Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
23,974
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“CIK Arisa, kita dah sampai...” Suara butler milik keluarganya, Kelvin menggerakkan dirinya dari lena. Arisa mengeliat sambil menguap. Segera dia menutup mulutnya dengan tapak tangan.

“Ah, dah sampai eh?” tanyanya sambil menenyeh mata. Dia menjenguk ke luar tingkap kereta. Sebuah bangunan megah benar-benar sudah berada di hadapannya. Pantas tangannya mencapai beg sandang dan terus membuka pintu tanpa sempat butlernya membuka. Kakinya segera menjejak ke lantai.

Thank Kelvin!” ujar Arisa ceria sebelum menutup pintu kereta.

Kelvin hanya mampu tersenyum kecil. Tidak mampu bersuara banyak. Cik muda itu selalu sahaja bersikap begitu biarpun sudah berkali-kali ditegur. Lantas dia terus memandu meninggalkan kawasan itu.

Arisa memandang tembok di pintu pagar. Memandang kepingan huruf-huruf berwarna keemasan berserta logo. Tidak cukup dengan itu, matanya meliar memandang bangunan yang tersergam indah. Sebuah bangunan ala-ala barat gabungan Perancis dan Itali. Warna putih, warna yang sangat suci. Dicampurkan sedikit warna keemasan. Nampak begitu mewah sekali.

Hanya dengan melihat di luar sahaja sudah cukup megah, apatah lagi di dalam. Dia mendepakan kedua jari telunjuk dan ibu jarinya. Ibu jari kiri bersentuhan dengan jari telunjuk kanan manakala ibu jari kanan bersentuhan dengan jari telunjuk kiri sehingga membentuk empat segi tepat. Dia mengangkat tangannya. Seolah-olah melihat bangunan dari frame itu. Mata kirinya dikenyitkan. Bibirnya mengukir senyuman.

Carnation Academy, sebuah institusi swasta untuk golongan berada dan bangsawan yang hanya mempunyai tiga aliran iaitu seni, muzik dan kulinari. Kebanyakan pelajar yang memasuki institusi ini adalah anak-anak seni, muzik dan chef terkenal. Pendidikan yang bertarafkan antarabangsa ini juga mempunyai pelajar daripada pelbagai negara.

Tiga tahun dia akan berada di situ. Tiga tahu dia akan menimba ilmu di situ. Setelah bertahun-tahun dia tidak pulang ke Malaysia, akhirnya dia pulang kembali. Dia tidak tahu sama ada dia mampu menghadapi hari-harinya di sini ataupun tidak. Entah bagaimana pula dia hendak bergaul setelah lama meninggalkan bumi Malaysia. Namun begitu, dia masih lagi boleh berbicara dalam Bahasa Melayu.

Bibirnya tersenyum kecil. Sudah cukup memandang dari luar. Apatah lagi ada mata-mata yang sudah memandang ke arahnya. Dia tidak ambil peduli. Ada juga suara-suara yang berbisik, tidak kurang juga ada yang mencebik dan ada juga seperti ada panahan hati. Jatuh cinta barangkali? Heh...

Diperbetulkan kedudukan topinya. Kakinya mula melangkah masuk. Ini dunia barunya. Dunia seni. Dunia yang bakal dia lalui untuk tiga tahun di Carnation Academy sebagai seorang pelajar aliran seni.

Langkahnya berhenti di papan kenyataan petunjuk arah. Melihat peta disekitar kawasan sekolah. Topi di bahagian depan diangkat sedikit. Mencari bangunan Department of Art. Matanya terus meliar tanpa henti dan akhirnya terhenti di satu sudut. Tulisan Department of Art itu membuatkan dia semakin tidak sabar untuk memasuki kelas itu.

Kemudian matanya meliar mencari satu tempat lagi. Bibirnya tersenyum sebaik sahaja apa yang dia cari sudah dapat. Lantas dia meneruskan langkahnya menuju ke tempat yang perlu dituju sebelum masuk ke dalam kelas.

“Rie?”

Satu suara menyapa dari belakang. Teragak-agak sahaja nadanya. Serentak itu Arisa berpaling menghadap si pemilik suara itu.

“Rie? Arisa kan?” tanya gadis itu lagi. Dia yakin tidak salah orang.

Arisa tersengih sambil membuat isyarat peace. Dia kenal sangat dengan gadis itu. Reez Eryna, kawan baiknya ketika dia berada di Perancis. Gadis itulah orang pertama yang dia kenal ketika baru berpindah ke sana. Hubungan menjadi lebih rapat apabila mereka tinggal di kawasan perumahan yang berhampiran dan akhirnya banyak menghabiskan masa bersama-sama.

“Yelah aku, Arisa a.k.a Rie. Rindulah tu,” usik Arisa, ketawa nakal sambil mencucuk bahu gadis itu dengan jari telunjuknya.

Serentak itu Eryna menggigit bibir. Perangai Arisa tidak pernah berubah. Biarpun dia gembira dapat bertemu kembali dengan Arisa namun dia masih geram dengan sikap gadis itu.

“Kau kan... tak cakap pun nak balik Malaysia. Lepas tu senyap-senyap masuk akademi ni. Tak guna betul la kau ni,” ujar Eryna dalam nada merajuk. Mana tidaknya, mereka berhubung melalui laman sosial seperti biasa tetapi tidak pula Arisa memberitahu tentang semua itu. Tup tup dah ada depan mata. Mananya tak geram.

Arisa hanya ketawa. Memang sengaja dia merahsiakan kepulangannya ke Malaysia. Surprise la kononnya. Tapi tidak menjadi pula. Entah macam mana la Eryna boleh mengenalinya dari belakang. Hancur rancangannya. Niatnya nak muncul dengan penuh kejutan, dia pula yang terkejut.

Namun dia tidak dapat menafikan bahawa dia terlalu merindui pada kawan lamanya itu. Setelah Eryna kembali ke Malaysia, hidupnya terlalu sunyi. 3 tahun mereka bersama. Walaupun masa bersama itu tidak terlalu lama tetapi itulah sahabat yang sentiasa berada di sisinya sehingga sekarang. Kini sudah 6 tahun persahabatan mereka terjalin.

Biarpun berjauhan namun mereka masih berhubung seperti biasa. Sehinggalah dia dapat tahu Eryna menyambungkan pelajaran di Carnation Academy dan meneruskan bidang seninya di sini. Sebab itulah dia beria-ria balik ke Malaysia semata-mata mahu bersama Eryna kembali.

Eryna memuncungkan mulutnya. Sakit hati melihat Arisa ketawa. Ada sahaja nak dikenakannya. Dari dulu sehingga kini, sama sahaja perangainya.

“By the way, welcome back to Malaysia,” ujar Eryna bersama senyuman. Dia mendepakan tangannya lalu memeluk tubuh Arisa.

Thank kawan.” Arisa membalas pelukan itu.

Tidak lama selepas itu Eryna menjerit kecil. Arisa sudah terkekek-kekek ketawa.

“Kau ni kan!” Eryna bergumam geram. Dia menggosok kepalanya. Sapaan Arisa masih tidak berubah. Suka benar mengetuk kepalanya. Entah datang mana perangai itu.

“Ala, dah bertahun kan kau tak kena tamparan manja aku ni. Hari ni sempena hari pertama aku jumpa kau, aku bagi la hadiah istimewa ni,” sakat Arisa dengan wajah yang tidak bersalah.

Eryna hanya mencebik meluat. “Hah, dari tadi aku tengok kau, aku memang nak tegur lama dah. Tu...” Eryna segera mengubah topik. Jari telunjuknya merunding ke arah pakaian Arisa. Dia hanya mampu menggeleng kepala memandang Arisa dari atas sehingga bawah. Hampir tidak mempercayainya. Baru balik Malaysia dah buat perangai rare. Ah! Arisa memang berperangai luar biasa. Perangai yang sukar dijangka dan perangai yang mampu membuatkan orang lain naik gila! Boleh kena darah tinggi kalau macam ni.

Arisa hanya menjongket sebelah kening kirinya dengan wajah bangga. “Well...”

Pap! Laju tangan Eryna menampar bahu Arisa. Tidak percaya. Biar betul minah ni!

Arisa tersenyum namun senyumannya lebih kepada senyuman nakal. Kemudian dia memandang jam tangannya. Terbuntang matanya apabila melihat waktu berlalu terlalu pantas.

“Ah! Aku kena jumpa pengarah ni! Kejap lagi kita jumpa. Bye!” Arisa segera mengatur langkah namun dia kembali mendekati Eryna semula.

Eryna memandang pelik.

“Bilik pengarah kat mana?” tanya Arisa kelam kabut.

“Tingkat dua,” jawab Eryna ringkas.

“Oh okey, bye!” Tangannya melambai tanpa berpaling ke belakang. Arisa mempercepatkan langkahnya. Dia perlu berjumpa dengan pengarah sebelum masuk ke kelas.

Eryna tidak mampu bersuara. Baginya Arisa sukar dijangka telatahnya. Perlahan dia melepaskan keluhan.

“Apa kau nak jawab depan pengarah dengan pakaian macam tu, Rie...”




“YO Dato’ Eiman!” sapa Arisa sambil tersengih. Sebaik sahaja disuruh masuk, dia melihat lelaki tua itu sedang menghirup teh bunga bersama seorang lelaki dalam lingkungan 50-an. Arisa mengangkat tangan tanda hormat.

“Rie, dah sampai pun,” ujar lelaki itu. Hanya mampu menggeleng kepala selepas mendengar sapaan itu. Tak ubah-ubah lagi perangai itu. Selamba tak kena tempat. Untuk seketika dia agak terkedu melihat penampilan gadis itu.

“Sorry Encik Naim, lambat sikit. Tadi terserempak dengan kawan lama,” balas Arisa jujur sambil melangkah mendekati mereka. Dia hanya tersengih apabila melihat mereka memandangnya dengan mata terbuntang.

Dato’ Eiman hanya mampu menggeleng kepala sebaik sahaja melihat Arisa merangkap anak saudaranya yang sudah berdiri di hadapan matanya. Akhirnya dia mengerti kata-kata adiknya, iaitu ibu kepada gadis itu. Siapa yang tidak pening kepala.

Sejurus itu Arisa mencium tangan Dato’ Eiman dengan penuh hormat. “Sihat pak ngah?” tanyanya sopan.

“Alhamdulillah sihat. Kalau tak, pak ngah tak ada kat sini la,” jawab Dato’ Eiman. Memang sudah masak dengan perangai anak saudarannya itu. Biarpun berperangai selamba tetapi masih tahu menghormati orang tua.

Kemudian dia menunduk hormat ke arah Encik Naim pula. “Sihat Encik Naim? Lama tak jumpa...” sambungnya lagi.

 “Alhamdulillah sihat. Err... Rie tu kan uniform...” Hampir tidak dapat disebut kata-kata seterusnya. Encik Naim merangkap pengarah Carnation Academy kehilangan kata-kata. Dipandang ke arah Dato’ Eiman, pemilik institusi swasta itu namun lelaki itu hanya mampu menjongket bahu sahaja.

Arisa hanya tersengih nakal. Seakan-akan sudah dapat membaca apa yang Encik Naim ingin katakan kepadanya. Dia terus melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan dengan Encik Naim.

“Rie ni masih tak berubah perangai dia. Duduk kat Perancis pun macam tu jugak la.” Dato’ Eiman menceritakan kebenaran. Arisa tidak pernah berubah walaupun hampir 6 tahun berada di Perancis. Dia tidak perlu bercerita banyak pada Encik Naim kerana lelaki yang merangkap kawan baiknya itu sudah mengenali Arisa sejak kecil lagi.

Encik Naim hanya mengangguk. Dia mengerti maksud Dato’ Eiman. Adriana Arisa sememangnya sukar dijangka telatahnya. Jadi tidak hairan kalau ada sesuatu yang gila diperlakukan oleh gadis itu.

“Tak mengapa la Rie. Apa-apa pun Rie dah jadi pelajar di akademi ni. Belajarlah dengan selesa kat sini. Sesuaikan diri dengan persekitaran baru. Lama-lama nanti Rie dapat biasakan diri balik,” ujar lelaki itu, menyambut kedatangan Arisa ke akademi mereka. Siapa sangka gadis itu akan menyambung pelajarannya di sini.

“Terima kasih Encik Naim. Saya akan berusaha sebaik mungkin,” ujar Arisa penuh bersemangat di hadapan pengarah dah pemilik akademi itu.

Dia gembira kerana dapat menyambungkan pelajarannya di situ. Bukan kerana berstatuskan anak saudara Dato’ Eiman tetapi kerana dia mahu berada di situ. Di bumi kelahirannya. Sudah cukup 6 tahun dia merantau ke tempat orang. Tiba masanya untuk dia kembali menghadapi kehidupannya di atas kakinya sendiri.

“Uniform tu, nanti nak jawab apa?” celah Dato’ Eiman berupa soalan. Jari telunjuknya menunjuk ke arah uniform yang tersarung di tubuh gadis itu.

Arisa terus tersengih. “Ala pak ngah. Tergugat la bila tengok uniform ni. Cantik sangat...” ujar Arisa selamba sambil menilik uniform yang tersarung di tubuhnya. Serentak itu dia bangun dari tempat duduknya dan mendepakan tangannya di hadapan mereka.

Handsome tak Rie hari ni?” tanya Arisa sambil memusingkan tubuhnya berkali-kali. Sejurus itu jarinya membuat gaya seperti pistol dan dirapatkan ke dagunya. Bibirnya tersenyum manis menampakkan kedua-dua belah lesung pipitnya.

Encik Naim tertawa kecil. Manakala Dato’ Eiman hanya mampu menggeleng kepala apabila melayan kerenah Arisa.

“Yelah Rie. Pening pak ngah nanti kena hadap kamu 3 tahun ni,” ujar Dato’ Eiman. Tidak tahu la apa yang akan jadi 3 tahun akan datang. Hari pertama pun sudah nampak ‘huru-haranya’. Esok entah macam mana pula.

Adriana Arisa, anak saudaranya itu berperangai lain daripada yang lain. Ditegur beribu kali pun belum tentu Arisa akan mendengar. Sudah azali berperangai sebegitu. Perangai masih tidak berubah. Masih dengan sikap selamba dan keras kepalanya. Suka membuat perkara di luar jangkaan orang lain. Akan tetapi, Arisa tidak pernah memburukkan nama keluarga meskipun sikapnya begitu.

Serentak itu Arisa menggembungkan pipinya. Dia faham dengan sindiran itu. “Ala pak ngah ni. Rie gurau ajelah,” rajuk Arisa lantas duduk di sofa semula.

Lelaki itu hanya ketawa. “Iyalah Rie. Pak ngah tahu Rie macam mana. Rie takkan buat onar kat tempat ni. Apa-apa pun paling penting Rie kena belajar bersungguh-sungguh. Rie dah tolak peluang besar semata-mata nak datang ke sini. Jangan menyesal pula,” ujarnya penuh makna yang tersirat.

“Rie tak menyesal.” Tegas nada suara Adriana. Kerana dia mengerti maksud tersirat di sebalik kata-kata pak ngahnya itu.

Dato’ Eiman hanya mengangguk sambil tersenyum. Dia tidak berniat hendak mengungkit lagi. Dia yakin Arisa membuat keputusan yang betul walaupun peluang besar sudah berada di hadapan matanya. Mungkin jiwa Arisa masih di Malaysia biarpun hampir 6 tahun menetap di Perancis.

“Ah satu lagi pak ngah, Encik Naim. Boleh tak tolong rahsiakan Rie adalah anak saudara pemilik akademi ni? Rie tak nak la orang cakap-cakap belakang,” pinta Arisa penuh hormat.

Dia berada di situ bukan kerana dia anak saudara pemilik akademi itu. Dia masuk dengan cara yang baik. Bukan kerana kuasa pak ngahnya. Dia juga tahu sistem di akademi itu bukan sistem biasa. Selain dikhaskan oleh golongan berada dan bangsawan, kemasukan pelajar juga dinilai berdasarkan pencapaian akademik dan kokurikulum. Jadi bukannya biasa-biasa akademi ini. Fokus mereka hanyalah pada golongan yang terlahir dalam keluarga yang fokus pada pembangunan seni, muzik dan kulinari. Tidak hairanlah bekas pelajar di sini banyak yang telah mengharumkan nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kemasukannya kali ini berdasarkan pencapaiannya. Biarpun kemasukkan pada minggu kedua tetapi semua itu tidak mampu menghalangnya untuk masuk ke Carnation Academy. Dia ada sebab tersendiri mengapa dia terpaksa melewatkkan kemasukannya. Jadi dia tidak suka andai timbul gosip yang tidak baik tentangnya. Apatah lagi kalau dikaitkan dengan ahli keluarganya. Walaupun dia tidak membuat perkara yang tidak baik tetapi mulut orang lain sukar dijangka.

“Baiklah.” Dato’ Eiman mengangguk faham. Mengerti pemintaan anak saudaranya itu. Encik Naim turut mengangguk. Tiada bantahan tentang pemintaan di gadis itu.

“Jadi Encik Naim, bila boleh masuk kelas? Tak sabar-sabar nak masuk belajar ni.” Arisa sudah tersengih penuh makna. Sebentar lagi pasti ada sesuatu yang menarik akan berlaku.

Segera Encik Naim memandang jam tangannya. Tidak sedar masa pantas berlalu. “Jomlah Rie, kita kenal-kenal dengan rakan sekelas Rie.”

Arisa sudah keriangan. Terserlah kegembiraan di wajahnya. Semangatnya makin berkobar-kobar.

Welcome to Department of Art. Yeah!


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni