Home Novel Cinta KUINGIN CINTAMU
KUINGIN CINTAMU
11/3/2013 14:22:11
35,608
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

BAB 10


HUMAIRA kelam-kabut menolak daun pintu yang tidak berkunci. Oleh kerana dia tidak nampakHuwaida di mana-mana, dia terus berkurung di biliknya. Sambil berbaring menentang petak siling, dia melepaskan nafasnya yang mengah, serayamenghamburkan keriangan yang tidak terbendung lagi di dada.

“Oh Gosh... aku temui dia semula. Aku dah jumpa dia. Aku jumpa Damyral!” luahnya yakin yang Huwaida tidak mungkin akan terdengar.

Reda sedikit gejolak batin yang panasaran.

Huwaida pasti mengejek-ejeknya jika sedar akan perubahan pada karakternya itu.Itu yang dia mahu elakkan. Sepanjang mereka membesar bersama, Humaira ialah ‘Miss Aloof’ di mata Huwaida.Itu jika diukur mengikut konteks hubungan dia dengan mana-mana lelaki.

Kini matanya terkebil-kebil menatap petak siling,sambil membayangkan wajah yang baru saja dilihatnya tadi!

“Macam mana dia boleh berada di satu lokasi dengan aku.Di sini? Pelik!” luahnya agak kuat. Bibirnya dikacip sambil dia memutar otaknya. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang dia akan berjumpa lelaki itu sekali lagi. Tetapi kenapa di sini?Di daerah se terpencil ini?

Aneh sekali memikirkan kemunculan Dr.. Damyral tadi.Bukankah lelaki itu menetap diPutrajaya?Berkhidmat di Hospital Putrajaya?

“Ya TUHAN! Macam mana ex aku boleh ada di sini?Boleh ke aku percaya semua ni?”Kembali nafasnya turun naik bila memikirkan pertembungan tadi.

Kaget benar dia sewaktu ternampak Dr.. Damyral ketika singgah dipekan, selesai berjogingnya tadi. Tetapi kenapa di ceruk ini? Itu yang mengagetkannya. Dia bersembunyi di daerah itu kerana hendak lari daripada masalahnya. Masalah yang tidak lain daripadaAzril.Bekas teman lelakinya yang ketujuh. Yang baru saja ditinggalkannya!Tapi boleh pula dia terserempak dengan yang pertama.

“Nak lari daripada ex ke tujuh, jumpa yang sulung...” Senyumannya agak ‘teruja.’

Perasaan enak berketundak lagi di hatinya sebaik-baik terbayangkan kembali wajah lelaki itu tadi.

Fuh! Tak tentu arah aku berdebar-debar. Macam si Laila bersua Majnun. Eh... memang dah gila talaq ke aku ni? Berkerut mukanya bila membayangkan semula insiden dia ternampak Dr.. Damyral tadi.

HUMAIRA sedang menyusuri kaki lima rumah kedai di pekan kecil itu.Tiba-tiba pandangannya menyambar kelibat seorang lelaki yang sedang memimpin tangan seorang wanita tua menuju ke sebuah teksi yang sedang menunggunya.

Gentleman betul. Smart pula.” Matanya memicing nakal.

Tiba-tiba sesuatu menyentapnya.Dia terlopong. Sesosok tubuh itu seperti pernah dilihatnya. Tapi di mana?Namun intuisinya kuat mengatakan dia pernah mengenali lelaki itu. Tanpa sedar dia terus menghayunkaki untuk lebih dekat.

Oh TUHAN! Memang dia pernah melihat lelaki itu. Apatah lagi dengan pakaian yang membalut tubuhnya ketika itu! Kemeja merah samar dan seluar rona beige! Lantas beria-ia diperhatikannya dengan mata membulat.Memang sah dia. Dr.. Damyral yang pernah ditinggalkannya dulu!Dia beristighfar sambil mengurut-urut dada kerana terkejut. Tidak tentu arah paluan jantungnya.

Lama langkahnya tertegun. Dia seperti dipukau melihat kemeja merah samar yang sama pernah dipadankan Dr.. Damyral di dalam fleece jacketnya ketika pertama kali lelaki itu menegurnya di Tembok Besar Badaling dulu. Cuma kali ini, dia tanpa jaket tersebut. Namun seluar rona beige itu adalah seluar yang sama! Argh mudah saja mengecamnya. Humaira terus bungkam. Dalam berkhayal mengingatkan pertemuan pertama itu,lelaki itu pun ghaib dari pandangan.

Dengan laju dia memacu langkahnya ke tempat teksi tadi. Dia ingin melihat lelaki itu lagi. Datang rasa hampa.Dalam keadaan goyah putus asa itu, dia melilaukan matanya.Bagaikan tercabut keluar jantungnya bila sepasang matanya menyasar pada sesuatu yang amat mengejutkannya.Tepat di depannya, pada cermin ‘tinted’ sebuah premis perniagaan, tertera perkataan Klinik Ryan & Damyral. Ditenungnya perkataan tersebut dengan mulut ternganga. Bola matanya seakantersembul..

Damyral buka praktisnya di tempat ceruk macam ni...? Boleh buat duit ke? Tapi kelihatannya dia berkongsi dengan seseorang... bisiknya tertarik yang teramat.

Dia maju beberapa langkah lagi dan masuk ke dalam. Matanya mengintai takut-takut, ke dalam sebuah bilik yang pintunya terdedah. Berdebar dadanya tatkala ternampak lelaki itu sedang berinteraksi dengan salah seorang pesakitnya. Pakaian yang mendatangkan nostalgia itu!Tiba-tiba sekujur tubuhnya terasa dingin. Terasa seolah-olah dia kini berada di tempat pertemuan mereka dulu. Alangkah indahnya waktuitu! Sayangnya baru kini keindahan itu dirasakannya.

Arghh…Kini wajah itu di depan matanya... Aduhai!

Humaira menggigit bibirnya lalu segera beredar meninggalkan tempat itu sebaik sahaja seorang gadis berseragam jururawat bertanyakan urusannya.

Kenapa dengan aku ni? Dia menghela nafas panjang. Tolonglah... aku tak pernah macam ni! Rintihnya mendongak ke langit biru di luar klinik tersebut.

Pelik juga memikirkan lelaki sekacak Dr.. Damyral sanggup meninggalkan Hospital Putrajaya yang serba moden dancanggih itu. Kemudian membuka praktis di tempat yang jauh daripada keseronokan seperti daerah itu.Paradoks. Nafas yang dihela turut menghantar rasa resah ke seluruh pelusuk jiwa. Lagi dia menyeranahi dirinya. Memang dia sudah penasaran. Humaira tergila-gilakan lelaki? Tunggu kiamat!

Argh... kenapa tiba-tiba mesti ada rasa kosong itu? Bahkan di saat itu, ada keterujaan di hatinya kerana diberikan peluang melihat lelaki itu sekali lagi setelah sekian lama. Dia seperti terinang-inang dalam diam. Alangkah inginnya dia masuk tadi serta menyapa lelaki itu dengan bertanya khabar.Ya... apa khabar dia? Apa khabar Dr.. Damyral?

Kenapa dengan aku? Ini bukan rindu... Bukan rindu! protesnya lalu mengangkat lututnya dalam keadaan berbaring.

Wajah Damyral menerpa dan terus menerpa lagi.Dia bangkit lalu berlari setempat depan almari solek.Mengharapkan dapat menghapuskan wajah Dr. Damyral dari ruang ingatannya.Dia melajukan lagi lariannya bila terapi itu langsung tidak berkesan. Dengan harapan ingatan itu akan terusir bila dia sudah termengah-mengah nanti.

“Astaghfirullah. Gebang betul!”

“Tak puas berjoging ke? Sampai dalam bilik pun sambung lagi? Kemaruk sangat ke nak slim?Shape kau tu aku tengok okey. Jadi, apa masalahnya sekarang?” Huwaida tercegat di ambang pintu memerhatikan aksi Humaira yang melucukannya.

Humaira memberhentikan larian setempatnya. Dia segera berpaling pada Huwaida. “Aku ni dah dimakan sumpah, tau tak? Aku dah tergila-gilakan lelaki yang aku ‘ceraikan’ dulu!” katanya berseloroh dalam nafas termengah-mengah.

“Cakap itu hati-hati sikit. Mana ada perempuan ceraikan suami?”

“Serius Aida.Aku ni macam terkena sumpahan yang aku buat sendiri!” tegas Humaira lagi.

“Sumpah apa pulak? Jomlah makan. Aku dah hidangkan sarapan penuh satu meja tu. Biar joging kau tu tak berkesan.” Dia melawak lalu berpaling dan meninggalkan Humaira yang kemudian mengekorinya hingga ke meja makan.

“Banyaknya!” Humaira terkejut memerhatikan mihun kari, kueteau goreng, nasi lemak dan kuih-muih yang tersaji di depannya. Huwaida menyengih.

“Semalam kau memekak sampai bingit telinga aku ni. Konon dah jemu makan cekodok ‘first class’ aku tu. Sekarang makanlah puas-puas.” Huwaida mengekeh.

Sambil itu, matanya merakam tubuh Humaira yang masih terserlah ramping dan cantik meskipun dibalut olehsweater dan seluar trackbottom. Humaira pula sedang membelek-belek aneka sarapan yang terhidang.

“Duduklah Aira. Hormat rezeki ni. Jauh tau berjalan kaki ke gerai Mak Cik Suria tu. Nak pula kalau aku beli makanan ini dengan duit royalti kau tu...” Huwaida mengekeh sekali lagi. Humaira tersengih. Huwaida memang selamba.

Melihat Humaira masih berdiri, Huwaida menariknya dan menghempuknya kuat ke kerusi menyebabkan Humaira terjerit sakit.

“Tulang kau ni memang tulang jantanlah, Aida.Sakitlah kau tahu tak?” rungut Humaira bangkit semula sambil mengusap-usap punggungnya yang sengal akibat terhenyak kuat tadi.

Setelah duduk semula, dia menarik piring kueteau ke dadanya. Sambil mengerling geram pada Huwaida yang tersengih-sengih menganggap lucu perlakuannya itu.

Ex kau yang mana satu?” Huwaida ingin tahu.

“Cinta pertama aku. Dia satu-satunya lelaki yang melekap di hati ni. Baru aku sedar yang aku memang cintakan dia.”

Huwaida mengangkat kening.

“Oh... yang kau sebut-sebut semalam eh? Balasan dosalah tu.” Dia mengejek sambil menempelak dalam nada lembut.

Humaira mendengus sambil mencakar-cakar kueteaunya.

Tau pulak marah... bisik Huwaida.

“Aira.” Huwaida memulakan kembali. Mukanya diseriuskan.

Suasana senyap seketika. Sambil bermain-main dengan garfunya, Humaira melayangkan ingatan pada pertembungannya dengan Dr.. Damyral tadi. Manakala Huwaida pula berpuli-puli merangka cara berkesan untuk mengubah gelagat gila-gila Humaira sejak bergelar novelis.

Mengalahkan Raja Syahriar... Huwaida berbisik sendiri.

Kalau Maharaja Syahriar menukar permaisuri baharu setiap kali menyambut siang, dia pula menukar teman lelaki setiap kali menyambut manuskrip terbaharunya. Tergeleng Huwaida bila difikirkan lama-lama. Dia tahu, Humaira kurang senang jika dia mencampuri urusannya. Tapi dia perlu peduli.Dia sayangkan kembarnya itu.

“Aira... cuba kau dengar baik-baik.Kata orang,meruntuhkan hati seseorang itu lebih besar dosanya daripada meruntuhkan Kaabah.” Humaira yang sedang menyuap kueteau ke mulutnya semerta mengangkat muka.Tertegun. Dia menjungkitkan bibirnya mengejek ungkapan kata-kata Huwaida tadi.

“Belum habis ke? Tadi kau suruh aku hormatkan rezeki.” Dia mengelak, enggan melayan.

Tiba-tiba matanya membundar.

“Wei... sapa cakap meruntuhkan Kaabah tu tak berdosa?”

Huwaida mendengus sambil menyepetkan matanya.

“La... bila pulak aku kata tak berdosa?Kau tak dengar ke apa yang aku kata tadi?” geleng Huwaida. “Yang aku kata ialah, melukakan hati seseorang itu lebih besar dosanya daripada meruntuhkan Kaabah.” Suaranya agak bergumam kerana sedang mengunyah nasi lemak.

Humaira membuat mulut melopong sesaat. Kemudian dia menyuap sesudu kueteau ke mulutnya dalam aksi mengejek.

“Kau tahu kenapa? Kerana Kaabah tu dibina oleh manusia, tapi hati itu dicipta ALLAH SWT. Merosakkan hati seseorang sama saja macam merosakkan ciptaan ALLAH.Aira, cuba lajakkan sikit fikiran kau yang tumpul tu. Bayangkan apa akan jadi kalau mangsa cinta sementara kau tu, sampai bunuh diri atau jadi gila kerana kecewa? Fikir sikit Aira!”

Humaira terdiam.Dia meletakkan sudunya lalu menarik secawan kopi panas rapat ke arahnya. Buat sesaat dia termangu sambil mengembala otaknya.

Sukar juga dia hendak mencari alasan untuk meninggalkan Dr.. Damyral dulu. Dia gagal mencari kesalahan lelaki itu. Tapi lebih mudah berurusan dengan Amirul Ansari dan Kamal Asfahan. Kesalahan mereka hanyalah kerana memaksanya membuat keputusan segera. Konon ibubapa mereka sudah tidak sabar hendak menerima menantu perempuan dalam keluarga mereka. Frasa‘belum bersedia berumah tangga’ dijadikanHumaira sebagai alasan!

Humaira mengangkat dagu dan mencerunkan matanya gaya orang tenat berfikir.

“Kau agak-agaklah Aida, Azril tu boleh sembuh tak?Aku tahu aku berdosa mempermainkan dia.Sebab tu, aku tak henti berdoa supaya dia dapat ganti seorang gadis yang lebih baik daripada aku.” Mendengar itu, keluar gerluhan dari mulut Huwaida.

“Betullah tu.Kau jahat jadi, tak layak untuk romeo tu!” cebiknya.

Humaira membalas dengan membuat memek muka yang sama. “Layan kopi panas kau ni lagi baik. “Dia menyimpul hujung bibir..

“Aira. Taubatlah.Cukuplah dah tujuh orang tu. Cukuplah kau permainkan perasaan orang.Aku takut ada yang berdendam. Tak sanggup aku tengok kau dalam bahaya. Lagipun, aku tengok kau dah mula terima balasan dosa kau tu. Bukan ke kau dah tergila-gilakan semula teman lelaki pertama kau tu. Kau kata dia tinggal di Putrajaya kan?”

Humaira terdiam. Selamba saja Huwaida menempelaknya pasal dosa.Apapun, dia sedar Huwaida ikhlas risaukan keselamatannya. Kerana itu juga Huwaida akan mengekori Humaira ke mana saja kecuali jika ke tempat kerja. Mending dia sudah berhenti jadi guru tadika sekarang ini, jadi ‘bodyguard’ sepenuh masa lah nampaknya!

“Aku takkan apa-apa. Aku tahu limit aku.”Humaira mempertahankan polisinya.

“Aku yakin, ditakdirkan kau bercinta lagi, semua akan jadi tunggang terbalik.Nasib tak baik, kau tu nanti yang akan terkejar-kejarkan semula mamat yang jadi mangsa kau. Tengoklah apa yang dah jadi pada kau sekarang. Terangau sana, terangau sini.Sekarang mana kau nak cari teman lelaki itu yang mengharu otak kau sekarang?” Humaira yang mendengar mengetap bibirnya sambil mengangkat keningnya.

Mustahil dia akan beritahu Huwaida yang bekas teman lelakinya itu kini menetap di lokaliti yang sama dengan mereka.Lagipun Huwaida hanya kenal nama Rafiq, bukan Damyral.

“Jika betul apa yang aku teka ni, Kau tanggunglah sendiri akibatnya.Hukum karma beb.Hukum karma!” Keluar lagi sumpahan Huwaida dek kerana geram.

Humaira mengembangkan hidungnya yang mancung itu. Riak wajahnya sengaja dibuat-buat untuk menjengkelkan Huwaida.

“Kau ni memang tak berperasaan. Kosong!” Huwaida bangun lalu ke ruang tamu menyandar di sofa. Sambil menjeling pada Humaira yang terus tercatuk di meja makan.

Penat memerhatikan Humaira, mata Huwaida merayap ke seluruh ruang rumah yang masih berselerak itu. Dia saja yang beria-ia berkemas. Kerja Humaira, hanyalah mengemas rak tempat dia menyimpan novel-novel dia dan rakan-rakan penulisnya saja. Yang lain terbiar menunggu ehsan Huwaida.Huwaidalah yang menyelenggara hampir kesemuanya.

Berkira betul kudratnya... siapalah yang nak buat bini perempuan dengan fi’il macam tu! dengus Huwaida yang masak sangat dengan sikap pemalas Humaira.

“Harapkan muka macam pelakon sinetron, tapi perangai mengalahkan kaki lepak!” laungnya pada si kembar.

Humaira hanya diam. Dihirup kopinya sambil tersengih.

Dalam mencemik dan mengkritik sikap Humaira itu, jauh di lubuk jiwa Huwaida, dia mengagumi paras wajah yang memang penuh pesona itu.Apa yang Humaira tak ada? Wang banyak. Peminat ramai. Aku saja yang tak ada kehidupan aku sendiri. Hanya berdiri belakang bayang-bayang dia, keluhnya agak terkilan.

Tapi aku tak boleh hidup jauh dari dia. Memang aku tak boleh, akuinya akan hakikat tersebut.

Humaira bangun meninggalkan meja makan. Dia bergerak ke jendela di sebelah komputernya. Terasa betapa nyaman angin yang mencuri-curi masuk.Dia menikmati fenomena sekecil itu dengan penuh syukur.

Lensa mata dihalakan ke luar. Menatang seluruh landskap di bahagian tersebut. Pandangannya kemudian tertancap pada bagan berpergola yang dibiarkan oleh penghuni terdahulu. Daun-daun yang berjuntaian dari cecelah liang pergola tampak keringdan layu. Dia bertekad hendak membuang saja pasu-pasu berbalut mikrame yang berjuntaian itu. Kalau boleh dia mahu menggantikannya dengan spesis Episcia yang digemari ibunya, Zainon. Puspa-puspanya yang kecil kemerahan akan menaikkan seri pergola yang kusam itu.

“Entah bila aku dapat buat semua tu. Tapi manalah aku ada masa.” Dia menyuarakan perlahan. Bibir di nipiskan.

Memikirkan entah bilalah dia berkesempatan untuk merealisasikan hajatnya itu. Memikirkan sikapnya yang suka bertangguh itu, dia menyengih lucu.

“Terbaiklah ‘malas’ aku ni!” lawaknya dalam hati.

Berkerut muka Huwaida menganalisis aksi Humaira yang tersengih-sengih sendiri itu.

“Keranadia, aku terpaksa berhenti mengajar budak-budak di tadika tu. Sekarang aku dah jadi penganggur kehormat.” Dia melepaskan apa yang terbuku. Mencerlung pada Humaira dengan muka cemberutnya.

Teringat Huwaida akan insiden di satu petang yang menghantar mereka ke kotej sekarang...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh