Bab 21

MEREKA bertiga diam membisu dan tenggelam dalam emosi masing-masing.  Tia terpunduk merenung jari-jemarinya yang runcing.  Dia tidak berani menegur hatta melihat ke belakang.  Telinganya cukup pedih mendengar tuduhan melulu dari Fairuz.  Sedangkan tidak pernah untuk mengambil kesempatan dalam persahabatan mereka yang baru terjalin.  


Situasi itu benar-benar menghukum perasaan Tia.  Apatah lagi esak tangis Fairuz masih lagi kedengaran.  Syamil pula seperti biasa.  Tiap kali masalah melanda hanya nikotin yang menjadi peneman setia.  Sengaja dibiarkan tingkap kereta itu terbuka sedikit agar kepulan asap dari tembakau yang menyucuk hidung itu lenyap bersama angin malam.


"Kau nak pergi mana ni, Syamil?  Aku penat ni, tau tak?" Fairuz bersuara setelah agak lama berdiam diri.


Syamil tidak melayan pertanyaan Fairuz.  Dibiar sahaja gadis itu bertanya soalan yang sama berulang kali.  Bila sudah penat tahulah Fairuz senyap.


Dalam tidak sedar, Tia sudah terlelap beberapa kali.  Badannya juga penat dan kepalanya berdenyut lantaran cahaya lampu yang terlalu terang itu menujah penglihatannya. Indera pandang ditebar keluar.  Tak sangka Syamil membawa mereka ke situ.  Ingin sekali dia memberitahu Syamil biar dia pulang sahaja ke rumah.   Melihat wajah Syamil yang tegang sekaligus membantutkan hasrat Tia untuk membuka mulut.


Syamil memarkir kereta di kotak parkir yang terletak di pinggir jalan.  Seakan mengerti, mereka semua keluar dari kereta walau tidak diarahkan oleh Syamil seperti selalu.  Langkah Syamil dibuntuti oleh dua gadis yang tidak bertegur sapa itu dengan malas.  Sesekali mereka berselisih bahu dengan pelancong-pelancong yang datang ke situ untuk mencuci mata ataupun membeli-belah. 


Air muka Fairuz kelat seperti tadi.  Wajah Tia langsung tidak dipandang.  Benci benar dia kepada Tia.  Muka saja polos dan suci, tapi berhati busuk!  Bukannya Tia tidak tahu Syamil dan dirinya bakal disatukan sebagai suami isteri tidak lama lagi.  Masih juga menjadi toksik dalam perhubungan mereka.  Susah sangatkan untuk Tia meneruskan hidupnya tanpa Syamil?


Syamil pula satu hal.  Tak habis-habis dengan sikap kaki perempuan.  Tak pernah langsung ingin berubah.  Bagaimanalah nasibnya nanti selepas bernikah.  Makan hati berulam jantunglah dia setiap hari gamaknya. Mereka bertiga melabuhkan punggung di tempat duduk yang terlindung dari hiruk pikuk orang ramai di tengah-tengah kota raya.


Beberapa meter dari situ kelihatan menara berkembar kebanggaan  rakyat Malaysia dengan kerlipan neon yang indah.   Malangnya panorama indah tersebut tidak dapat membendung bahang perbalahan yang bakal tercetus antara mereka sebentar lagi.


Syamil yang duduk di tengah kedua-dua gadis pujaannya itu mengoyak senyum nipis lalu bersuara, "sebelum kau orang cakap apa-apa, biar aku yang mulakan dulu.  Aku panggil kau orang berdua ke sini sebab nak bincangkan sesuatu." 


Kuat helaan nafas Syamil seolah-olah apa yang bakal diluah itu nanti teramat berat baginya.   "Aku tak plan langsung untuk bawak kau orang ke sini.  Tapi aku kusut!  Kau orang buat yang buat  aku hampir gila!"


Tia mendengar bicara Syamil dengan hati bolak-balik.  Sekejap kata ingin berbincang hal penting.  Sekejap mereka dituduh mengganggu ketenangan hati lelaki itu pula.  Apa sebenarnya yang Syamil ingin katakan.  Secara tidak sengaja lensa mata Tia merakam wajah Fairuz di hadapannya.


Fairuz mencebik tanda menyampah dengan gaya Syamil yang berlagak seperti seorang ketua dan mereka pula orang bawahannya yang harus mengikut apa sahaja arahan pemuda berdahi jendul itu.


"Aku tak mintak jadi begini.  Aku sayangkan kau orang berdua.  Cinta aku pada kau orang berdua tak ada beza.  Tapi semua yang berlaku di luar kawalan aku."  Tertunduk wajah lelaki itu tatkala isi hatinya terluah.  


Manakala berlapis dahi Tia mendengar pengakuan Syamil.  Apa yang dimaksudkan oleh Syamil sebenarnya?  Lelaki itu mencintai dia dan Fairuz?  Sudah gila agaknya Syamil sejak ditinggalkan olehnya.

 

"Fairuz…"  Panggil Syamil serentak pandangannya dikalih ke sebelah kanannya dimana Fairuz berada.  


"Aku mintak maaf.  Perkahwinan kita akan tetap diteruskan seperti biasa.  Tapi, setahun selepas itu, aku akan mengahwini Tia sebagai isteri kedua.  Kau kena terima keputusan ni sama ada kau setuju atau tidak."


"No!" Fairuz membantah sekeras-kerasnya.


"Kau jangan nak tunjuk keras kepala kau kat sini.  Aku dah kira gentle terus-terang kat kau orang.  Setidak-tidaknya kau dapat jugak merasa jadi bini aku.  Sedar sikit, siapa yang sanggup kutip sampah macam kau?"


Tia tidak mengerti dengan sindiran Syamil yang agak melampaui batas.  Nampaknya ini bukan perbincangan lagi.  Ini sudah jadi perang dunia ketiga.


Air muka Fairuz berubah serta merta.  Memang mudah bagi lelaki seperti Syamil bila berkata-kata.  Perkahwinan bagi Syamil umpama tidak bermakna.  Kerana nafsu Syamil rakus memiliki cinta lain tanpa memikirkan hati Fairuz sendiri.  Tanpa diduga, dada Syamil menjadi habuan tempat Fairuz melepaskan sakit hati.  Segala derita, benci dan dendam dihamburkan semahunya tanpa berselindung lagi.


"Lelaki gila!  Tamak!  Tak cukup dengan satu perempuan.  Berani kau paksa-paksa aku untuk terima keputusan mengarut ni.  Aku tak nak kahwin dengan kau.  Aku tak nak!"


Syamil menangkap tangan Fairuz sekaligus mengunci pergerakannya untuk bertindak lebih agresif.  Tia yang cuma menonton drama pasangan darah manis itu sejak tadi  mula tidak senang duduk.  Apatah lagi bersetuju dengan permintaan tidak masuk akal dari Syamil.  Menjadi isteri kedua kepada lelaki itu tidak akan sekali-kali terjadi.  Ramai lagi lelaki lain di luar sana boleh dipilih untuk dijadikan teman hidup.  


"Mil, Tia pun tak setuju.  Tia tak mahu menjadi perosak rumah tangga orang.  Lagipun, hubungan kita dah lama putus.  Tia dengan Mil cuma kawan biasa."  Tia akhirnya mencelah perbualan mereka.


"Tia tak mahu menjadi perosak rumah tangga orang," ajuk Fairuz sinis. 


"Kat mulut cakap lain, padahal dalam hati suka!  Macamlah dalam dunia ni tak ada jantan lain yang boleh dibuat laki," herdik Fairuz sepuas hatinya.


Tia tertunduk malu dengan tuduhan itu.  Apa yang dikatakan oleh Fairuz tidak benar sama sekali.  Dadanya sesak bila dihina sebegitu.  Namun lidahnya terkunci untuk kesekian kali.  Dia sendiri pun tidak tahu kenapa.  


Sedangkan hatinya menjerit dan membantah idea gila Syamil.  Perempuan mana yang sanggup hidup bermadu dan berkongsi kasih.  Jika ada, benarkah hatinya tulus dan ikhlas menerima takdir itu? 


"Fairuz!  Jaga mulut tu.  Semua yang berlaku bukan kehendak Mil.  Mil perlukan kau orang berdua untuk melengkapkan hidup Mil.  Tanpa salah seorang dari kau orang, hidup Mil kosong.  


Bukannya Mil tak cuba, Mil lebih dari cuba.  Tapi… Mil tak mampu nak melawan rasa ni."  Tangan Syamil menepuk dadanya berulang kali.  Air mata lelaki yang entah wujud atau tidak diseka dengan jari kasarnya.


"Sudahlah, Mil.  Bukan aku tak tahu dari dulu lagi kau memang kaki betina.  Bukan setakat kita orang aje yang kau ada.  Karina, Erda… tu baru dua nama.  Ada banyak lagi yang aku tahu.  Aku bukannya perempuan bodoh."  Intonasi Fairuz berbaur sinikal.  


Otot-otot pipi Syamil bergerak-gerak menahan marah. Egonya tercabar dek lancangnya bibir nipis itu berkata-kata. Fairuz yang disangka gadis naif dan bodoh rupa-rupanya menyisip duri dalam diam.  


Fairuz pula menayang muka bangga kerana berjaya mengenakan Syamil.    Tiba-tiba rahang Fairuz dicengkam dengan kuat.  Fairuz membiarkan sahaja tidak melawan.  Mata mereka yang sarat dengan benci itu saling bertentangan.  Tia tahu dia perlu buat sesuatu selain berpeluk tubuh.  


Tia menepis tangan Syamil yang kian galak menekan rahang Fairuz.  Mereka seakan baru tersedar dengan kewujudan Tia di situ.  Kedua-duanya menjauhi antara satu sama lain.  Tia memerhatikan ulah mereka silih berganti.  Dengusan halus terbit dari bibir.  Kepala digeleng kesal.  Merpati sejoli konon.  Sedangkan mereka tidak habis-habis berperang mulut sehingga terlupa di mana mereka berada.


“Tia tak sangka Mil sekeji ini.   Fairuz tu perempuan, dan dia bukan lawan Mil.  Tia tak fahamlah macam mana hidup kau orang selama ni.”  Akhirnya Tia memberanikan diri untuk bersuara.


“Mil sedar tak yang Fairuz tu tunang Mil?  Mil bakal menjadi suami Fairuz.  Tanggungjawab sebagai seorang suami bukannya mudah, tau?  Seorang isteri diciptakan-Nya dari rusuk kiri lelaki untuk disayangi, bukannya di kepala untuk dijunjung, ataupun di kaki untuk dipijak-pijak sesuka hati.  Berubahlah, Mil.  Tia bosan dengan sikap Mil yang tak pernah nak berubah sejak dulu.”


“Tia tak dengar ke apa yang perempuan tu cakap tadi?”  Syamil kembali mendekati Fairuz yang duduk menyilang tangan ke dada.  Suasana kembali tegang apabila telunjuk Syamil lurus ke muka Fairuz yang tidak beriak.


“Aku menyesal pilih kau untuk dijadikan isteri.  Sepatutnya aku pilih Tia, bukannya kau!”


Roman wajah Fairuz berubah duka.  Tia nampak dengan jelas pelupuk mata Fairuz digenangi air mata walau cuma diterangi rona jingga dari lampu-lampu hiasan di taman.  Jika dia di tempat Fairuz ketika itu, pasti saja air matanya mengalir seperti sungai.


“Tia nak balik.  Tia tak nak campur urusan kau orang berdua.”  Langkah Tia terbejat apabila dihalang Syamil.  


“Cukuplah, Mil.  Tia nak balik.  Selesaikanlah hal kau orang tu baik-baik.  Fairuz tu bakal isteri Mil yang sah tak lama lagi.  Dia ada hati dan perasaan.  Jangan lukakan hati Fairuz sepertimana Mil pernah lakukan kepada Tia dulu.  Kisah antara kita sudah jadi sejarah.  Silap Tia sebab berhubung semula dengan Mil sampai kau orang terperangkap dalam masalah ni.”


“Siapa kata Tia silap?  Pernah tak Tia terfikir bahawa ini semua adalah takdir Tuhan?  Kita bertemu semula sebab takdir Tuhan juga, kan?  Sanggup Tia hendak menidakkan kenyataan tu?  Mil tahu, Tia masih mengharapkan cinta Mil.  Tia tak rasa ke apa yang Mil rasa?  Takkan tak ada sikitpun rasa cinta dalam hati Tia?”  


Syamil mula menggoda Tia yang dijentik ragu-ragu.  Tangannya digenggam kemas cuba mencari kekuatan diri agar tidak tewas dengan kata-kata manis Syamil lagi. Semerta ulas bibirnya digigit sedari ayat-ayat Syamil itu berjaya mengusik sukmanya.  Sedarlah, Tia.  Syamil cuma hendak mempergunakan kau saja.  Dia sudah ada Fairuz dan mereka akan menikah tidak lama lagi.


Ego Tia hampir runtuh tatkala merenung mata bening Syamil yang sayu dan penuh pengharapan.  Dia memejamkan mata dan beristigfar.  Serentak dengan itu langkahnya diundur beberapa tapak.


“Tia tetap dengan keputusan Tia untuk tidak ada apa-apa hubungan dengan Syamil lagi.  Ini adalah pertemuan kita yang terakhir.  Jangan cari Tia lagi.”


Seketika tubuhnya kaku dan roma berdiri tegak.  Bayu dingin menampar wajah dan tubuhnya sehingga dia menjadi keliru dan bingung.  Rasa sedih yang menusuk hati sukar digambarkan dengan kata-kata.  Seolah-olah jiwanya direntap dan tenggelam ke laut dalam.   Namun Tia cuba melawan rasa aneh itu yang kian menjalar dan mengikat sendi-sendi tubuhnya yang pegal.


“Mil takkan sesekali melepaskan Tia pergi.”  


Hampir gila Tia mendengar bisikan itu.  Dia terus berlari meninggalkan dua jasad jauh ke belakang.  Kali ini dia tidak akan menoleh lagi.  Cukuplah hatinya terluka.  Kesannya amat dalam hingga mengganggu jiwa dan memerlukan masa yang lama untuk bangkit semula.


Syamil memandang jasad Tia yang bergerak meninggalkan mereka.  Dia hampir tidak percaya bahawa Tia sedegil itu.  Prinsip gadis bernama Tia itu selalunya rapuh dan mudah saja didominasi.  Lain pula ceritanya kali ini. Mil harus memiliki Tia walau dengan apa sekalipun.  Kita tengok siapa yang melutut nanti.


Fairuz benci melihat adegan itu.  Dirinya diperlakukan seperti patung tidak bernyawa.  Dia ditinggalkan begitu sahaja demi mengejar cinta yang lain.  Sedangkan status dirinya sebagai tunang Syamil seperti tidak bernilai di mata lelaki itu.  Benci!  Benci!  Benci!  Ini semua terjadi disebabkan Tia, gadis yang pandai berlagak suci dan tidak bersalah.  Menyesal sungguh berbuat baik dengan perempuan tidak tahu malu itu.  


"Jom kita balik.  Kau buat apa tercegat lagi di situ?  Nak tidur kat sini ke?" Marah Syamil dilampiaskan kepada Fairuz.  


Dengan malas sepasang kaki milik Fairuz melangkah jua ke kereta mereka.  Kereta mereka?  Sejak bila kereta yang dibeli dengan titik peluhnya sendiri menjadi hak milik bersama?  Silap dia juga kerana membenarkan Syamil mengusik barangan peribadinya sehingga menjadi milik lelaki itu sendiri, termasuklah maruah dirinya yang kini setaraf dengan guni buruk. 


Dalam diam batinnya mengongoi menangis terseksa.  Namun dia tahu, segala-galanya sudah terlambat.  Suka atau tidak, mahu ataupun tidak, dia harus menempuh hidupnya bersama seorang lelaki yang masih mendambakan cinta yang lain; lelaki kesmaran yang bernama Syamil.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh