugapai lalu kucium
berkali-kali. Air mataku pula masih setia menuruni pipi.
“Kenapa ni, Ikram?”
Tanya ibu lembut sambil tangan kirinya mengusap lembut ubun kepalaku.
Aku tidak menjawab.
Sebaliknya aku terus memeluk ibu dengan erat. Beberapa ketika aku tenggelam
dalam rasa kasih ibu yang tidak terhingga. Rasa kasih yang membuatkan aku
tenang dan rasa selamat. Rasa kasih yang penuh keikhlasan.
“Ikram,” panggil ibu
lagi. “Cakaplah… ibu sedia mendengar,” sambung ibu dengan suara yang sangat
lembut. Langsung tidak kedengaran nada kecewa kerana aku gagal membanggakan
dirinya.
“Ikram minta maaf.
Ikram dah kecewakan ibu! Ikram bukan anak yang baik, bu,” ucapku lalu menghamburkan
tangisan di bahu ibuku.
“Ikram tak kecewakan
ibu. Ibu tahu, Ikram dah buat yang terbaik.” Ibu cuba memujukku. Selepas di
hina oleh Kak Salwa pun ibu masih tidak menyalahkan aku. Sungguh suci kasih
ibu. Ikram sayang ibu!
“Tapi, Ikram tak
berusaha bersungguh-sungguh. Ikram lalai, Ikram malas!” Aku melepaskan pelukan
lalu duduk di hadapan ibu. Wajah ibu sangat tenang. Redup mata ibu memandangku.
“Ikram bukan… bukan anak yang baik!” Aku masih mahu meluahkan apa yang aku
fikirkan tentang diriku sendiri.
“Ibu tak pernah anggap
Ikram macam tu. Ikram anak yang baik. Percayalah!” balas ibu sambil membalas
renunganku.
“Tapi, Ikram dah buat
ibu dihina oleh orang lain. Ikram tak mahu begitu. Ikram tak suka!”
Wajah ibu tenang dan
berseri. Mungkin gembira dengan pengakuanku. Ibu tersenuym lembut kepadaku.
“Ibu bersyukur yang
Ikram dah sedar dengan kelekaan Ikram selama ini. Ibu bahagia, nak. Ibu
berharap agar Ikram tetap berada dalam kesedaran ini dan teruslah istiqomah
dalam usaha untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Jadikan
penghinaan dan kesusahan hidup kita sebagai satu kekuatan dalam diri Ikram. Ibu
percaya, Ikram pasti akan berjaya suatu hari nanti.”
Aku terharu. Sekali
lagi tubuh ibu kupeluk erat.
“Ikram janji bu, Ikram
akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya seperti yang ibu harapkan. Ikram
juga berjanji yang Ikram akan membahagiakan ibu dan menjadi contoh kepada
adik-adik.” Janjiku kepada ibu.
Ibu turut menitiskan
air mata sambil mengangguk-angguk memandangku sebaik pelukan kuleraikan.
“Jangan lupa doakan
Ikram sentiasa ya, bu. Doa ibu sangat penting buat Ikram.”
“Ibu akan sentiasa
mendoakan kejayaan anak-anak ibu selagi ibu masih bernafas,” ucap ibu perlahan
tapi bersungguh.
Ya, aku akan
membahagiakan ibu. Aku akan buktikan kepada ibu dan juga kepada dunia yang aku
mampu menjadi anak yang terbaik dan terhebat untuk ibu. Insha-Allah!
UDARA
nyaman di desa kelahiranku ini begitu mendamaikan perasaan. Di desa inilah
jatuh bangun hidup seorang anak yang bernama Ikram dilakar dan disimpan. Desa
kelahiran yang telah lama aku tinggalkan akhirnya kujejak lagi. Tidak sabar
rasanya untuk aku melepas rindu yang telah lama tersimpan rapi di sudut hati.
“Ibu… anakmu ini telah
pulang kembali ke pangkuanmu. Pulang bersama segenggam kejayaan yang kita
impikan bersama,” ucapku sendiri sambil memandang rumah kayu yang telah lama
aku tinggalkan. Aku kemudiannya tersenyum lalu melangkah pantas menuju ke rumah
ibu.
Ketika aku berjalan
menuju ke rumah ibu, mataku sempat menangkap kelibat Kak Salwa yang sedang
berdiri di beranda rumahnya. Sesaat mata kami berlaga. Sempat kuhadiahkan
senyuman untuk wanita yang hampir sebaya dengan ibuku itu sebelum aku
meneruskan langkahku. Kak Salwa sempat membalas senyumanku. Senyuman yang tidak
ada serinya bagi penglihatanku. Melihat Kak Salwa, ingatanku segera beralih
kepada Aiman, anak yang selama ini dibanggakan kebijaksanaannya oleh Kak Salwa.
Menurut adikku Ilham,
Aiman kini sedang berada dalam tahanan polis. Menanti masa untuk dibicarakan
atas kesalahan mengedar dadah. Satu kisah perjalanan hidup yang tidak pernah
dijangkakan oleh sesiapa pun termasuklah diriku sendiri. Namun, takdir Tuhan
siapalah yang boleh mengagaknya.
Entah… aku sendiri
tidak tahu apa yang harus aku rasakan. Cuma rasa simpati sahaja yang kuat
berlingkar di hatiku saat ini. Yang pastinya, satu kerugian masa hadapan telah
berlaku. Untuk itu, siapakah yang harus dipersalahkan? Takdirkah atau diri
sendiri kerana tunduk dengan pujukan nafsu serakah. Huh… aku tidak tahu
bagaimana hendak memikirkannya.
“Assalamualaikum!”
Salam kuucapkan sebaik berdiri di muka pintu rumah. Sengaja aku tidak melangkah
masuk dan hanya menanti ibu di situ. Sebab yang sama kenapa aku merahsiakan
kepulanganku hari ini. Aku ingin membuat kejutan untuk ibu.
Pintu rumah dikuak
luas. Ibu terkaku di situ sebelum pantas mendapatkan aku seraya tersenyum lebar
tanda gembira menyambut kepulangan anak yang telah lama berada di negara orang.
“Ya Allah, Ikram!
Kenapa tak bagi tahu ibu yang Ikram balik hari ni?” soal ibu kepadaku.
“Kalau Ikram bagi tahu…
bukanlah kejutan namanya, kan bu?” jawabku. Tangan ibu aku salam dan cium.
Selepas itu, kami beriringan masuk ke dalam rumah. Mataku memandang ke seluruh
ruang tamu rumah.
“Hmm… patutlah ibu
teringat nak masak rendang ayam, rupanya anak ibu sampai hari ni,” ujar ibu
lalu memeluk lenganku. Mungkin masih belum puas melepas rindu terhadap anak
yang telah empat tahun tidak pulang ke kampung halaman.
“Ya ke, ibu? Bestlah ibu ni!” Ceria suaraku membalas
kata-kata ibu. Naluri seorang ibu ternyata amat kuat.
“Sebelum tu… macam mana
dengan London? Seronok tak?” Tanya ibu tidak sabar untuk mengetahui bagaimana
suasana di tempat orang. “Ibu dengar, orang kata seronok. Ya lah, boleh main
salji,” tambah ibu lagi.
“Tapi, taklah seseronok
kampung sendiri. Betul tak, bu?”
Ibu mengangguk setuju
dengan kata-kataku. Wajah ceria ibu saat ini betul- betul membahagiakan aku.
Minit seterusnya, aku dan ibu terus berbual rancak hingga terlupa untuk ke
dapur. Begitu leka ibu mendengar cerita tentang keadaan hidupku di rantauan
orang.
Sedang asyik berbual
dengan ibu, Aku dikejutkan dengan suara derapan kaki dari arah dapur. Pantas
aku menoleh.
“Abang!” jerit Imran
dengan suara teruja. “Bila abang sampai? Im dan ibu tak tau pun yang abang nak
balik hari ni.”
“Saja nak surprise,” balasku ringkas.
Imran mendekatiku lalu
menghulurkan tangan untuk bersalam denganku. Kepala adik bongsuku yang suatu
masa dulu amat manja dengan ibu dan diriku kusentuh lembut. Imran, adik
bongsuku ini kini sedang belajar di tingkatan 6 rendah. Manakala Ilham pula
sedang melanjutkan pelajarannya di mesir dalam jurusan pengajian Al-Quran.
Pasti ibu sudah boleh tersenyum lega. Masa pula dirasakan terlalu pantas
berlalu meninggalkan kenangan jauh di belakang. Masa yang tidak akan dapat
diundurkan semula andai kita sudah terlepas pergi.
Kami tiga beranak
sedang asyik berbual-bual sambil melepas rindu yang telah lama terkunci rapi
sebelum dikejutkan oleh suara seseorang memberi salam di muka pintu. Serentak
kami menoleh ke arah datangnya suara itu. Kelihatan Kak Salwa berdiri di situ
sambil tersenyum tawar kepada kami tiga beranak.
“Masuklah Salwa,”
pelawa ibu apabila Kak Salwa masih berdiri tegak di situ. Mungkin teragak-agak
untuk melangkah masuk.
Kak Salwa mengangguk
lalu melangkah masuk. Perlahan dia duduk di atas sofa buruk berhadapan dengan
ibu sambil matanya tidak lepas dari memandangku. Dari sinar matanya aku tahu
yang Kak Salwa dihambat rasa bersalah. Aku tersenyum memandangnya.
“Balik jugak kau
akhirnya Ikram. Akak tumpang bangga dengan kejayaan kau,” ujar Kak Salwa
lembut. Ikhlas kedengarannya.
“Alhamdulillah. Rezeki
dari Allah Kak Salwa,” balasku perlahan
“Hmm… Ikram, akak
sebenarnya nak minta maaf atas kelancangan mulut akak mengata Ikram dan ibu
Ikram. Akak menyesal!” Bergetar suara Kak Salwa mengucapkan kata-kata maaf.
Wajah ibu dan wajahku dipandang silih berganti. Air mata Kak Salwa jelas
kelihatan bertakung di tubir mata.
“Benda dah lepas Kak
Salwa. Tak usahlah dikenang lagi.” Timbul rasa simpati di hatiku untuk wanita itu.
Serentak itu kulihat ibu mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kataku.
“Akak sedar kesilapan
akak. Sebagai manusia akak lupa yang Allah itu lebih berkuasa atas segalanya.
Akak lupa yang bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik balik segala anugerah
yang Dia telah berikan kepada akak. Selama ini akan suka mendabik dada terhadap
kepandaian yang Aiman miliki. Akhirnya, tengoklah sekarang… Aiman dah buat
kesalahan yang besar.” Semakin kuat getaran suara Kak Salwa. Air mata menyesal
dan sedih sudah mengalir deras membasahi pipinya. Hilang senyuman angkuh yang menghiasi
wajah Kak Salwa selama ini. Sungguh besar kuasa Allah dalam mengatur perjalanan
hidup setiap hamba-Nya.
“Sudahlah tu Salwa.
Banyak-banyaklah bersabar. Semua tu ujian dari Allah. Insha-Allah, pasti ada
jalan penyelesaiannya.” Ibu cuba memujuk Kak Salwa yang sudah menangis
teresak-esak. Ibu bangkit dari duduknya lalu menghampiri Kak Salwa. Bahu Kak
Salwa ditepuk-tepuk lembut.
Itulah ibuku, wanita
yang sentiasa lembut tutur bicaranya walau kepada orang yang telah menjatuh dan
menyakitkan hatinya. Ibu langsung tidak menyimpan dendam terhadap Kak Salwa.
Sungguh aku bangga dengan ibuku!
“Itulah dia karma, kan
Alia? Dulu aku mengata kau, dan sekarang aku pulak yang merasanya.” Kedengan sayu
suara Kak Salwa menyatakan kekesalan diatas keterlanjuran sikapnya selama ini.
Aku memandang Kak Salwa
yang sedang ditenangkan oleh ibu. Manakala Imran hanya berdiam diri, hanya
senyap menjadi pemerhati. Hatiku turut berasa sedih dengan masalah yang sedang
menimpa keluarga wanita itu. Simpatiku melimpah ruah.
“Saya dah lama maafkan
akak. Malah saya patut berterima kasih pada akak kerana telah menyedarkan saya
tentang tanggungjawab yang harus saya pikul. Kesedaran yang telah membawa
perubahan besar dalam diri saya,” kataku dengan penuh yakin.
Ya, aku patut berterima
kasih kepada Kak Salwa kerana telah melontarkan kata-kata yang membuatkan aku
sedar akan kelekaan diriku. Tidak ada lagi dendam. Tidak ada lagi marah
terhadap Kak Salwa. Sesungguhnya manusia tidak akan lepas dari melakukan
kesilapan. Tanpa kesilapan, manusia bukanlah manusia. Dan tanpa kesilapan juga,
manusia tidak akan dapat memperbaiki diri untuk masa hadapan yang lebih
sempurna. Cuma, jangan jadikan kesilapan sebagai alasan untuk kita terus bergelumang
dengan dosa dan maksiat. Apalagi jika kesilapan itu dijadikan alasan untuk kita
terus bersedih dan menyalahkan diri sendiri.
Berdoa dan berusahalah
untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam. Bahagiakanlah ibu
yang telah melahir dan membesarkan kita. Doa ibu adalah sebaik-baik doa untuk
seorang anak berjaya di dalam hidup. Tanpa doa ibu keberkatan pasti sukar
menghampiri langkah kita seharian. Insha-Allah!
SEKIAN