MINGGU itu, terasa kembang hati
Yanti sewaktu melawat Lidya diHospital
Besar PulauPinang. Di dalam beg
sandangnya terkandung beberapa keping kertas A4 yang telah bercetak dengan
hasil karangannya. Karangan yang
diingini oleh Lidya.
“Lidya, ini hasil tulisanku.
Bacalah!Dan
jangan kecil hati jika ia tidak kena dengan hatimu.” Yanti menghulurkan sampul surat yang dibawa
kepada Lidya.
Lidya
kelihatan tidak sabar lalu terus mengeluarkan kepingan kertas-kertas itu.
Wajahnya riang. Matanya memandang ke arah Yanti yang berbaju kurung hijau polos
dan bertudung kuning muda bercorak hijau
dan putih.
Lidya
memulakan pembacaannya sepintas lalu.
Sesekali dia tersenyum. Sesekali
dia berwajah sayu.
Terkocak
sedikit hati Yanti, bimbang jika karangannya tidak dapat memenuhi perasaan hati
Lidya, sahabatnya itu.
“Yanti,
terima kasih! Sebenarnya kau boleh mengarang.”
Lidya menyandarkan dirinya di bantal yang tersandar di hujung katil
sambil membaca lagi.Kali ini dia ingin mengamati tulisan karangan Yanti itu sepenuh hatinya.
DUA tiga
bulan kebelakangan ini hatiku berasa gusar.
Sungguh. Kegusaran yang tidak pernah kualami sebelum ini. Siang tadi, aku menerima panggilan telefon
daripada ibuku di kampung. Dia bertanyakan tentang Wahid. Wahid yang hampir
setahun enam bulan menjadi tunanganku. Tunangan yang tidak dirancang sama
sekali.
Mengapa aku tiba-tiba sahaja
menyetujuinya? Sedangkan sebenarnya aku sedikit pun tidak menyintainya. Kasih
sayang pun belum berputik. Jauh di sudut hati, aku masih terkenangkan Idham.
Idham lelaki pertama yang aku
kenal. Mungkin juga yang pertama menyapa hatiku sejak aku di sekolah menengah
rendah lagi walaupun tidak pernah melafazkan cinta. Namun dia tetap kukenang, dalam kejauhan.
Namun, Idham sudah tiada lagi
di kehidupanku pada waktu itu. Kami
terpisah. Aku merajuk kerana Idham
bagaikan tidak pernah menghargaiku. Tidak pernah menyatakan perasaannya. Tidak
pernah menanyakan perasaanku.
Idham, tebal dengan
keegoannya. Tidak pernah mempedulikan diriku. Lantas aku mengambil keputusan
untuk beredar dari dirinya. Tambah memedihkan, Idham tidak pernah cuba
menghubungiku. Tidak pernah berusaha untuk memujukku. Apatah lagi untuk
bertanya khabarku. Lalu aku beranggapan, aku hanya pendatang yang tidak pernah
diperlukan di hatinya. Patutlah aku
tidak dihargainya.
Setelah itu aku bagaikan
tawar hati dengan lelaki walaupun pergaulan dengan kawan-kawan lelaki agak luas
juga. Setiap kali ada di antara teman lelakiku menyuarakan isi hati mereka
untuk menjadikan aku seseorang yang istimewa di hati mereka, aku menjauhkan
diri. Sehinggalah aku berkenalan dengan Wahid. Perkenalan yang tidak di duga.
Hari itu sebenarnya aku
sedang menunggu panggilan telefon daripada Syed Jefri. Syed Jefri seseorang
yang ingin diperkenalkan oleh Kak Jie, kerani di bahagian receiving,
kilang tempat aku bekerja.
“Lidya! Kak Jie berkenanlah
kepada Lidya ni. Lembut, bertolak ansur, sopan santun dan hormat pada orang
tua. Kalau Kak Jie kenalkan Lidya kepada
seseorang, Lidya nak tak? Lidya dah ada
boyfriend ke belum? Kak Jie ada
seseorang nak dikenalkan kepada Lidya. Jiran Kak Jie, Syed Jefri. Dia bekerja
sebagai tentera udara. Kak Jie rasa sesuai dengan Lidya. Kak Jie pun dah
ceritakan hal Lidya kepada Jef. Nampaknya dia pun berminat untuk berkenalan
dengan Lidya.” Begitulah panjang lebarnya penerangan daripada Kak Jie.
Aku tidak mahu meneka bentuk
promosi yang telah dijalankan oleh Kak Jie. Promosi tentang diriku. Kalau aku
tanya takut dia tersinggung pulak. Menolak keinginan Kak Jie tentu akan
mengecilkan hatinya. Lalu aku pun bersetuju. Apa salahnya menambah kenalan
baru. Lagipun pada waktu itu aku tidak terikat dengan sesiapa. Semuanya
hanyalah kenalan biasa saja bagiku.
“Bolehlah Kak Jie. Kak Jie
berilah nombor telefon saya kepada Syed Jefri. Tapi beritahu dengan dia, call
sebelum pukul 10.30 malam, jika waktu itu saya bekerja syif pagi.” Aku lihat
Kak Jie tersenyum riang sambil mencatatkan nombor telefonku.
Dalam pada aku menunggu pada
keesokan harinya, telefon berdering.
Waktu itu jam menunjukkan 11.45 pagi. Secara kebetulan aku bekerja di syif
petang. Aku bersendirian di rumah sementara menunggu waktu untuk pergi kerja
pada pukul 1.45 petang.
“Helo!
Assalamualaikum...” Itulah patah
perkataan yang keluar dari bibirku sebaik sahaja gagang telefon kuangkat. Gagang telefon kulekapkan ke telinga kiriku.
“Waalaikumsalam... Lidya ke
ni?” Lembut dan bersahaja jawapan yang
aku dengar. Suara lelaki yang asing di telingaku.
“Lidya, apa khabar?” ujar
lelaki itu lagi. Tidak sempat aku menjawab, dia bertanya lagi. Nada dan caranya
seolah-olah telah lama mengenali aku.
“Baik, alhamdulillah!” Aku
menjawab berhati-hati. Berbicara dengan
orang yang pertama kali menghubungi, aku harus teliti.
“Dah makan ke?” soalnya lagi,
masih dengan nada mesra.
“Hmm... alhamdulillah. Baru sebentar tadi saya makan.” Jawabku tanpa gugup. Aku menanti dengan sabar
Syed Jefri memperkenalkan dirinya.
“ Mesra dan ramah Lidya
ni.” Pujian yang tidak kupinta menjengah
ke telinga. Aku tidak menjawab, hanya menanti dia meneruskan bicaranya.
“Saya Wahid.” Lelaki itu
mengenalkan diri dengan bersahaja.
Aku terkejut seketika. Mengapa Wahid? Bukankah aku sedang menunggu panggilan daripada Syed
Jefri.Mahu saja aku meletakkan
gagang telefon, tetapi rasa simpati bertamu di hati.
“Apa khabar? Maaf, Encik Wahid, kita pernah bertemu ke
sebelum ini? Saya rasa saya tak ada
kawan bernama Wahid. Dari mana Encik
Wahid mendapat nombor telefon rumah saya ni?” Sungguh pun aku berasa tidak
selesa dengan keadaan itu, aku cuba untuk tidak menyakiti hati orang yang baru
pertama kali menghubungi aku.
“Memang Lidya tidak pernah
kenal dengan Wahid. Tetapi Wahid ingin
kenal dengan Lidya setelah melihat beberapa foto Lidya bersama dengan
Liza. Liza tu girlfriend kawan
Wahid. Kamal namanya. Kamal pun kenal
dengan Lidya. Dia yang berikan nombor Lidya ni.” Wahid menerangkan kepada aku.
“Abang Kamal?” Mujur aku
kenal dengan orang-orang yang dimaksudkan oleh Wahid. Terbayang aku wajah Abang
Kamal. Lelaki berwajah mirip P.Ramlee. Suara pun macam P.Ramlee. Karakter pun
macam seniman itu, di dalam filem komedi. Abang Kamal bekerja sebagai pegawai
kastam di daerah itu.
“Lidya marah ke Wahid call
ni?”
Suara Wahid yang seakan risau
menyinggahi telingaku.“ No... no... tak… tak marah! Mengapa nak marah?” Aku cuba menjaga hati
orang yang baru kukenal.
“So, Selamat Berkenalan.” Aku ketandusan idea untuk berkata lagi. Fikiranku kosong.
“Terima kasih Lidya. Sudi ke berkawan dengan Wahid ni.” Wahid bersuara seakan
mengharap.
“Apa salahnya. Tak menjadi
masalah kepada saya. Insya-ALLAH!
Berkawan biar seribu.” Aku membalas
pertanyaan Wahid dengan bahasa kiasan dan ramah.
“Berkasih?” Wahid cuba
menguji aku.
“Berkasih pun seribu juga!Semua yang kita kawan mestilah kita kasih. Kita sayang
supaya kita tidak ada niat melakukan kejahatan!” Petah aku menjawab, sambil
memikirkan cara menamatkan perbualan.
“Encik Wahid, minta maaflah
kerana Lidya tidak dapat berbual panjang!
Lidya belum gosok pakaian untuk di pakai ke tempat kerja hari ini. Insya-ALLAH, lain kali kita bersembang lagi
ya!”
“Okey... okey...” Mujurlah
Wahid bersetuju.
Aku meletakkan gagang telefon
dengan perasaan lega. Begitulah detik
perkenalanku dengan Wahid. Sebulan kemudian baru aku bertemu muka dengannya
walaupun sebelumnya aku tidak berminat langsung untuk menemuinya. Cukuplah berhubung melalui telefon
sahaja. Itupun bersyarat juga. Telefon
aku sebelum 10.30 malam. Lewat dari itu aku tidak akan melayan.
Sememangnya aku suka berterus
terang. Sebenarnya setelah merajuk hati dengan Idham, dan aku membawa diri ke
rantau orang. Hatiku seolah telah tawar
dengan lelaki. Aku bosan dan rimas.
Pada suatu petang, Wahid
menunggu aku di tepi jalan sewaktu hujan lebat. Aku balik dari pejabat
menggunakan pengangkutan yang disediakan oleh syarikat tempatku bekerja. Sebaik turun dari bas dan setelah
menyeberangi jalan, aku terjengkit-jengkit melalui lopak yang berair. Hujan
yang teramat lebat menyebabkan lopak-lopak di tepi jalan ditakungi air. Sambil
berjalan, sebelah tanganku mengangkat sedikit kain baju kurung yang aku pakai
untuk mengelakkan percikan air kotor. Tambahan pula pada hari itu aku memakai
baju berwarna cerah. Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil oleh seseorang.
“Lidya! Lidya...”
Aku menghentikan langkahan
kakiku. Seorang lelaki berbaju hujan tebal dan berpayung menghampiriku. Sebahagian daripada seluarnya sudah kelihatan
lencun daripada lutut ke bawah.
“Wahid...” Dia memperkenalkan
dirinya.
Aku terkejut juga pada
mulanya. Namun, aku tetap bertenang.
“Dah sejam Wahid tunggu Lidya
di sini.” Dia menerangkan tanpa dipinta. Bibirnya tersenyum.
“ Oh ya? Lidya habis
kerja pukul 5.00 petang. Biasa 5.15 dah sampai. Tapi hari ni hujan lebat
sangat, jalan pun sesak sikit.Ada banjir
kilat di pelabuhan tu.” Aku menerangkan dengan rela. Suaraku agak kuat kerana
cuba mengatasi bunyi hujan yang kasar-kasar serta lebat.
“Macam mana tahu saya Lidya?”
Aku menyoal pula. Pelik sikit rasanya, tak pernah berjumpa tiba-tiba memanggil
namaku. Perjalanan pulangku rasa
terganggu. Tambahan pula hujan sedang turun dengan lebat bercampur angin dan
sesekali kilat dan petir.
“Kan Wahid dah tengok foto
Lidya!” Lelaki itu bersuara perlahan. Suaranya seakan ditenggelami oleh bunyi
guruh yang tiba-tiba berdentum. Langit gelap seakan hampir malam.
“Wahid, Lidya beredar
dululah. Hujan lebat ni. Dah lewat. Lagipun Lidya belum sembahyang
asar lagi ni. Maaf ya!!!” Payung yang aku pegang dengan tangan kanan aku
ubah-ubahkan kedudukannya mengikut hala angin bagi mengelakkan bajuku basah
disirami hujan.
“Malam ni Wahid datang ambil
Lidya, boleh?”Wahid seolah meminta
persetujuan. Matanya menatap wajahku.
“Okey! Selepas isyak. Aku
terus bersetuju bagi mengelakkan lebih banyak masa terbuang di situ.
Malamnya kami keluar makan
malam bersama. Pertemuan kali pertama.
Bagiku Wahid tidak ada apa-apa yang istimewa, yang boleh menarik minatku untuk
menawan hatinya. Namun sejak pertemuan
pertama, Wahid seakan tidak boleh berenggang dari aku. Setiap hari dia menunggu
aku. Aku berasa tidak selesa dengan keadaan itu. Tambahan aku tinggal menyewa
bersama dengan lima orang kawan-kawan lain di sebuah flat. Boleh dikatakan
seminggu dua atau tiga kali dia akan menunggu di simpang masuk menghala ke flat
sewaanku.
“Lidya, sejak kenal dengan
Lidya, Wahid rasa tak mahu berpisah dengan Lidya walaupun sesaat.” Begitulah
kata Wahid.
Geli telingaku mendengarkan
kata-katanya. Loya rasanya tekakku. Jika diikutkan, pasti muntah terpancut dari
mulutku. Namun begitu, aku harus
menghormati perasaan lelaki itu. Jika
benar perasaannya sehingga ke tahap itu, mentertawakannya pasti akan membuat
hatinya terluka.
“Cuti Depavali nanti Lidya balik ke kampung
tak?” Wahid memandang ke wajahku.
Aku mengangguk sambil
tersenyum.
“Wahid nak ikut! Nak kenal
dengan ibu bapa Lidya!” Lagi sekali
Wahid mengejutkan aku dengan bicaranya.
Bagaikan lembu dicucuk
hidung, aku mengangguk. “Jomlah. Lidya tak ada masalah apa-apa! Tapi ibu bapa Lidya orang kampung tau!.”
Itulah jawapanku. Keinginan Wahid untuk mengenali ibu bapaku aku terima dengan
ikhlas hati tanpa bertanya apa-apa maksuddisebaliknya.
MINGGU
berikutnya aku bersama Wahid pulang ke kampungku di Perak. Hampir tengah malam
kami tiba. Keesokan paginya Wahid
kulihat berbual-bual bersama dengan ibu dan bapaku. Setelah siap memasak untuk
tengah hari itu, emak menghampiriku sambil mengunjukkan kotak kecil berbaldu
biru tua.
“Nah Lidya! Ini milik kamu.” Emak menghulurkan kepada
aku. Aku menyambutnya lalu membuka kotak itu.
Sebentuk cincin berlian, terselit di dalamnya.
“Untuk apa ni mak?” Dalam
kehairanan aku mengerut dahi sambil menyoal emak.
“Wahid, melamar kamu, Lidya.”
Mata emak mengecil bila memandang aku yang kelihatan serba salah.
“Ya ALLAH, mak! Macam mana ni? Lidya tak
tahu apa-apa pun! Kenapa Wahid tak ceritakan pada Lidya terlebih dahulu.” Aku
merungut kecil. Aku terkenangkan perbualan aku dengan Wahid sewaktu sedang
menikmati makan malamdi gerai Sri Emas, dua minggu yang lalu. Aku tidak
menyangka Wahid terlalu serius tentang hal ini. Aku langsung tidakmemikirkan lamarannya. Hatiku tidak ada ruang untuknya.
“Masya-ALLAH! Emak ingatkan
kamu yang suruh dia datang melamar dan mengikat kamu dengan cincin ni. Cincin
tandalah tu.” Suara emak seakan berbisik dan serba salah. “Kamu masih tunggu Idham ke Lidya? Takkan
adanya dia nak meminang kamu.” Emak tiba-tiba menyebut tentang Idham.
Perhubunganku dengan Idham
sebenarnya diketahui oleh seluruh ahli keluarga. Dan mereka tidak merestuinya.
“Lidya dah putus dengan Abang
Idham!” Jawabku pendek dan bernada sebak.
“Habis tu sekarang macam
mana? Mak pulangkan balik cincin ni kepada Wahid tu, ya.” Emak bagaikan tidak
sabar untuk mendengar keputusanku. “Atau kau ada nak tunggu sesiapa lagi?”
Suara emak seolah bertegas.
Jauh di lubuk hatiku
teringatkan Michael Collin.Tetapi kami
hanya kawan biasa.Lagipun dia seorang
penganut Kristian yang sangat kuat pegangan agamanya.
“Lidya! Macam mana?” Emak
bertanya lagi. Tempat berdirinya masih belum berganjak dari tempat tadi. Emak
masih berdiri di hadapanku sambil memegang kotak berisi sebentuk cincin.
Aku terkenangkan perbualan
dengan Wahid dua minggu yang lalu.
“Lidya! Wahid ingin
melamarmu.” Itulah bait ayat yang keluar dari mulut Wahid setelah dia diam
untuk beberapa ketika sebaik saja kami tiba di gerai Sri Emas
Aku mengerutkan dahi sambil
merenung Wahid. Ini adalah pertemuan yang ke empat kami setelah dua atau tiga
bulan berkenalan. Masih terlalu awal dan baru. Kurenung lelaki berusia tiga
puluhan yang berada di hadapanku. Beza umur kami mungkin hampir sepuluh tahun.
Wahid, orangnya tidak begitu tampan. Kulitnya
putih kemerahan. Berwajah sedikit bujur, berkumis tipis. Giginya sedikit jarang
dan sebilah dari gigi kacipnya yang paling akhir di sebelah kiri telah patah
separuh. Aku selalu melihat Wahid menyelitkan batang paip yang di hisapnya di
celah gigi yang patah itu.
Sesekali kulihat dia seperti
seorang lelaki tua yang bakhil dengan aksinya itu. Menghisap paip, botak di
tengah kepalanya, ditambah pula dengan cermin mata berbingkai besar old
fashion yang dipakainya. Kadang-kadang aku mengejeknya Haji
Bakhil. Wahid hanya tersengih. Wahid
kelihatan terlalu tua di bandingkan dengan umurnya.
Umurku pada waktu itu belum
masuk 24 tahun lagi. Tubuhku yang kecil,
menyebabkan kadangkala aku kelihatan seperti anak-anak di bangku sekolah. Sepadankah aku dengan Wahid? Bermacam
persoalan yang bertubi-tubi timbul di fikiranku.
“Lidya fikirkanlah dulu dan
beritahu keputusannya pada Wahid! Wahid tidak memaksa, namun Wahid betul-betul
mengharap.” Wahid berkata dengan tenang.
“Fikir dulu elok-elok. Usia
perkenalan kita masih muda. Lagipun
pintu hati Lidya tidak terbuka untuk sesiapa buat masa ini. Lidya hendak fokus
kepada kerja dan capai cita-cita dulu.” Aku menerangkan apa yang terpendam di
dalam hatiku dengan suara agak perlahan dan berterus terang. Sebenarnya, aku
langsung tak ada hati dengan Wahid. Walaupun sekelumit. Jauh dilubuk hatiku
yang paling dalam, aku masih mengharapkan Idham.
“Habis tu, takkan Lidya tidak
ada cita-cita untuk berkahwin?” Ujar Wahid pula. Matanya merenung kepadaku. Mungkin inginkan kepastian. Renungan yang
tidak menarik perhatianku walaupun sedikit. “Atau Lidya sudah ada yang
istimewa?”
Persoalan daripada Wahid
seolah menekan perasaanku. Hatiku
bertambah runsing dengan pertanyaan itu. Aku rasa diriku terbelengu dengan
persoalan yang macam-macam berkenaan dengan peribadiku.
“Terus terang, memang Lidya
ramai kawan.” Aku memberitahu sejujurnya.
“Kawan istimewa?” Wahid
menyoal lagi dengan soalan yang sama. Dia seolah memaksa aku menerimanya.
Aku tidak menjawab dan terus
menghirup kuah mihun tom yam di hadapanku. Wahid juga diam melayani fikirannya
sendiri. Dan aku sebagaimana biasa apabila berdepan dengan persoalan itu,
selalu bersikap selamba.
Kenangan bersama
Wahid beberapa hari yang lalu, lenyap apabila emak menyoalku dengan suara
bisikan yang agak keras.Di hadapan emak, aku menarik nafas panjang dan
mengeluh dengan keluhan yang berat
“Habis tu macam mana sekarang
ni Lidya?”Mata emak menyorot ke
wajahku. Rona wajahnya sedikit bimbang.
Aku merenung emak yang sedang
menunggu aku mengambil kotak cincin dari tangannya. Pandangan mata emak yang sayu membenihkan
rasa simpatiku, lalu aku pantas membuat keputusan.
“ Tak apalah emak! Dah takdir agaknya. Lidya terimalah. Mungkin
jodoh dengan dia agaknya!” Aku menyarungkan cincin di jari manis dengan
perasaan terkilan. Jika aku kembalikan cincin pada waktu itu juga, Wahid tentu
akan merasa dirinya tidak berharga. Mungkin juga malu.
PETANG itu
juga aku dan Wahid balik ke Selangor.
Tersenyum lebar Wahid melihat jari manis ditangan kiriku tersarung
cincin pemberiannya. Tanganku digenggamnya erat dan dikucupnya bertalu-talu.
Aku rasa tidak selesa dengan situasi itu. Namun, menolak dengan kasar pasti
akan mengguris perasaannya.
“Terima kasih! Maaf kerana
tidak memberitahu Lidya berkenaan dengan hal ini. Wahid takut Lidya terlepas ke
tangan orang lain, itu sebab kena cepat-cepat pergi jumpa dengan orang tua
Lidya dan ikat!”
Aku hanya tersenyum. Hatiku
terkenangkan Idham. Mungkin betul, aku tercipta bukan untuknya. Mungkin aku
telah ditakdirkan untuk Wahid.
“Yalah. Kalau ada jodoh,
insya-ALLAH tidak ke mana,” spontan bibirku berkata. Sebenarnya aku melindungi
kegelisahan hati. Aku tidak pasti dengan perasaanku di waktu itu. Yang aku
tahu, hatiku tidak rela. Aku berasa rimas dan lemas dengan ikatan itu. Aku
tidak ingin dimiliki oleh Wahid. Aku
ingin memiliki Idham.
“Sudah bulatkah keputusan
Wahid?” Aku cuba menduga Wahid. Wahid masih merenung aku dan tersenyum. Senyuman yang tidak menawan kerana Wahid
bukan lelaki yang handsome pun. Namun, rupa paras bukanlah menjadi
ukuran hatiku.
“Sanggupkah Wahid menanggung
segala risikonya?” Aku menyoal lagi. Sebenarnya aku sedang menyelusuri hatiku
sendiri samada ada ruang untuk lelaki itu.
“Asalkan bersama Lidya, Wahid
sanggup menanggung apa juga rintangan.”
Aku hanya tersenyum. Lelaki.
Pandai bermain kata-kata. Cinta
sedang berkembang, segala-galanya nampak indah dan berbau harum.
“Hmm... Tidak menyesalkah
nanti?”
Sebenarnya jauh di lubuk
hatiku, aku tidak begitu menyakini dengan perhubungan ini. Apatah lagi pertunangan yang baru diikat.
“Alangkah menyesalnya Wahid,
seandainya Lidya jatuh dan terlepas ke tangan orang lain.” Wahid menyentuh
tanganku sekali lagi. Baru mengikat cincin tanda sudah berani memegang
tanganku.
Aku menyembunyikan tawaku.
Lelaki. Namun, buat pertama kali aku mahu memikirkan tentang lamaran dan
perasaan lelaki itu terhadap diriku. Sepanjang malam aku memikirkan tentang
Wahid sambil cuba meminggirkan Idham dari hatiku.
Malam itu, aku tidur dengan
cincin di jari. Bangun pada subuh itu
aku semakin keresahan dan tercari-cari. Cincin di jari hilang semua butiran
berliannya. Lompong tidak berseri. Aku terkalut-kalut
membedek bantal dan selimut perlahan-lahan. Rupa-rupanya cincin masih ada di
tanganku. Masih sempurna. Kilaunya tetap sama. ‘Aku bermimpi rupanya.’ Mimpi
mainan tidur dan aku cuba melupakannya.
Tambahan setelah terikat, aku mula menyayangi Wahid. Layanan yang diberikannya kepada aku
menyebabkan aku berasa terlalu dihargai.
Akulah sang puterinya.
Wahid memang seorang lelaki
yang sangat baik dan kelihatan terlalu budiman. Bersikap santun dan
romantik. Tidak pernah kasar dalam
tingkah laku dan perkataannya.
Layanannya terhadapku menyebabkan aku rasa terlalu disayangi. Setiap
hari Wahid menelifon aku sekurang-kurangnya enam kali.
@@
Anak sungai lagikan berubah,
inikan pula hati manusia. Mungkin
peribahasa itu bertepatan dengan apa yang sedang aku lalui. Aku mulai merasai
keserabutan di dalam perhubunganku dan Wahid apabila tarikh pernikahan kami
seperti yang dijanjikan dengan ibu bapaku semakin hampir.Dia seolah cuba melarikan diri tanpa aku tahu apa
puncanya.
“Encik Wahid tiada di
pejabat.”
“Encik Wahid keluar minum
pagi.”
“Encik Wahid bercuti.”
“Encik Wahid cuti sakit.”
Itulah antara jawapan yang
aku terima. Hatiku sungguh pilu apabila Wahid memperlakukan aku sebegitu.
Seolah aku tiada harga lagi untuk dirinya. Fikiranku mengimbas kembali kenangan
pada setiap pertemuanku dengannya sebelum ini.
Segala-galanya baik dan tiada permasalahan apa-apa pun.
Menurut perjanjian dengan keluargaku, Wahid
akan pergi lagi menemui keluargaku pada bulan Ogos tahun berikutnya untuk
menetapkan hari pernikahan. Apa yang terjadi, Oktober pun telah berlalu
pergi. Aku cuba menghubunginya berulang
kali di pejabat. Namun, kehampaan semakin merimbun. Wahid tiba-tiba menghilangkan diri.
Air mataku menitis tiba-tiba.
Perasaan menjadi terlalu sayu. Hati diintip rasa rindu yang amat dalam. Wahid, ke mana kau menghilang? Pertanyaan hatiku
tidak mendapat jawapan.Hatiku tersesat
di dalam lorong yang kelam.