Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
474
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

“SAYA Adriana Arisa binti Adrian Abdullah. Boleh panggil saya Rie. Selamat berkenalan.” Arisa mengenyitkan matanya lagak menggoda bersama gaya tangan ‘pistol’nya itu. Bibirnya tersenyum nakal.

Sunyi. Sepi. Tidak seperti awal kemasukkannya tadi. Pelajar perempuan yang pada mulanya seperti malu-malu kucing parsi, kini membisu. Pucat lesi. Wajah pelajar lelaki pula seakan-akan ternampak hantu. Bingung. Terkejut.

“Perempuan?” tanya seorang lelaki dari tempat duduknya, agak terkejut.

“Well, kalau dah binti tu memang perempuanlah. Tak tahu pulak kat dunia ni kalau ada binti boleh jadi lelaki...” Selamba sahaja Arisa membalas bersama senyuman. Senyuman nakal.

Eryna yang berada di dalam kelas itu hanya mampu menutup muka. Alahai. Pening oh pening!

Wajah Arisa keputih-putihan memandangkan gadis itu berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Matanya bulat berwarna coklat bagaikan anak patung. Kulit licin tanpa sebarang jerawat. Rambut pendek ala-ala jepun berwana hitam keperangan tersorok di sebalik topi. Sekali pandang seperti perempuan tetapi apabila dipandang dari segi pemakaian dan rambut, sudah tentu orang menganggapnya lelaki.

“Okey semua. Mulai hari ini, Arisa akan berada di dalam kelas ni. Walaupun kemasukan dia ke akademi ni pada minggu kedua tetapi saya harap kamu semua boleh bekerjasama dengan dia. Untuk pengetahuan kamu, sebelum ini Arisa menetap di Perancis. Harap kamu semua boleh bergaul dengan baik,” ujar Puan Afrina kepada para pelajarnya di dalam kelas itu. Seperti para pelajarnya, dia juga terkejut dengan penampilan pelajar barunya itu.

“Baik...” Kedengaran suara kelas itu menyahut. Nada mereka seakan-akan terpaksa. Maklumlah masih terkejut dengan apa yang berada di hadapan matanya.

Arisa masih tersenyum. Seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

“Okey, Arisa awak boleh...” Belum sempat Puan Afrina menghabiskan kata-katanya, Arisa mencelah pantas.

“Tak apa puan, saya dah jumpa tempat duduk saya.” Arisa terus meluru ke arah Eryna yang masih menundukkan kepalanya. Dia tersengih nakal. Nak menyorok kononnya. Sedangkan sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kelas itu, orang pertama yang dia nampak adalah Eryna.

Para pelajar di dalam kelas itu menumpukan pandangan ke arah Arisa. Masing-masing sudah membuat andaian sendiri pada penampilannya. Tidak kurang juga yang berbisik sesama sendiri.

Kemeja putih bersama blazer violet, ditambahkan dengan tali leher berwarna violet dan dipadankan dengan seluar hitam. Uniform khas untuk para pelajar daripada Department of Art. Lebih tepat lagi uniform itu adalah uniform lelaki.

Pelajar perempuan memakai uniform lelaki? Gila! Tak pernah lagi ada rekod sebegitu.

“Yo Eryna!” sapa Arisa, terus menarik kerusi dan duduk di sebelah Eryna.

“Yo...” Teragak-agak Eryna mengangkat tangan. Terasa mata-mata di dalam kelas itu sedang memandangnya.

Apa hubungan Eryna dengan pelajar baru itu? Pasti soalan itu bermain di minda pelajar-pelajar di dalam kelas itu.

Arisa hanya tersengih nakal manakala Eryna hanya mampu menepuk dahi.

‘Rie oh Rie. Masih tak ubah perangai kelelakian itu. Boleh pula kau buat perangai rare dengan uniform lelaki ni. Matilah aku lepas ni!’ desis Eryna dalam hati

Arisa tersenyum tanpa rasa bersalah. Misi gila yang pertama sudah berjaya!




“KAU ni biar betul, Rie!” Eryna menampar bahu Arisa. Di dalam kelas tadi dia terpaksa menahan geram dek perangai selamba Arisa. Elok sahaja kelas mereka tamat, dia terus menarik Arisa ke ruang taman tidak jauh dari bangunan kelasnya.

Arisa hanya membuat riak wajah selamba. Kisah pula dia pasal penampilan diri. Dia memang lebih suka memakai uniform lelaki berbanding perempuan. Kekeliruan indentiti barangkali.

Eryna menggeleng kepala. Pening on pening! Bala apa yang menimpa aku sekarang ni!

“Ala, esok lusa aku tukar la balik uniform ni. Kau ni, pengarah releks aje. Kau yang nak lebih-lebih dah kenapa?” ujar Arisa selamba seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Relekslah. Takat baju aje kot. Bukannya dia datang pakai pakaian menyeksakan mata pun.

Tercebik bibir Eryna ketika itu. “Blah la kau. Kau ingat kau tu anak pengarah ke apa?”

Arisa hanya mampu tersengih. Ya dia memang bukan anak pengarah tapi anak saudara pemilik akademi ini. Cumanya dia tidak mampu berterus terang dengan Eryna tentang kebenaran itu.

“Kau kalau tak buat perangai gila kau ni, memang tak sah kan hidup kau? Come on Rie, umur kau dah 18 tahun okey. Zaman kegilaan tu patutnya kau tinggal di belakang,” bebel Eryna. Dia tidak tahulah apa nak jadi dengan Arisa. Dari Perancis sampai ke Malaysia, sama aje perangainya.

“Well... kalau tak ada perangai gila ni, bukan namanya Rie la,” jawab Arisa selamba.

“Hish kau ni!” Eryna sudah mencubit pipi gadis itu. Geram. Cakap la apa pun, tetap sama juga.

“Esok aku order la uniform perempuan. Sorry la, masa aku buka website nak beli uniform tu, aku tertekan uniform lelaki. Dah alang-alang aku order, pakai ajelah. Nak membazir buat apa.” Arisa cuba mencipta alasan.

“Banyak la kau punya alasan. Tak payah nak tipu aku la. Aku bukan baru kenal kau hari ni,” bidas Eryna geram. Agak-agak la nak bagi alasan pun. Dia tahulah perangai gila Arisa tu macam mana. Keunikan itulah yang membuatkan gadis itu sukar didekati.

Dia tidak tahu la hobi Arisa ataupun memang sifat semula jadi gadis itu. Kadangkala dia sendiri tidak faham mengapa Arisa suka membuat sesuatu di luar jangkaan pemikiran orang biasa. Mungkin inilah yang dikatakan IQ tinggi. Pemikirkannya melebihi had orang biasa.

“Kau kalau nak prank orang pun, agak-agak la. Kesian aku tengok muka sorang-sorang. Pucat lesi.”

Arisa tersengih. Masih terbayang wajah satu persatu memandang ke arahnya selepas dia memperkenalkan diri. Hilang habis perangai gedik si perempuan. Nasib tak ada yang pengsan. Tak pasal-pasal kena hadap dengan pak ngahnya pula gara-gara kenakalannya.

Umurnya 18 tahun. Seperti yang Eryna katakan tadi, dia sepatutnya tinggalkan semua kegilaan itu. Sedangkan tujuannya pulang ke Malaysia adalah untuk memulakan hidup baru. Tetapi dia masih membawa perangai lama kembali ke sini.

Last. Lepas ni aku takkan buat dah,” ujar Arisa bersama senyuman kecil.

“Iyelah tu.” Eryna mencebik.

Macam la boleh percaya sangat dengan kata-kata Arisa tu...




ARISA mengeliat kecil. Hari pertamanya berjalan dengan lancar. Tik tok tik tok dah habis waktu kelas. Tidak sangka pula masa begitu pantas berlalu. Mungkin kerana Eryna berada di sisinya. Dia mula merasakan kehidupannya kembali berwarna warni.

3 tahun yang lepas selepas Eryna pulang ke Malaysia, dia hanya menyendiri di Perancis. Hidupnya terasa bosan, tiada teman untuk berbual, tiada gurau senda bersama kawan-kawan. Segalanya bersendirian. Dia tidak bersosial seperti orang lain. Bukan kerana dia sombong tetapi kerana di sudut hatinya, dia takut untuk mendekati orang lain.

Pertemuan pertamanya dengan Eryna membuatkan persahabatan mereka terjalin sehingga sekarang. Kerana teguran Eryna sewaktu dia menjadi pelajar pertukaran dari Malaysia, dia membalasnya dengan sopan. Biarpun dia selesa menyendiri tetapi Eryna tetap datang kepadanya sewaktu lapang. Malah setiap kali ada tugasan yang perlu disiapkan, pasti Eryna akan datang meminta atau memberi tunjuk ajar kepadanya. Segalanya bermula dari Eryna. Kerana teguran Eryna, mereka menjadi kawan. Kerana sikap ramah Eryna, mereka rapat sehingga sekarang.

Blazernya ditanggalkan dari tubuhnya. Sejurus itu Arisa merebahkan tubuhnya ke atas katil yang empuk itu. Tali leher dilonggarkan.

“Rie!”

Serentak itu Arisa terus bangun dari baringan. Matanya terkebil-kebil memandang mummynya yang sudah berdiri di hujung katilnya. Ah! Mummynya suka sangat masuk ke bilik tanpa ketuk pintu.

Mummy dah order uniform baru. Rie jangan pakai uniform lelaki lagi. Pening mummy layan perangai nakal Rie,” bebel Puan Sri Azyan, ibu Arisa sambil menayangkan uniform baru itu di hadapan Arisa.

“Wah mummy! Cepatnya mummy beli.” Terbeliak dia memandang uniform itu. Dia terus duduk bersila di atas katil sambil memandang uniform perempuan itu. Uniform yang sepatutnya disarungkan pada tubuhnya pada hari ini. Nampak cantik. Kemeja putih, vest dan reben berwarna violet dan skirt berwarna hitam.

Of course my dear. Lepas mummy tengok Rie keluar dengan uniform lelaki, mummy rasa nak pengsan. Please jangan buat prank macam ni selalu. Boleh masuk hospital mummy nanti,” ujar wanita itu lagi dengan lemah lembut lalu mengantungkan uniform itu.

Ibu mana yang tidak risau apabila melihat anaknya begitu. Elok-elok dah jadi perempuan, nak bertukar jadi lelaki pula. Dia tahu itu cuma sekadar gurauan tetapi dia bimbang pada pandangan orang terhadap Arisa. Cara hidup Asia tidak sama dengan Eropah. Jadi dia agak risau kalau Arisa terbiasa dengan cara hidup di sana.

Arisa tersengih. “Ala mummy, Rie bergurau ajelah.”

“Gurau gurau, itu aje yang Rie fikirkan. Rie tahu tak mummy risau nak tinggalkan Rie kat sini sorang-sorang. Esok mummy dah nak kena pergi Paris. Dua hari lagi ada fashion show kat sana,” ujar Puan Sri Azyan. Dia duduk di birai katil sambil memandang satu-satunya anak perempuannya.

Sebenarnya berat hati untuk dia terima cadangan Arisa untuk pulang ke Malaysia. Tiba-tiba sahaja Arisa ingin belajar di Malaysia membuat dia bimbang. Tugasannya dan suaminya, Tan Sri Adrian Abdullah masih ada di Perancis menyebabkan dia terpaksa meninggalkan Arisa seorang diri di vila itu.

Mummy pergi ajelah. Rie okey aje kat sini. Kelvin ada, orang gaji kat sini pun ramai boleh uruskan semua keperluan Rie. Don’t worry la mummy. Rie dah besar la. Kalau mummy risau sangat, apa kata mummy pujuk abang Iz balik sini temankan Rie?” Arisa tersengih nakal. Sempat lagi dia menyusulkan cadangan kepada mummynya.

Puan Sri Azyan hanya melepaskan keluhan kecil. Seorang demi seorang anaknya ingin berjauhan. Izwan, anak keduanya dengan caranya. Kali ini Arisa si anak bongsu pula bertindak yang sama. Cumanya tujuan agak berbeza.

“Dia tu entah bila nak balik. Seronok dengan trip, camping dan hiking dia tu. Macam mana la mummy nak pujuk dia balik sini kalau rumah kita kat sana pun dia tak balik.” Tergeleng kepalanya memikirkan tentang itu.

Arisa hanya mampu tersengih. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap abangnya itu. Semenjak tamat pelajaran, tidak pernah nak lekat di rumah. Lebih selesa travel ke sana sini kononnya hendak mencari pengalaman. Lama kelamaan abangnya sudah jarang pulang ke rumah. Mereka hanya berbual menerusi laman sosial Facebook dan Whatsapp sahaja. Itu pun hanya untuk memberitahu kedudukannya di mana.

“Emm tak apalah. Kalau mummy dengan daddy busy, mummy suruh abang Naz tengokkan Rie kat sini sebulan sekali. Mungkin lepas ni mummy nak usulkan pada daddy untuk buka cawangan restoran di sini pula untuk abang Naz uruskan. Jadi Rie tak perlu duduk sorang lagi kat sini,” ujar Puan Sri Azyan tiba-tiba. Masih tidak tenang untuk meninggalkan Arisa sendirian di bumi Malaysia.

Terus Arisa terkedu selepas mendengar cadangan itu. Mendengar sahaja nama Naz disebut, terus riak wajahnya berubah.

“Ala mummy, Rie okey ajelah. Abang Naz kan busy dengan restoran kat sana. Biar ajelah dia fokus kerjaya dia. Rie tak nak ganggu dia la. Lagipun kat sini Rie ada pak ngah. Bukan jauh pun rumah pak ngah dari rumah ni.” Arisa cuba mencipta alasan. Kalau boleh dia tidak mahu bersama dengan abang sulungnya, Nazrul.

Puan Sri Azyan memandang wajah anaknya apabila merasakan kelainan pada nada suara itu. Sedangkan awal tadi Arisa bersemangat ingin memujuk Izwan pulang tetapi apabila menyebut nama anak sulungnya itu, terus nada ceria itu berubah.

“Rie...” tegurnya perlahan. Seakan-akan mengerti apa yang bermain di fikiran anak gadisnya itu.

 “Mummy harap Rie balik sini bukan ada sebab lain selain dari belajar. Mummy dan daddy sayangkan Rie. Abang Iz sayangkan Rie. Abang Naz pun sayangkan Rie. Tapi andai Rie buat sesuatu di luar jangkaan, Rie tahu kan apa yang abang Naz akan buat?” sambung wanita itu lagi namun dengan suara yang lemah lembut.

Dia tidak mahu bercakap banyak tentang kisah lalu tetapi dia tidak mahu Arisa membuat sesuatu yang bukan-bukan. Kerana kejadian lalu, hubungan kekeluargaan jadi hambar. Meskipun makan semeja, keluar bersama tetapi jauh di sudut hati tidak sama. Tiada kemeriahan seperti dahulu meskipun senyuman terukir di bibir.

Arisa hanya tersenyum. Namun senyumannya kelat. Kepalanya ditundukkan. Jemarinya mengelus selimut tebalnya itu. Kata-kata mummynya dibiarkan sepi. Kejadian 6 tahun yang lalu masih segar di ingatannya. Kejadian yang membuatkan hubungan rapatnya dengan abang sulungnya menjadi renggang.

“Nanti Rie cuba pujuk abang Iz. Mana la tahu tiba-tiba dia berminat nak balik. Kat Malaysia ni pun masih banyak tempat menarik. Kalau dia nak travel sangat, Rie suruh ajelah dia travel dalam Malaysia ni.” Arisa segera mengubah topik.

“Rie...” Puan Sri Azyan tidak mampu bersuara banyak. Dia tahu Arisa sekadar ingin meloloskan diri daripada topik itu. Tetapi naluri seorang ibu membuatkan dia lebih berhati-hati pada setiap tingkah laku anak-anaknya.

“Ala mummy. Don’t worry la. Rie ingat pesanan semua orang. Yang dah lepas tu, biarkan ajelah. Rie nak fokus study kat sini aje. 3 tahun aje mummy. Tak boleh ke cuba bagi peluang pada Rie untuk berdiri di atas kaki sendiri?” jawab Arisa sedikit rimas.

6 tahun hidupnya dikawal. Masih tidak cukup lagikah? 6 tahun bersama keluarganya tetapi bagaikan bersama dengan orang asing sahaja. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Tiada siapa pun ambil kisah tentangnya. Tapi sekarang apabila dia mengambil peluang untuk kembali ke Malaysia seorang diri, semuanya mula menjadi cacing kepanasan.

“Rie...”

“Ah mummy, Rie nak rehat la. Hari pertama yang sangat memenatkan. Rie masih ada banyak barang yang belum sempat dikemaskan,” celah Arisa pantas. Dia terus membaringkan tubuhnya dan menarik selimut hingga ke kepala.

Dia tahu andai dia meneruskan perbualan, pasti mummynya akan mula bercakap tentang kejadian itu. Biarpun sudah 6 tahun berlalu tetapi semua orang masih bimbang dengan kejadian itu. Sedangkan tiada apa yang perlu dirisaukan lagi. Apa yang pergi, tidak dapat dikembalikan lagi. Apa yang berlaku, tidak dapat diputarkan kembali.

Puan Sri Azyan tidak mampu meneruskan kata-katanya. Dia hanya menepuk perlahan hujung kaki Arisa yang tersembunyi di sebalik selimut itu.

‘Maafkan mummy sayang..’ ujarnya dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni