Home Cerpen Keluarga RAJUK
RAJUK
Noreey
16/1/2017 01:53:38
2,967
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

RAJUK

            1970an

            Suara garang Mak Cik Aini yang lantang sebentar tadi tidak kedengaran lagi. Zuraida, berdiri membatu di belakang pintu dapur. Mulutnya terkunci dengan juraian air mata yang membasahi pipi. Perlahan, jemari tangan kecilnya menyapu sisa-sisa air mata yang berjejeran. Bibirnya dikatup, agar suara tangisannya tidak kedengaran. Pun begitu, esakan kecilnya sukar dihentikan.

            Kehidupan tanpa kasih ibu… memang beginikah? Apakah nasib yang dilalui orang lain sama dengan nasib yang dia lalui saban hari? Meskipun dia sudah biasa, tetapi kadang-kala hatinya tidak berupaya untuk menahan kesedihan bila menerima caci maki dari ibu saudara sendiri. Semenjak kecil lagi dia tinggal di sini, di rumah datuk dan neneknya, yang juga didiami ibu saudaranya Mak Cik Aini sekeluarga.

           Entah mengapa ayahnya, Osman menempatkan dia di sini. Perceraian ayahnya dengan arwah ibu terjadi sejak adiknya Zuki, masih bayi lagi. Ketika dia berusia lima tahun ibunya meninggal dunia kerana penyakit asma. Tugas menjaga dirinya diambil alih ayahnya. Manakala adiknya Zuki, tinggal bersama nenek sebelah ibunya. Sekarang lelaki yang dipanggil ayah itu sudah beristeri baru selepas beberapa tahun menduda dan tinggal di rumah baru tidak jauh dari situ. Mungkinkah ayahnya takut dimarahi Mak Cik Suraya, isteri barunya itu jika dia diajak tinggal bersama?

          “Oh! Di sini rupanya… penat aku mencari! Sini kau Zura, pergi ke perigi, angkat air dan penuhkan tong tu!” Sergah Mak Cik Aini seraya menarik tangan kecilnya. Begitulah rutin hariannya selepas pulang dari sekolah. Dalam usianya yang baru menjangkau 12 tahun itu keringatnya diperah oleh ibu saudara sendiri untuk membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dia lakukan. Mak Cik Aini bukanlah memukul atau merotannya tetapi lebih kepada mengarah untuk membuat kerja. Jika tidak diturutkan kehendak perempuan itu, Zuraida akan menerima kemarahan dengan kata-kata kesat. Betapa pedih hatinya tersayat kata-kata nista dari mulut perempuan itu.

               Petang pula dia akan ke rumah Mak Minah, untuk mengaji Quran bersama kawan-kawannya. Entah mengapa, kawan-kawan sebaya di situ pula yang akan menyakat dan mengejeknya sehabis mengaji. Dirinya dijadikan bahan gurau senda oleh kawan-kawannya tidak kira lelaki atau perempuan.

              “Neha! Kau jahat…! Semi! Kau… kau dan kau… kamu semua jahat! Aku tak nak kawan dengan kau lagi… berambus kau… berambus kamu semua… aku benci semuanya!” Jerit Zuraida seraya menangis, begitu pun dia tetap cuba melawan. Mulut kecilnya tak henti-henti turut menyumpah kawan-kawannya.

              “Gereda! Gereda! Gereda geriakkk… ha ha haaa…!!!” Kawan-kawannya, Semi, Idi, Tepi, Zamri, Surah, Bidah dan Neha bagaikan sehati dan sejiwa mengata dan mentertawakannya sambil mengejek. Hatinya sungguh kecewa hanya Tuhan saja yang tahu. Tetapi, dia sendiri tidak faham apakah maksud ‘Gereda’ yang selalu dijeritkan pada dirinya. Mungkinkah kerana badannya agak besar macam burung garuda ketika itu, juga selalu terbatuk-batuk dan mengeluarkan kahak hijau… Lalu mereka menggelarkan dirinya ‘Gereda Geriak’. Entahlah… Zuraida menangis kesal memikirkan semua yang dilaluinya.

…..

1980an

Masa berlalu dan musim pun berganti. Kehidupan yang dilalui Zuraida hanya sedikit berubah. Tamat sekolah rendah, dia meminta izin dari neneknya untuk bersekolah pondok berhampiran daerahnya, iaitu di pekan Tok Uban. Tetapi, dia tidak sempat untuk menekuni pengajian di situ. Setelah dua tahun berlalu, Mak Cik Aini menyuruhnya berhenti belajar dan menyuruhnya tinggal di rumah saja.

“Buat apa Bang Man bagi si Zura tu bersekolah pondok? Tak payahlah Bang Man, bukan Si Zura tu boleh jadi ustazah pun… Biar je dia kat kampung, boleh juga belajar buat kuih dan tolong saya kat rumah ni!” Luah ibu saudaranya, ketika itu Zuraida sedang mengemas pakaiannya untuk kembali ke pondok. Terguris sungguh hatinya mendengar kata-kata itu. Zuraida terus memasang telinga.

“Gadis kampung yang terpinggir dan comot macam Si Zura tu hanya layak duduk di kampung... buat kuih, jual kuih lebih baguslah Abang Man. Tak ada maknanya tinggal lama-lama kat pondok tu!” Apalah yang mampu dia katakan ketika itu, Zuraida hanya mampu mendiamkan diri dan menelan kesemua bantahan ibu saudaranya dengan perasaan kesal dan sebak.

Osman akhirnya termakan hasutan bodoh adiknya, Aini. Zuraida yang masih terlalu naïf tentang masa depan hanya mengikut saja arahan ayahnya agar berhenti belajar dan menolong ibu saudaranya membuat kerja-kerja rumah. Jauh di sudut hati Zuraida merasa amat berat untuk meninggalkan sekolah pondok yang sudah diikutinya selama dua tahun. Mak Cik Aini pula dengan senang menghantar anak-anaknya yang seramai empat orang belajar hingga tamat tingkatan lima.

…..

1990an

Menginjak dua tahun tinggal di kampung, Zuraida merasa benar-benar diperbodohkan ibu saudaranya. Hati yang telah lama merasa jengkel dengan kehidupan yang dilaluinya saban masa, buatkan dia bertindak di luar dugaan diri. Zuraida melarikan diri ke rumah nenek sebelah arwah ibunya di Kampung Kajang Sebidang, di daerah Tumpat. Dia tidak suka menjadi hamba ibu saudaranya. Syukurlah dia masih ada tempat mengadu. Tinggallah Zuraida bersama neneknya, seorang tua yang suka menyongel giginya dengau tembakau itu beberapa tahun hingga dia menginjak ke usia awal 20an. Di situ juga, dia bertemu kembali dengan adik kandungnya, Zuki. Zuraida cukup menyayangi adiknya walaupun adiknya seorang oku. Telinga Zuki tidak sempurna seperti pemuda lain.

Kali ini ibu saudaranya tidak berani lagi mengganggu hidup Zuraida.

…..

Zuraida, sekali lagi membawa dirinya. Kali ini lebih jauh. Berteman seorang saudaranya, Zuraida merantau ke pulau mutiara. Di sana, Zuraida bekerja di sebuah kilang textile. Bermulalah hidupnya sebagai minah kilang. Tekun benar dia bekerja. Biarpun begitu, kesedihannya kembali mengisi ruang hidupnya bila suatu hari dia menerima berita neneknya sakit. Dia tidak sempat menemui arwah neneknya, terlalu cepat orang tua itu pergi. Tiada lagi tempat dia mengadu suka dan duka. Ada ayah, ayah tidak pedulikannya. Cuma bila kesuntukan wang ringgit, baru orang tua itu menghubunginya. Adik-adik tirinya memerlukan duit untuk menyambung persekolahan.

Atas rasa perikemanusiaan, Zuraida tidak tergamak mengecewakan ayahnya. Maka, setiap bulan dia akan mengirimkan wang untuk ayahnya. Dia sayangkan adik-adik tirinya yang seramai 3 orang. Semuanya perempuan. Dia berpesan pada ayahnya agar memberi pelajaran dan kasih sayang yang sempurna pada adik-adiknya. Dia tidak ingin adik-adiknya menerima nasib yang sama seperti dirinya.

Memikirkan masa depannya juga, Zuraida akhirnya menerima lamaran seorang bujang terlajak. Anak mami kelahiran pulau mutiara itu adalah kenalan seorang kawan sekerjanya. Ternyata nasib Zuraida begitu baik, lelaki itu adalah dari keluarga yang baik-baik.. Menetaplah Zuraida di Pulau Pinang. Tetapi, Sesekali dia terpaksa kembali juga ke kampung halamannya kerana ingin bertemu adik kandungnya Zuki.

……

Awal tahun 2000

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa dan kasih saudara masa berada. Seperti pepatah itu, begitulah yang terjadi pada Zuraida. Setelah memiliki sedikit harta selepas perkahwinannya, baru Mak Cik Aini dan Osman membuka mata. Ternyata ayahnya Osman, juga ibunya saudaranya, Mak Cik Aini sudah berubah dan menyesali akan sikap mereka yang mementingkan diri sendiri. Sudah terlambat semuanya, Zuraida merasa berat untuk kembali menetap di Kelantan.

Nama Zuraida selalu meniti di bibir mereka. Zuraida yang berhati mulia, tidak pernah menyimpan dendam biarpun hatinya pernah terluka dengan sikap ahli-ahli keluarganya. Kadang-kadang dia memandu kereta pulang bersama anak-anaknya untuk menjenguk sanak-saudaranya di Kelantan ketika suaminya sibuk bekerja. Zuraida sudah memiliki perniagaan sendiri selepas dia tidak lagi bekerja di kilang textile.

Dia bersama suaminya memiliki beberapa buah van, menyediakan perkhidmatan kenderaan untuk pekerja kilang juga menjalankan perniagaan pasar malam. Atas usaha gigih mereka juga mampu membeli sebuah rumah teres kos sederhana untuk masa depan anak-anak mereka yang seramai tiga orang. Adat manusia di dunia ini, tidak suka melihat kebahagiaan orang lain, juga suka melihat yang berada di atas jatuh tersungkur menyembah bumi.

Perniagaan Zuraida jatuh bankrap bila ada orang mensabotajbeberapa buah vannya. Zuraida dan suaminya jatuh sakit. Suami Zuraida dilanda kemurungan yang akhirnya mengakibatkan lelaki itu meninggal setahun kemudian. Zuraida, pulih kembali dari sakitnya. Perit dadanya menanggung rasa rindu terhadap arwah suami tercinta.

Sekali lagi hatinya merajuk, dan sekali lagi dia membawa diri bersama anak-anaknya untuk melupakan segala kepahitan yang telah terjadi dalam hidupnya.

“Dugaan demi dugaan kau berikan pada ku Ya Rabb… Jika ini ujian untukku, aku terima dengan reda. Sesungguhnya KAU lah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang.. Kuatkan aku hamba Mu yang lemah ini…” dia mengaminkan doa bersama sebuah Al fatihah di pusara suaminya. Bersama anak-anaknya dia menuju ke kereta. Dia berjanji akan datang sesekali ke pulau mutiara untuk menziarah pusara suaminya.

….

Zuraida berdiri di jendela rumah Mak Cik Aini. Matanya merenung keluar jendela yang terbuka. 25 tahun berlalu… semuanya sudah berubah. Atuk dan neneknya sudah meninggal. Kekallah Mak Cik Aini bersama suami serta anak-anak mereka di rumah ini. Ternampak juga olehnya sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan. Itulah rumahnya, walau tidak sebesar mana cukuplah untuk dia bersama anak-anaknya. Ternyata dia juga tetap perlukan saudara-mara untuk menghadapi hari-hari mukanya…

Telefon Nokia peninggalan arwah suaminya berbunyi nyaring, mengganggu telinganya yang sedang khusyuk mendengar suara anaknya Hakim sedang mengaji.

“Assamualaikum, Zura…”

“Waalaikumsalam…” Zuraida mengamati sejenak suara itu. Dia kenal siapa pemiliknya. Zuraida senyum pahit. Sebenarnya sudah beberapa kali pemilik suara itu menghubunginya. Mereka juga pernah bersua ketika di utara dulu, setelah lama berpisah. Tetapi, selepas dua kali bersua, pemilik suara itu telah berpindah ke selatan tanahair. Itulah ajaibnya sebuah persahabatan.

“Salam takziah dari aku Zura.”

“Terima kasih… tapi dari mana kau tahu semua ini?”

“Dari kakak aku… kenapa sikit pun kau tak khabarkan pada aku Zura?”

“Maaflah, aku lupa…”

“Apakah kau masih dendamkan aku, Zura?”

“Eh… kau ni? Tak lah! Aku sebenarnya terlalu sedih. Arwah pergi tanpa aku duga…”

“Oh! Maafkan aku…dan maaf juga sebab aku terlewat menghubungi kau.”

“Tak apa, aku faham.”

“Aku harap kau tabah hadapi ujian ini,”

“Emm… In Shaa Allah…”

“Err… Zura!”

“Ya, ada apa?”

“Sebenarnya, aku nak minta maaf!”

“Untuk apa lagi?”

“Dulu… masa kecil dulu, aku selalu menyakat kau selepas mengaji di rumah Mak Minah…” Zuraida yang gedempal itu ketawa. Sejenak dia lupa pada kesedihan yang dilaluinya. Dari corong telefon kecil itu dia turut mendengar suara perempuan itu ketawa.

“Eh, kau ni! Dah berapa kali kau ungkit pasal tu… kan aku dah kata, aku dah lupa semua tu dan aku dah maafkan semua orang, lagi pun kita semua masa tu masih hingusan,” ujar Zuraida mesra dan ikhlas. Semuanya terserlah dari kata-katanya yang lembut dan sopan.

“Aku betul-betul minta maaf Zura. Aku tahu aku nakal sangat dulu!”

“Sekarang, kau nakal lagi tak?”

“Dah tua-tua ni… aku dah jadi perempuan baik!”

“Alhamdulillah… baguslah!”

Senyap.

“Kalau kau balik, jemputlah ke rumah aku. Aku tinggal kat pondok di kampung Batu Karang buat sementara ni…”

“Hemm… In Shaa Allah, tapi aku tak berani nak janji, takut-takut tak tertunai pulak!”

“Alaa… kau ni.”

“Kenapa tak tinggal je dengan Mak Cik Aini…? Apa, kau takut kena dera lagi?”

“Heh! Kau ni ke situ pulak!” Sanggah Zuraida seraya mempamer senyum. Suara lembut ketawa menyapa telinganya.

“Habis tu, kenapa? Kau tu dah lah sebatang kara!”

“Aku risau jika mak cik tak selesa.”

“Ooo… Hemm, Zura…”

             “Ada apa?”

             “Zura… nanti kau buka Portal Ilham Karangkraf ya!”

             “Kenapa pulak tu?”

             “Err… sebenarnya… sebenarnya aku ada tulis cerpen untuk kau!”

             “Hiss… kau tulis kisah aku ke?”

              “Hi hi… alaa… janganlah marah, aku cuma nak mengabadikan kenangan lalu, kenangan masa kecil dulu…”

             “Neha!!! Kau tak habis-habis nak kenakan aku tau!” Ujar Zuraida dengan suara meninggi. Tetapi di hujungnya berderai ketawa.

             “Hah! Suka lah tu!” Kedua-duanya ketawa. Airmata Zuraida mengalir di pipi. Dia tak sangka, ada juga kawan-kawannya yang prihatin terhadap nasib dirinya.

             “Eh! Neha… apa tajuk cerita aku tu?”

             “RAJUK!”

               Perbualan mereka terhenti di situ bila kawan sepermainannya dulu, Neha meminta diri kerana ingin menyambung kerja menulisnya. Petang itu, Zuraida bermenung panjang sambil mengintai kenangan lalu. Untung juga ada antara kawan-kawannya menjadi penulis. Sikap prihatin mereka ada juga makna dalam hidupnya. Dia terbayang akan wajah kawannya sebentar tadi. Sewaktu kecil dulu, seorang gadis sunti yang berkulit gelap, kurus kering dengan rambut yang jarang bersikat. Tetapi… ya siapa sangka. Sekarang berubah menjadi seorang wanita anggun yang memiliki bakat menulis…

-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.