Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
2,782
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 5

SUASANA di meja makan sunyi sepi. Hanya kedengaran sudu dan garfu berlaga antara satu sama lain. Masing-masing menikmati makan malam yang dimasak oleh Dahlia.


Sementara itu, Dahlia yang berada di dapur mengemas apa yang patut. Dia hela nafas lega apabila melihat wajah Furqan tidak setegang siang tadi. Tetapi, dia tahu lelaki itu masih marah atas apa yang berlaku. Dahlia rasa bersalah. Tapi, dia sendiri tak tahu nak buat apa.


Di meja makan, Puan Sri Fatihah tersedar akan reaksi muka anak lelakinya itu. Lantas dia bersuara, “Kenapa hari ni muka you macam orang kena sembelit je along? Ada masalah berat ke dekat pejabat?” soalnya.


Sembelit? Gerutu hati kecil Furqan. Takda mood nak menyahut gurauan ibunya itu. Furqan tarik nafas dalam dan dihela perlahan. Dia melirik pada ruang dapur. Rasa geram mula terbit kembali apabila mengenangkan hal siang tadi. Disebabkan kecuaian Dahlia, Furqan terpaksa menaip semula kertas kerja itu. Nasib baiklah dia boss. Kalau dia pekerja, memang teruk dia kena maki agaknya.


“Nothing mommy. Penat je,” acuh tak acuh jawapan itu diberikan.


“Ya ke?” soal Puan Sri Fatihah dengan muka curiga. Bukan dia tak kenal anak lelakinya itu. 


“Yes,” ringkas Furqan menjawab. Malas nak panjangkan isu. Lebih baik dia simpan sahaja hal itu sendiri.


“Next week adik ada kursus bina semangat dekat Janda Baik. Nanti you ajak Dahlia temankan adik beli barang nak bawa ke kursus nanti,” pesan Puan Sri Fatihah sambil mengunyah makanan yang masih berbaki di dalam mulutnya.


Mendengar sahaja nama Dahlia, Furqan tarik muka. Geramnya masih bersisa. “Along bawa adik sorang je. Bukan dia tak pandai pilih barang dia,” balasnya dengan selamba.


Alis mata Puan Sri Fatihah berkerut nipis. “Yang you nak sakit hati sangat dengan Dahlia tu kenapa? Mommy suruh you bawak Dahlia supaya dia boleh beli barang keperluan dia juga. Asyik terperuk dia dalam rumah ni. Kesian dia,” selarnya dengan nada geram.


Furqan merengus perlahan. Kalau ikutkan hati, nak sahaja dia menjawab. Tetapi, dia tidak mahu disebabkan gadis itu, dia bergaduh lagi dengan ibunya. “Bila?” soalan itu diajukan dengan nada malas.


“Nanti tanya adik bila dia nak pergi beli barang,” balas Puan Sri Fatihah bersahaja.


“Mana dia?” soal Furqan lagi. Mulalah dia rasa semua benda tak kena bila dia dipaksa sebegitu. Sekarang ni ketiadaan Hafiqa menjadi punca dia nak marah.


“Dia keluar dengan kawan dia. Kejap lagi baliklah tu.” Puan Sri Fatihah masih tenang menjawab soalan si anak. Bukan dia tak tahu Furqan dah mula geram.


“Menyusahkan orang betullah!” kain napkin yang ada di paha diambil dan dilempar perlahan ke atas meja. Hatinya semakin sakit apabila melihat kelibat Dahlia muncul dari dapur. Terus Furqan meninggalkan meja makan dengan rasa sebal di hati.


Puan Sri Fatihah menggeleng perlahan melihat tingkah anak bujangnya itu. Dia pasti ada sesuatu yang membuatkan Furqan marah. Tetapi, dia tidak tahu apa puncanya kerana lelaki itu tidak mahu berkongsi.


Terkulat-kulat muka Dahlia apabila melihat Furqan memberikan jelingan tajam padanya. Dia fikir marah lelaki itu sudah reda. Rupa-rupanya belum lagi. Rasa bersalah kembali menghuni hati. 


“You dah makan Dahlia?” soal Puan Sri Fatihah tatkala melihat gadis itu berada di situ.


“Belum. Kejap lagi saya makan, puan sri,"balas Dahlia dengan sopan. Bibirnya mengukir senyum pahit. Dia mengangkat pinggan milik Furqan untuk di bawa ke dapur.


“Duduklah teman I makan,” pelawa Puan Sri Fatihah.


Dahlia menggeleng perlahan. Dia tidak berani nak menerima pelawaan itu. Bimbang Furqan turun secara tiba-tiba dan dia dimarahi lagi. “Takpalah, puan sri. Saya tak lapar lagi. Kejap lagi saya makan dekat dapur,” tolaknya dengan baik.


“You takut Furqan marah?” tebak Puan Sri Fatihah. Dahlia tertunduk kejap. Lantas, perlahan dia mengangguk dengan muka serba salah.


“Anak bujang I tu pernah putus cinta. Tu yang moody je dengan perempuan. Kalau kenal dia betul-betul, dia tak macam tu,” luah Puan Sri Fatihah seakan memujuk Dahlia. Dia tidak mahu Dahlia fikir yang Furqan lelaki tak baik.


Dahlia diam dan hanya mendengar apa yang dikatakan oleh majikannya itu.


“I harap you jangan terasa hati sangat dengan dia. Dah lama-lama nanti, dia mesti okey dengan you,” sambung Puan Sri Fatihah lagi.


Dahlia angguk. Namun, jauh di sudut hatinya dia tidak berharap yang lelaki itu baik dengannya. Dia cuma harap lelaki itu tidak terus terusan memarahinya. Itu saja.





FURQAN raup wajah dengan perlahan. Rasa bersalah menyelubungi hati tatkala teringat saat dia mengasari Dahlia siang tadi. Wajah sedih gadis itu terbayang-bayang di ruang mata.


“Salah dia. Siapa suruh dia rosakkan kerja aku?” perasaan itu cuba ditepis dengan meletakkan kesalahan tersebut pada Dahlia. Namun, rasa bersalah masih menghuni hati. Rasa itu tidak mahu hilang. Furqan mengeluh berat. Puas dia buang rasa itu, tetapi tak berhasil. Makin dicuba, makin menebal pula rasa bersalahnya.


“Aahhh… budak tak habis sekolah, memang selalu mendatangkan masalah,” monolognya lagi. Masih sahaja dia mahu menghina Dahlia. 


Kemudian, Furqan rebahkan tubuh ke katil miliknya. Tiba-tiba wajah Alicia bermain di ruang mata. Rindu. Tapi, dalam masa yang sama, hatinya masih sakit kerana ditipu oleh wanita itu. Fikirannya menerewang pada kenangan lalu. 


“My mom minta I temankan dia di Australia buat sementara waktu.” 


Kata-kata itu buat Furqan tersentak. Wajah kekasih hati dipandang dengan riak tertanya-tanya. “You nak ke Australia?”


Alicia mengangguk dengan muka selamba. 


“Menetap di sana terus atau balik sekejap je?” soal Furqan lagi. Hatinya mula tak sedap. Wajah bersahaja Alicia mengundang pelbagai persoalan di benak fikirannya.


“Well… you tahukan my mom tinggal seorang diri dekat sana after divorce. Even my dad ada di sana pun, mereka tak bersama. So, she’s alone. She felt lonely,” Alicia berkias. 


“Soalan I… you akan balik ke sini atau terus tinggal di sana?” soal Furqan lagi seakan dapat menebak apa yang bakal berlaku pada hubungan mereka.


“Actually… I don’t know berapa lama I akan teman my mom. But, I hope you faham situasi I,” balas Alicia dengan nada lembut. Dia tahu Furqan mula marah.


Furqan diam beberapa detik. Kemudian, dia kembali bersuara, “So… how about us?”


Kali ini Alicia pula diam. Bibir diketap perlahan. Anak mata Furqan ditenung dalam-dalam. Lantas, tangan Furqan yang ada di atas meja itu digenggam dan digosok lembut seakan memujuk. 


Hati Furqan sedikit terpujuk dengan tindakan Alicia. “I cuba faham keadaan you, sayang. But, how about me? I need to know. I tak nak lost contact dengan you bila you dah menetap dekat sana nanti,” tegasnya.


Alicia tersenyum manja. “Thank you sebab you selalu memahami I. Tapi, you jangan risau. I tak lama di sana. Paling lama pun, one year.”


“One year???” Furqan terkejut. Satu tahun bukan tempoh yang sekejap. Dia tak sanggup berpisah dengan Alicia dengan tempoh yang sebegitu.


“Sayang… setahun tu tak lama pun. Pejam celik, pejam celik dah setahun,” pujuk Alicia.


Furqan menarik tangannya daripada pegangan Alicia. Lantas, dia menyandar ke dada kerusi. Rengusan kecil dilepaskan. Lalu, pandangan dihala ke luar restoran cuba menenangkan diri sendiri.


“Furqan…” panggil Alicia dengan nada yang lunak. Itu sahaja cara nak memujuk lelaki itu. 


Mendengar sahaja nada sebegitu, Furqan toleh kembali pada si kekasih hati. “Sampai hati you nak tinggalkan I lama-lama dekat Malaysia ni,” manja suara Furqan saat ini. Muka merajuk ditayang bersama.


Alicia tersenyum manis. Tahulah dia yang Furqan dah terpujuk dengan lunak suaranya yang tadi. Mudah je nak pujuk dia ni. Bisik hati kecil Alicia.


“I cuba balik sini sebulan sekali. Cuma I tak janji. Tapi, I akan cuba,” Alicia menabur janji manisnya pada Furqan.


Beberapa detik Furqan merenung wajah cinta hatinya itu. Dan akhirnya dia mengalah. “Okeylah. I kena faham you. Tapi, lepas you balik sini… kita kahwin,” ujarnya dengan penuh pengharapan.


Alicia terdiam sejenak seolah-olah sedang berfikir. Kemudian, dia bersuara. “Okey.” Senyuman pahit terukir dibibirnya. Entah dia dapat tunaikan kemahuan lelaki itu entah tidak.


Muka Furqan teruja apabila mendengar jawapan itu. Hatinya terbit gembira tak terkata. “Thanks, sayang!” terus tangan Alicia diraih dan dikucup berkali-kali.


Lamunan Furqan terhenti di situ. Setiap kali hal itu dikenangkan, dia jadi sakit hati. “Liar!” gumamnya. Bergerak-gerak rahangnya menahan geram ditipu oleh wanita itu.







“FIQA kan… tak suka sebenarnya jalan dengan along ni. Nak cepat je. Tapi sebab along yang bayarkan semua barang Fiqa, terpaksalah Fiqa pergi dengan dia,” bisik Hafiqa saat mereka berjalan masuk ke sebuah pasaraya besar yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.


Dahlia sekadar tersenyum nipis mendengar cerita gadis itu. Dia sendiri tidak selesa dengan Furqan. Reaksi wajah lelaki itu sentiasa tegang. Macam ada masalah.


“Along tunggu dekat food court. Jangan lama-lama sangat. Sejam je,” pesan Furqan sebelum dia berlalu pergi dari situ. Hafiqa buat tak endah. Lalu tangan Dahlia ditarik agar mengikutnya.


“Sejam? Apa dia ingat kita tengah buat variety show?” bebel Hafiqa tak puas hati. Dahlia ketawa saat mendengar kata-kata itu. Nampak benar Hafiqa geram. 


“Akak nak beli apa?” soal Hafiqa sewaktu mereka sudah masuk ke kawasan baju. Beberapa kali seluar track yang dipegang, dibelek. 


“Akak tak bawa duit,” jawab Dahlia. Sejak dari tadi dia hanya membuntuti Hafiqa ke mana sahaja gadis itu pergi. Tetapi, satu barang pun dia tak ambil.


“Akak ambil je apa-apa. Nanti along bayar,” ujar Hafiqa, selamba. Dahlia diam. Teringat yang gajinya masih belum dibayar lagi. Dan ada beberapa barang keperluan yang dia perlukan. 





SEJAM yang dijanjikan, Furqan sudah pun berdiri tegak di depan kaunter pembayaran. Dia menanti Hafiqa dan Dahlia di situ. Beberapa kali jam di tangan dilihat. “Mana ni?” gumamnya.


Beberapa minit selepas itu, muncul kedua-dua gadis itu di kaunter pertama. Terus Furqan berjalan mendekati mereka. Wajahnya kelihatan tegang tika ini. Walaupun tidak lama dia menunggu, tetapi, tetap sahaja dia merasa geram.


“Dah cakap sejam je. Lainkali belajar tepati masa,” keras nada Furqan tika ini. Dia berdiri di depan kaunter sambil menanti chashier mengira barang-barang milik adiknya itu.


Dahlia kecut perut. Dia toleh sekilas pada Hafiqa yang ada di sebelahnya. Gadis itu buat muka menyampah pada Furqan. Mujur Furqan tidak perasan. Dahlia ukir senyum pahit. Tahulah dia kenapa Hafiqa tidak suka keluar dengan abangnya itu.


“Suruh orang gaji tu angkat barang-barang ni,” kata Furqan setelah dia membuat bayaran. 


Dahlia tersentap. Kata-kata Furqan sering kali buat Dahlia terasa hati. Dia sedar dia memang pekerja dalam keluarga Puan Sri Fatihah. Tetapi, gaya percakapan Furqan seolah-olah pekerjaannya itu sesuatu yang hina pada pandangan mata lelaki itu.


Melihat sahaja Furqan berlalu pergi, Hafiqa cebik bibir tayang muka menyampah. “Muluttt…” terketap-ketap bibirnya menahan geram. Sejak kehadiran Dahlia, Hafiqa perasan yang mulut Furqan semakin tidak boleh dikawal. Ada sahaja benda yang dia nak cakap lepas. Lebih-lebih lagi tentang Dahlia. 


“Fiqa tolong akak. Ingat pesan Fiqa, dengan along tu masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bolayan je dia," sambung Hafiqa. Beberapa beg plastik yang ada pada tangan Dahlia diambil.


“Takpa, Fiqa. Biar akak bawa semua. Akak takut dia marah tengok Fiqa yang bawa barang ni,” Dahlia ambil kembali plastik yang ada di tangan gadis itu.


“Banyak ni kak. Alah, akak jangan takutlah dengan along tu. Paling tidak dia membebel macam mak nenek je,” Hafiqa cuba ambil kembali plastik tersebut. Tetapi, Dahlia enggan memberikan barang-barang itu pada Hafiqa.


“Takpa, Fiqa jalan je. Nanti kita lambat ke kereta bertambah marah pula dia nanti,” ujar Dahlia. Dia betul-betul tak berani nak biarkan Hafiqa membawa barang-barang itu. Silap haribulan, gajinya dipotong lagi dan dia dituduh ambil kesempatan ke atas kebaikan Hafiqa.


Mahu atau tidak, terpaksalah Hafiqa turuti. Dia juga malas nak mendengar bebelan Furqan kalau mereka lambat nanti.





SEWAKTU Dahlia sibuk mengemas ruang tamu, Furqan datang membawa gaji gadis itu. Diletak ke atas coffee table. “Nah, gaji kau," dingin nadanya tika ini.


Dahlia terus menoleh sekilas pada Furqan. Kemudian, dia mengambil duit yang ada di atas meja itu. 


Banyaknya dia potong gaji aku. Bisik hati kecil Dahlia. 


“Aku potong lebih lagi sebab tadi kau beli barangkan?” Furqan bersuara lagi.


Dahlia mengangguk sambil matanya menatap wajah angkuh lelaki itu. Entah apa lagi yang tak kena. 


“Lainkali, jangan buat muka tak malu ambil barang. Lepas tu, suruh aku bayar. Kau bukan keluarga aku. Dah berapa kali aku pesan, jangan ambil kesempatan. Takkan kau tak faham bahasa?” keras ayat itu ditutur keluar daripada mulut Furqan. 


Terkebil-kebil Dahlia dibuatnya. “Saya minta maaf. Saya takda niat nak ambil kesempatan pada encik,” lembut sahaja nada Dahlia tika ini. Dia tidak mahu lelaki itu salah faham padanya. Memang dia tiada niat pun nak ambil kesempatan terhadap Furqan.


Furqan tayang muka menyampah. Tangan diseluk dalam poket seluar sambil dia merenung sinis pada gadis itu. “Sekarang memang kau cakap macam ni. Dah lama-lama nanti?” sindirnya lagi. 


Dahlia tertunduk menekur lantai. Dia fikir lebih baik dia diam daripada terus menjawab. Takut-takut nanti lelaki itu naik angin dan dia dikasari sekali lagi. 


“Ingat kedudukan kau dalam rumah ni. Jangan cuba-cuba ambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Jangan bawa perangai tak sekolah kau tu, masuk dalam rumah ni. Kalau kau buat hal, aku takkan biarkan kau terlepas. Faham?” amaran keras diberikan pada Dahlia.


Tanpa memandang pada wajah lelaki itu, Dahlia mengangguk perlahan. Kata-kata Furqan seringkali mengguris hatinya. Kenapa hal tidak habis sekolahnya di bawa-bawa seolah-olah dia terlalu hina? Furqan memang lelaki takda rasa simpati.


Setelah Furqan pergi dari situ, barulah Dahlia berani angkat muka. Belakang badan Furqan direnung sehingga susuk tubuh lelaki itu hilang daripada pandangannya. Segala kata hinaan yang Furqan ucapkan, tak ubah seperti Daud. Dan… mungkin Dahlia harus mendengar penghinaan itu sampai akhir hayatnya.


Previous: MSHD 4
Next: MSHD 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.