Home Cerpen Umum Jejaka popia
Jejaka popia
Nik Zah
2/10/2015 18:53:45
3,264
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

“ Ijat, oo Ijat!” laung Temah yang baru pulang dari kebun.Temah menyeka peluh di wajahnya dengan tuala kecil putih good morning yang disangkut di bahu. Tuala kecil itu yang asalnya berwarna putih sudah pun bertukar warna kepada kekuning-kuningan dan kelihatan lusuh.

“Mana kau ni Ijat? Alahai, membuta lagi ke?”Temah mula berasa geram dengan anaknya itu. Sudahla tidak bekerja, malah suka membuta pula. Membutanya mengalahkan orang yang bekerja shift. Mana Temah tak geram!

“Ye mak.” Ijat menenyeh mata sambil tangan sebelah lagi menutup mulut yang sedang menguap. Kini Ijat sudah berdiri di hadapan Temah.

“Kau baru lepas bersenam ke ni Ijat? Letih sangat mak tengok kau ni padahal kerja apa pun tak buat. Nak masuk tengahari baru nak bangun.” Marah Temah. Dia kini sudah pun menyinsing lengan baju untuk memulakan kerja di dapur pula.

“Kalau macam ni la, memang tak kahwin sampai ke tua la kau ni Ijat. Anak-anak dara pun takut nak terima pinangan kau agaknya.” Sambung Temah.

Ijat tidak membalas kata-kata ibunya. Ijat sudah kenal benar dengan sikap ibunya tetapi Ijat tahu ibunya itu tetap mengambil berat pada dirinya. Ijat berjalan perlahan-lahan menghampiri meja makan lalu membuka tudung saji. Terdapat sebungkus nasi lemak. Tanpa melengahkan masa, Ijat mengambil nasi lemak dan menyuapkan ke mulutnya. Sebenarnya sejak tadi lagi perut Ijat sudah berkeroncong minta diisi.

“Lepas ni kau tolong parut kelapa. Mak nak buat gulai ayam. Cepat tau, nanti abah balik bising pulak dia.” Arah Temah sempat mengerling sebentar ke arah Ijat yang kelihatannya berselera benar menikmati nasi lemak.

“Ala mak. Beli je la mak santan kat kedai. Susah-susah nak parut buat apa.” Balas Ijat sambil mengunyah nasi lemak.

“Beli? Amboi, banyaknya duit kau. Suruh buat kerja sikit, ada je alasan kan, Dah, lepas makan tu cepat pergi parut kelapa. Tinggal parut je pun. Kau ni orang lain makan tengahari kau baru nak makan pagi, ni la jadinya.” Temah bercekak pinggang sambil menjegilkan matanya yang sedia bulat itu.

“Ye lah, ye lah.” Balas Ijat lalu terus menuju ke singki untuk membasuh tangan.

“Aik? Dah habis makan?”

“Dah kenyang.” Balas Ijat pendek. Ijat sebenarnya malas untuk mendengar bebelan ibunya yang jika semakin dilayan semakin berjela-jela pula jadinya.

Tanpa melengahkan masa, Ijat segera melakukan apa yang disuruh oleh ibunya dan selesai tugas tersebut dia terus mencapai basikal tua milik ayahnya dan mengayuh secara perlahan-lahan agar tidak didengari oleh ibunya.

“Ijat!!”

Terdengar sahaja laungan ibunya, Ijat lantas mengayuh laju-laju basikal tersebut lalu meninggalkan pekarangan rumah.

*****

Ijat menggaru kepalanya yang tidak gatal. Entah mengapa sehingga kini dia masih tidak mendapat sebarang pekerjaan. Malu juga dia dengan kawan-kawan sekampungnya yang rata-ratanya sudah pun berhijrah dan mendapat pekerjaan. Ijat juga sebenarnya mahu juga keluar dari kampung dan memegang jawatan yang bagus. Lagipun dia juga mempunyai kelayakan yang melayakkan dia untuk memegang jawatan yang bagus seperti rakan-rakannya yang lain juga tetapi sehingga kini rezeki masih belum berpihak kepadanya.

“Kau buat bisnes jual nasi lemak je la Ijat.” Cadang Din yang merupakan rakan sekampung Ijat.

Mereka berkawan baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Kini Din melakukan kerja sendiri dengan menjual burger. Din sendiri membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung dan membuat apa sahaja jenis pekerjaan asalkan halal.

“Aku tak minat la kerja masak-masak ni. Ni kerja orang perempuan tau.” Balas Ijat lantas menggeleng kepala.

“Kau ni ada pulak fikir macam tu. Sebab tu lah otak kau tak berkembang. Kau cuba je dulu buat bisnes kecil-kecilan macam jual nasi lemak, mi goreng ke. Kau nak tumpang warung aku pun boleh. Aku tak kisah.” Din nampaknya serius dengan kata-katanya.

“Tak mahu la. Nanti hilang la kehenseman aku kalau jual nasi lemak.” Ijat tetap berkeras. Din sekadar mampu menggeleng.

*****

“Assalamualaikum bang.”

Ijat terpinga-pinga apabila disapa oleh suara kanak-kanak memberi salam. Dialihkan wajahnya ke sebelah kanan. Seorang budak lelaki berbaju T-shirt putih dan berseluar track hitam memandangnya sambil tersengih.

‘Ish, dah berapa lama aku termenung kat sini. Kalau mak tahu ni, habis aku.’ Ijat mula risau apabila teringatkan wajah ibunya.

“Waalaikumussalam.” Jawab Ijat setelah mengambil masa beberapa saat untuk mengenali kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak itu sering kali dilihat menjual pelbagai jenis kerepek dari rumah ke rumah. Ijat tahu kanak-kanak itu hidup susah, dan kesusahan itu dapat dilihat terus daripada pakaiannya yang lusuh. Ijat juga perasan ibunya ada juga membeli beberapa kali kerepek dengan kanak-kanak tersebut walaupun pada hakikatnya ibunya sendiri tidak meminati kerepek. Kesudahannya, Ijat yang menghabiskan kerepek-kerepek tersebut jika tidak, mungkin kerepek itu terbiar dan berkulat. Rugi.

Kanak-kanak itu memegang sebuah bakul lalu menunjukkan isi yang terkandung di dalam bakul tersebut satu persatu kepada Ijat.

“Bang, ni ada macam-macam jenis kerepek ni bang. Ada kerepek pisang tanduk. Kerepek ubi pun ada bang. Abang nak beli tak? Murah je bang. RM1 je satu bang.” Bagai bertih jagung kanak-kanak tersebut mempromosikan barangan jualannya.

Ijat memandang kosong ke arah kerepek-kerepek yang masih dipegang kanak-kanak tersebut.

“Adik tak pergi sekolah ke?” tiba-tiba terpacul soalan yang tidak diduga dari mulut Ijat.

“Saya hidup susah bang. Tak ada duit nak bayar yuran.” Jawab kanak-kanak itu berterus terang.

Tiba-tiba ada satu perasaan sayu hinggap di hati Ijat tatkala melihat kanak-kanak tersebut yang tidak lekang dengan senyuman itu.

“Err, berapa ye?” Tanya Ijat lagi.

“RM 1 je bang.” Ulang kanak-kanak tersebut masih juga tersenyum.

Ijat meraba poket seluarnya, mana la tahu jika ada duit terselit. Ijat memandang lagi kanak-kanak tersebut.

“Minta maaf dik, abang tak ada duit.” Jawab Ijat dan dia tahu jawapan itu pasti akan mengecewakan kanak-kanak tersebut.

“Tak apa bang.” Balas kanak-kanak itu dan mula untuk beredar dari situ.

“Dik, sekejap dik.” Panggil Ijat semula lantas kanak-kanak itu berpaling semula memandang Ijat.

“Nanti abang ambil duit sekejap. Adik tunggu kat sini ye.”

Ijat lantas mengayuh basikal tua dalam keadaan tergesa-gesa. Jelas dapat dilihat wajah kanak-kanak itu yang terpancar kegembiraan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, bermacam perkara yang Ijat fikirkan. Kesungguhan kanak-kanak tersebut mencari rezeki walaupun di usia yang masih muda cukup menginsafkan Ijat. Kesempitan hidup yang dilalui membuatkan kanak-kanak itu tekad mencari rezeki walaupun terpaksa mengorbankan masa depan sendiri. Berbeza benar dengan dirinya.

*****

“Wah, makin maju jualan popia kau ni Ijat. Kalah burger aku.” Puji Din melihatkan kesungguhan Ijat membungkus popia.

“Sikit-sikit je Din. Modal ni pun aku pinjam dengan mak abah aku tau.” Ijat ketawa mengekek.

Ijat masih teringat bagaimana dia berusaha untuk meyakinkan ibu dan bapanya bahawa dia bersungguh-sungguh ingin membuat bisnes.

“ Betul ke ni Ijat? Entah-entah barang apa la yang kau nak beli.” Kata Temah penuh perasaan curiga. Bukannya Temah tidak mempercayai anaknya itu tetapi Temah sedikit pelik dengan sikap Ijat yang tiba-tiba meminta duit.

Kini walaupun bisnesnya masih terlalu baru, tetapi Ijat tekad untuk berusaha. Kesungguhan kanak-kanak penjual kerepek yang dijumpai sebelum ini benar-benar membakar semangat Ijat.

Kini Ijat mula dikenali sebagai ‘jejaka popia’ di kampungnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.