Home Novel Cinta KUINGIN CINTAMU
KUINGIN CINTAMU
11/3/2013 14:22:11
35,621
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Chapter 4

BAB 4

IMBAS KEMBALI

Badailing.

“PANJANGNYA...” Terlontar rasa kagum dari mulut Humaira. Itu juga yang diungkapnya berkali-kali pada Huwaida, sewaktu mereka berdua melawat ke situ dulu.

Pada kali yang kedua, dia pergi sendirian kerana pada masa yang sama Huwaida ada acara penting di Tadika Sweet Bunny. Mengeluh adik kembarnya itu kerana tidak dapat ikut serta. Humaira juga kecewa. Tapi rupa-rupanya terselit hikmah di sebaliknya. Justeru dalam lawatan kali kedua itu, dia telah dipertemukan dengan Dr. Damyral.

Bibirnya bergerak-gerak tersenyum sambil otaknya mengimbas kembali  insiden pertemuan tersebut. Ketika itu, mata dan minda Humaira hanya fokus pada binaan hebat itu. Tangan kanannya pula tekun menghalakan lensa kameranya dari satu sudut ke satu sudut yang lain tanpa jemu sambil jarinya sibuk membidik pemandangan yang menarik.

“Panjang gila... macam mana mereka bina?” Kumat-kamit bibirnya meluahkan rasa kagum.

“Hmm... memang panjang. Lebih tujuh ribu kilometer.Itu belum termasuk Tembok Besar di tempat lain. Tempat kita berdiri sekarang ialah tembok yang dibina sewaktu pemerintahan Dinasti Ming. Sebelumnya pun sudah ada dibina di beberapa bahagian provinsi yang lain. Pembinaannya berperingkat-peringkat. Tapi bukanlah bersambung macam yang kita semua sangka. Lain dinasti, lain lokasi tembok besarnya. Hmm... itu jawapan kenapa ia sangat panjang macam yang awak hairankan sangat tu. Opps... Lupa pula, tembok awal dibina oleh pemerintah di zaman Dinasti Qin!” Satu suara menjawab tanda tanyanya dari belakang.

“Hah?” Terus Humaira berpaling. Ingin tahu siapa agaknya pemandu pelancong sukarela yang baik hati, sudi menghurai fakta yang berjela-jela tanpa dipinta itu.

Sebaik saling berdepan, dia tergamam. Dia terkesima dan merenung paras dan sesusuk tubuh yang kini sedang tercegat di depannya sambil tersenyum. Mungkin mereka tidak saling kenal, tapi ada sesuatu yang mencelah-celah ke ingatannya tatkala menatap wajah itu.Bagaikan ada gema di kejauhan menjeritkan bahawa lelaki itu pernah hadir dalam hidupnya. Gema yang gagal dipastikan apakah dia.

Wah... inilah baru dikatakan hero novel! bisiknya berlucu dalam hati. Lagi elemen itu mencuri-curi membelah lorong ke ingatannya. Membuatkan dia terus merenung dengan aneh. Yakin benar dia bahawa, lelaki itu ada kaitan dengan masa lalunya.

Humaira cepat-cepat menukar ekspresinya bila menyedari betapa asyiknya dia memandang wajah di depannya itu. Dahi dikerutkan dalam satu aksi lakonan. Takut pula jika si dia perasan. Maklum, tenungannya itu tadi amat ralit. Nampak jelas seperti dia tertarik. Meskipun hakikatnya,dia memang seorang jejaka yang menarik.

Tubuhnya tinggi lampai. Tidaklah terlalu berisi tetapi tegap orangnya. Pemuda itu menyarung fleece jacket.Nampak kemeja merah samar di dalam jaketnya itu. Berseluar rona ‘beige’ Wajahnya... hmm, memang kategori ‘sesuatu’. Orang seberang menyebutnya ‘ganteng’.

Opps... jejaka itu juga baru tersedar. Sejak si gadis berpaling, matanya belum sekalipun berkalih.  Tidak pula dia membuang pandang, Cuma si gadis sudahpun mengalihkan mukanya pada kawasan berbukit bukau di hadapan. Bukan gadis itu fokus sangat.Akhirnya kembali teragak-agak memandangnya semula lalu berkata..

“Terima kasih.Err... untuk info awak tadi tu.”

Lancar lidahnya mengatur diksi. Sambil itu, dipaksa juga jari-jarinya berlakon membetul-betulkan kamera. Argh... kelelongnya!

Lelaki itu menggerakkan kening. Agak terleka.

Humaira memang mudah canggung kalau berdepan dengan lelaki. Impak dari sikap dingin ayahnya terhadap dialah, apa lagi? Seorang ayah yang serius, tidak mesra dan bersikap pilih kasih pula pada anak-anaknya. Lalu suburlah trait negatif itu ke dalam dirinya. Iaitu ‘canggung berdepan dengan lelaki’!

“Tembok besar yang paling awal, hanya guna tanah liat dan bongkah-bongkah batu. Masa Dinasti Ming, barulah bahan-bahan yang lebih bermutu digunakan. Pembinaan pada era itu lebih terancang.” Lelaki itu menambah fakta. Humaira makin tertarik.

Dia melilaukan mata ke sekitar. Barulah dia sedar hanya mereka berdua saja pelancong Malaysia yang berada di situ pada ketika itu. Dalam hati, dia berharap agar pemuda itu tidak terburu-buru meninggalkan tempat tersebut. Dia akan keseorangan. Lainlah kalau ada Huwaida.

“Impresif. Tapi, rugi kan bina tembok panjang-panjang macam ni? Mesti ramai yang terkorban. Macam... err...ketika rakyat Firaun bina piramid dulu.” Humaira mengandaikan. Sempat tersenyum pada seorang pelancong Eropah yang mengangguk padanya sebagai isyarat menyapa. Diketapnya bibir sambil mengangkat kening tinggi-tinggi. Bila mukanya beralih pada Dr.. Damyral, terjadi pertembungan mata. Humaira menggigit bibir sambil menaikkan kedua-dua keningnya lagi tersipu.

Jangan dia tuduh aku gedik sudah... bisiknya terus tersipu-sipu diperhatikan seperti itu..

Dr.. Damyral sebenarnya tersentap oleh aksi gadis itu.Menggigit bibir sambil mengangkat kening.Macam pernah dilihatnya aksi itu dalam samar-samar ingatan.

Sekali lagi mata‘hero novel’ di depannya itu mengilau bila seorang lagi pelawat berselisih lalu. Ini kerana pandangan pelawat tersebut pasti singgah seketika pada Humaira. Gadis yang memakai skarf ringkas itu memang mempesonakan sesiapa yang memandang. Termasuk dirinya. Disebabkan itu juga maka dia memberanikan diri mencari jalan mendekati gadis itu tadi.Sepanjang yang dia ingat, itulah pertama kali dia ‘mengorat’ seorang gadis.

Tapi aksi gadis itu menggigit bibir dan mengangkat kening tadi...Argh... sekali lagi dia berusaha memerah ingatan untuk mengimbas satu-satunya memori yang enggan kembali. Aku tertarik padanya hanya dengan sekali pandang... bisiknya membelek penampilan Humaira.

Gadis ini ada aura istimewa. Tapi aku tidak pasti apa. Cuma aksinya menggigit bibir dan mengangkat kening tadi mengimbau satu kenangan lama. Hati aku berkata yang aku pernah melihat dia, tapi di mana? Di mana...

Teringat soalan gadis itu tadi, dia memaksa fokus.

“Betul tu. Sebenarnya, tembok tinggi ini sudah jadi satu keharusan. Suku gasar nomad seperti Monggol dan orang-orang Tartar di bahagian utara,suka menyerang petempatan berhampiran sempadan. Mereka ni ganas. Perompak yang tak berhati perut. Tembok Besar ni dijadikan kubu untuk menyekat penganiayaan mereka. Orang-orang Cina masa tu, turut takut pada bangsa Mancu yang gemar menceroboh petempatan mereka yang daif itu.” Usai menerangkan,bibirnya menyungging senyum. Seronok kerana berjaya membuat Humaira tertarik.

Hmm... dia kacak, manis.Aku suka lelaki yang tinggi...perfect. Patut sangat wanita diharamkan merenung lelaki ajnabi. Protes imannya yang cuba menyeru pada kebaikan. Humaira membalas senyumnya. Inilah hero novel pertamaku. Minda nakalnya kini mula melakar karakter dalam novelnya. Rupa paras, gaya dan apa saja kriteria hero itu untuk manuskripnya.

“Saya Damyral.” Dia memperkenalkan diri tiba-tiba.

Humaira tersentak. Tergamam berjurus lamanya.Macam pernah dengar. Namun gagal mengingat.

“Aa.. saya Humaira... Aira.”Sekali lagi dia menggigit bibir sambil mengangkat kedua-dua kening dan membesarkan matanya. Aksi tadi berulang lagi. Nah!

“Aira?” Dr.. Damyral terperanjat besar.

Nama itu sudah cukup untuk mengesahkan, disokong pula oleh aksi yang dulu kerap dilihatnya bertahun-tahun yang lalu. Seorang kanak-kanal yang gemar bermain biji saga dengan kembarnya yang kasar dan perengus orangnya.Beberapa kali dia terpaksa menarik si kecil itu ke rumahnya bila setiap kali kembarnya itu mula mengepal penumbuknya.

“Takapa, takapa, Aira dah biasa kena tumbuk. Sakit kejap aje. Kan Aida?” Ungkapan membela yang sering membuatnya sangat simpati terhadap kanak-kanak secomel itu. Dia masih mahu bermain.Tetapi Dr.. Damyral tidak tega melihat dia dikasari adik kembarnya yang bertubuh besar itu.

Setiap kali diherdik si kembarnya, Aira akan menggigit bibir dan membesarkan mata dengan menaikkan keningnya.Comel! Tidak tergambarkan peri sukacitanya Dr.. Damyral. Melihat si kecil yang kini sudahpun tegak seperti kelopak yang mekar itu. Dia seolah-olah terperangkap dalam pesawat yang mampu memintas kelajuan cahaya lalu membawanya masuk ke dimensi semalam!

Dr.. Damyral menarik nafas. Diperhatikan aksi yang diulang sekali lagi itu.Nama ‘Aira’ itu sudahpun memecah kebuntuan.Perlahan-lahan, bibirnya mengorak senyum.

Biji Tasbih...”bisiknya dalam hati. Nampak terang peristiwa yang pernah tercatat dalam memori silamnya itu.Rosary Pea... getus hatinya lagi.

Humaira masih kecil waktu itu, Pasti dia sudah lupakan budak lelaki yang sering menaburkan biji-biji saga di atas kepalanya dulu. Keluarga Humaira pun seolah-olah sudah melupakan kampung halaman mereka. Ah Aira! Dr.. Damyral tersengih sambil bernostalgia. Gembira tidak terkira.

“Awak fikirkan perbuatan kejam kaum-kaum nomad tu?” tanya Dr.. Damyral dengan mata memicing reaksinya, bila Humaira sesekali menajamkan mata seralit-ralitnya tatkala merenung dinding tembok besar itu.

Tersenggut nafas Humaira. Bukan itu yang sedang difikirkannya. Ketika itu, dia sedang membayangkan lelaki itu sebagai hero novelnya.Itu yang sebenarnya! Penampilan lelaki itu sangat impresif. Mata manusia pula memang mudah berbuat dosa. Pintu membenarkan dosa itu pula, tidak lain ialah hati yang mudah tertawan. Dari mana datangnya cinta kalau tidak dari mata turun ke hati. Bidalan lama itu sahih benarnya!

“Kaedah tu berkesan ke? Maksud saya, selamat ke penduduk yang tinggal di belakang Tembok Besar tu?” Dr..Damyral menggaritkan kening.

“Tak juga,” akuinya dengan riak simpati. “Tembok ni tak dibina menyeluruh. Bermakna, suku-suku nomad tersebut masih mampu menceroboh sempadan dengan cara merentas masuk di bahagian hujung iaitu bahagian di mana pembinaan tembok itu berakhir.”

Wajahnya berubah serius. Mungkin membayangkan bentuk jenayah di era tersebut. Di kala manusia yang lebih gagah memegang kuasa undang-undang. Sistem hidup yang membuat mereka yang lemah sering ketakutan dan ditindas.

Bila dia buat muka serius, lagilah aku bertambah tertarik.Humaira tergelak-gelak dalam hati. Bersinar-sinar matanya. Dia mendakap kuat tubuhnya bila angin sejuk tiba-tiba bersemilir lalu. Dr.. Damyral memandang dengan wajah simpati. Baru dia perasan yang gadis itu hanya menyarung kemeja denim di tempat sedingin itu. Hendak dilekapkan fleece jacket yang dipakainya ke tubuh gadis yang kesejukan itu, nampak ‘over’ pula.

Terlalu awal nak berlagak gentleman... bisiknya melucu dalam hati. Lagipun saiz jaket yang dipakainya itu agak besar untuk gadis di depannya itu.

“Hmm...” Dia berdehem. Dibeleknya muka ingin tahu Humaira.

“Hakikat yang tak boleh diubah ialah, Tembok Besar ni simbol kekejaman pemerintah-pemerintah dinasti yang silih berganti tu. Mereka kerah para petani dan orang awam membinanya. Betul kata awak. Terlalu banyak menelan korban mereka yang tak berdosa. Mereka dikerah, dianiaya dan dijadikan buruh paksa berkurun-kurun lamanya. Jadi tak hairankan Humaira, kalau tembok besar ni juga digelar, kubur terpanjang di dunia?”

Humaira mendengar dengan penuh khusyuk. “Rejim kuku besi,” gelengnya. “Ya... seriau bila kita bayangkan ganasnya pemerintah menindas rakyat yang lemah dan tak berupaya membela diri,” sambung Humaira mengangguk setuju.

“Saya agak, mesti banyak sumpah seranah mangsa-mangsa yang dikerah membina tembok ni kan?” tambahnya lagi. Dr. Damyral menggerakkan keningnya.

“Ya mungkin. Petani yang teraniaya pasti berbakul sumpahnya memaki hamun pemerintah dinasti, kerana didera sekejam itu. Agaknya sumpahan itu lebih banyak daripada penderitaan yang terpaksa mereka tanggung. Jadi jaga-jaga jangan sampai awak pula yang 'bersumpah' di sini, takut disambut oleh kaki menyumpah di bawah.” Lawaknya itu memanjangkan garis senyum di bibir Humaira..

Next: Chapter 5.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh