“Budak bodoh!
Tak habis-habis nak menyakitkan hati aku! Aku dah kata jangan kacau aku buat
kerja. Kenapa bebal sangat tak faham bahasa ni?!” Tengking wanita berwajah
bengis itu. Pipi si kecil yang baru berusia tujuh tahun itu ditampar kuat.
Kemudian rambutnya dicekak hingga kepalanya terdongak.“Sara minta
maaf, mummy.Sakit...” Sara merayu
sambil menangis teresak-esak. Tangannya menggenggam tangan ibunya, cuba untuk
meleraikan tarikan pada kulit kepala.
“Pergi masuk
bilik kau, duduk diam-diam kat situ. Kalau aku dengar suara kau lagi, aku
belasah kau sampai mampus! Faham?!”
Sejurus itu,
Sara ditolak kasar hingga jatuh tertiarap. Sempat lagi wanita itu yang
merupakan ibu kandung Sara menampar kepala Sara hingga pandangannya terasa
berpinar-pinar.
“Berambus!”
Lalu dengan
langkah lemah Sara masuk ke dalam biliknya dan terus merebahkan tubuhnya di
atas katil. Biliknya dibiarkan bergelap. Wajahnya yang basah dengan air mata
disembam ke bantal. Dia cuba untuk menahan tangis agar tidak kedengaran oleh
ibunya.
Fida
menghempaskan tubuhnya kasar di atas sofa. Wajahnya masih tegang. Sudahlah dia
tengah serabut dengan hal kerja, anaknya pula buat perangai merengek-rengek
bertanyakan ayahnya.
Nafas wanita
itu turun naik menahan marah. Kertas-kertas yang bersusun di atas meja
dibiarkan tak bersentuh. Moodnya
hilang untuk menyudahkan kerja.
***
Sara terjaga
dengan wajah sembab setelah semalaman menangis hingga tertidur. Tubuhnya masih
terasa lemah manakala pipinya terasa berdenyut-denyut. Kesan lebam akibat
ditampar mula kelihatan.
Dia tak lagi
menangis, namun wajahnya masih monyok. Agak lama Sara berbaring sambil
memandang siling biliknya dengan pandangan kosong. Langsung tak bergerak.
Kejadian semalam di mana dia dipukul dan ditengking oleh ibunya
terbayang-bayang kembali di minda. Malah jeritan nyaring ibunya masih jelas
kedengaran di telinganya. Sara mula menangis. Dia betul-betul takut hingga
tubuhnya menggigil.
Bunyi tombol
dipulas dari luar menarik perhatian Sara. Matanya tertancap pada pintu. Sebaik
saja wajah ibunya terpacul, Sara cepat-cepat mengelap air mata dan bangkit dari
pembaringan. Dia takut dipukul lagi.
“Dah mandi
nanti, pergi makan. Hari ni tak payah pergi sekolah, mummy dah bagitahu cikgu yang Sara demam.” Tiada langsung nada
mesra dalam tutur katanya.
Sara hanya
melihat ibunya menutup pintu bilik. Tiada sebarang kata yang terluah dari bibir
anak kecil itu. Memang begitu kebiasaannya bila dia dipukul. Terpaksa ponteng
sekolah untuk menyorokkan lebam-lebam di tubuhnya. Hari ini, dia akan keseorangan
lagi di rumah setelah ibunya keluar bekerja.
Pulang dari
tempat kerja, Fida sempat singgah ke Taman Warisan untuk membeli makan malam.
Roti john untuk Sara dan tauhu bakar untuk dirinya. Memang mereka dua beranak
jarang menjamah nasi untuk makan malam.
Selesai
membeli, ketika Fida mahu melangkah ke arah tangga, matanya tertancap pada
seorang lelaki yang sedang duduk di sebuah meja seorang diri. Terdapat dua buah
pinggan dan dua buah gelas yang sudah kosong di atas meja menandakan lelaki itu
berteman. Serta-merta rasa marahnya membuak. Lalu langkah diatur. Dia duduk
dengan riak selamba di hadapan lelaki itu. Rasa marah cuba disembunyi.
“Kenapa? Tak
suka jumpa saya?” Fida menyoal apabila lelaki itu memperlihatkan wajah kurang
senang.
Soalan Fida
dibiar tak berjawab. Lelaki itu melegarkan pandangan, mencari wajah seseorang
dalam kalangan manusia yang berada di situ.
“Mana bini
muda awak?” Soal Fida lagi. Nadanya sinis.
Lelaki itu
memandangnya tajam.
“Kalau setakat
nak cari pasal, baik awak balik je. Saya tak ada masa nak layan awak.” Suaminya
membalas kasar dengan nada terkawal.
Fida mencebik.
“Dah lima bulan tak jumpa, alih-alih awak nak halau saya. Kalau tak kisah pasal
saya sekalipun, takkan taknak tanya pasal anak sendiri?”
Muiz sekadar
memekakkan telinga. Dia lebih suka memberi perhatian kepada telefon pintarnya.
Fida dianggap tak wujud depan matanya.
“Rumah saya
dengan rumah awak bukannya jauh mana, tapi susah sungguh awak nak balik jenguk
anak. Kenapa? Kena ikat dengan bini muda? Tak sangka pula awak ni jenis senang
kena kawal. Kalau saya tahu dari awal lagi...”
“Kau jangan
nak kurang ajar! Kalau nak cari gaduh pun bukan kat sini!” Muiz mula hilang
sabar dengan perangai Fida yang sengaja memprovoknya.
“Habis tu nak
bergaduh kat mana? Rumah? Balik pun tak. Takkan saya nak kena buat appointment dulu untuk jumpa awak
semata-mata sebab nak bergaduh.”
“Bukannya saya
tak pernah balik langsung.” Suaminya mendengus kasar. Kalau diikutkan hati,
mahu saja dia menampar mulut perempuan itu. Laser makin menjadi-jadi!
Fida mengetap
bibir. Geram dengan suaminya. Sejak berkahwin lain dua tahun lalu, hanya
beberapa kali saja dia pulang ke rumah. Itupun hanya bermalam dua tiga hari.
Macam mana dia nak bersabar?
“Kalau awak benci
sangat dengan saya, kenapa tak lepaskan saya? Dulu saya pernah cakap, kalau
awak nak kahwin lain awak kena ceraikan saya. Tapi kenapa awak nak pegang saya
lagi? Dahlah nafkah tak pernah nak bagi.” Suara Fida mula meninggi.
Suaminya baru
mahu membuka mulut apabila pandangannya tertancap pada isteri muda yang sedang
berjalan ke arah mereka. Dia mula tak senang duduk. Risau jika berlaku
pergaduhan di situ.
“Pergilah
balik dulu. Malam ni saya balik, kita berbincang elok-elok.” Si suami mula
merendahkan suara.
Fida yang
perasan arah pandangan Muiz mula menoleh. Dia terlihat susuk tubuh wanita yang
amat dibencinya. Perempuan yang merampas dan menghancurkan rumahtangganya.
Kemudian dia merenung wajah suaminya dalam-dalam. Hingga sekarang dia masih
tertanya-tanya apa kelebihan wanita itu hingga suaminya lupa pada keluarga
sendiri. Memang wanita itu masih muda bergaya, tapi dia sendiri tak ada cacat
celanya.
“Sekurang-kurangnya
bagilah saya bertegur sapa dengan madu saya.” Ujar Fida bersahaja.
“Fida...!”
Suara Muiz kedengaran menderam. Dia tahu ulah Fida. Namun Fida hanya
memandangnya sekilas sambil membuat muka selamba sebelum dia berdiri dan
menyapa wanita itu. Mukanya sengaja dimaniskan.
“Rasanya ini
kali kedua kita jumpa, kan?”
Wanita itu
sekadar mengangguk dengan senyum nipis. Bertemu dengan isteri pertama suaminya
adalah salah satu perkara yang dia mahu elak. Dia mula rasa menyampah melihat
lagak Fida yang dianggap sengaja menunjuk mesra. Lantas dia merapati Muiz dan
membuat muka kurang senang.
‘Huh! Gaya macam
aku yang merampas laki dia. Tak sedar diri!’ Fida menempelak dalam hati.
“Saya cuma
tanya Abang Muiz kenapa dah lama tak balik. Sara tu asyik tanya pasal abah dia.
Takkanlah Abang Muiz tak rindu kat anak sendiri, kan? By the way, awak tak berisi lagi ke?” Mata Fida terhala pada perut
wanita itu.
Riak wajah
wanita itu bertambah tegang. Dia cukup tak suka kalau orang menyentuh isu itu.
Namun dia tahu bahawa Fida sengaja memprovoknya, maka ditenangkan hati agar
tidak melenting.
“Kami balik
dulu. Nanti saya balik jenguk Sara.” Cepat-cepat Muiz mencelah.
Tangan isteri
mudanya digenggam dan dia mula mahu mengatur langkah apabila wanita itu
bersuara. “Kami memang taknak ada anak buat masa ni. Tak puas lagi nak berhoneymoon. Nanti kalau dah ada anak
susah pula nak bagi perhatian kat suami. Macam orang tu, kan sayang?”
“Oh, ya ke?
Bukan sebab mandul?” Fida tersenyum sinis. Kata-kata wanita itu – alasan yang pernah
diberi oleh suaminya ketika mahu menikah lagi langsung tak terkesan di hatinya.
Tak
semena-mena tapak tangan Muiz yang kasar hinggap di pipi Fida. Tamparan kuat
itu menyebabkan Fida terdorong ke belakang. Serta-merta rasa perit menjalar.
Fida memegang pipinya yang sudah merah.
“Mulut tu
jangan nak kurang ajar sangat!” Muiz menengking. Isteri mudanya pula sudah
mencerlung, seolah-olah menunggu masa untuk menyerang Fida.
Ketika itu,
mereka bertiga sudah menjadi perhatian manusia-manusia yang ada di situ.
Masing-masing berbisik sambil memerhatikan mereka dengan wajah ingin tahu.
“Apa? Salah ke
soalan saya?”
“Jomlah,
sayang. Buang masa je layan orang gila!” Wanita itu segera menarik lengan Muiz.
Kalau diikutkan hati, memang dia mahu membelasah Fida hingga puas. Tapi dia tak
mahu memalukan diri sendiri depan orang ramai.
***
Menjelang
maghrib baru Fida sampai ke rumah. Riak wajahnya masih lagi tegang. Air mata
masih bersisa di tubir mata. Plastik berisi makanan bungkus dihempas ke atas
meja makan. Sejurus itu Fida mengatur langkah ke biliknya. Namun langkahnya
terhenti apabila bunyi kaca pecah kedengaran serentak dengan jeritan Sara. Fida
lantas bergegas ke dapur.
“Ish, budak
ni! Tak habis-habis buat hal!” Fida menjerkah apabila melihat mi segera tumpah
bersepah di atas lantai. Pecahan mangkuk kaca pula berselerakan. Mata Fida
mencerlung memandang Sara yang menangis kesakitan akibat terkena percikan kuah
mi segera yang masih panas.
“Mari sini!”
Sara
teragak-agak untuk mendekati Fida. Takut terpijak kaca dan takut dipukul
ibunya. Air mata yang membasahi pipi dilap dengan belakang tangan. Dia
memandang ibunya memohon simpati.
“Cepatlah,
bodoh!” Fida meninggikan suara.
Lantas Sara
melangkah berhati-hati mendekati ibunya yang berdiri di muka dapur, cuba
mengelak daripada kaca-kaca yang
bertaburan. Namun dia menjerit kecil apabila terpijak serpihan kaca halus. Sara
menghentikan langkah dan mahu membuang serpihan itu apabila ibunya menarik lengannya
tiba-tiba. Tapak kakinya terasa ngilu apabila mencecah lantai. Darah yang
mengalir dari luka melekat bertompok-tompok pada lantai dapur.
“Pandai-pandai
kau je nak masak sendiri! Kenapa, rasa diri tu dah besar sangat?” Kepala Sara
ditunjal-tunjal. Langsung tiada rasa simpati melihat anaknya sendiri dalam
kesakitan.
“Sara
lapar...” Ujar Sara dengan suara tersekat-sekat.
“Tak boleh
tunggu aku balik?!” Plastik makanan di atas meja diambil dan dibaling ke arah
Sara. “Ni, aku bawa balik makanan. Bukannya aku pernah biar kau kebulur! Kau ni
kalau tak menjahanamkan harta aku memang tak sah, kan?!”
Kepala Sara
ditampar sekuat hati dan tubuhnya dipukul berulang kali bagi melepaskan geram. Rasa
sakit hati pada suami dan madunya yang masih belum surut dihamburkan pada Sara.
Sara yang tak mampu melawan hanya menangis meraung-raung sambil merayu agar
dilepaskan. Perutnya terasa senak akibat ditendang. Kulit kepalanya pula bagai
mahu tercabut apabila rambutnya ditarik dengan kuat.
Setelah puas,
barulah Fida menghentikan perlakuannya yang seperti kerasukan itu. Sara yang
sudah lemah hanya tertiarap di atas lantai sambil menangis teresak-esak.
Seluruh tubuhnya berasa kebas.
“Pergi kemas
dapur tu. Aku nak tengok dapur aku bersih. Kalau tak, siaplah kau!” Fida
mengarah dengan suara melengking.
Sara cuba
untuk bangun, namun tubuhnya serasa lumpuh. Dia tertiarap kembali.
“Cepatlah!”
Mendengar
tengkingan ibunya, Sara menggagahkan dirinya untuk bangun. Kemudian dia ke
dapur dengan langkah yang lambat dan terhincut-hincut.
“Cepatlah,
bodoh!” Tubuh Sara ditolak kasar.
Buat seketika,
anak kecil itu sekadar merenung lopakan mi segera. Kemudian matanya memandang
serpihan-serpihan kaca yang berselerakan. Dia tak tahu bagaimana mahu
membersihkan semua itu. Lalu wajah ibunya dipandang.
“Ambil penyapu
tu, sapu sampai habis! Apa yang lembab sangat ni?!”
Lalu Sara
mendapatkan batang penyapu yang tersandar pada dinding. Kemudian dia menyapu
kaca-kaca dan tumpahan mi segera dan cuba untuk memasukkannya ke dalam
penyodok. Caranya kelihatan kekok.
“Kalau macam
tu cara kau buat kerja, bila nak habis?” Fida yang hanya memerhati sambil
memeluk tubuh menegur dengan kasar. Dia mendengus geram.
Sara menjerit
kecil apabila kaki kirinya pula terpijak kaca. Darah mula berjejeran keluar
dari luka pada tapak kaki. Sakitnya teramat sangat.
“Mummy...” Suara Sara bergetaran. Sara memandang wajah
ibunya yang mencuka, cuba meminta belas.
Namun Fida
hanya mencebik sebelum melangkah ke biliknya. Sempat dia mengugut Sara agar
menyudahkan kerja.
***
Fida
meletakkan piring berisi dua keping roti dan sebotol air masak di atas lantai
bilik Sara. Kemudian dia terus keluar tanpa berkata apa-apa. Pintu bilik
dikunci dari luar untuk menghalang Sara dari melarikan diri.
Cepat-cepat
Sara turun dari katil. Dia menyumbat roti di dalam mulutnya dengan lahap. Dia
benar-benar lapar. Sudah tiga hari Sara dikurung di dalam biliknya sebagai
hukuman kerana memecahkan mangkuk kaca ibunya. Dia langsung tak dibenarkan
keluar kecuali untuk ke tandas. Dalam sehari, hanya dua keping roti diberi
untuk dia mengalas perut. Tubuhnya makin menyusut akibat kurang makan.
Selesai makan,
Sara meneguk minuman. Kemudian dia panjat semula katilnya. Dia melangut di tepi
tingkap, memandang ke arah taman permainan yang terletak bersebelahan bangunan apartmennya.
Waktu petang begini ramai kawan-kawannya bermain di situ. Dia teringin untuk
turun ke bawah dan bermain seperti dulu.
Dulu ketika
ayahnya masih ada, dia dan ibu bapanya selalu bermain di situ. Ibunya dulu
penyayang, selalu memanjakannya dan selalu membelainya. Dia selalu dibawa
berjalan. Namun sejak ayahnya jarang pulang ke rumah, ibunya turut berubah
laku. Selalu marah-marah. Pantang silap sikit, pasti dia dipukul.
Perhatian Sara
teralih apabila terdengar suara ayahnya di ruang tamu. Lantas Sara turun dan
melangkah ke pintu. Cuping telinga dilekapkan ke pintu untuk mendengar butir
bicara. Namun dia cukup bijak untuk tidak membuat sebarang bunyi demi mengelak
daripada dipukul oleh ibunya.
“Mana Sara?”
Suara ayahnya menyoal.
“Kat rumah
kawan dia.” Ibunya menjawab dengan nada bersahaja.
Kemudian
terdengar lagi bicara kedua-duanya yang kadang-kadang timbul tenggelam dan tak jelas
butirnya. Lama-kelamaan, percakapan antara ibu bapanya bertukar menjadi perang
mulut. Mereka saling meninggikan suara dan memaki hamun. Kemudian, kedengaran
pintu rumah dihempas kuat. Pasti ayahnya sudah pergi dari situ. Sara menangis. Dia
sedih kerana tak dapat berjumpa dengan ayahnya.
Sara
cepat-cepat memanjat katil dan mengelap air mata apabila terdengar bunyi kunci
dibuka dari luar. Kemudian daun pintu terkuak dan ibunya melangkah masuk.
Wajahnya membengis.
“Kau dengar
ayah kau cakap apa tadi?” Fida menyoal. Sara hanya menggeleng perlahan.
“Dia nak ambil
kau duduk dengan dia. Huh! Tak guna betul! Dah betina tu mandul, nak rampas
anak aku pula!”
Sara diam.
Matanya terkebil-kebil memandang Fida. Fida melabuhkan punggung di birai katil
dan menghela keluhan halus. Rambut Sara diusap perlahan. Dia merenung wajah
anak tunggalnya itu.
Sara terasa
disayangi semula apabila ibunya berbuat begitu. Dia ingin memeluk ibunya, namun
tiba-tiba usapan lembut terhenti dan rambut Sara dicekak kuat. Kepala Sara
tersentak ke belakang akibat tarikan kasar oleh ibunya. Sara menangis lagi.
“Sara nak
duduk dengan ayah dan mak tiri Sara ke? Sara nak tinggalkan mummy sorang-sorang? Tak kesiankan mummy ke?” Soal Fida lembut, namun
rambut Sara masih dicekak kuat.
“Kalau Sara
pergi nanti, mummynak main dengan
siapa? Sara jangan tinggalkan mummy,tau.”
Fida mula
menunjukkan perlakuan seperti orang tak siuman. Walaupun bibirnya mengukir
senyuman, namun ia kelihatan menakutkan. Kedua-dua tangannya menjalar ke wajah
Sara. Air mata yang mengalir di pipi Sara dilap kasar. Kemudian dia mengelap
kesan air mata pada kelopak mata anaknya dengan lembut. Tetapi usapannya
bertukar kasar dan menekan hingga Sara menjerit kesakitan.
Sara yang
ketakutan segera turun dari katil dan cuba untuk berlari keluar. Namun ibunya
lebih pantas menangkap tubuhnya lalu dia ditolak hingga tertiarap. Fida
menggenggam kuat rambut Sara dan mengheretnya ke ruang tamu. Sara meronta-ronta
cuba melepaskan diri. Kemudian Fida mencangkung di atas tubuh Sara. Pipi mungil
anak kecil itu ditampar perlahan berulang kali.
“Kau pun sama
macam bapak kau. Dua-dua tak sayangkan aku! Dua-dua nak tinggalkan aku! Tapi
jangan harap aku nak bagi kau pergi kat dia. Sampai mati kau kena duduk dengan
aku!”
“Sakit, mummy... Sakit...” Sara meraung. Tangan
ibunya ditepis.
“Kau nak
tinggalkan aku ke? Hah? Cakaplah!” Sara menggeleng laju. Suaranya
tersekat-sekat kerana menangis teresak-esak.
Dari
mencangkung, Fida duduk di atas perut Sara. Berat tubuhnya membuatkan Sara
sesak nafas. Tulang rusuknya seperti mahu patah. Terkapai-kapai si kecil itu
cuba mencari udara.
Fida merapatkan
mukanya ke muka Sara. “Betul kau taknak duduk dengan ayah kau?” Dia menyoal
lembut.
“Jawablah!”
Fida menampar lagi pipi Sara.
Namun Sara
langsung tak dapat bersuara. Dia bernafas tersekat-sekat. Mukanya mula membiru.
“Mummy... tolong...” Suaranya tenggelam
di kerongkong.
Fida terus
mengarut seorang diri. Membebel-bebel tentang Muiz dan isteri mudanya.
Meluahkan rasa sakit hatinya terhadap dua orang tersebut dan keinginannya untuk
membunuh mereka. Dia langsung tak menyedari keadaan Sara yang sudah longlai
hinggalah beberapa minit kemudian.
“Sara,”
Dahinya berkerut melihat anaknya yang sudah berhenti bergerak. Lantas Fida
beralih duduk di atas lantai.
“Oi,
bangunlah!” Tubuh Sara digoncang kuat. Namun langsung tiada reaksi. Jantung
Fida mula berdegup kencang. Terketar-ketar tangannya menyentuh wajah Sara.
“Sara, jangan
takutkan mummy.Bangunlah sayang.”
Tubuh Sara
kaku. Dadanya juga sudah tidak berombak. Fida mula meraung memanggil nama
anaknya. Berulang kali dia menggoncang tubuh Sara mengharapkan anaknya itu
sedar semula. Namun perlakuannya hanya sia-sia.
Namun seketika
kemudian, tawanya meletus seolah-olah ada perkara lucu yang sedang berlaku.
Wajah anaknya diusap lembut.
“Baguslah.
Sekarang tak ada siapa yang boleh ambil Sara dari mummy.”