Home Novel Cinta BUKAN TEMAN PENGGANTI
BUKAN TEMAN PENGGANTI
Hanis Azla
29/9/2015 07:41:30
53,666
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 28

Beberapa buah Hospital Kerajaan dan Pusat Perubatan Swasta telah kami pergi untuk mendapatkan rawatan. Segala bentuk ujian dan rawatan yang dicadangkan telah dijalankan. Namun hasil keputusannya, tiada apa yang tidak kena dengan kesihatan Khalif. Walaupun ada yang mengatakan ianya mungkin kanser, tapi kesahihanya tidak dapat disahkan oleh pakar. Kami sekeluarga jadi buntu dibuatnya. Setelah rawatan moden tidak berjaya, kami mencuba rawatan alternatif islam pula. Hampir tidak terkira entah berapa rawatan yang telah kami cuba. Namun sehingga kini, segala usaha masih tidak menunjukkan sebarang hasil yang memberangsangkan. ALLAH masih belum beri keizinan untuk Khalif sembuh. Keadaan kesihatan Khalif terus merudum dan semakin merosot dari hari ke hari. Sudahnya kami usahakan kembali dengan rawatan di hospital.

“Naura...” Panggil Khalif.

Aku yang sedang membaca Al-quran di sisinya memberhentikan bacaanku untuk menyahut

panggilan darinya.

“Abang nak minum?” Soalku lembut.

Khalif menggeleng lemah.

“Abang rasa tak selesa di mana? Nanti Naura cuba betulkan kedudukan abang ya.”

Khalif tetap menggeleng sambil cuba memaniskan wajahnya. Wajah cengkung itu aku pandang dengan penuh rasa sayang. Masih tidak hilang kacaknya dia di mataku walaupun kini dia sudah tidak seperti dulu.

“Abang tak apa-apa Naura. Naura tak perlu sentiasa berada di sisi abang. Abang okey.”

Rupa-rupanya perkara itu yang membuatkan Khalif berasa tidak selesa.

“Abang tak suka ya bila Naura sentiasa ada dengan abang?”

Sengaja aku berpura-pura merajuk dengannya. Terketar-ketar tangannya cuba mencari tanganku. Tentulah dia berniat untuk memujukku. Melihat dia begitu aku segera mendekatkan diri padanya.

“Nauralah kekuatan abang. Takkanlah abang tak suka bila Naura ada dengan abang. Tapi... Naura juga patut teruskan kehidupan Naura. Abang faham kalau sesekali Naura perlu uruskan perkara lain dan berada jauh dari abang.”

Suaranya lemah, tapi semangatnya untuk berbicara tetap kuat. Dalam kebanyakan waktu, memang semangatnya yang menjadi kekuatan buatnya sekarang.

“Abang jangan risau. Naura sedang teruskan kehidupan Naura dengan baik sekarang ini. Sentiasa berada di sisi abang adalah perkara yang terbaik untuk Naura teruskan hidup. Abang tak perlu susah hati. Perkara ini tidak sedikit pun membebankan Naura.”

Thank you, sayang. Semoga Allah membalas semua kebaikan Naura. Abang minta maaf, abang tak mampu nak membalasnya.”

“Siapa kata abang tak boleh balas?” Persoalku.

“Dengan apalah abang nak balas, Naura.” Luahnya lemah dengan riak ralat yang tidak tersorok.

Aku tersenyum tawar menyambutnya.

“Abang boleh balas dengan membiarkan Naura selalu berada di sisi abang. Itu pun dah cukup untuk Naura. Naura tak perlukan yang lain. Naura juga tak perlukan kerisauan abang.”

Khalif tersenyum memandangku. Tentunya dia sangat senang dengan kata-kataku. Namun, senyuman orang yang sedang sakit pastinya tidak seceria mana. Namun manisnya tetap dapat aku rasa. Ini kerana dialah gula hatiku.


HAMPIR sebulan aku menemani Khalif berkampung di Hospital. Namun perkembangan kesihatannya tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Khalif juga sudah berasa tidak selesa dengan wayar-wayar yang berselirat di tubuhnya. Akhirnya, kata sepakat diambil. Khalif dibawa pulang kerumah setelah ujian dan rawatan mula memberi kesan yang lebih menyakitkan tubuhnya. Kami sekeluarga bertanggungjawab sepenuhnya jika apa-apa berlaku kepada Khalif. Itulah antara perakuan yang ditandatangani oleh kami sebelum pihak hospital membenarkan Khalif untuk dibawa pulang. Seorang jururawat juga diambil untuk membantu merawat dan memantau kesihatan Khalif di rumah.

Sejak pulang ke rumah, Khalif hanya terlantar di katil. Sudah tiada dayanya untuk bangun. Aku pula masih sepenuh masa menjaganya dengan bantuan jururawat yang diupah. Sekarang ini hanya susu yang masuk melalui tiub saja yang memberikan sedikit tenaga kepadanya. Tiada makanan yang dapat ditelan. Simpati pada suamiku tidak terluah dengan kata-kata. Disebabkan itu, aku mahu terus selalu berada disisinya pada setiap waktu. Hanya itu yang mampu aku berikan kepada dia yang aku sayang.

“Naura..”

Terpisat-pisat aku bangun bila dikejutkan. Pandanganku pastinya akan terlekat pada Khalif yang berada di hadapanku terlebih dahulu. Walaupun bukan dia yang bersuara memanggilku. Sesudah itu barulah pandanganku beralih kepada Izran yang mengejutkan. Berada bersama Khalif yang tidurnya lebih lama dan panjang dari dia terjaga membuatkan tidurku juga lena. Khalif sangat lemah sekarang ini. Keadaannya sangat mengusarkan aku dan kami semua. Disebabkan itu, waktu tidurku juga sudah lari waktunya. Menunggu dia sedar kadang-kala membuatkan aku berasa cukup letih. Bila sudah benar-benar keletihan aku juga akan ikut tertidur akhirnya.

“Bangun, Naura. Dah lewat petang ni. Mama kata, sejak pagi Naura tak makan lagi. Pergilah makan. Biar saya pulak yang jagakan abang.” Suruh Izran dengan nada suara yang bersungguh.

Tentunya dia mula risau akan keadaan dan rutinku yang tidak menentu sekarang ini. Aku faham akan kerisauannya dan semua orang. Namun aku masih tidak sampai hati mahu meninggalkan Khalif.

“Naura perlu kuat dan sihat untuk jaga abang. Naura mesti makan dan lebih jaga kesihatan untuk dapat jaga abang dengan baik. Pergi makan dulu ya.” Pujuk Izran bila aku masih enggan berganjak.

Kata-kata Izran ada benarnya. Tapi pada saat ini, aku tiada rasa untuk makan. Perutku juga tidak sedikit pun berasa lapar. Bagaikan memahami, Izran memberikan cadangannya.

“Pergi segarkan diri dulu. Selepas itu barulah selera makan tu datang. Pergi mandi, rehat sekejap kemudian makan.”

Izran mula bertegas. Lambat-lambat, dengan rasa berat hati aku bangun juga untuk meninggalkan Khalif.

“Jangan risau, saya masih boleh diharap untuk jaga abang sebaik Naura.” Ujar Izran sedikit sinis bila aku terus berada di situ.

Tentunya Izran sengaja mahu membuatkan aku berasa serba salah. Aku mengetap bibir mendengar kata-katanya. Dia juga begitu. Sejak Khalif sakit, kami tidak lagi saling berlawan cakap. Dengan apa yang perlu aku hadapi, mungkin Izran tidak sampai hati untuk mengenakan aku seperti dulu. Ketika aku sedang makan, Izran muncul di dapur. Aku mula rasa tidak senang kerana risau jika Khalif ditinggalkan bersendirian. Lebih-lebih lagi bila jururawat yang membantu juga sudah pulang.

“Mama nak duduk bersendirian dengan abang.” Beritahu Izran yang sedar akan kerisauanku.

Penjelasannya melegakan. Tanpa dipelawa, dia terus duduk untuk makan bersamaku.

“Ini lauk kesukaan abang, kan?”

Tangannya yang mahu menyeduk lauk di hadapannya tiba-tiba saja terhenti. Bergenang air matanya bila melihat lauk kesukaan Khalif. Pastinya Khalif tidak dapat menjamah makanan itu kerana dia tidak berupaya untuk menelan makanan. Air mataku sendiri sudah menitis mengenangkan Khalif dan melihat Izran begitu. Untuk seketika kami saling berpandangan sebelum sama-sama menyapu mata yang basah. Sejak akhir-akhir ini air mata ahli di dalam rumah ini menjadi terlalu murah harganya. Bila di hadapan Khalif, seboleh mungkin kami menahannya. Namun di belakang Khalif, air mata kami kerap benar mengalir kerananya.

Seterusnya, kami cuba untuk makan tanpa ada sesiapa pun yang mahu bersuara. Seperti aku, Izran juga nampak tidak berselera untuk menghabiskan makanannya. Selera makan kami turut hilang seperti matinya selera makan Khalif. Bila sudah tidak dapat meneruskan makan, yang berada di fikiranku adalah mahu cepat-cepat kembali menemani Khalif. Dalam pada mahu cepat-cepat meninggalkan dapur, aku terlanggar bakul surat yang mama letakkan di sudut meja. Beberapa keping surat dan kad yang terisi di dalamnya berterabur di lantai. Izran membantuku mengutip surat-surat dan kad-kad itu. Ketika tangannya mahu menyentuh kad yang terakhir, pergerakannya terhenti. Air mukanya berubah. Lambat-lambat kad undangan perkahwinan Sofinas yang berada di lantai di ambil olehnya. Setelah seketika membeleknya, kad itu disatukan kembali dengan kad dan surat-surat yang lain.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.