Bab 5

"SAYANG… sayang buat apa kat sini?"


Terbejat langkah Tia tatkala suara yang amat dia kenali itu menyapa telinganya.  Tertoleh-toleh kepalanya mencari sosok empunya suara itu. Kemudian bola matanya melekat pada seorang pemuda yang kemas berkemeja dan berseluar panjang.

"Mil… Tia ada kerja sikit kat sini."  Dahi Tia dibasahi manik jernih.

"Seorang?"  Syamil merapati Tia yang kelihatan gelisah.  Ligat bola mata Tia mengitari sekeliling. Syamil memerhati ulah Tia tanpa sedar. Kenapa Tia harus gelisah?

"Tia tengok siapa?"  Mendatar suara Syamil bertanya.  Namun cuping telinganya sudah panas membahang. Ada sesuatu yang Tia cuba sembunyikan dari pengetahuannya.

"Tak… tak ada apa-apa."  Gelengan kepala Tia serentak dengan jawapan yang diberi.

"Betul?  Habis tu kenapa Tia takut semacam?"

"Err… mana ada?  Tia okey je. Mil buat apa kat sini?"  soal Tia gugup.

"Macam Tia jugak.  Kerja," balas Syamil malas.

"Tia, saya tunggu awak dalam kereta," panggil Haider kuat.  Haider tidak nampak akan sosok Syamil yang terlindung di sebalik dinding yang memisahkan ruang makan itu.

Panjang leher Syamil mengintai si pemanggil.  Wajah Haider yang tampan sedikit sebanyak mengocak ketenangan hatinya.  Segera pandangannya beralih kepada Tia yang berdiri kaku.

"Itu siapa?  Dengan jantan mana kau keluar, Tia?  Beritahu aku sekarang!" Dengusan nafas Syamil berubah kencang.  Urat-urat di sekitar kepalanya timbul reaksi dia menahan marah.

Tia memejam mata rapat-rapat. Perkara inilah yang paling dia takuti. Dalam berhati-hati dia terkandas jua dalam situasi yang tidak disangka-sangka.

"Dia bos Tia."

"Tipu!  Kau dah pandai nak menipu aku, kan?  Itu teman lelaki baru kau, kan? Cakaplah!"  herdik Syamil sekuat hati. Mujurlah tidak ramai orang pada waktu itu.

Tia tunduk.  Tidak berani bertentang mata dan menatap wajah bengis Syamil.

"Iye, Mil.  Tu bos Tia. Discussion kami baru habis.  Tia kena balik sekarang, bos dah panggil."  

Laju kaki Tia menapak keluar hotel. Panggilan Syamil langsung tidak diendahkan.  Tia risau jika Haider menunggunya terlalu lama.  Hal antara dia dan Syamil akan diuruskan kemudian.  Lagipun dia sudah biasa dengan pergolakan hubungan mereka.

'Kurang ajar punya perempuan!  Kau tunggulah nanti!' omel Syamil seorang diri menahan hati yang sakit. Tia sudah berani menduakan dirinya secara terang-terangan.

Telefon pintar milik Tia bergetar di dalam tas tangan sepanjang perjalanan ke pejabat.  Pasti peti simpanan suara sudah penuh dengan panggilan tidak berjawab dari Syamil. Bukan hati Syamil saja yang sakit, malahan hatinya juga.  Syamil suka melenting dan cemburu buta tanpa usul-periksa.

"Kenapa tak jawab call aku?  Beratus kali aku call, tak jawab-jawab.  Kau tengah memadu asmara dengan jantan tu ke?"  Sinis soalan Syamil tanpa sempat memberi salam.

Selepas pulang ke pejabat, Tia perlu menyiapkan laporan berhubung satu urus niaga yang akan dilakukan bersama klien mereka siang tadi. Ingatkan bila pulang otaknya dapat berehat dari sebarang gangguan. Ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Syamil tidak habis-habis menghubunginya tanpa jemu.

"Astaghfirullahal'adzim… kenapa Mil merepek sampai macam ni sekali? Tia tengah kerja. Bukan macam apa yang Mil fikirkan." Sebak dada Tia dengan tuduhan tidak berasas itu.  Air mata sudah berjuraian di pipi.

"Aku tak bodohlah betina miang!  Kau ni memang tak cukup dengan satu jantan, kan?  Tak kira siapa semua kau sauk!" Bingit telinga Tia dengan tempikan kuat suara Syamil.  Telefon pintarnya dijauhkan dari cuping telinganya yang tiba-tiba berdesing.

"Kenapa diam?  Sebab aku betul, kan? Kau memang betina sundal.  Eii… sakitnya hati aku ni. Kau jangan biar aku jumpa dengan kau lagi, betina! Mampus kau aku kerjakan!"

Semakin galak air matanya membasahi pipi.  Ditadah sahaja kata-kata itu di pendengarannya. Segala cacian dan penghinaan ditelan laju-laju walau hatinya disakiti.  

"Syamil…."  Serak suara Tia memanggil nama itu mengharapkan hati Syamil dapat dilembutkan.

"Apa?  Kau nak pergi menyundal lagi?" tuduh Syamil entah kali yang ke berapa.

"Istighfar dulu, jangan ikutkan hati Mil yang panas tu.  Jangan kalah dengan hasutan syaitan. Dia cuba kuasai diri Mil."  Lembut sekali Tia memujuk.

"Ah!  Kau siapa nak ajar-ajar aku? Baik sangat ke diri kau? Mulia sangat ke kau?  Kalau diri kau sendiri pun kau dah jual, kau tak payah nak nasihatkan aku bulan bintang.  Jijik aku, tahu tak?"

Tia memegang dadanya yang cukup sebak.  Sakit hatinya hanya Allah yang tahu. Inikah ucapan yang sepatutnya terluah dari bibir orang yang dicintainya?  Dia penat. Letih dengan drama sama yang diulang tayang oleh Syamil. Masing-masing sudah meniti ke alam dewasa.  Syamil sepatutnya lebih rasional dalam berfikir. Dan bukannya bersikap kebudak-budakan ketika berbalah dan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

"Cakaplah apa yang Mil nak cakap. Demi Allah memang Tia pergi ke sana atas urusan kerja.  Tia masih ada iman dan akal untuk membezakan yang mana baik dan buruk.  Mil tak ada hak nak hina Tia sampai macam tu sekali. Tia penat, nak rehat.  Esok nak kerja. Selamat malam, Mil."

Butang merah pada skrin telefon pintar ditekan kuat sekaligus menamatkan perbualan mereka. Tubuh kurusnya direbah ke katil. Genangan air mata diseka kasar dengan tangan. Tangisannya semakin kuat apabila kata-kata caci itu berlegar-legar dalam kepalanya tiada henti.

"Hesy!  Dia letak telefon pulak!"

Nombor telefon Tia didail tanpa jemu. Setiapkali berdering, setiap kali itulah panggilannya terus masuk ke peti simpanan suara.  Tubuh Syamil menggigil menahan geram. Ditarik-tarik rambutnya dengan kuat bagi melegakan rasa sakit hatinya. Dinding yang tidak berdosa ditumbuk berulangkali hingga dicemari kesan darah.

"Tak guna kau, Tia!" Jeritan Syamil bergema di tingkat tujuh pangsapuri yang disewanya sehingga mengejutkan jiran tetangga.

"Siapa pula yang datang lewat malam begini?"  

Tumpuan Erin pada drama bersiri Korea terganggu dengan ketukan bertalu-talu di pintu.  Dengan malas, terpaksa juga dia bangun untuk melihat tetamu yang tidak diundang itu.

Mata mengintai pada lubang intip di pintu.  Dia menarik nafas panjang sebelum tombolnya diputar.

"Tia mana?  Betina tu mana?"

Lemah semangat Erin yang ditengking sebelum sempat diberi salam.  Keadaan Syamil yang kusut cukup menggambarkan kecelaruan fikirannya saat itu.  Erin kerling buku lima Syamil yang berlumuran darah. Orang panas baran memang begitu. Lebih baik terjun saja ke dalam lombong atau perigi buta.  Tidaklah Tia selalu berendam air mata. Tangan Erin disilang ke dada. Lensa mata dilempar benci kepada pemuda yang tidak beradab tersebut.

"Boleh tak kau jangan buat kecoh kat sini? Malu aku dengan jiran-jiran, tahu tak?" lawan Erin berani.

"Aku peduli apa?  Bukan masalah aku! Aku tanya kau baik-baik, Tia mana?" Jeriji besi yang memisahkan jarak mereka digoncang kuat.  Bunyi bising memecah kesunyian malam yang semakin larut.

Ulas bibir Erin diketap geram.  Tidak reti bahasa agaknya pemuda ini. Berkali-kali ditegur, kepala anginnya juga yang diikut.

"Tia tak ada!" jawab Erin malas. Berputar bola mata Erin tanda menyampah.

Dia berdoa agar Tia diam-diam saja di dalam bilik dan tidur lena dan tidak bangun-bangun lagi.  Jika Tia keluar juga, alamatnya babak lain pula yang menanti.

"Dia ke mana?  Keluar dengan jantan lain?"

"Amboi, sedap mulut kau je kata kawan aku jahat.  Tapi, dia memang layak dapat lelaki lagi bagus dari kau yang tak tahu bersyukur.  Kau cermin dulu diri kau layak ke tidak nak berkawan dengan dia!" Erin bercekak pinggang menentang Syamil di luar pintu.  Rasa malu terhadap jiran-jiran yang menjengah di muka pintu ditolak ke tepi.

"Jadi, betullah dia ada jantan lain?" Syamil tersenyum sinis. Ternyata suara hatinya tidak silap.

"Erin, Syamil.  Apa bising-bising ni?  Syamil, apa awak buat kat sini?"

Teguran Tia menyentak ketenangan hati Erin.  Kenapalah Tia keluar dari bilik pada saat-saat begini? Hampir-hampir saja dia berjaya menghasut Syamil agar melepaskan Tia.  Membebaskan gadis itu dari cengkaman dunia ciptaan Syamil yang durjana.

Tidak berkerdip mata Syamil merenung Tia dalam pijama tidur. Begitu terserlah bentuk badan Tia yang boleh dikatakan menggiurkan itu.  Rambut Tia ditutup dengan kain tuala yang dipegang dengan jarinya saja pada bahagian dagu.  

Syamil ingin lihat lebih dari itu. Melihat milik Tia yang cantik dan indah di matanya.  Kulit lengan Tia yang putih bersih tanpa cela, dan keindahan rambut Tia yang berbau harum walau ditutup dengan sehelai tuala.  Terjentik jua nafsu lelakinya dan dalam sekelip mata amarahnya yang memuncak terpadam begitu sahaja.

"Sayang…."  Panggilan manja Syamil kepada Tia amat meloyakan Erin. Erin membuat aksi ingin muntah dan tidak pula bercadang untuk memberi ruang kepada pasangan kekasih berkenaan berbincang.

Berdenyut-denyut kepala Tia menahan sakit kerana suara mereka berdua mengejutkannya dari lena. Terpisat-pisat mata digenyeh dan digagahi dirinya supaya bangun. Jika dibiarkan lagi lama, boleh runtuh rumah mereka dibuatnya.

"Mil buat apa malam-malam buta kat sini?  Baliklah, ni rumah anak dara. Tak manis kalau jiran-jiran lain nampak."  Tia berkata dengan mata terpejam.

"Mil cuma nak periksa keadaan sayang.  Sayang okey tak? Dah makan?"

Tangan Syamil memegang jeriji besi dengan kuat, cuba mendekati Tia yang berada dalam rumah itu sedekat mungkin.  Mata Tia bengkak akibat menangis. Semuanya gara-gara dia. Peluang seperti ini jarang-jarang sekali diperoleh dan Syamil perlu manfaatkannya sebaik mungkin.  

Ketika duduk berdua-duaan dengan Tia, dia tidak pernah diberi peluang untuk memegang tangan Tia seperti pasangan kekasih yang lainnya. Terlalu banyak peraturan yang ditetapkan oleh Tia sehingga adakalanya dia menjadi rimas.

"Sudah.  Baliklah, Mil.  Tia tak nak kami jadi buah mulut orang."  Pintu utama ditutup sebelum sempat Syamil mengucapkan selamat malam.

Baru berapa tapak Tia melangkah, sekali lagi pintu rumah diketuk dengan kuat.

"Apa lagi?" marah Tia sebaik saja pintu dibuka.

Beberapa wajah asing yang tidak pernah dilihatnya sedang berdiri tegak di luar jeriji.  Pegangan tuala yang semakin melorot di kepalanya ditarik dengan kemas.

"Assalamualaikum," sapa lelaki pertengahan usia itu.

"Waalaikumussalam," jawab Tia dan Erin yang datang secara tiba-tiba. Erin baru berkira-kira untuk membasuh otak Syamil yang disangkanya datang semula. Tekaannya silap pula kali ini.

"Saya Pak Yusof, ketua blok pangsapuri ni.  Saya ada terima aduan tentang lelaki bukan muhrim datang ke rumah cik berdua.  Jadi, saya datang untuk menyiasatnya sendiri," terang Pak Yusof berbasa-basi.

"Oh, maafkan kami, Pak Yusof.  Itu sepupu saya. Dia tengah ada masalah. Saya pulak lambat buka pintu. Itu yang kecoh sikit," jawab Erin laju.

Dua orang pemuda di sebelah Pak Yusof berpandangan sesama sendiri sambil tersengih.

"Kalau begitu, kami balik dululah. Maaf mengganggu cik berdua. Tapi kalau ada berlaku apa-apa yang mencurigakan, jangan segan-segan hubungi pak cik," ujar Pak Yusof seraya meminta diri untuk beredar.

Daun pintu ditutup rapat dan dikunci dari dalam.  Tia bersandar di dinding dan memandang sayu sahabatnya itu dengan mata berkaca.

"Terima kasih, Erin.  Aku dah banyak menyusahkan kau," lirih Tia dalam sedu-sedan yang baru terbit.

Tubuh Tia dipeluk seeratnya, rambut dan belakang badan Tia yang longlai diusap penuh kasih sayang.

"Shhh… tak perlu minta maaf.  Kau kawan aku. Kita dah janji untuk hidup susah dan senang bersama-sama."  Bisikan lembut di telinga Tia membuatkan jiwanya rapuh. Mujurlah ada Erin sebagai sandaran saat dia terluka.  

°°••°°


TIDAK puas rasanya menatap penampilan Tia yang cukup berbeza malam itu.  Syamil menongkat dahi dengan tangan menanti lampu isyarat bertukar hijau di jalan raya.  Tia yang manis, Tia yang baik hati dan Tia yang sentiasa ada dengannya di saat-saat sukar.

'Apa aku dah buat ni?'


Hati Syamil dihimpit dengan rasa bersalah.  Gadis sebaik Tia tidak patut dilayan begitu.  Sikap panas baran dan rasa cemburunya memang tidak boleh dikawal langsung.  Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tergamak melontarkan kata-kata kesat kepada Tia.  Hatinya memberontak, marah dan benci datang silih berganti.

Lampu isyarat bertukar hijau.  Dan telefon pintar milik Syamil berdering memaparkan sebaris nama pemanggil yang tersimpan dalam senarai kenalan.  Pantas bibirnya mengoyak senyum dan peristiwa dua hari lepas mula bermain-main dalam mindanya yang semakin kosong. Stereng dibelok ke kanan memasuki laluan ke Cheras.  Sejurus tiba di tempat yang dijanjikan, pintu kereta di sebelahnya dibuka, membenarkan sepasang kaki berkasut tumit tinggi memasuki kereta itu.

°°••°°


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh