Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
7,049
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

PAGI itu mereka bersarapan bersama-sama di meja makan. Puan Sri Fatihah memanggil Dahlia yang ada di dapur agar duduk bersama. “Dahlia, duduk sini breakfast,” arahnya.


Seperti selalu, Dahlia akan melirik pada Furqan sebelum dia menolak pelawaan itu. “Takpa, mommy. Saya makan kejap lagi,” balasnya. Kalau ikutkan perut Dahlia betul-betul lapar. Apa tidaknya malam tadi selepas mengikut Furqan ke jemputan makan malam itu, tiada satu pun makanan yang ada di rumah. Jangankan kata sisa makanan, bayang makanan pun takda. Jadi, terpaksalah Dahlia ikat perut dan tidur dalam keadaan lapar.


“Duduk je sini. Kalau tak nak makan pun takpa,” tegas Puan Sri Fatihah. Dia tahu Dahlia takut dengan Furqan. Tetapi, dia tak peduli. Selagi dia ada, Furqan takkan boleh buat apa-apa.


Dengan rasa terpaksa, Dahlia menarik kerusi yang ada di depan Furqan dan duduknya dilabuhkan di situ. 


“Seronok ke semalam majlis makan malam tu?” soal Puan Sri Fatihah sebaik sahaja Dahlia duduk.


Dahlia ukir senyum paksa sambil mengangguk. Dia tak boleh beritahu hal yang sebenar. Bimbang Puan Sri Fatihah marahkan Furqan. 


Puan Sri Fatihah tersenyum lebar melihat respon menantunya. “Mommy ingat nak cari pembantu rumah lain,” usulan itu diajukan pada semua yang ada di situ.


“Haaa…. baguslah. Boleh Kak Dahlia lepak-lepak dengan Fiqa tengok movie,” sampuk Hafiqa dengan nada ceria.


Furqan yang tadinya sedang kusyuk menikmati makanan, terus angkat muka. Sekilas dia pandang pada Dahlia dan kini matanya beralih pada Puan Sri Fatihah. “Cari orang gaji baru?” berkerut dahinya menyoal tentang hal itu.


“Ya.”


“Why? Cukuplah dia ni sorang buat kerja rumah ni. Kenapa nak ambil ramai-ramai?” hal itu Furqan pertikaikan dengan rasa tak puas hati. Makin lemak budak tak sekolah ni nanti. Duduk dalam rumah ni macam ‘mem’ besar. Bebelannya bersambung di dalam hati. Geram dengan keputusan ibunya itu.


“Dahlia bukan orang gaji. Dia menantu mommy. Jadi, kenapa mommy nak buli dia suruh buat kerja dalam rumah ni?” selar Puan Sri Fatihah dengan nada menyindir. Bukan dia tak tahu perangai anak lelakinya itu. Suapan diteruskan tanpa mempedulikan muka tegang Furqan.


“Okey fine. Kalau mommy cakap macam tu, tak payahlah Furqan bayar gaji dia lagi,” kata Furqan dengan nada mengugut. Kali ini pandangan dia halakan pada Dahlia. Dia mahu wanita itu bersuara dan membantah cadangan Puan Sri Fatihah.


Terus riak muka Dahlia berubah. Sudahlah sebelum ini gajinya dibayar separuh. Jika Puan Sri Fatihah mengambil pembantu lain, Furqan takkan bayar lagi gajinya. “Takpa, mommy. Saya boleh buat semua kerja rumah,” celahnya.


“Kenapa you tak nak bagi Dahlia duit? She’s your wife, Furqan. Nafkah dia macam mana? You nak jadi suami yang dilaknat Tuhan ke? Tak beri nafkah pada isteri? You anggap duit yang you bagi pada Dahlia tu sebagai gaji ke? Suami jenis apa you ni Furqan? Keturunan mommy takda lelaki perangai macam you. Berkira dengan isteri,” bertalu-talu Puan Sri Fatihah menyerang Furqan.


Terdiam Furqan dibuatnya, Hafiqa meneruskan suapan. Pertama kali dia lihat ibunya memarahi abangnya sebegitu. Tulah, siapa suruh buli Kak Dahlia. Padan muka! Kutuknya di dalam hati.


“Mommy…. Encik Furqan bagi saya duit. Dia tak pernah berkira dengan saya,” Dahlia cuba membela Furqan. Dia tidak mahu Puan Sri Fatihah berbalah dengan lelaki itu. Lagi pula, pasti Furqan akan menyalahkan dirinya.


“Tak payah tunjuk baiklah!” Napkin yang ada di paha diambil dan dilempar kasar ke meja makan. Lalu, Furqan beredar dari situ. Sabarnya semakin hilang dengan kata-kata Puan Sri Fatihah. 


Dahlia tertunduk menekur meja makan. Tak dijawab salah. Jawab pun salah. Bisik hati kecilnya. Sungguh dia tak faham apa yang Furqan mahukan. 


Puan Sri Fatihah menggeleng geram. Kemudian, wajah sedih Dahlia dipandang. Lalu, tangan  Dahlia yang ada di bawah meja digenggam. “You jangan risau. Dia tak boleh buat apa-apa. Mommy memang nak cari pembantu lain. Mommy tak nak ambil kesempatan pada menantu mommy. Mommy sayang Dahlia macam anak mommy sendiri,” ujarnya.


Dahlia menggeleng dengan linangan air mata yang sudah tidak dapat ditahan lagi. “Takpa, mommy…. saya boleh buat kerja rumah ni. Saya merayu mommy… jangan ambil pembantu lain. Saya tak nak mommy bergaduh dengan Encik Furqan,” tersekat-sekat suaranya tika ini.


Encik Furqan? Dahlia… Dahlia…. masih je nak back up si Furqan tu. Ingat aku tak tahu apa jadi? Bisik hati kecil Puan Sri Fatihah. 


“Tapi, takkan mommy nak biarkan menantu mommy buat semua kerja dalam rumah ni? You bukan pembantu rumah lagi. You dah jadi sebahagian keluarga mommy,” kata Puan Sri Fatihah dengan tegas.


“Saya boleh buat. Betul. Saya tak kisah,” balas Dahlia dengan bersungguh-sungguh. Air mata yang masih bersisa di pipi dikesat dengan hujung jari. 


Hafiqa yang melihat adegan itu turut berkaca matanya. Bukan dia tak tahu apa yang Furqan cakapkan pada Dahlia. Semua dia tahu. Dahlia sendiri yang cerita. Tetapi, kerana dia sudah berjanji mahu menyimpan rahsia itu, terpaksalah dia berdiam diri dan tak masuk campur.


Puan Sri Fatihah melepaskan keluhan perlahan. Dia kesal dengan sikap Furqan terhadap Dahlia. Dia fikir, Furqan akan berubah. Tetapi, anak lelakinya tetap sama. Entah apa yang perlu dia lakukan agar Furqan boleh melayani Dahlia dengan baik. Tujuannya mahu membantu Dahlia seakan sudah tersilap langkah.


“Kalau you cakap macam tu, takpalah. Mommy terpaksa akur dengan kehendak you,” terus Puan Sri Fatihah menarik tubuh Dahlia masuk ke dalam pelukannya. Dia terkenang kembali saat wanita itu dipukul oleh Daud. Sedih di hatinya masih terasa.


“Terima kasih, mommy," ucap Dahlia dengan rasa lega. Puan Sri Fatihah sangat mudah dibawa berbincang. Dia bersyukur kerana Puan Sri Fatihah dan Hafiqa melayannya dengan baik. Itu sudah mencukupi baginya.





“FURQAN!” Alicia cuba menahan Furqan daripada pergi. Lengan kekar lelaki itu diraih.


“You nak apa ni?” soal Furqan dengan muka tak senang. Tangan yang wanita itu pegang direntap, kasar.


“Takkan you nak terus balik?” soal Alicia dengan suara lunak seperti dulu. Dia cuba memancing Furqan agar berlembut dengannya.


Furqan merengus kecil. Dia takkan tergoda lagi dengan perempuan penipu macam Alicia. “I memang nak balik. Buah hati I dah tunggu nak lunch sama-sama dengan I,” balasnya. Menipu.


Alis kening Alicia berkerut nipis. “Buah hati? You dah ada pengganti I?” soalnya dengan muka tak percaya. Setahu dia, Furqan bukan lelaki sosial. 


“Ya. One day I akan tunjuk pada you siapa perempuan tu,” tegas Furqan. Yakin. Kedua-dua belah tangannya diseluk ke poket seluar sambil dia tayang muka bangga.


“I tak percaya," balas Alicia. Dia berpeluk tubuh menatap wajah lelaki itu.


“It’s up to you. But, please be profesional. Kita berurusan atas hal kerja. Bukan hal peribadi. You jangan nak ajak I keluar dinner, lunch atau whatever. I takkan keluar dengan isteri orang. Dan antara kita dah takda apa-apa,” satu per satu Furqan tegaskan kata-katanya agar Alicia faham.


“I dah bercerai,” sebaris ayat itu Alicia ucapkan dengan harapan agar Furqan boleh menerimanya kembali.


“So? Apa kaitan dengan I? Yang pastinya I takkan terima bekas orang untuk  jadi isteri I.” 


Melongo mulut Alicia selepas mendengar apa yang Furqan katakan itu. Hatinya jadi sakit. Sampai hati Furqan menghinanya sebegitu. “Bekas orang? What do you mean by ‘bekas orang’ Furqan? Mind your words. I ada hati dan perasaan tau tak!” bentaknya. Geram dengan mulut cakap lepas Furqan.


Furqan lempar senyum sinis. “Kenapa you tak nak mengaku you bekas orang? Memang itulah hakikatnya, Alicia. Just accept it.”


Alicia tertunduk kejap. Air matanya yang meleleh jatuh ke pipi diseka dengan hujung jari. “How could you, Furqan. You memang tak rasa bersalah langsung tentang apa yang you cakap pada orang? Kalau Tuhan balikkan semula kata-kata you dan you akan kahwin dengan perempuan yang you gelar bekas orang. Baru you tahu langit tu tinggi ke rendah,” bergetar suara Alicia tika ini. 


“I tak kisah. Tapi, yang pastinya…. perempuan tu bukan you," jari telunjuk dihala tepat pada muka Alicia. Wajah Furqan kelihatan tegang. Dia tak suka nak bergaduh dengan Alicia. Tetapi, wanita itu yang memulakan semuanya. Sudah dia katakan yang dia hanya nak berurusan tentang hal kerja sahaja. Tetapi, wanita itu tak faham bahasa. Selalu sahaja cuba untuk menarik perhatiannya. 


Furqan akui yang dia agak terganggu dengan suara lunak manja Alicia. Tetapi, sekuatnya dia menahan godaan itu. Dia tidak mahu lagi balik kepada wanita itu. Dan dia juga tidak mahu wanita itu terus menerus menganggunya. Tetapi, kerana kerja mereka terpaksa bertemu setiap hari. 


“Fine. I nak tengok sejauh mana you boleh junjung ego you untuk tak tergoda dengan I. I janji pada diri I sendiri yang I akan buat you jatuh pada I semula. You tunggu,” seakan satu sumpahan Alicia ucapkan pada Furqan. Kemudian, dia berlalu pergi meninggalkan lelaki itu di situ.


Furqan ketawa mengejek. “In your dream Madam Alicia!” sempat dia membalas kata-kata itu.


Nak goda aku? Aku takkan jadi bodoh untuk kali kedua Alicia. Desis hati kecilnya.





“MACAM mana urusan merisik kau hari tu? Berjalan lancar?” soal Furqan ketika dia makan tengah hari bersama Hairul.


“Perempuan tu dah takda dekat kampung. Dia dah kerja di KL,” balas Hairul.


Terangkat kening Furqan apabila mendengar jawapan sahabatnya itu. “Laaa…. kenapa dia tak bagi tahu kau?” soalnya.


“Kan aku cakap, aku dengan dia bukan bercinta. Aku nak datang merisik pun dia tak tahu,” balas Hairul sambil ketawa.


Furqan menggeleng. Sungguh, dia tak faham dengan sahabatnya itu. Macam mana dia boleh terfikir nak merisik wanita yang bukan kekasihnya? Kan pelik tu? Desis hati kecil Furqan.


“Bukan jodoh aku agaknya. Tapi, kalau aku jumpa dia dekat KL ni, mungkin jodoh aku dengan dia kuatlah kut,” kata Hairul masih berharap yang dia akan bertemu dengan Dahlia di Kuala Lumpur tak lama lagi.


Dengar macam mustahil. Tapi, kuasa Tuhan siapa tahukan?


Furqan ketawa sambil menggeleng perlahan. “Aku doakan jodoh kau dengan perempuan tu kuat. Nanti kalau dah jumpa dekat KL ni, terus confess. Lepas tu kahwin. Settle!” 


“Amin. Semoga doa kau untuk aku termakbul,” sahut Hairul sambil menadah tangan.


Suasana sunyi seketika. Mereka masing-masing menjamah makanan yang sudah pun terhidang di depan mata. Setiap kali makan, Furqan akan teringatkan Dahlia. Wanita itu memang pandai memasak. Tak dapat dia nafikan kemahiran memasak yang ada pada Dahlia. Tetapi, itu belum cukup memikat hatinya sebagai lelaki. 


“Macam mana kau kerja dengan Alicia?” soal Hairul mematikan lamunan Furqan.


“Dia dah bercerai dan masih harap aku kembali pada dia.” 


“Laaa…. ya ke? Bila dia bercerai? Sebab tu agaknya dia balik sini,” teka Hairul.


“Yang pastinya aku takkan kembali pada dia. Aku dah serik diperbodohkan,” tegas suara Furqan menyatakan pendiriannya.


Hairul angguk setuju dengan ketegasan sahabatnya itu. “Tapi tulah. Kau selalu berjumpa dia. Takut-takut terjatuh cinta sekali lagi pula nanti,” sengaja dia mengusik. Furqan ni nampak je tegas. Tetapi, kalau hari-hari dipujuk, mahu cair semula.


“Aku takkan bagi muka dah pada dia. Lepas ni kalau ada projek yang melibatkan dia, aku pass pada kau.” 


“Eh, apa pula cakap Dato’ Amran nanti kalau kau pass projek pada aku? Dato’ percaya kau je, Furqan. Nak pula Alicia tu anak buah dia.” 


“Selama ni aku tak tahu yang Alicia tu anak buah dia. Kalau aku tahu, memang taklah aku nak ambil projek Dato’ Amran tu. Biar takda projek pun takpa,” rungut Furqan sedikit kesal. Namun, segalanya tidak dapat diundur kembali. Dia telah pun menanda tangani perjanjian bersama Dato’ Amran selama tiga tahun. Ini bermakna selama tiga tahun itu, dia terpaksa bertemu dengan Alicia atas urusan kerja.


Dan…. Furqan bimbang apa yang dikatakan oleh sahabatnya itu, jadi kenyataan. Takut-takut dia jatuh cinta kembali pada Alicia. Aaahhh…. aku takkan benarkan dia masuk dalam hati aku lagi. Pintu hati aku dah tertutup untuk perempuan macam dia! Bentak hati kecil Furqan.


Previous: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.