#1


••°°••


KUNTUMAN senyum terlakar di bibir saat nama Syamil, si buah hati tertera di skrin. Berbunga-bunga hati Tia persis seekor rama-rama yang sedang terbang di taman bunga yang berwarna-warni.

"Assalamualaikum," ucap Tia sebaik sahaja butang berwarna hijau dileret.

"Waalaikummusalam. Jom, pergi makan!" ajak Syamil girang.

Tia melihat jam tangan yang terlilit di pergelangan tangan kiri. Dahi ditepuk kuat. Sudah jam satu! Patutlah perut Tia terasa kosong semacam.

"Awak, bos saya ada kat pejabat ni," jawab Tia separuh berbisik. Leher dipanjangkan untuk mengintai Encik Haider di dalam biliknya melalui pintu yang terkuak lebar.

"Awak ni, Tia, bila saya ajak makan saja asyik jawab bos adalah, banyak kerjalah. Bila masa awak boleh bagi perhatian pada saya? Saya rasa terabai, tahu tak?" luah Syamil berserta keluhan sesal.

Tia mengebam bibir. Bukannya dia tak mahu keluar. Tapi, tugasnya sebagai seorang pembantu peribadi adakalanya memerlukan Tia berkorban masa dan tenaga.

"Awak, awak faham kan kerja saya macam mana? Saya.... Hello! Hello!"

Tia merenung skrin yang terpadam. Nampaknya rajuk Syamil datang lagi. Biarlah, lagipun fail-fail yang belum terusik masih bertimbun di atas meja. Tidak termasuk lagi surat-surat kepada pelanggan yang perlu Tia taip. Tia menyambung tugasan dengan hati yang hiba dan membiarkan Syamil menahan rasa kecewa.

"Tia, mana fail yang saya minta tadi?" soal Haider melalui interkom.

Terkocoh-kocoh Tia mengambil fail berkulit tebal berwarna kuning itu di dalam kabinet. Fail dihulur kepada Encik Haider yang berwajah serius. Setelah mengucapkan terima kasih, Tia ingin berpatah semula ke meja bagi menyambung tugas-tugas yang tergendala. Tiba-tiba, nama Tia diseru.

"Tia, mana pen saya? Dari tadi saya cari tak jumpa." Raut wajah Haider kelihatan bingung.

Ketika Haider berpusing menghadap komputer, kornea mata Tia menangkap satu benda yang tersepit di cuping telinga kiri Haider.

Tawa yang ditahan terhambur jua. Haider merenungnya tidak berkerdip. Sudah kurang siuman agaknya si Tia ini.

"Maafkan saya, bos. Saya rasa saya dah jumpa pen kesayangan bos tu."

"Mana?" soalnya.

"Sana...."

Jari runcing Tia dituding kepada telinganya. Tangan Haider pantas menarik pen tersebut. Dia menggeleng sambil ketawa.

"Saya dah nyanyuk agaknya," kata Haider dengan tawa yang tersisa.

"Saya rasa saya tahu apa yang bos perlukan," balas Tia lalu beredar meninggalkan kamar kerja majikannya ke ruang pantri.

Beberapa minit kemudian, Tia masuk semula ke pejabat itu dengan segelas susu segar dan beberapa keping biskut coklat cip di atas dulang. Encik Haider tersenyum seraya mengucapkan terima kasih apabila Tia menempatkan dulang itu di meja sisi dengan berhati-hati.

"Awak memang tahu apa yang saya nak." Haider memerhati langkah cermat Tia yang mahu beredar.

"Bagus kan PA bos ni? Lepas ni bolehlah naikkan gaji saya," gurau Tia bersahaja.

"Bukan saja naik gaji, saya upgrade dengan jawatan awak sekali."

"Upgrade jawatan?" tanya Tia dengan garisan di dahi, cuba menghadam maksud yang tersirat di sebalik kata-kata Haider.

"Ya. Upgrade jadi suri hati saya."

Tia menjegil mata. Cuba mencari kebenaran melalui renungan Haider yang tidak beriak.

"Saya bergurau sajalah. Sudah, pergi sambung kerja. Karang ada yang pengsan kat sini pula." Haider memusatkan fokusnya kembali ke skrin komputer.

Tangan Tia mengusap dadanya sendiri yang bergendang kuat. Kemudian, dia tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nasib baiklah dia tidak menganggap serius akan gurauan itu. Jika tidak, pasti dia terpaksa berhenti kerja kerana malu untuk bersua muka dengan bosnya lagi.

Telefon pejabat yang berdering kuat mematikan lamunan Tia yang jauh mengembara. Dia kembali komited menjalankan tugas sehingga mengabaikan saja mesej yang bertalu-talu masuk ke telefon pintar miliknya.

Tidak tersedar akan waktu yang pantas berjalan. Kini, jarum jam sudah berdetik ke angka 5 petang. Perutnya yang kosong hanya dialas dengan segelas susu segar dan beberapa keping biskut cip coklat yang diambil di pantri. Lampu bilik Haider sudah terpadam menandakan dia sudah bersiap-siap untuk pulang.

Derapan tapak kasut yang menghentak lantai kian menghampiri meja Tia. Deheman Haider membuatkan tumpuan Tia terganggu dan sekaligus mukanya terdongak memandang jasad yang berdiri di depannya.

"Awak tak balik lagi, Tia?" Garau suara Haider menyapa Tia.

"Belum lagi. Sekejap lagi saya baliklah. Masih ada kerja yang perlu disiapkan," jawab Tia sopan.

"Hari macam nak hujan ni. Baik awak balik cepat. Lagipun...." Kata-katanya mati di situ. Nada suaranya juga direndahkan seakan-akan berbisik.

Raut wajah Haider seperti serba-salah. Kepalanya pula ditoleh ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang mencari-cari sesuatu. Tangan kanannya mengusap dagu dengan mata disorot tajam ke arah Tia yang sedang bungkam.

"Lagipun apa, bos?" tanya Tia kehairanan. Nada suaranya juga direndahkan. Entah kenapa mereka berbisik-bisik begitu.

Bola mata Haider melingas ke segenap ruang pejabat yang sudah kosong itu. Wajahnya didekatkan kepada Tia seakan-akan ingin membisikkan sesuatu yang teramat sulit. Secara otomatik Tia memasang telinga.

"Lagipun... saya ada dengar kaki tangan di sini cakap yang pejabat ni berhantu." Haider menyusun ayatnya satu per satu.

"Apa?" Tia terkejut lalu berdiri secara spontan.

Kerusi yang didudukinya tadi berputar-putar impak tindak balas Tia yang diserang rasa takut. Kulit mukanya terasa sejuk dan salur darahnya seperti membeku.

Lekas-lekas beg tangannya dicapai seraya membuntuti langkah Haider yang sengaja melangkah dengan laju. Adakalanya, Haider suka membuat lawak bodoh tanpa diduga. Akan tetapi, apabila melibatkan bab hantu dan iblis, Tia tidak menganggap ia satu gurauan. Bahkan tidak seharusnya dijadikan topik jenaka untuk menakut-nakutkan sesiapa.

"Penakut juga awak ni, ya?" Haider tersengih nakal sebaik saja pintu lif tertutup.

"Siapa yang tak takut kalau disakat hantu? Bos berani ke?" Tia cuba menduga. Bibir dicebir menanti jawapan tulus dari Haider bersama pandangan tajam.

Lelaki di depannya buat-buat tidak mendengar soalan yang diaju Tia. Haider sengaja menyibukkan diri dengan membelek telefon pintar di tangan. Lif turun dengan perlahan dari tingkat 15 terus ke lobi.

"Esok saya masuk lambat sikit. Saya nak ke kilang periksa corak kain yang akan dicetak. Awak jangan masuk lambat pula ke pejabat," kata Haider tanpa menoleh.

Sempat lagi Haider menitipkan pesan. Ekor mata Haider mengesan riak gembira di wajah Tia di sebelahnya. Kepala digeleng perlahan. Sukalah tu bila bos tiada di pejabat.

"Baiklah, bos!" Tia membuat gaya tabik persis seorang askar.

Terpana seketika Haider apabila melihat senyuman manis Tia, ditambah pula dengan lekukan di dagu. Dibuang rasa kagum itu jauh-jauh. Tak baik menaruh rasa yang bakal menjurus ke arah maksiat terhadap anak dara orang.

Pintu lif terbuka dan Tia meminta diri sebelum keluar terlebih dahulu. Lelaki berketinggian lebih enam kaki itu terus menuju ke aras bawah, iaitu tempat letak kereta di bangunan milik keluarganya, Juta Empire.

Tia menapak ke stesen LRT yang berdekatan untuk pulang ke rumahnya di apartment Vista Angkasa, Kerinchi. Langit yang mendung mula menitiskan air hujan ke bumi. Orang ramai berasak-asak memasuki tren sebelum masing-masing dibasahi hujan. Sempat Tia menyelit antara celahan manusia yang tolak-menolak antara satu sama lain.

Gadis langsing dan tinggi lampai itu cuma berdiri di tepi pintu tren. Dia lebih suka begitu kerana senang untuk meloloskan diri sekiranya tiba ke destinasi. Lagipun, ada insan-insan lain yang lebih memerlukan tempat duduk daripadanya yang masih muda dan sihat tubuh badan.

Anak kunci dicucuk ke dalam tombol lalu dipusing. Dari luar rumahnya lagi hidungnya menangkap bau kek yang sedang dibakar di dalam oven.

"Assalamualaikum."

"Waalaikummusalam. Awal kau balik hari ni?"

"Aku takut hantu. Tu yang balik awal," balas Tia selamba. Kasutnya ditanggalkan dan disangkut di atas rak kasut.

"Hantu?" tanya Erin terkejut.

"Tu yang Encik Haider cakap. Aku apa lagi, blah sajalah dari situ. Takkan nak berkenalan dengan hantu-hantu tu kut. Kau buat kek apa hari ni?"

"Pembetulan. Bukan kek, tapi muffin," ujar Erin tersengih.

Minah peramah merangkap kawan baik dan kawan serumah Tia memang pakar dalam membuat kek dan roti. Cakaplah apa saja jenis kek yang Tia suka, semuanya pasti ada di depan mata. Untung juga ada kawan seperti Erin.

"Errr... ada beza ke antara kek dan muffin?" Soal Tia ingin tahu.

"Mestilah ada beza," balas Erin laju.

"Apa dia?" Banyak pula soalan Tia.

"Kau tanyalah Encik Google. Nanti semua informasi fasal kek dan muffin kau dapat. Hahahaha."

Jelingan Tia mematikan sisa tawa Erin. Beberapa saat kemudian, Tia kembali teruja apabila melihat muffin yang sedang mekar di dalam oven.

"Mesti sedap, bukan?" Wajah Tia didekatkan pada pintu kaca oven tersebut.

"Pernah ke aku buat tak sedap?" Kening Erin terjongket.

Menyampah pula Tia dengan sikap takbur Erin. Tapi, dia tahu Erin sekadar bergurau dengannya. Rumah yang cuma dihuni oleh mereka berdua sentiasa riuh-rendah dengan canda Erin yang bermulut becok.

"Aku masuk bilik dululah. Nak mandi." Tia meminta permisi.

Kakinya diayun ke bilik tidur. Pintu dikuak dan tas tangan diletakkan di atas meja. Tia merebahkan diri ke katil. Seketika kemudian, dia teringat akan kiriman mesej yang belum dibacanya.

'Banyak betul mesej dari Syamil,' rungut Tia sambil memicit pelipis. Senarai mesej dibaca mengikut turutan.

'Nak balas ke tak?' monolog hatinya lagi.

Syamil dan Tia sudah hampir tiga tahun menjalin cinta. Seperti pasangan lain juga, hubungan cinta mereka ada pasang surutnya. Tetapi, cinta mereka tetap mekar dan utuh di hati masing-masing.

Syamil:
Malam ni kita dinner sama-sama.

Tia
Erin dah masak. Esok boleh?


Syamil
No excuse. Tadi pun kita tak jadi makan tengah hari.

'Adui, malasnya!'

Tia mengeluh sambil mengetuk perlahan dahinya dengan telefon pintar. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai agar tidak menyinggung perasaan Syamel.

Dia sebenarnya kepenatan setelah berhempas-pulas bekerja pada siang tadi dan bercadang mahu berehat saja sambil menonton TV dan menikmati muffin red velvet hasil air tangan Erin.

Tia
Baiklah.


Sebaik pesanan terakhir dihantar, Tia mencapai tuala dan langsung ke bilik air. Usai mandi dan bersolat dia bersiap-siap untuk keluar dengan si buah hati.

Terjengket-jengket Tia mencari bayang kereta milik Syamil di kawasan letak tempat kereta. Menurut Syamil tadi, dia sudah sampai di bawah apartmentnya. Tetapi batang hidung Syamil pula langsung tidak nampak. Dalam termangu-mangu itu, tidak semena-mena sebuah kereta Mitsubishi berwarna perak berhenti betul-betul di hadapan Tia.

"Masuklah, sayang. Takkan nak tercegat saja kat situ," arah Syamil sebaik saja cermin tingkap diturunkan.

Tia terkebil-kebil melihat tampang wajah Syamil yang tersengih di dalam kereta mahal itu. Selamba saja lagaknya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sedangkan, minda Tia sarat dengan pelbagai soalan.

"Kereta siapa ni?" soal Tia, bukan kerana teruja, tetapi lebih kepada rasa ingin tahu yang menebal.

"Kereta kawan. Mil pinjam sekejap."

"Kereta Mil rosak ke?" tanya Tia lagi.

"Taklah. Saja nak cuba kereta baru dia."

"Cuba kereta baru? Boleh pula dia bagi orang bawa kereta baru dia. Siapa kawan Mil tu? Tia kenal ke?"

Soalan demi persoalan yang diajukan membuatkan Syamil rimas. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan dan menoleh kepada Tia di sebelahnya. Air muka Syamil jelas berubah tidak seperti masa mereka mula-mula bertemu tadi.

"Apa masalahnya ni? Salah ke kalau dia bagi Mil bawa kereta dia? Takkanlah fasal kereta kita nak bertekak?"

Syamil meninggikan suara. Tangannya dihentak ke stereng beberapa kali tanda protes. Susah sangatkah untuk Tia berprasangka baik. Kenapa Tia tidak duduk diam-diam dan menikmati perjalanan tanpa banyak bunyi. Ini tidak, ada saja benda yang diungkit.

"Tia tak cakap pun salah. Tia tanya saja. Yang Mil nak marah-marah ni kenapa?" Mata Tia menikam tepat ke dalam mata Syamil. Dengusan nafas Syamil tidak keruan kerana dikuasai amarah.

"Sudahlah! Mil tak ada selera nak makan!" dengus Syamil dengan wajah kelat. Stereng diputar memasuki ke jalan raya.

"Keluar!"

Entah apa yang merasuk Syamil hingga hilang segala kewarasan akal. Bahu Tia ditolak kasar oleh Syamil setelah keretanya diberhentikan. Laju Syamil memecut kereta itu sebaik saja Tia menutup pintunya dan meninggalkan Tia tanpa pesan. Tersayat hati gadis lurus itu dengan tingkah kasar Syamil terhadapnya. Perlahan-lahan bayang kereta itu hilang dalam pekat malam.

"Eh, cepatnya kau orang makan?" Erin berhenti mengunyah apabila Tia labuh punggung di sebelahnya. Agak terkejut apabila tidak sampai setengah jam berlalu Tia pulang dengan wajah sugul.

"Tak jadi," jawab Tia pendek. Ditahan air mata dari gugur di depan Erin.

Ini bukanlah kali pertama Erin menyaksikan drama pergaduhan mereka berdua. Pasangan lain pun ada juga yang bertikam lidah. Tetapi, tidaklah selalu seperti mereka.

Tergeleng kepala Erin kerana dapat mengagak apa yang terjadi. Erin berlalu ke dapur dengan sebiji pinggan di tangan. Nasi putih bersama lauk-pauk yang dimasaknya tadi diceduk ke dalam pinggan, lalu disua kepada Tia yang duduk menopang dagu di meja makan.

"Makanlah. Tak payah fikir tentang semua tu lagi. Kalau lambat makan nanti perut tu masuk angin," nasihat Erin bercampur simpati.

Telefon pintar milik Tia bergetar menandakan ada pesanan mesej yang diterima. Tia membaca barisan ayat itu dengan kerutan di dahi. Mata bundarnya berkaca lagi. Bahu terhinggut menahan rasa. Besar sangatkah kesalahannya hingga Syamil sanggup melukakan hatinya begitu sekali?

"Kenapa?"

Erin cuba mengintai mesej yang membuatkan air muka Tia berubah. Belakang badan Tia diusap bagi meredakan segala rasa yang membelit jiwa Tia saat itu.

••°°••











Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh