Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
23,968
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

“WELCOME back, Adriana Ari...” Belum sempat Ashraf ingin menghabiskan ayatnya, satu tumbukan kecil hinggap di kepalanya membuatkan dia mengaduh sakit. Dia menggosok kepalanya yang masih terasa sengal itu. Ergh!

Baru duduk di atas kerusi batu itu dah kena ‘hempap’ dengan penumbuk kecil Arisa. Ah malang! Mujur tiada orang lalu lalang di kawasan taman itu.

Arisa tersengih. Namun lebih kepada sengihan jahat. “Kau panggil nama penuh aku sekali lagi, memang koma kau dalam masa 2 minit lagi...” ugutnya keras. Pantang sungguh orang memanggil nama penuhnya.

Eryna hanya ketawa kecil. Sungguh dia rindukan pergaduhan itu. Tatkala abangnya, Ashraf dan Arisa bersama, memang riuh rendah mulut itu bergaduh.

“Alah dia ni. 3 tahun tak jumpa, nak bergurau sikit pun tak boleh,” rungut Ashraf.

No way. Jangan sesekali panggil nama penuh aku. Kalau kau teringin nak makan nasi guna straw, kau buat la,” ugut Arisa sambil mengacu penumbuk ke arah Ashraf.

Ashraf membuat muka. Tangannya masih tidak berhenti menggosok kepalanya. Nampak sahaja kecil tapi pukulan itu boleh tahan juga.

“Ni dah kenapa pakai uniform lelaki?” tanya Ashraf aneh. Dari jauh tadi macam nak marah la juga bila lihat adiknya bersama lelaki di bawah pohon rimbun tu. Rupanya si lelaki jadian a.k.a Arisa. Pelik-pelik sungguh la perangai dia ni!

“Fashion,” jawab Arisa selamba.

Eryna menarik telinga Arisa. “Banyak la kau punya fashion. Bila uniform perempuan kau nak sampai hah?”

“Ala kau ni Eryna. Esok-esok aku pakai la,” jawab Arisa sambil menggosok telinganya yang ditarik Eryna. Tak sakit pun sebenarnya. Acah-acah aje pun.

Ashraf yang sedari tadi menjadi pemerhati hanya ketawa. “Bila nak hilang perangai gila tu Rie?”

Arisa hanya menjongket bahu dengan wajah selambanya. Semua orang asyik tanya tentang perangai gilanya. Teruk sangatkah? Baginya biasa sahaja. Mengisi masa lapang.

“Tak payah tanya la bang. Rie tetap Rie. Satu kelas pucat lesi semalam disebabkan perangai gila dia ni,” luah Eryna, menceritakan kisah yang berlaku semalam. Kata-kata itu membuatkan Ashraf hanya mampu menggeleng kepala.

Iyalah, kalau dah namanya Adriana Arisa, cakap sampai nak pecah gegendang pun belum tentu gadis itu ambil peduli.

 “Ash, kau rindu aku tak?” tanya Arisa nakal sambil membuat muka comel di hadapan lelaki itu. Biarpun Ashraf tua setahun darinya tetapi dia tetap menggunakan aku-kau apabila berbual dengan lelaki itu. Mungkin juga kerana hubungan mereka rapat, dia sudah terbiasa bersikap selamba dengan lelaki yang merupakan abang kepada Eryna.

“Rindu. Rindu nak cari pasal,” jawab Ashraf selamba membuatkan Arisa menjeling tajam.

“Semalam aku bagitahu dia yang kau dah balik, dia tuduh aku penipu. Tak guna punya abang,” adu Eryna tidak berpuas hati. Ada ke patut abang sendiri tidak percaya kata-kata adiknya. Malah dituduh penipu pula.

“Ala Ryn ni, abang bukannya sengaja nak tuduh Ryn macam tu. Ingatkan Ryn gurau aje. Bukannya abang tak kenal dengan perangai Ryn, suka menyakat abang,” balas Ashraf masih tidak mahu mengalah.

Sewaktu Eryna memberitahu tentang Arisa, dia hampir tidak percaya sahaja. Terus dia selongkar Facebook gadis itu. Tiada check in di Malaysia pun. Sunyi sepi sahaja media sosial gadis itu. Tapi apabila bertemu di hadapan begini, dia tidak mampu bersuara. Arisa memang sudah pulang. Arisa memang ada di hadapannya dengan perangai selamba seperti biasa!

Arisa ketawa. Terus berubah moodnya selepas melihat pergaduhan adik beradik itu. “Ala korang ni benda kecil macam tu pun korang nak gaduh. Releks ah, sekarang aku memang dah ada depan mata korang kan. Tak payah nak bertengkar. Keep calm and keep cool. Yeah!”

“Yeah, alright!” Ashraf menggosok rambut Arisa berkali-kali sehingga rambut pendek gadis itu kelihatan kusut. Kemudian dia ketawa sendiri apabila melihat renungan tajam Arisa.

“Keep calm and keep cool,” ejek Ashraf selamba sambil menunjukkan dua thumb up pada Arisa.

“Otak kau!” Arisa terus menendang betis kanan Ashraf. Angin sungguh dia apabila rambutnya dirosakkan sebegitu rupa.

“Aduh!” Ashraf terus menunduk ke bawah sambil menggosok betisnya. Oh my god! 3 tahun tak jumpa, dah pakai besi kat kaki ke apa?

“Haa... usik lagi. Usik lagi banyak-banyak. Esok datang sekolah pakai tongkat,” sorak Eryna dalam nada sindiran.

Arisa terus membetulkan rambutnya yang tidak terurus itu. Menyesal dia menanggalkan topinya dari kepala.

“Rie, tak boleh ke sopan sikit perangai. Jadi lembut sikit. Macam mana lelaki nak dekat kalau perangai macam ni,” tegur Ashraf. Setahunya Arisa tidaklah sekasar begitu. Tetapi 3 tahun tidak berjumpa, dia merasakan Arisa semakin kasar.

“Penting ke?” tanya Arisa ringkas.

 “At least penampilan tu jaga la. Tak perlu la sampai berpakaian lelaki,” nasihat Ashraf lembut.

“Tengoklah macam mana,” balas Arisa malas-malas. Dah cair tahi telinganya mendengar orang disekeliling membebel.

Ashraf hanya mampu menggeleng kepala. Ah kalau dah namanya Arisa, cakap apa pun tak masuk dalam otak.




ARISA dan Eryna berpelukan tangan sambil berjalan lagak kanak-kanak kecil sahaja. Mata-mata yang memandang ke arah mereka tidak dipedulikan. Sudah tentulah mata memerhati kerana perempuan dan ‘lelaki’ bermesraan di khayalak ramai.

“Rie, jom makan kek. Aku rindu gila kot pastri kat Perancis,” rengek Eryna.

Mana tidaknya, manisan dari negara itu bukannya sebarangan manisan. Bukan sahaja sedap malah mempunyai corak dan bermacam jenis aneka pilihan. Adakalanya membuatkan mereka tidak sanggup untuk menelan kerana terlalu cantik hiasannya.

Untuk penggila manisan seperti mereka amat sesuai tinggal di Perancis. Rambang mata hendak memilih. Silap-silap dah penuh satu meja.

On aje!” jawab Arisa ringkas.

Memandangkan mummynya sudah bertolak ke Perancis pada awal pagi tadi, bolehlah dia melepak dengan sahabat lamanya itu. Lagipun barang-barang di dalam biliknya sudah siap diatur. Jadi kalau dia balik ke rumah pun, tiada apa yang dia boleh buat. Bersendirian juga di dalam vila yang besar itu. Sunyi dan sepi.

“Eryna, aku tunggu kau kat pintu pagar utama. Aku nak bagitahu Kelvin dulu,” ujar Arisa, hampir terlupa tentang itu.

Alright. Aku pergi cari abang aku kejap.” Eryna terus meninggalkan Arisa dan menuju ke bangunan Department of Culinary. Matanya meliar mencari kelibat Ashraf. Untuk seketika dia tersenyum nakal.

Dari jauh dia sudah nampak kelibat dua orang lelaki sedang berjalan di koridor itu. Seperti biasa, para gadis yang ada di sekeliling akan tersipu-sipu malu. Ada golongan yang berani sikit akan menghulurkan surat cinta kepada dua orang lelaki itu. Dua orang lelaki itu sering menjadi tumpuan terutamanya di Department of Culinary itu.

Eryna berpeluk tubuh. Berdiri di satu sudut menunggu dua orang itu mendekatinya. Dia hanya sekadar memerhati gadis-gadis yang bermacam-macam ragam itu.

“Ryn!” Ashraf mengangkat tangan menyapa adiknya.

“Amboi jejaka idaman melaya. Bukan main ye...” sindir Eryna sambil melirik mata ke arah abangnya dan juga lelaki di sebelah abangnya, Kheiry.

“Abaikan. Diorang bukan tengok abang, diorang tengok jiran sebelah ni hah.” Jari telunjuk Ashraf merunding ke arah Kheiry. Lelaki yang selalu menjadi idaman gadis di akademi itu.

Kheiry hanya mempamerkan riak wajah selamba. Tiada niat hendak membalas. Lagipun dia tidak berminat tentang semua itu. Malah dia langsung tidak ambil peduli tentang itu. Seperti biasa, dia hanya mempamerkan wajah aisnya yang tiada reaksi.

Eryna tersengih. Kedua jejaka idaman malaya akademi itu memilik sifat yang berbeza. Abangnya, Ashraf seorang yang peramah manakala kawan baik abangnya, Kheiry seorang yang pendiam. Ketika melintasi gadis-gadis yang tergila-gilakan mereka, Ashraf hanya mempamerkan senyuman kecil. Berbeza pula dengan Kheiry yang hanya membuatkan orang-orang di sekelilingnya bagaikan tidak wujud. Meskipun memiliki personaliti yang berbeza tetapi kehebatan mereka tiada tandingan. Sering kali nama mereka menjadi sebutan dek kelebihan yang ada pada mereka.

“Ada kafe manisan baru buka dua hari lepas. Abang Eiry nak ikut kitorang pergi makan tak?” tanya Eryna kepada Kheiry.

“Pergi dengan Rie sekali ke?” pintas Ashraf.

Eryna mengangguk.

Ashraf memandang Kheiry. Macam dah dapat baca apa yang bermain di fikiran sahabatnya itu.

Sorry Ryn, abang Eiry ada hal sikit,” ujar Kheiry sambil memandang gadis itu.

“Tak apa. Nanti bila-bila free, kita pergi la sama-sama. Kan abang Ash.” Eryna melemparkan senyuman kecil. Tidak mahu memaksa kerana dia tahu Kheiry tidak suka dipaksa. Sikap lelaki itu sukar dijangka. Adakalanya dia tidak tahu apa yang bermain di fikiran lelaki itu tetapi Ashraf lebih memahami segalanya.

Dia mengenali Kheiry semenjak pulang ke Malaysia. Mereka satu sekolah dan lelaki itu adalah senior dan juga kawan pertama yang berkawan dengan abangnya. Mereka mula rapat dan sering menghabiskan masa bersama. Cumanya Kheiry jenis lelaki yang tidak banyak bercakap. Di tangannya sentiasa ada buku walaupun ke mana sahaja dia pergi.

Kheiry hanya mengangguk tanpa suara. Dia memandang Ashraf namun Ashraf hanya menjongket bahu.

Mereka mula melangkah menuju ke arah pintu pagar. Eryna yang tadi hanya berjalan di sisi Ashraf terus berlari ke satu arah.

“Wargh!” sergah Eryna dari belakang.

“Woi!” Arisa sudah menyinga. Mujur penumbuk tidak lekat pada wajah gadis itu.

Eryna sudah terkekek-kekek ketawa. Wajah Arisa yang putih itu sudah bertukar kemerahan dek terkejut.

“Tak adalah ganas mana pun,” sindir Eryna. Dia terus merangkul leher gadis itu dan menggosok topi di atas kepala gadis itu.

Arisa merengus. “Sekali lagi kau buat macam tu, jangan salahkan aku kalau gigi depan kau patah,” ugut Arisa. Pantang sungguh dia kalau orang sergah begitu.

Eryna hanya ketawa. Ketawa yang menyakitkan hati Arisa. Niatnya hendak bergurau sahaja. Dari jauh tadi dia melihat Arisa hanya sibuk memerhati langit. Kusyuk sangat termenungnya. Jadi dia nak buat kejutan la sikit.

Dari jauh Ashraf hanya ketawa melihat gelagat dua orang itu. “Diorang berdua ni. Dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah.”

Kheiry memandang ke arah Eryna dan ‘lelaki’ yang sedang bergurau senda di hadapan pintu pagar. Mesra sungguh gayanya sampai merangkul leher bagai.

“Siapa tu?” tanya Kheiry.

“Ah, tu kawan masa aku kat Perancis dulu. Tapi kau jangan main-main dengan dia. Budak tahap IQ 200. Kau boleh sakit mental kalau cakap dengan dia,” jawab Ashraf. Sempat lagi mengutuk gadis itu. Kalau dengar di telinga Arisa, memang kena ketuk kepala la jawabnya.

Kheiry hanya mengangguk. Tidak berniat hendak bertanya lebih lanjut. Tetapi matanya rasa tidak manis pula melihat situasi begitu.

“Tak apa ke lelaki peluk Eryna macam tu?” Kheiry menjeling ringkas ke arah dua orang itu. Takkanlah Ashraf hanya membiarkan sahaja.

“Eh?”

Kheiry memandang ke arah Ashraf. Dahinya berkerut. Bingung dengan reaksi Ashraf. “Lelaki kan?”

“Tak. Dia perempuan la,” jawab Ashraf lurus.

Buku kecil yang dipegang terus terlepas dari tangan Kheiry. Terkejut bercampur bingung. Wajahnya yang tenang sudah bertukar pucat lesi. Tubuhnya kaku bagaikan patung.

“Hah?!”

Untuk kali pertama, lelaki sedingin salju itu mengeluarkan reaksi yang normal seperti orang biasa.




“DARI tadi senyum macam orang gila dah kenapa?” sindir Arisa apabila menyedari Ashraf hanya tersenyum seorang diri. Seram sejuk pula bila tengok.

“Nothing,” balas Ashraf selamba. Namun bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. Sejujurnya apa yang berlaku tadi membuatkan dia tidak mampu melupakannya. Bagaimana reaksi Kheiry apabila mengetahui gadis itu adalah perempuan.

“Rugi la abang Eiry tak ikut kita,” rengek Eryna separuh merajuk.

“Ryn takkan tak tahu, Eiry segan dengan orang yang dia tak kenal. Tunggu la nanti bila-bila diorang ni dah berkenalan, kita 4 orang keluar la sama-sama,” ujar Ashraf, mempertahankan Kheiry. Dari awal lagi dia tahu Kheiry akan menolak sekiranya ada orang lain dalam pertemuan mereka. Bukan kerana lelaki itu sombong, cuma tidak suka berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali.

“Rie, aku rasa kau patut kenal sorang mamat ni. Dia kawan rapat abang Ash.” Eryna memberi cadangan kepada Arisa.

“Hah? Perlu ke?” tanya Arisa sambil membuat muka.

Eryna tersengih kecil. Macam biasa, Arisa memang tidak berminat untuk berkawan. Elok sangat la perangai tu. Sama spesis dengan Kheiry si mamat ais.

“Rie, kenapa kau tiba-tiba balik ke Malaysia? Bukan ke kau cakap kau nak sambung belajar dekat Jepun?” tanya Ashraf sedikit pelik. Setahunya Arisa bukan main berangan nak sambung belajar di Jepun. Tiba-tiba sahaja dah pulang ke tanah air. Macam pelik aje.

“Saja. Rindu tempat sendiri,” jawab Arisa selamba. Dia hanya menyuapkan sesudu kek coklat ke dalam mulutnya.

“Ha’ah, bukan kau cakap kau dapat sambung belajar kat Jepun ke hari tu?” tanya Eryna pula.

Arisa membisu. Sekali lagi dia menyuapkan sesudu kek ke dalam mulutnya. “Aku tolak.”

Jawapan Arisa membuatkan Eryna dan Ashraf terlopong sesama sendiri.

“Are you serious?” tanya Eryna dengan mata terbeliak.

Arisa mengangguk dengan wajah selamba.

“Tak menyesal ke?” soal Ashraf pula.

“Tak,” jawab Arisa ringkas.

Eryna dan Ashraf terdiam. Masih terkejut dengan apa yang mereka dengar. Arisa pulang ke Malaysia dengan tiba-tiba. Masuk ke akademi pun dengan tiba-tiba. Sekarang mereka dapat tahu Arisa menolak tawaran belajar di Jepun. Sebenarnya apa yang bermain di fikiran Arisa? Misteri sungguh apa yang ada dalam kepala gadis itu. Sangat sukar untuk mereka jangka setiap perbuatan Arisa.

“Ada sesuatu yang berlaku ke kat Perancis?” tanya Ashraf berhati-hati. Eryna yang berada di sebelah Arisa hanya membisu.

Arisa mungkin nampak gembira dan gila-gila. Tapi di satu sudut yang tidak terlihat, gadis itu ada sesuatu yang sentiasa tersorok di dalam hati. Cuma tiada sesiapa pun yang mampu membuka kunci itu.

“Laa... apa korang ni. Suramnya topik. Releks la. Takkan disebabkan aku tolak tawaran tu dan balik ke sini pun jadi masalah,” ujar Arisa sambil menggeleng kepala. Dia terus mengambil sedikit kek dari pinggan Ashraf lalu disuapkan ke dalam mulutnya.

“Wah, perisa apa ni! Macam best aje!” Arisa sudah teruja sendiri. Kemudian dia mengambil sedikit dari pinggan Eryna pula. Matanya sudah bersinar-sinar menikmati kek itu.

Pap!

Arisa terus merenung tajam ke arah Ashraf yang mengetuk kepalanya dengan sudu.

“Kalau kau nak lari, kau kena datang kat kitorang. At least aku nak kau tahu, aku dengan Ryn selalu ada di sisi kau. Kau tak anggap aku abang pun tak apa, aku pun tak boleh nak anggap kau adik aku pun walaupun kau tu sebaya dengan adik aku. Tapi sekali sekala jangan berlagak kuat.”

Kata-kata Ashraf membuatkan Arisa terdiam. Eryna juga tidak mampu menyampuk. Dia tahu andai abangnya sudah bersikap tegas, pasti ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Mungkin abangnya nampak sesuatu yang dia tidak nampak.

“Satu lagi, esok kalau kau datang pakai uniform lelaki lagi, aku bakar uniform tu,” ugut Ashraf lagi.

“Ash...”

Ashraf memandang Arisa namun tidak bersuara.

“Kau demam ke?”

“Hahh?” Ashraf sudah menjegil matanya.

“Tak adalah. Tiba-tiba aje kau cakap yang bukan-bukan,” bidas Arisa selamba. Tidak selesa pula apabila Ashraf yang dia kenal dengan sikap ceria dan kuat mengusik tiba-tiba sahaja bercakap serius dengannya.

Ashraf merapatkan tubuhnya ke meja dan memandang tepat ke arah Arisa. “Rie, kau ni boleh tak sehari tolong ambil serius apa yang orang cakap?” Tangannya sekali lagi mengetuk kepala Arisa dengan sudu. Geram sungguh mengenangkan sikap nakal Arisa.

Arisa tersengih tanpa rasa bersalah.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni