Bab 4

TERIMA kasih, bos.  Maaf, sebab menyusahkan bos  hantar saya ke klinik,” ucap Tia serba-salah.  

Dengan bantuan Gina, Tia dipapah ke bilik rehat.  Setelah beberapa minit akhirnya Tia sedar dan diberikan minuman.  Haider berkeras mahu Tia memeriksa kesihatannya di klinik. Berkali-kali Tia menolak kerana dia cuma mengalami sakit kepala biasa. Apakan daya, Haider tetap mahu Tia diperiksa lebih lanjut oleh doktor.

Tia terpaksa akur kerana tidak mahu dianggap sebagai pekerja yang kurang sopan.  Haider cuak apabila wajah Tia yang pucat itu kelihatan tidak bermaya dan kusut. Mungkin Tia ada masalah peribadi dan terlalu banyak berfikir sehingga kesihatannya terjejas.

“Jangan cakap begitu.  Saya ikhlas bantu awak.  Lagipun, kalau PA saya jatuh sakit saya juga yang susah. Ibarat sebelah tangan saya ni lumpuh.”

Haider ketawa besar.  Jauh di lubuk hatinya, itulah yang sebenarnya dia rasa bila Tia jatuh pengsan sebentar tadi.  Dunianya bagaikan terbalik. Tanpa Tia, sudah tentu kerja-kerjanya di pejabat menjadi pincang.   Haider merenung sepasang mata indah milik Tia tanpa sedar. Sepasang mata itu seperti mempunyai satu kuasa ajaib. Tenang dan mendamaikan hati sesiapa saja yang melihatnya. Tia cepat-cepat mengalih pandangannya ke tempat lain, takut mengundang fitnah terhadap mereka berdua.

“Cik Tiara Amanda!” panggil pembantu klinik di situ sekaligus memecahkan momen janggal antara mereka.

Langkah Tia diatur ke kaunter mengambil ubat.  Setelah diterangkan jenis-jenis ubat dan cara pengambilannya, Tia mengeluarkan dompet untuk membayar kos ubat-ubatan.

“Tak payah, Tia.  Biar saya yang aje yang bayar,” celah Haider dari belakang, dan sehelai not bernilai seratus ringgit dihulur kepada gadis merangkap pembantu klinik itu.

Jarak tubuh mereka begitu hampir sehingga minyak wangi yang dipakai Haider menusuk-nusuk ke rongga hidung Tia.  Belum sempat berkata apa-apa, plastik berisi ubat-ubatan sudah berada di tangan Haider.

“Jom!”

“Errr… ke mana?”  Bingung Tia seketika dengan Haider.  

“Saya hantarkan awak balik.”  Penggera kereta berbunyi bila ia ditekan.

“Awak nak tercegat dekat situ sampai besok ke?” soal Haider dari dalam kereta selepas cermin tingkap diturunkan.

Tergesa-gesa Tia membuka pintu kereta lalu duduk di sebelah Haider. Tersungging senyuman nakal Haider melihat kekalutan Tia apabila digertak.

"Awak tengah diet ke, Tia?" tebak Haider.

"Hah!  Ma… mana ada, bos."  Tia menjawab gugup.

"Awak dah kurus benar saya tengok.  Tak perlu nak berdiet sangat sampai pengsan."  Haider memerhati Tia di sebelahnya dengan ekor mata.

"Saya dah beritahu tadi, bos.  Saya tak pernah diet pun." Tia cuba mengawal suaranya yang keras.  Tiada sangkut-paut langsung antara diet dan kejadian pengsan yang dialaminya.

"Saya penat.  Semuanya bos punya pasal.  Bagi saya kerja banyak sangat." Tia sengaja menyakat Haider untuk melihat reaksi pemuda itu.

"Banyak sangat ke kerja awak kat pejabat tu?  Macam tipu je. Bukan main senang hati lagi awak bergelak-ketawa dengan Gina Montel tu."

Suka-suka hati Haider memberi gelaran 'montel' di hujung nama Gina. Kalaulah Gina tu tahu… leper batang tubuh Haider dikerjakan. Nampak gayanya Tia tidak boleh lagi bersembang dengan Gina lama-lama. Dalam diam-diam segala gerak-gerinya diperhati oleh Haider. Sekalipun mereka bersembang, hal kerja tetap didahulukan.

"Kenapa diam?  Sebab tak betul, kan?" Tia kebam bibir apabila kenyataannya tadi menjerat dirinya sendiri.

Hampir setengah jam memandu di lalu lintas yang agak lengang, kenderaan Haider sudah memasuki perkarangan apartment Tia.

“Ni ubat awak.  Makan ubat tu, tahu.  Jangan disimpan buat pekasam.”  

Gegendang telinga Tia dipaksa mendengar nasihat Haider.  Plastik ubat disumbat ke dalam tas tangan seiring dengan ucapan terima kasih.

“Doktor tak bagi saya cuti sakit pun, buat apa saya nak balik?” Tia menatap wajah Haider dari sisi.  Dahi pemuda itu berkerut dengan soalan dari Tia.

“Saya selaku bos awak, mengarahkan awak untuk berehat hari ni.  Hari ni tak payah kerja. Titik!”

Tia memuncungkan mulut.  Dia lebih rela bekerja daripada duduk di rumah.  Dia akan lebih banyak berfikir jika duduk berseorangan.  Ini akan membuatkan dia rasa lebih sakit. Lebih sedih. Sementelahan, Erin juga nekad memulaukan dirinya.  Hidup mereka kini terasing. Sunyi tanpa canda gurau seperti selalu.

“Rumah awak kat mana?” soal Haider.

“Saya balik sendiri ajelah, bos.”  Cepat-cepat Tia memintas.

No!  Awak di bawah tanggung jawab saya.  Saya akan hantar awak balik. Cepat, beritahu saya kat mana rumah awak?” tekan Haider.

“Kerinchi.”  Tia menjawab malas. Haider menggeleng. Dalam keadaan sakit pun masih lagi mahu bertekak.

Kereta Haider menelusuri ke jalan Bangsar yang tidak berapa sesak ketika itu.  Sejak tadi, mereka berdua lebih banyak melayan perasaan masing-masing. Tia sibuk dengan telefon pintarnya.  Manakala, Haider sesekali menjeling Tia yang tampak ayu dalam persalinan berwarna merah jambu, lebih terserlah sifat feminin Tia.

“Nak sampai dah.  Kat lampu isyarat tu, bos kena buat pusingan U,” arah Tia terpaksa.

Haider mengangguk.  300 meter lagi Haider akan membuat pusingan U sebelum masuk ke perkarangan rumah pangsapuri milik Tia.

“Terima kasih, Encik Haider.  Saya dah cakap tak nak balik, tapi bos hantar saya balik juga,” bebel Tia selamba.  

“Sama-sama.  Ingat, rehat cukup-cukup.  Esok saya dera awak bagi kerja banyak-banyak.  Hahaha.” Bukan main seronok Haider ketawa.

Tia melambai kepada Haider sebelum pemuda itu berpatah balik ke pejabat.

“Assalamualaikum."  Kaki melangkah masuk ke dalam rumah serentak dengan ucapan salam.

Tia tidak berhasrat untuk berehat di bilik tidur.  Matanya belum lagi mengantuk. Langsir di pintu gelangsar ditarik ke sisi dan jaluran jingga dari sang matahari menyusup masuk ke dalam rumah.

'Layan TV lagi baik,' omel Tia dan tercari-cari saluran menarik untuk ditonton.

'Yang inipun bolehlah…,' bisik hati Tia saat filem Inggeris ditayang di kaca TV.  

Baru lima minit menonton TV, telefon pintarnya bergetar tanda ada pesanan masuk.  Tia buat tidak tahu dan terus memaku pandangan pada filem aksi itu. Seketika kemudian, deringan yang amat dikenalinya mengganggu konsentrasi Tia.

"Hello, bos.  Ada apa?" tanya Nia malas.

"Hello… wah, marahnya!" jawab Haider tetapi masih tetap fokus pada pemanduan.

"Maaflah, bos.  Saya tengah syok tengok TV tapi bos pulak kacau daun," terang Tia jujur.

"Awak tengok TV?  Saya bagi awak cuti supaya awak dapat berehat. Bukannya tengok TV," tekan Haider di hujung talian.

"Saya memang tengah rehat. Baring-baring sambil tengok TV," ujar Tia sambil menguap.  

Matanya semakin mengecil dan kudup mata mula terkatup perlahan-lahan.  Mungkin kesan ubat yang dipaksa ambil oleh Haider sebentar tadi. Suara Haider sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya.

"Tia!  Tia! Awak dengar tak ni?" panggil Haider cemas apabila suara Tia tidak lagi kedengaran.  Dia berkira-kira untuk berpatah balik semula untuk memeriksa keadaan Tia.

'Laaa… tidur rupa-rupanya!'

Haider ketawa sendiri apabila dengkuran halus menerjah pendengarannya.  Tia tertidur ketika bercakap dengan Haider. Tidak jadi dia membebel lagi dan bising-bising tentang kesihatan Tia.

°•°•°


Tubuh Tia bergerak-gerak di dalam selimut.   Teraba-raba tangan Tia mencapai objek di dahi. Tuala kecil yang masih basah diletakkan ke dahinya oleh seseorang ketika dia tidak sedarkan diri.  Ruang sekeliling dia amati. Dia masih berada di sofa di ruang tamu rumah. Perlahan-lahan tubuh ditegakkan untuk bangun.

"Kau demam.  Lepas makan bubur nanti kau makan ubat pula."

Tia menoleh ke arah suara itu.  Erin berjalan sambil menatang dulang berisi semangkuk bubur dan air kosong lalu diletakkan di meja sisi.

"Makanlah.  Nanti perut masuk angin," arah Erin tanpa memandang muka Tia.

Erin mahu beredar segera namun tangannya pantas disambar Tia.

"Erin… maafkan aku.  A… aku tahu kau marahkan aku.  Aku berharap sangat, kau faham situasi aku," rayu Tia sesungguh hati.

Erin tetap seperti tadi.  Beku dan bercakap apabila perlu.  Langkah Erin dibawa ke kamar. Pintu bilik ditutup rapat.  Setitik demi setitik air mata Tia jatuh membasahi pipi. Sedih kerana berasa diri tersisih.  Tubuh terhinggut mengikut irama tangisannya sendiri.

Tiba-tiba bahu Tia dicuit.  Tubuh Tia dipeluk dengan kemas.  Tia menangis semahunya dalam dakapan Erin yang duduk di sebelahnya.

"Sudahlah tu.  Habis bengkak mata kau tu," kata Erin perlahan.  Belakang tubuh Tia diusap lembut.

"Ma… maafkan aku, Erin."  Tidak henti-henti ungkapan itu meniti di bibir Tia.

"Aku dah maafkan kau, Tia.  Cuma aku minta tolong dekat kau.  Lepas ni, tolonglah fikirkan diri kau dulu sebelum orang lain.  Aku bukannya suka-suka nak marah kau. Aku sayangkan kau macam adik-beradik aku sendiri.  Bila kau sengsara, aku pun rasa sengsara, Tia," lirih Erin dalam sendu.

Tangannya diletakkan di dadanya sendiri.  Sungguh, jiwa dan raganya perit menyaksikan Tia dilambung-lambung seperti boneka.

Tia teresak-esak menangis sehingga penglihatannya menjadi kabur.  Erin mengambil mangkuk bubur yang semakin sejuk. Sudu yang dikaut dengan bubur nasi disua ke mulut Tia.  Mulut Tia dingaga membiarkan dirinya dimanja oleh Erin. Tangan Tia merampas sudu tadi lantas menyudu bubur itu dan disuap kepada Erin pula.  Kedua-duanya saling berpelukan kembali meluahkan isi hati yang terpendam.

"Aku ada sesuatu untuk kau," kata Erin selepas adegan penuh air mata tadi beransur pergi.

"Apa dia?" soal Tia kehairanan.

Erin berlalu ke kamarnya meningalkan Tia yang terpinga-pinga.  Seminit kemudian, dia ke ruang tamu dan meletakkan sesuatu di tapak tangan Tia.  Air mata Tia semakin laju mengalir seperti sungai. Mulutnya ditekup kerana tidak percaya selepas melihat objek yang berada di tapak tangannya.

"Kenapa, Erin?  Kenapa kau sanggup buat sampai begini sekali?"  Bahu Erin digoncang kuat.

Hujung jari-jemari Erin menyeka air mata yang bergenang di tubir mata Tia yang semakin ketara bengkak.

"Sebab aku tahu, gelang ni amat bermakna buat engkau.  Ini amanat aku. Tolong jaga gelang ni baik-baik. Jangan sekali-kali kau jual lagi seperti semalam.  Boleh, kan?"

Semakin berjujuran manik-manik jernih di pipi Tia yang tidak pernah kering.  Begitu mulia hati Erin sehingga sanggup berkorban begitu rupa. Kedua-dua belah tangan Erin digenggam kemas.

"Tak terbalas budi kau pada aku, Erin.  Kau satu-satunya sahabat aku, di dunia dan di akhirat."  Erin tersenyum gembira melihat senyuman Tia menata wajah bujur sirihnya.

°•°•°


"UNTUNGLAH badan…," sapa Gina yang sudah duduk di depan Tia tanpa dipelawa.

"Apa yang untungnya ni, Gina?"  Berlapis dahi Tia dengan kenyataan Gina.

"Bos sayang betul dengan kau.  Nampak sangat dia ambil berat pasal kau bila kau jatuh pengsan."  Terjongket-jongket kening Gina menerangkan situasi sebenar.

"Mana-mana pekerja yang jatuh pengsan depan dia pun mesti dia akan bertindak hal yang sama."  

Tia malas untuk bercakap banyak. Bahaya betul mulut si Gina. Habislah bergoncang satu bangunan itu jika Gina menjaja inti cerita yang tidak betul. Gina mengusap hujung dagunya yang bulat. Matanya dikecilkan seraya menyorot tajam kepada Tia yang kelihatan tenang.  

"Mengikut firasat akulah, bos tu ada hati kat kau kut, Tia."  

Gina terkekeh-kekeh ketawa. Mana tahu telahannya betul. Jika benar, Dewi lah yang paling kecewa dan makan hati.

"Ah!  Pandailah kau.  Dia buat semua tu atas dasar ihsan dan belas sebagai seorang manusia.  Bukan sebab hal peribadi. Ni… kau jangan fikir bukan-bukan, eh? Hal semalam tak perlu nak ungkit lagi.  Aku pun dah sihat walafiat. Kau tak ada kerja ke?" Tia memberi amaran secara tidak langsung kepada Gina.

"Yelah… yelah.  Tak perlu nak halau aku.  Aku pergilah ni," rajuk Gina seraya menolak kembali kerusi Tia di tempat asal.

"Rehat nanti jumpa aku kat pantri.  Aku ada bawa kek coklat."

Gina tersengih suka.  Bukan susahpun hendak pujuk Gina.  Bab coklat dan kek, laju saja kesalahan Tia dimaafi. Gina melayangkan satu flying kiss buat Tia. Tergeleng kepala Tia tanpa membalas perbuatan Gina.

"Ehem… dah sihat?" tegur Haider yang tercegat di depan Tia beberapa minit yang lepas.

Tia begitu tekun melaksanakan tugasannya sehingga batang tubuh Haider berada di depannya langsung tidak disedari.

"Eh, bos! Selamat pagi.  Alhamdulillah, saya dah sembuh sepenuhnya."  Tia menjawab pertanyaan Haider dengan sopan.

"Baguslah.  Kalau begitu, tengah hari ni bolehlah ikut saya dengan Nelly. Ada lunch discussion dengan klien," pesan Haider.

"Ikut bos dengan Cik Nelly?  Baiklah. Nanti saya sediakan apa yang patut," jawab Tia mendatar.

Dia kurang selesa berhadapan dengan Nelly walaupun atas tiket rakan sekerja.  Ini kerana, Nelly suka mencari kesilapan Tia walaupun sebesar hama. Entah apa tanggapan Nelly terhadap Tia yang sebenarnya dia pun tidak tahu.

Panjang muncung Gina saat diberitahu tentang pembatalan temujanji mereka hari itu.  Namun, Tia bijak memancing angin Gina dengan memberinya kek coklat seperti yang dijanjikan.

Pertemuan mereka dengan klien berjalan dengan lancar.  Kini, tiba saatnya untuk mereka menjamu selera.

"Bos, saya ke ladies sekejap."  Tia meminta diri sebelum berlalu ke tandas di bangunan hotel bertaraf lima bintang itu.

"Aku tak sangka pula zaman sekarang ni PA masih ada hubungan sulit dengan bos sendiri."  Hampir rebah Tia mendengar tuduhan tidak berasas sari teman sekerjanya sendiri.

Nelly mengerling Tia sekilas di sinki untuk mencuci tangan.  Sebatang gincu dikeluarkan dari tas tangan milik Nelly, lalu gincu berjenama terkenal itu dioles di bibirnya yang seksi.

"Cik Nelly tak ada hak nak tuduh saya yang bukan-bukan.  Hubungan saya dengan Encik Haider hanya sebagai majikan dan pembantu peribadi.  Tidak lebih dari itu," jelas Tia yang kepanasan hati.

Nelly senyum sinis.  Gincu dimasukkan semula ke dalam tas tangan dan rambutnya dirapikan dengan jari-jemarinya.

"Macamlah aku tak tahu.  Perempuan macam kau tu lembut gigi dari lidah.  Diam-diam ubi berisi. Nak hidup senanglah katakan.  Nampak aje baik. Tapi…." Ayat Nelly tergantung di situ.

Tia berdiri di depan Nelly dengan muka masam.  Kulit muka yang hanya nampak gebu hasil solekan tebal itu ditatap dengan benci.

"Saya anggap kata-kata Cik Nelly tadi ditujukan khas untuk diri Cik Nelly sendiri.  Satu bangunan sedia maklum yang Cik Nelly berusaha keras menagih cinta Encik Haider. Agaknyalah, siapa yang lebih tak bermaruah? Saya atau Cik Nelly?" Tia berlalu pergi dan hatinya puas bila dapat mencantas tuduhan melulu Nelly.

°•°•°


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh