Home Cerpen Umum MENCARI MENTARI
MENCARI MENTARI
Noreey
5/1/2017 11:21:17
3,138
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

MENCARI MENTARI

        Hari ini mendung berkampung di langit. Sirna sudah cahaya mentari bulan December yang sudah mencecah hari ke 15 setelah mempamerkan wajah mulusnya sehari suntuk semalam. Di sebuah kamar di rumah sewa di pinggir bandar Machang, seorang perempuan yang usianya sudah mencecah 28 tahun kelihatan berwajah sugul. Di birai katil yang memuatkan tilam bujang yang sudah usang perempuan itu bermenung. Telefon bimbit di dalam genggamannya direnung kembali. Telefon itu baru saja memberinya khabar yang menyakitkan.

       “Liyana, aku nak kamu tarik balik report yang kamu buat pada anak aku Sufian!”

        “Kenapa pulak?

        “Kalau kamu tak mahu tarik balik, aku tak akan izinkan kamu datang jumpa Aqif!”

        “Tapi Sufian tu dah melampau!”

         “Aku tak kira! Disebabkan tindakan kau lah Sufian dah masuk lokap polis sekarang, kamu faham tak?!” Suara marah Pak Hisham di corong telefon sebentar tadi terus bergema di telinga Liyana.

         Dia tidak kisah tentang Sufian yang sudah pun dicekup pihak polis, tetapi dia lebih kisahkan anaknya. Aqif Iskandar yang sudah berusia sembilan tahun satu-satunya zuriat hasil perkahwinannya dengan Sufian. Dia terlalu rindukan anak lelakinya itu. Sudah hampir tiga bulan dia tidak bertemu dengan Aqif Iskandar. Nalurinya sebagai seorang ibu teramat menyayangi dan merindui. Kerana terpaksa dia telah menyerahkan Iskandar pada bekas suaminya setelah didesak oleh keluarga lelaki itu.

Terkenangkan bekas suaminya Sufian, lelaki yang akan mencecah usia 31 tahun pada tahun baru yang akan menjelma 16 hari lagi, hati perempuannya tiba-tiba saja membara dengan rasa marah. Kejam! Kau lelaki kejam Sufian! Air mata Liyana terus saja mengalir sambil mengingati satu persatu kenangan pahit beberapa bulan sebelum itu...

***

           Pulang dari kerja petang itu seperti biasa terus saja dia mandi dan bersiap-siap dan terus ke rumah Mak Lijah. Hasratnya hanya satu, ingin menjemput anaknya Aqif Iskandar. Ketika dia tiba di situ, kelihatan anaknya sedang nyenyak tidur mungkin kerana sudah seharian letih bermain dengan kawan-kawan. Beberapa kali dia memanggil Aqif, sambil menggerakkan badan Aqif. Tetapi anaknya begitu nyenyak tidur.

“Dia tidur tu, biarkanlah dia kat sini. Lagi pun esok dia nak ke sekolah. Kalau duduk kat rumah engkau pun entah-entah esok belum tentu ke sekolah. Kau tu tidur lewat, asyik melayan telefon je kerja kau malam-malam! Sudahnya esok bangkit pukul lapan!”

“Mak Ijah cakap baik-baik sikit! Jangan jaga tepi kain saya, suka hati sayalah nak tidur pukul berapa pun!” Balas Liyana. Dia membahasakan panggilan ‘Mak Ijah’ pada bekas ibu mertuanya setelah perempuan itu tidak mengizinkan dia untuk memanggilnya dengan panggilan mak.

“Engkau ni kan, tahu beranak je! Dah berapa kali Aqif tak ke sekolah ada kau ambil kesah? Aku ni kan, dah tak larat nak jawab dengan cikgu kat sekolah tu pasal Aqif! Kalau macam ni lah perangai engkau, baik kau serahkan saja Aqif tu pada kami. Biar kami yang jaga. Aku ni neneknya, bukan orang lain!” Kecoh suara Mak Lijah ketika itu, menaikkan darahnya. Liyana hanya terdiam bila dileteri begitu. Hajatnya untuk menjemput Aqif balik ke rumah petang itu nampaknya sukar.

“Mak Ijah ni kan, macam tak ada perasaan! Aqif ni anak saya, saya tahu lah nak jaga anak saya macam mana, kalau setakat beberapa hari tak ke sekolah bukan jadi masalah besar pun!” Balas Liyana dengan suara meninggi juga, geram sudah dia.

“Eh! Kurang ajarlah kau ni!” Jerit bekas ibu mertuanya.

“Mak Ijah yang buat saya jadi kurang ajar, saya datang dengan baik tapi marah-marah saya kenapa?” Balas Liyana lagi, masih juga dia tidak berpuas hati.

Tidak mahu terus berlawan dengan kemarahan bekas ibu mertuanya Liyana terus menuruni rumah kayu yang bertangga usang itu. Ketika dia sudah menghidupkan enjin motorsikalnya, kedengaran suara garau Sufian menjerit ke arahnya.

“Liyana, kau tolong hormat sikit! Ni ibu aku...” Liyana menoleh seketika, air muka bekas suaminya nampak menyinga. Dengan tidak mengendahkan gelagat lelaki itu terus saja dia melajukan motorsikalnya. Jarak rumah mereka tidaklah jauh sangat. Ketika Liyana tiba di halaman rumah, dia tidak menyangka bekas suaminya turut mengekorinya dengan motorsikal sambil membawa sebatang kayu hoki.

Liyana terjerit sambil cuba membelakangi untuk mengelak pukulan lelaki itu. Dia terduduk di halaman rumahnya dengan sebuah raungan, manakala Sufian terus pulang selepas melampiaskan amarahnya terhadap Liyana.

Jauh ingatan Liyana sambil tangan kirinya meraba ke bahagian bahu kanan. Rasa sakit di situ masih bersisa hingga sekarang.

.....

      Ketukan di pintu menghentikan tangan tua Mak Lijah yang sedang menguli doh untuk membuat kuih karipap. Pak Hisham yang sedang bersandar di tepi pintu sambil menonton televisyen tidak sedikit pun berganjak sebaliknya hanya memandang isterinya. Mak Lijah. Perempuan yang baru tiga tahun melewati usia 50an itu dengan wajah cemberut bingkas bangun menuju ke pintu.

     “Kami polis! Ini rumah Sufian Bin Hisham?”

     “Ya. Ada apa Encik?”

     “Kami membawa waran tangkap untuk menahan Sufian Bin Hisham!”

     “Tapi, kenapa Encik?”

       “Dia disyaki melakukan kesalahan jenayah!”

       “Kesalahan jenayah?”

       “Ya! Pihak kami menerima aduan, Sufian Bin Hisham telah mencederakan bekas               isterinya, Liyana Binti Zain”

        “Mustahil... Tak mungkin anak saya berbuat begitu!” Nafi Mak Lijah.

        “Sila benarkan kami masuk!”

Mak Lijah terlonglai di tepi pintu...

.....

         “Saya boleh tarik balik report saya tu, tapi bolehkah Pak Hisham sekeluarga mengembalikan kesihatan saya seperti dulu?”

         “Arghh!!! Aku tak kira, aku nak kau tarik balikreport tu. Kalau kau masih ingin berjumpa dengan anak kau, buat je apa aku suruh!” Arah Pak Hisham pada awal pagi keesokannya melalui panggilan telefon.

        “Baik. Saya akan ikut. Tetapi, tolong beritahu juga pada Sufian agar jangan ganggu lagi hidup saya. Selama ini Sufian selalu mengekori ke mana saja saya pergi. Saya bukan isterinya lagi. Tolong biarkan saya menentukan arah perjalanan hidup saya. Tentang Aqif, saya akan tetap datang melawat dia setiap bulan. Dan saya berjanji bila saya dah dapat pekerjaan tetap, saya akan menuntut balik hak jagaan terhadap Aqif!” Jelas Liyana dengan tegas.

.......

        Liyana melangkah longlai keluar dari Balai Polis di pekan Pasir Mas. Air matanya bertakung di birai mata lalu dengan laju mengalir di pipi.

       “Aqif, maafkan ibu. Ibu kena pergi kerja. Aqif tinggal dengan Nek Jah ya. Aqif jangan nakal-nakal, ikut cakap Nek Jah. Bila dah ada duit nanti ibu janji akan datang jumpa Aqif,” ujar Liyana sebak. Terubat sejenak rasa rindu pada satu-satunya zuriat hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya, Sufian. Rumahtangga yang dibina atas dasar cinta bersama dulu hanya mampu bertahan selama tiga tahun saja.

        Selepas memeluk dan mencium anaknya Aqif Iskandar yang berusia sembilan tahun, keluarga bekas suaminya terus membawa anak kecil itu masuk ke kereta. Liyana hanya mampu mengalirkan air mata pilunya melihat anaknya dibawa pergi. Dia sedar sekarang, betapa dia begitu naif dulu. Agaknya inilah hukuman pada kenaifannya itu.

         Kepincangan didikan agama di dalam keluarga, buat dia dan Sufian terlanjur sebelum bernikah. Cinta buta yang berlandaskan nafsu membenihkan zuriat yang tidak halal. Tiga bulan Aqif di dalam kandungannya, baru dia mengadu pada ibunya. Seluruh keluarganya heboh dengan berita kehamilannya. Sufian mengaku dan bertanggungjawab dengan perbuatannya, lalu mereka segera diijab kabul.

         Setelah hidup bersama dengan Sufian baru dia faham dan kenali lelaki itu sebenarnya seorang yang pemarah dan pemalas. Pak Hisyam, bapa Sufian rupanya seorang pengedar dadah. Sufian juga terlalu dimanjai neneknya. Sufian yang dulunya dikenali nampak bergaya dan mewah berbelanja rupanya tidak punya sebarang pekerjaan. Lelaki itu suka meminta-minta wang belanja dari neneknya, Sepiah.

        Dia mula terkenangkan janji-janji Sufian yang kononnya mereka akan ke Johor Bahru selepas mereka berkahwin. Tinggal di sana, mencari pekerjaan sambil membesarkan cahaya mata mereka bersama-sama walau dalam susah dan senang. Rupanya semua itu dusta belaka. Suatu hari Sufian mengatakan yang dia akan ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Tetapi, selang dua minggu kemudian lelaki itu kembali menemuinya di kampung. Ketika itu Aqif sudah berusia dua tahun. Dia tidak tahu apa kerja yang telah diperoleh suaminya, bila melihat suaminya begitu mewah berbelanja.

            Setelah didesak, Sufian akhirnya mengaku padanya, dia telah ke Kuala Lumpur dan mencuri barang kemas isteri bapa saudaranya. Dia yang naif hanya mendiamkan diri bila seluruh keluarga Sufian kecoh tentang hal kehilangan barang-barang kemas itu. Dia menyesal kerana turut bersubahat dengan perbuatan bekas suaminya dulu.

           Selepas kehabisan wang hasil jualan barang kemas yang dicuri itu, Sufian mula berjinak-jinak dengan pil kuda. Dari pada mengambil pil kuda, bekas suaminya mengedar pil kuda dalam kampung mereka. Bukan setakat itu saja, bekas suaminya itu terlalu banyak melalukan kemungkaran di dalam kampung. Akan tetapi, Pak Hisham dan Mak Lijah tetap menyebelahi Sufian. Sufian tetap dibela kedua orang tuanya, juga neneknya walaupun menerima banyak aduan kejahatan yang diadukan orang kampung tentang kegiatan Sufian.

            Tidak tertahan dengan perangai Sufian yang suka memukulnya ketika kehabisan wang untuk membeli pil kuda, Liyana minta diceraikan. Sufian enggan melepaskannya, lalu terjadi pergaduhan yang membuatkan Sufian melafazkan talak dua padanya. Selepas itu Sufian merayu-rayu meminta maaf dan minta rujuk kembali dengannya. Liyana terperangkap dengan janji-janji manis Sufian. Dia yang memikirkan masa depan Aqif terpaksa berkorban rasa, menerima kembali Sufian dalam hidupnya.

            Tetapi setahun selepas itu Sufian mengulangi lagi perangai lamanya. Menagih pil kuda. Peristiwa lama berulang kembali. Liyana merasa benar-benar tertipu dengan sikap Sufian. Dirinya terus menjadi mangsa sepak terajang Sufian bila dia melawan. Bapa Liyana, Pak Zain membawa kes anaknya ke mahkamah Syariah. Sufian hadir pada tarikh yang ditetapkan mahkamah dan terpaksa menceraikan Liyana.

             Kerana tinggal di kampung yang sama, Aqif kadang-kadang dijemput bekas ibu mentuanya. Aqif begitu dimanjai keluarga Sufian. Liyana terpaksa akur dengan keadaan itu kerana dia sendiri sibuk bekerja.

             Sejak berpisah dengan bekas suaminya juga, hidup Liyana tidak pernah tenang. Dia selalu diekori bekas suaminya itu. Liyana yang sudah cuba membina hidup barunya bersama lelaki lain turut terkena tempias kejahatan sufian. Suatu hari Sufian mengekori kekasih baru Liyana, lalu membelasah pemuda itu cukup-cukup. Sejak-sejak dari itu Liyana merasa cukup tertekan.

             Dia lalu memperalatkan Sufian untuk mendapatkan wang demi kelangsungan hidupnya. Sufian yang bebal itu dengan senang menghulur wang kepadanya sambil mengajak Liyana untuk rujuk semula melalui ‘Cina Buta’ , tetapi Liyana enggan. Hatinya sudah tertutup untuk Sufian kerana sikap Sufian yang enggan berubah.

            Episod duka dalam hidup Liyana bertambah pekat setelah ibunya, Mahanim kembali ke Rahmatullah kerana penyakit kencing manis. Selepas beberapa bulan pemergian ibunya, atuknya pula mengikut jejak. Bapanya Pak Zain, selepas itu bernikah lagi lalu pergi bersama isteri barunya tanpa mempedulikannya lagi. Adik beradiknya yang seramai empat orang, masing-masing membawa haluan sendiri.

           Mentari hidupnya seperti sudah hilang. Dia yang sejak kecil tidak pernah mendapat didikan agama yang sempurna, terasa melangkah dalam kehidupan yang gelita. Selalu dia berharap Tuhan akan menemukannya dengan seorang lelaki yang boleh diharap membentuk hidupnya ke arah jalan keredhaan Ilahi.

****

            Akibat dari pukulan Sufian dengan kayu hoki, tulang bahu Liyana retak. Setelah mendapat surat pengesahan doktor Liyana membuat aduan di Balai Polis tentang perbuatan bekas suaminya itu. Selepas sihat dia nekad berhijrah dari kampungnya ke daerah lain, mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depannya.

            Sekarang sudah tiga bulan dia menyewa di sebuah rumah kedai bersama kawan-kawannya, yang berkebetulan berhampiran sebuah masjid. Dia bekerja di sebuah restoran dan merasa lebih tenang di sini.

            Seminggu selepas peristiwa bertemu bekas suaminya di Balai Polis, Liyana dikejutkan lagi dengan sebuah khabar dari keluarga Sufian. Rupa-rupanya Sufian, bekas suaminya itu terlibat dengan kumpulan gangster yang memiliki senjata api. Kali ini sufian tidak boleh diikat jamin lagi.

            Airmata Liyana tak henti-henti mengalir. Bukan kerana sedihkan hukuman yang menimpa Sufian, tetapi mengenangkan nasib anaknya Aqif. Sedarlah dia sekarang, betapa dia begitu kerdil dalam permainan hidup ini.

            Dia juga sedar bukan salah Sufian seratus peratus, tetapi kesalahan itu adalah dari orang-orang tua yang ada dalam keluarga Sufian. Ibu sayangkan anak, tapi membela anak tidak berpada. Bapa sebagai tunggak keluarga, tidak menunjukkan contoh yang baik untuk anak. Nenek sayangkan cucu, tapi kasih sayang nenek telah menghantar cucunya ke penjara.

           Aqif anakku... Ibu akan menjadi mentari yang menyinari jalan hidupmu. Ibu akan mencari cahaya... Cahaya keredhaan Ilahi. Tuhan, bantulah aku mencari mentarimu... Air mata Liyana terus bercucuran mengiringi langkahnya menuju ke perhentian bas. Dia ingin segera pulang menemui anaknya, Akiq Iskandar. Dia akan terus mencari mentari, cahaya Ilahi...

...... TAMAT.....

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.