Bab 8

AIR mata dikesat di pipi. Posisi tubuh diubah, lantas Tia melihat semula nama yang terpapar di skrin.

"Bos?" panggil Tia serba-salah.  

Malunya!  Bagaimanalah dia boleh tersilap orang.  Itulah, fikirkan sangat tentang Syamil. Sampai terigau-igau dalam lenanya yang sebentar itu. 

"Siapa Syamil, Tia?" tanya Haider di corong telefon.

"Oh!  Itu nama mamat penghantar piza.  Dia selalu hantar piza ke sini." Tia cuba berdalih.  

Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Haider tahu kewujudan Syamil dalam hidupnya.  Cukuplah sekali Syamil tersalah anggap hubungannya dengan Haider. Dia takut sekiranya Syamil bertindak di luar dugaan kerana cemburu buta.  Mana hendak disorok mukanya lagi.

"Ada apa bos call saya ni?" tanya Tia setelah Haider terdiam sebentar.

"Saya nak cuti esok.  Mama tak sihat. Saya nak jaga mama.  Kalau tak ada apa-apa urusan penting tak payah hubungi saya."  Suara Haider kedengaran serius.

"Mama sakit? Err… maksud saya, mama bos sakit apa?"  Tia bertanya sekadar berbasa-basi.

"Demam.  Tapi, biasalah… orang tua.  Bila demam lambat nak baik. Awak dengar tak apa saya cakap tadi?"  

Haider mengalih telefon pintarnya ke telinga sebelah kiri.  Telefon dikepit ke bahunya, menjadikan tubuhnya senget ke kiri.  Dia menggunakan ke dua-dua belah tangan untuk memberi ubat kepada ibunya, Puan Habibah.

"Saya dengar, bos.  Saya doakan agar Puan Habibah cepat sembuh."  Tia tersenyum walaupun dia tahu Haider tidak nampak akan senyumannya itu.

"Terima kasih."

Talian ditamatkan dan Tia bangkit lalu merebahkan badan di atas katil.  Mata terkebil-kebil tidak mahu lelap. Fikirannya kembali berkisar tentang Syamil.  Kemudian beralih pula kepada Erin.

'Ya Allah!  Apa yang telah aku lakukan ini?'  

Diraup mukanya berkali-kali.  Dia telah melukai hati Erin tanpa sedar.  Kerana hanyut dalam cinta Syamil, Tia sanggup membutakan mata dan telinganya.  

Pagi itu Tia bangun dengan mata bengkak.  Itu bukan kali pertama Tia begitu. Sudah acapkali.  Dia sendiri tidak peduli akan keadaannya sendiri. Dilirik skrin telefon pintar.  Ttiada sebarang panggilan atau pesanan dari Syamil. Tia termenung sendiri dalam keluhan halus.

Sengaja dia bangun awal untuk menyediakan sarapan istimewa buat Erin.  Simbolik sebagai memujuk hati gadis itu, dan cara Tia menyatakan rasa kasihnya terhadap Erin.

Sarapan yang disediakan cukup ringkas;  sandwich tuna bersama hirisan tomato dan daun salad segar.  Dia menyiapkan sandwich dengan cermat. Setelah semuanya siap, kepingan sandwich itu dimasukkan ke dalam bekas bersama minuman kegemaran Erin, iaitu Mocha Caramel.

Erin keluar dari bilik dengan wajah sugul.  Peristiwa semalam membuat jiwanya tidak tenteram.  Jauh di lubuk hati, dia yakin bahawa lelaki itu adalah Syamil.  Dari cara pemuda itu berpakaian dan lenggok percakapan, memang dia pasti bahawa lelaki itu adalah Syamil.  Silapnya dia cuma merakam gambar perempuan itu sahaja. Tak mengapalah, mungkin nasib tak menyebelahinya masa itu.

"Erin…," panggil Tia lembut.  Erin menyembunyikan wajah, berjalan tertunduk tanpa memandang ke depan.

"Erin, maafkan aku." Lembut ucapan itu meniti di bibir Tia.  Erin angkat muka. Melihat Tia yang telah siap-sedia untuk ke tempat kerja.

"Kau tak salahpun, Tia.  Tak perlu minta maaf," balas Erin lemah.  Sungguh, dia tiada semangat untuk bekerja pada hari itu.

"Tapi, aku tetap juga nak minta maaf.  Aku dah lukakan hati kau."  

Tubuh Erin dirapati.  Bahu gadis itu disentuh.  Lantas dipusing tubuhnya agar mereka saling beradu mata.  Tia peluk tubuh Erin kuat-kuat. Perlahan-lahan pelukannya berbalas.

"Pergilah kerja dulu.  Sebelum tu, ini ada sandwich dan Mocha Caramel untuk kau.  Beg kertas bertukar tangan. Erin memegang kedua-dua tali beg itu ke sisi dan mengintai isi di dalamnya.  Manis wajah bulat itu melihat air tangan Tia yang bersusah-payah menyiapkan sarapan.

"Terima kasih.  Kita jumpa petang nanti." 

Mereka membawa haluan masing-masing ke tempat kerja.  Tia melangkah laju ke stesen LRT agar tidak terlepas jadual perjalanannya seperti biasa.  Dia tiba di pejabat lima belas minit sebelum jam lapan pagi. Lif rosak lagi. Terpaksalah kakitangan di Juta Empire termasuk Tia berasak-asak memasuki lif.  

Pintu Lif hampir saja tertutup.  Sempat Tia menahan dan menyelit di celahan orang ramai.  Mujurlah tubuhnya agak kurus dan mudah saja laluan diberi.  Tiba di tingkat 10, lif tersebut berhenti. Pintu lif terbuka lebar dan Tia memberi laluan kepada rakan-rakan yang hendak keluar.

"Aduh!"  Terjerit Tia saat kakinya dipijak seseorang oleh kasut tumit tinggi berwarna merah jambu.

"Opss!  Sorry."

Tia kenal suara itu.  Suara Nelly yang seolah-olah sengaja memijak kakinya dengan kasut setinggi tiga inci.  Tia menahan sakit yang tidak terhingga. Tiba di tingkat 15, Tia berjalan terhincut-hincut menuju ke meja.  Kasut ditanggalkan. Kesan pijakan kaki mulai lebam. Mujur kakinya tidak tercedera.  

Dia masih ingat mimik muka sinis Nelly.  Entah apalah yang gadis itu risaukan tentangnya.  Dia sedar akan kelebihan Nelly. Tiada sekelumit bencipun terhadap Nelly walau apa gadis itu lakukan terhadapnya.

Walaupun Haider mengambil cuti kecemasan, Tia tetap juga menjalankan tugasnya seperti biasa.  Dia memeriksa fail-fail penting di atas meja Haider. Segala arahan yang tercatat akan dia laksanakan.  Leka Tia membuat kerjanya sambil mengunyah sandwich tuna. Nada WhatsApp berbunyi menandakan ada pesanan baru masuk ke telefonnya.

Haider

I need your help!

Cemas benar bunyi pesanan itu.  Serta-merta kerja Tia terhenti. Didail nombor telefon Haider dan suara Haider kedengaran lemah di hujung talian.

"Bos, okey ke ni?" soal Tia sejurus menjawab salam Haider.

"Saya memang tak okey."  Keluhan halus terpacul di bibirnya.

"Errr… kenapa ni, bos?  Macam dalam masalah besar je ni?"

"Mama… dia nak makan bubur ayam." 

Tia tercengang.  Ingatkan apalah masalah besar yang dimaksudkan oleh Haider.  Rupa-rupanya Puan Habibah mengidam bubur ayam.

"Bos ni buat saya terkejut saja.  Ingatkan apalah tadi. Beli ajelah di kedai.  Bukan susah sangat pun." Tia ketawa kecil.  

Di rumah Puan Habibah tidak ada pembantu rumah.  Segala kerja rumah dilakukannya sendiri. Lebih puas katanya jika melihat hasil kerja dari air tangan sendiri.

"Kalaulah semudah itu.  Masalahnya, mama tak nak bubur biasa kat kedai tu.  Dia nak bubur yang dimasak sendiri. Saya mana tahu masak," keluh Haider buntu.

Tia termenung sejenak.  Susah juga begitu. Tiba-tiba timbul satu idea di fikirannya.

"Apa kata bos buka video tentang masak bubur?  Saya rasa berlambak dalam internet."

"Emm… kenapa saya tak terfikir langsung pasal ni, ye?  Terima kasih, Tia. Nanti saya cuba. Bye!"

Tia tersengih sendiri.  Adakalanya, lelaki berkarisma dan berjaya seperti Haider mudah saja terlupa akan perkara yang paling mudah dalam hidup.  

'Resepi bubur ayam,' omel Haider sendirian.

Rambang mata Haider dibuatnya.  Masakan tidak, terlalu banyak resepi bubur ayam yang tersenarai hasil dari carian di enjin internet. 

'Mana satu nak cuba ni?'

Fikiran Haider berserabut.  Dia perlu cepat menyediakan bubur idaman ibunda tercinta.  Mama pun satu hal. Tak mahu pula bubur di kedai. Dia bukannya arif tentang hal-hal di dapur.  Masak mi segera pun boleh dikira dengan jari. Tidak semena-mena akal jahatnya meracuni fikiran.

Diintai Puan Habibah yang terbaring lesu di atas katil.  Segera kunci kereta disambar dan deruman enjin memecah kesunyian kawasan perumahan elit di pinggir bandar itu.

Bibir Haider bergumam dengan lagu dari Ed Sheeran.  Bubur yang masih berasap dipindahkan ke dalam mangkuk.  

'Hahaha.  Mama gerenti takkan tahu punyalah!'

Pintu bilik dikuak perlahan.  Puan Habibah berteleku di katil seraya melihat ke luar tingkap yang terbuka luas.

"Mama…," panggil Haider lembut.  Segaris senyum manis dilorek buat pemanis muka.

"Mama lapar?  Haider bawakan bubur untuk mama.  Baca doa dulu."

Bubur yang sudah ditiup disua ke mulut Puan Habibah.  Baru sekali suapan memasuki rongga mulutnya, Puan Habibah menggoyang-goyangkan tangannya tanda menolak.

"Kenapa ni, ma?  Tak sedap ke?" Haider bertanya sedih.  Tidak mungkin mamanya itu tahu akan rahsianya.

Puan Habibah mengelap mulutnya dengan tisu.  Wajah Haider ditenung dalam-dalam.

"Haider beli bubur tu kat kedai, ye?  Mama tahu. Sebab kuat sangat bahan perasa tambahan," tebak Puan Habibah laju.  

Mangkuk bubur diletak semula di atas meja sisi.  Haider bungkam. Orang tua seperti ibunya bukan senang ditipu.  Maklumlah, terlalu lama mengharungi asam garam duniawi.  

"Maafkan Haider, mama.  Haider terpaksa."

"Hmmm… tak apalah.  Mama tak marah pun. Mama penat, nak rehat."  

Puan Habibah merebahkan tubuh ke katil.  Selimut ditarik hingga ke paras pinggang.  Haider dirundung sedih yang bukan kepalang.  Semuanya gara-gara semangkuk bubur ayam. Dalam kecelaruan hati, nombor telefon Tia didail lagi.  Dengusan nafas kasar menyambut sambutan salam dari Tia.

"Kenapa ni, bos?  Lain macam aje. Semuanya dah selesai, kan?" duga Tia dengan sabar.

"Mama tahu.  Dia tahu bubur tu dibeli di kedai."

Tia tersandar di kerusi.  Tadi bukan main ceria suara Haider menelefonnya.  Tetapi tidak kali ini.  

"Bos…," panggil Tia setelah agak lama Haider berdiam.

"Saya serabutlah.  Apa bezanya bubur kat kedai dengan yang dimasak sendiri?"  

Tia membiarkan saja Haider melepaskan isi hatinya.  Bukan senang untuk menjaga orang sakit. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu lanjut usia.  Memang memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi.

"Awaklah tolong saya, Tia."  Berdebar-debar jantung Tia dengan permintaan Haider.

"Tolong apa?" tanya Tia lambat-lambat.  

"Datang sini, masak bubur untuk mama."

Gulp!

Dugaan apakah ini?  

"Tia!  Tia! Dengar tak ni?  Mengelamunlah tu," marah Haider selamba.

"Errr…."

"Tak payah nak errr… errr….  Datang sini, saya tunggu!"

Klik!

Talian diputuskan Haider.  Lama Tia merenung skrin kosong.  Tia terpaksa jua menurut arahan Haider. Sementelahan, ada beberapa dokumen yang memerlukan tanda tangan pemilik Juta Empire itu.   Dia segera mengemas meja dan memasukkan dokumen yang diperlukan ke dalam beg. Kelam-kabut langkah diatur setelah teksi yang dipesan menunggu di lobi.  Harap-harap dia tidak bertembung dengan Syamil. Nanti hal lain pula yang jadi.

Pintu pagar bercat emas terbuka secara otomatik sejurus locengnya ditekan.  Haider tersengih di muka pintu melihat kedatangan Tia.  

"Terima kasih, Tia," ucap Haider lembut.

"Sebelum tu, ada beberapa dokumen yang perlu bos tanda tangan."  

Haider mendecit bosan.  Cukup-cukuplah hal kerja berlangsung di pejabat sahaja.  Tidak perlu dibawa ke rumah. Mengerti akan maksud itu, Tia membuntuti langkah panjang Haider ke dalam rumah.

"Saya faham pendirian, bos.  Tapi dokumen ni perlukan tindakan segera."

"Ala… besok-besok pun boleh, kan?"  Haider membuat muka bosan. Muncung sudah panjang sedepa.  

"Esok akan jadi lambat.  Ini segera, bos. Segera!" tekan Tia geram.  Haider degil mengalahkan budak-budak tadika. Kalau kanak-kanak senanglah juga hendak dipujuk.  Ini sudah besar panjang. Sudah boleh jadi ayah orang. Hesy, sabar Tia, sabar.

"Letak ajelah kat situ.  Nanti-nantilah saya tengok."  Haider menghempas tubuh ke sofa.  Tia mengeluh lemah. Segala dokumen yang dibawa diletakkan di atas meja makan.

"Ehem!  Tadi bos cakap nak masak bubur."  

Tia terpaksa mencelah dalam hening kebisuan mereka.  Lagipun, tidak selesa bila berdua-duaan begitu dalam rumah besar tersebut.  Puan Habibah pula terlantar di dalam bilik.

Haider bingkas bangun setelah siaran TV ditutup.  Dia memberi isyarat agar Tia mengikutnya ke dapur.  Tiba di dapur, Tia menebar pandang. Betapa luas dan bersih keadaan dapur rumah Haider.  Mungkin dua kali ganda keluasan dapur rumahnya. Dindingnya dicat warna putih, senada dengan warna kabinet.  Lantai jubin jernih bersinar, juga bersih tanpa sebarang habuk. Terpukau seketika dengan keindahan yang terpamer di mata.

"Tutup mulut awak tu.  Rumah ni banyak lalat."

Tia termalu sendiri.  Tak sangka ulahnya disedari Haider.  Jika dia memiliki dapur secantik ini, pasti kakinya akan sentiasa terpaku di ruang itu sepanjang hari.  

"Ayam ada dalam sinki.  Saya cuba potong, tapi…."  Ada riak risau dalam tampang wajah Haider.  Tia menjenguk ke dalam sinki. Lafaz istighfar terluah di bibir.

"Astaghfirullahaldzim.  Apa jadi dengan ayam ni, bos?"  

Keadaan di dalam sinki tidak ubah seperti tempat kejadian jenayah.  Darah ayam terpercik di sana-sini. Bahagian badan ayam tidak dapat dikenalpasti lagi.  Segala-galanya dicincang lumat.  

"Argh!"  Tia menjerit seraya tubuhnya terinjak ke belakang.  Mata dipejam rapat. Dia cukup pantang dengan objek itu.

"Tia!  Awak okey?" soal Haider cemas.  Tubuh Tia terketar-ketar dengan jari telunjuknya lurus ke sinki.

"Ada apa dalam tu?"  Haider bertanya hairan.  Seingatnya, tiada apa-apa yang pelik atau menakutkan di dalam sinki tersebut.  Apa yang Tia lihat sebenarnya?

"Ke… kepala ayam!" jawab Tia tergagap-gagap.

Haider terbahak-bahak ketawa sambil memegang perut.  Ingatkan apalah tadi. Rupa-rupanya cuma kepala ayam.  Tia mencerlung tajam ke arah Haider yang galak mentertawakannya.

"Ish… saya baliklah!" Langkah Tia maju setapak bersama rajuk, namun terus ditahan Haider dengan ketawa yang masih bersisa.

"Sorry, saya tak sengaja.  Kenapa awak takut sangat dengan kepala ayam?"  Haider bertanya ingin tahu. Tia memeluk tubuh.  Dia cuba melupakan kenangan lampau. Haider pula cuba membangkitkannya kembali.

"Tak ada apalah."  Tia mengelak dari menjawab pertanyaan itu.  

"Boleh tak bos buang kepala ayam tu?  Saya gelilah!" arah Tia seperti puan besar.

Tanpa membuang masa, Haider membuang kepala ayam ke dalam tong sampah.  Terkedek-kedek Tia berjalan menghampiri sinki. Cebisan ayam dimasukkan ke dalam bekas lantas direndam ke dalam air bercampur sedikit cuka.  Sinki yang dicemari dengan kesan darah dijirus dengan air dan sabun sehingga bersih. Haider ralit memerhati segala pergerakan Tia yang langsung tidak kekok di dapur.

"Bos tak nak belajar masak bubur ayam ke?" soal Tia geram bila Haider asyik mencuri pandang ke arahnya.  

"Saya tak pandai."  Haider membalas sepatah.

"Kalau duduk tercongok macam tu sampai bila-bila pun takkan pandai," sindir Tia pedih.  Haider angkat punggung menghampiri Tia yang tercegat di sinki.

"Okeylah, Cik Puan Tiara.  Mula-mula kita nak buat apa dulu?"  Tia beri jelingan maut kepada Haider.  Haider garu-garu kepala yang tak gatal.

"Mula-mula basuh beras ni dulu.  Kalau kat kampung saya ada jual beras khas untuk masak bubur.  Tapi kalau tak ada guna beras biasa pun boleh. Untuk satu cawan beras, bos tambah lima cawan air.  Itu sukatan tepat untuk masak bubur," terang Tia panjang lebar.

"Ooo… kalau dua cawan beras, maknanya sepuluh cawan airlah, ye?"  Lurus Haider bertanya.

"Betullah tu.  Gandakan je sukatan dia."

Haider tidak dapat menumpukan perhatian huraian Tia dengan lanjut kerana lebih tertarik dengan pergerakan Tia yang lincah.  Beruntung badan jika memiliki pasangan hidup seperti Tia. Pandai dalam serba-serbi. Bukan hanya lincah di pejabat, malah cergas di dapur.

"Bos faham tak ni?" 

"Hah!  Apa?"  

Haider kembali ke dunia asal.  Bebelan Tia langsung tidak diendah.  Deringan telefon milik Tia bergetar di atas kitchen island.  Haider mencuri pandang nama si pemanggil.

'Syamil'

"Tia… Syamil call awak."

Berderau darah Tia saat nama Syamil disebut-sebut.  Serta-merta mukanya pucat lesi.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh