Home Cerpen Cinta KU LEPASKAN CINTA
KU LEPASKAN CINTA
Noreey
16/11/2017 00:45:49
5,556
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

 KU LEPASKAN CINTA

          Manis kopi yang ku hirup dalam hujan begini tiba-tiba mengundang kenangan. Tetes-tetes jernih  itu juga bagai merenjis dan menyegarkan kembali sebuah cerita lama... Bertahun berlalu sejak berpisah denganm, namamu tiba-tiba melintasi ruang halusinasi ku, buat aku  merindui kembali saat-saat perkenalan dengan mu pada satu ketika dulu, juga pada kisah disebaliknya…

…..                                                                                                                   

         Satu masa dulu, pada suatu pagi. 

         "Hai..."

Keasyikan ku yang sedang menekuni kerja di meja kecilku, terganggu sejenak. Aku mendongak seketika. Ketika itu kau sedang berdiri tidak berapa jauh dari meja kerjaku, sambil tersenyum memandangku. Aku membalas senyummu. Beberapa saat selepas itu, kau memulakan pertanyaan, yang semestinya harus ku jawab.

        “Dah lama kerja kat sini?”

        “Emm,baru nak dekat sebulan,”

        “Ohh…er, petang ni overtime tak?”

        “Ya! Kenapa…?”

        “Nanti ,kita rehat sama-sama… boleh?”

Aku tersenyum cuma sambil sempat beberapa saat menatap wajah mu. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Setakat makan dan minum bersama sewaktu rehat di kantin tempat kerja, bagi aku bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ramai staff  di situ makan dan minum sambil berbual-bual setiap kali tiba waktu rehat pagi, tengahari atau petang.

         Petang itu, terjadilah sesi perkenalan antara kau dan aku, bersaksikan line leader ku Murni. Hanya dia saja yang boleh dikatakan agak rapat denganku selama aku mula bekerja di situ. Kilang elektronik yang mengeluarkan komponen-komponen untuk radio itu, situasinya masih baru bagiku. Dan sejak-sejak itu juga persahabatan antara kau dan aku mulai terjalin.

…..

      Hari-hari berlalu, memaknakan seribu erti antara kita… Ya, tanpa sedar  juga hubungan yang kita jalinkan bukan lagi sebagai rakan sekerja. Tetapi, aku tidak pernah mempedulikan apa yang kau lafazkan. Bagiku, mungkin kau sekadar menduga rasa hatiku. 

…..

      “Reen, Syukri mana?”

      “Dia masuk shift petang hari ni, kenapa?”

      “Nak ambil nama, operator yang nak buat overtime,” jawab Murni. Hatiku sempat berdetik. Sebagai line leader, tak kan kau tak tahu roster staff yang bertukar shift?

       “Ooo…” hanya itu yangsempat terluah dari mulutku, lalu terus menyambung tugasku.

       “Kau… overtime petang ni, boleh?”

       “Hemm… okey!” balas ku laju tanpa memandang wajah Murni.

       “Rajin pulak kau hari ni, ya? Mentang-mentanglah si Syukri tu kerja shift petang…”

tempelak Murni padaku. Aku pantas mendongak, menentang pandangan sinis  Murni yang sedang tertuju ke arahku. Aku terpempan sejenak, agak sentap dengan kata-katanya.

        “Eh,kan aku tiap-tiap hari overtime… tak ada kena mengena dengan dia pun!” Boleh pula aku membidas ayat Murni sebentar tadi.  Membela diri.  Murni berlalu dengan raut wajah yang tidak gembira. Aku terhairan pula bila menyedari roman wajah Murni berubah begitu. Ada sesuatu yang buat aku terus-terusan berfikir sendiri. Apakah Murni irihati padaku disebabkan kau selalu mengekori ke mana aku pergi?

         Pada suatu masa lain pula, sewaktu berbual-bual di meja kerja pada waktu rehat, Murni tiba-tiba  mengalih tajuk perbualan kami. Padahal, ketika itu kami sedang rancak berbual tentang perkara lain. 

         “Reen, kau perasan tak?”

          “Perasan apa?”

          “Syukri tu… ”

          “Syukri? Kenapa dengan mamat tu…?”

          “Hemm... hensem jugak dia, kan?”

Hampir-hampir tersedak aku dek air liur yang tertelan tiba-tiba ketika itu. Soalan itu juga semestinya menikam hati gadisku.  Hiss, kenapa kau ni, Murni? Sempat pula aku bermonolog sendiri. Suasana sepi sebentar. Tetapi cepat-cepat ku kawal emosiku…

         “Hah?” Soalku, selepas beberapa saat tergamam dalam sedar. Soalan Murni sebentar tadi tidak pernah ku duga. Di bibir Murni tersungging senyum yang tersirat makna. Kami sama sebaya walaupun berlainan perwatakan dan ketrampilan. Kami juga bukan budak-budak hingusan, jadi tentu sekali aku dapat meneka apa yang sedang terbenam di dasar hatinya…

        “Kau berminat pada Syukri ke?” Soalku cuba menduga dan meneka walau aku pasti, aku bukan lagi meneka dalam kesamaran! Dalam masa yang sama juga aku sebenarnya teringin  menagih kepastian yang nyata. Lirik mata Murni, bagai memberi jawapan nyata walau jawapan yang ku dengar dari bibirnya bukanlah satu penjelasan yang tepat.

        “Alaa… kalau aku minat kat dia sekalipun, dia mana nampak aku! Kau je yang dia nampak!” Ujar Murni. Serta merta wajahnya berubah serius. Ketat. Aku terus-terus diburu keliru untuk kali yang entah ke berapa tentang sikap Murni yang bagi aku tidak lagi semurni namanya…

        Mengapa aku tidak nampak semua itu sebelum ini? Sejak-sejak itu, mata hatiku mula terbuka lebar. Baru jelas semuanya dalam pengamatanku, setiap kali kau berjalan dan berbicara denganku, Murni nampak begitu gelisah sekali. Aku mula menyedari perubahan Murni pada aku, setelah kita kian akrab.

         Sindiran-sindirannya penuh makna tersirat, tajam dan pedas menujah ke dalam kalbuku setiap kali aku dekat dengannya. Hingga akhirnya aku mula berfikir tentang kita. Bagiku, berjarak diri denganmu adalah lebih baik. Baik untuk aku, kau dan dia. Aku ada maruah dan harga diri, dan aku tidak mahu kelak aku dengan Murni akan bermusuh hanya kerana seorang lelaki.

 Kembali pada cerita kita…

          Pada suatu pagi di ketika itu, yang ku masih ingati sampai sekarang. Kau meninggalkan secebis nota di atas meja kerja ku, di atas nota itu terluah apa yang kau simpan di hatimu. Aku tahu nota itu kau tujukan untukku walau tiada sepotong nama yang kau lakarkan di dalamnya. Kebetulan, ketika itu,Murni datang ke tempat aku.

          Aku sengaja menunjukkan nota itu, kononnya kau tujukan untuk dia. Murni membacanya, terus dia tersenyum dan tersipu.  Kau yang sedang bertugas shift pagi, dan duduk berhadapan denganku, melihat gelagat aku dan Murni. Petang itu kau mendekati aku, memohon penjelasanku tentang apa yang sudah berlaku.

          “Mengapa awak buat saya macam ni, Reen? Apa salah saya?”

           “Apa yang dah saya buat pada awak, Syuk?”

           “Nota itu!”

           “Saya faham Syuk!”

           “Tapi mengapa awak bagi Murni?!”

             Pertanyaanmu, berat nak aku jelaskan. Dia sahabat aku Syuk, aku lebih tahu hatinya dan aku tak mahu dia terluka. Dia juga sukakan mu sebenarnya Syuk! Ingin sekali aku berkata begitu padamu, tetapi aku tidak mampu dan ayat itu hanya bergema di dalam hatiku saja. Lidah aku berat untuk menutur dan menjelaskan padamu perihal Murni. Aku hanya menunduk, diam dan berlalu. Menjauhi mu lebih baik rasanya dari aku mendengar pertanyaanmu yang takkan ku terdaya menyatakan jawapannya…

             Beberapa hari selepas itu.

            “Mengapa awak cuba mengelak dari saya, Reen?” Saat itu kita terserempak di tempat punch kad, aku tahu kau sengaja menunggu di situ untuk bertemu denganku. Banyak mata memandang kita, aku hanya menahan malu di atas sikap mu ketika itu. Aku terdiam sambil terus berjalan menjauhimu, menuju ke meja kerjaku.

             Pada sebelah petangnya, kau sekali lagi mencari peluang dan menghalangi langkahku untuk mengejar bas waktu pulang. Nyata kau berjaya membuat aku ketinggalan bas ketika itu. Aku terpaksa menapak ke jalan besar, untuk menunggu bas awam berwarna hijau yang akan melewati hostel ku di Ungku Mohsin. Kau mengekori aku.

            “Reen…” Saat matamu ku tatap, kejernihan darinya memancarkan ketelusan dari hati mu jua.

            “Reen, berilah ruang di hati awak untuk saya…”

            “Untuk apa Syuk?”

             “Untuk saya letakkan hati yang menyayangi awak selama ini!”

            “Syukri,di hati saya tak ada ruang untuk awak, maaf!”  

            “Apa awak cakap ni, Reen?!”

            “Awak yang perasan sebenarnya!”

            “Sampai hati awak Reen!”

            “Saya sedar siapa saya Syukri…!”

            “Reen! Saya tak pernah pun mempersoalkan tentang penampilan awak… walaupun awak rugged… awak sempurna di mata hati saya!” Anak matamu sekali lagi ku renung dalam-dalam.

            “Tiada yang lain selain awak  di dalam hati saya,Reen!” Tegasmu lagi. Apa istimewanya aku di hatimu Syuk? Aku cuma seorang gadis biasa dari desa, datang ke kota untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Aku sendiri tidak tahu apa yang aku ada untuk memberimu bahagia… Aku terpaksa mengalah dengan kedegilanmu Syuk. Tetapi, aku tidak dapat lari darimu waktu itu walau puas aku menjauh…  Dan, Murni sekali lagi bertanyakan tentang kita.

            “Reen, err… aku nak tanya sesuatu ni!”

             “Emm… tanyalah!”

             “Kau… err… kau serius semula ke dengan Syukri?”

Nafasku tersekat sebentar dengan soalan itu. Apakah yang seharusnya ku jawab untuk tidak mencederakan hati Murni? Aku sudah maklum dulu, yang Murni pun ada menyimpan perasaan terhadapmu. Aku menghela nafas, seksa sekali rasanya. Aduh... aku sebenarnya sudah terlupa tentang Murni!

            “Banyak sangat gossip yang sudah aku dengar tentang kalian!” Ujar Murni, ada nada keras yang  menjunam ke dalam dadaku.

             “Gossip?” Aku mengulang perkataan gossip dengan nada menyoal. Sungguh jelik perkataan itu di kupingku. Mungkinkah kami sudah terlupa batas-batas kami di mata orang lain? Fikirku sepintas lalu. Tapi, seingat aku tidak pernah. Aku tetap ingatpada  maruah dan harga diri. Lagi pun,Syukri yang selalu memburu aku, bukan aku yang mencarinya. Aku menggigit bibir, dan mencuba untuk senyum, tetapi rasanya aku sedang mempamerkan senyuman pahit ketika itu.

           “Tak ada angin masakan pokok bergoyang, Reen!”

            “Murni…  hubungan kami tak lebih dari teman sekerja!” Aku bersungguh cuba menafikan, demi menjaga hati seorang kawan. Kebenaran cerita rasa yang sudah tercoret antara kita cuba untuk aku selindungkan dari Murni.

            “Okey.Kalau macam tu  aku mahu kau buktikan!”Pinta Murni, seperti mencabar dalam terang. Aku terdiam. Hari itu, kami makan bersama, tapi kami tidak berbual dan bergelak ketawa seperti masa-masa kami yang telah lalu.

         Aduh! Sungguh aku sedang tersepit antara dua persimpangan. Kanan ku kekasih, kiri ku sahabat tersayang, bagaimana mungkin aku ingin memilikimu, Syuk…? Dia yang juga menyimpan perasaan padamu! Sungguh aku serba salah Syuk. Antara kalian berdua yang selalu di sisiku, hati siapakah yang harus aku jaga, sungguh aku  tidak tahu…

           Saban hari berlalu, kau tetap setia memburu aku…

          “Hari minggu lepas, betul ke kau keluar dengan Syukri, Reen?”

          “Dari siapa kau tahu, Murni?”

          “Dari siapa aku tahu… itu tak penting Reen!” Jawab Murni, nadanya benar sudah berubah. Aku tertunduk cuma, terdiam juga. Aku tidak berminat untuk berdebat dengan Murni tentang kita Syuk.

          “Reen,cerita tak akan panjang kalau kau tak layan dia!”

Ternyata, Murni memang memantau perkembangan hubungan kita. Setiap pertemuan kita pasti akan diketahuinya. Dan untuk kali yang entah ke berapa, aku terpaksa membiarkan hubungan kita begitu saja… Hingga pada satu hari, ketika aku pulang dari kerja, kau tercegat di tangga bangunan hostel tempat aku menginap.

        “Awak lagi?”

        “Awak kenapa, Reen?” 

        “Tak ada apa-apa, Syuk!”

        “Awak ulangi lagi sikap awak yang dulu!”

        “Berilah saya ruang untuk berfikir…”

        “Berfikir?  Berfikir tentang siapa... Atau selama ini awak ada orang lain selain saya?”

        “Tidak Syuk!”

        “Habis tu… kerana apa?”

        “Nanti awak akan tahu!”

        “Reen! Tolonglah…”

        “Sekurang-kurangnya saya jujur dengan awak Syukri!”

         “Memang saya pasti awak seorang yang jujur selama ini!”

         “Lupakan saya!”

         “Awak permainkan saya selama ini Reen!?”

          “Bukan begitu Syuk!” Laju saja jawapan itu terkeluar dari mulutku, buat aku terkedu sendiri.

         “Habis tu… kenapa Reen?”

         “Awak harus lupakan saya, dan… nanti awak akan tahu kenapa…”

         “Tak mungkin Reen!”

         “Cukuplah Syuk! Nanti satu hari akan ada gadis yang lebih sempurna menggantikan tempat saya di sisi awak…” Aku terus naik ke hostel, meninggalkanmu bersama linangan airmata di pipiku. Aku  tak sanggup mencalarkan sebuah persahabatan hanya disebabkan kau! Aku tak mahu dianggap petualang Syuk!

         Dek kerana juga kesihatan aku ketika itu kurang memuaskan, aku mengambil keputusan untuk pergi saja dari situ.  Tanpa memberi notis 24 jam, keesokan harinya tempat kerja kita aku tinggalkan, meninggalkan juga dirimu tanpa sepatah kata selepas pertengkaran kita petang itu.  Maafkan aku Syuk. Aku terpaksa menoktahkan pertemuan dan perhubungan kita… Di situ bermula, dan biarlah di situ juga berakhir… walau semua itu terlalu pahit untuk aku hadapi!

           Murni,sebuah nama yang kekal ku ingat hingga ke saat ini. Gadis berkulit hitam manisitu, berwajah ayu dan terlalu warak berbanding aku. Penampilannya sempurna sebagai seorang perempuan, dan aku rasa dia lebih layak mendampingimu Syuk! Boleh jadi dia yang terbaik untuk kau pilih sebagai suri hidupmu. Kerana itu aku mengalah, memberinya laluan mudah agar dia dapat mendekatimu. Aku redha Syuk!

          Tahun demi tahun pun berlalu…

           Ketika aku berada di Kuala Lumpur, aku menerima khabar tentang dirimu. Seorang sahabat lamaku yang menetap di Johor Bahru. Dia mengkhabarkan padaku, yang dia ada ternampak kau, berjalan dengan isteri dan anakmu  di sebuah pasaraya ternama di Bandaraya Johor Bahru. Tapi, katanya  bukan Murni yang bersamamu ketika itu. Aku kaget sebentar dengan berita itu.

            Kau dengan Murni… kenapa Syuk? Aku rasa, dengan pemergian aku dari daerah itu dulu, Murni akan terus bersamamu. Mengapa kau tidak memilih Murni? Dia begitu berharap pada mu, Syuk.  Andai aku yang terluka kerana tidak dapat memilikimu, tidak mengapa Syuk. Aku sudah redha dengan perpisahan kita dulu. Tapi, aku sungguh pilu bila mendapat tahu, Murni bukan pilihanmu… Apakah itu semua suratan takdir?

            Syuk…Semua kenangan yang pernah terlukis antara kita sememangnya tidak pernah tertanggal dari kalender sejarah hidupku. Andai bisa aku undurkan kembali putaran roda-roda waktu yang telah lalu, aku teringin melakukannya. Untuk apa? Untuk  memperbetulkan  segala kesilapan yang pernah aku lakukan padamu dulu. Aku yang mengasarimu, cuba membencimu walau hakikatnya tidak pernah! Aku menyesal Syuk! Menyesal, kerana pergi darimu begitu saja tanpa memberitahumu dengan pasti, yang Murni ada menyimpan kasih padamu… Kenapa baru sekarang aku menyesal? Entahlah Syuk… aku sendiri tidak faham hati ini…

…Hujan lebat tadi sudah berhenti, kopi pekat yang aku hirup, sudah  tidak bersisa lagi. Namun pahit manisnya masih terasa di lidah… seperti pahit manisnya kenangan bersamamu yang membayangi hidupku saat ini...  Maafkan aku sekali lagi Syuk… kerana terpaksa ku lepaskan cinta mu…

                                                -TAMAT-

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.