Tiga
kanak-kanak lelaki bersorak kesukaan tatkala melihat seekor kucing yang
dikurung di dalam sangkar menggelupur kesakitan akibat dijilat api. Bunyi
ngiauan kucing malang itu langsung tak mendatangkan rasa kasihan, malah
membuatkan mereka bertiga bertambah teruja.
Kucing malang
itu akhirnya tak bergerak lagi. Salah seorang kanak-kanak tersebut menjolok
badan kucing itu yang masih terbakar dengan kayu untuk memastikan bahawa kucing
itu benar-benar mati.
“Kau orang
buat apa ni?” Ren, kanak-kanak lelaki berwajah comel menegur. Mata bulatnya merenung
kucing yang sudah tidak bernyawa itu.
“Jangan
sibuklah! Kau nak kena juga ke?” Serentak itu kayu dibaling mengenai kepala
Ren. Namun dia sedikit pun tak mengaduh. Matanya tajam menikam kanak-kanak yang
menyergahnya.
“Lepaskan
kami. Kami janji tak buat lagi!” Suara rayuan bersahut-sahutan diselangi suara
tangisan membingit. Ketiga-tiga mereka diikat kemas oleh Ren manakala tubuh
mereka basah disimbah minyak tanah. Masing-masing menangis teresak-esak kerana
takut.
Ren pula berdiri
di hadapan mereka dengan gelen yang sudah kosong. Bunyi dentuman yang terhasil
apabila Ren membaling gelen itu membuatkan badan masing-masing terangkat kerana
terkejut.
Mereka semakin
kecut perut apabila Ren mencapai pemetik api yang terdampar di sebelah sangkar
kurungan kucing itu. Kemudian, Ren bertinggung di hadapan mereka dan menyalakan pemetik api itu.
Jeritan mereka bertiga bertambah kuat apabila melihat perlakuan Ren. Mereka
takut akan menerima nasib yang sama seperti kucing yang menjadi mangsa
penganiayaan mereka.
“Aku cuma buat
apa yang kau semua buat tadi. Nampak macam seronok aje.” Ujar Ren dengan wajah
tak bersalah.
Ren berdiri
dan berundur tiga langkah ke belakang. Pemetik api yang masih menyala dibaling
ke arah mereka. Serentak itu, api menyembur marak. Seluruh tubuh mereka dijilat
api. Ren hanya memandang mereka menggelupur dan menjerit kesakitan. Langsung
tiada sebarang emosi terpancar pada wajahnya.
#=#=#=#=#
Lelaki tua itu
mengeluh dengan wajah sayu. Seekor lagi kucing ditemui dalam keadaan perutnya
terburai. Entah manusia mana yang berhati kejam hingga tergamak melakukan
perkara itu terhadap makhluk lemah. Sejak tiga hari lalu, sudah lima ekor
kucing dan anjing ditemui dalam keadaan begitu. Perut mereka terburai
seolah-olah diletupkan.
Lelaki tua itu
segera meletakkan penyapu di atas rumput dan mengangkat bangkai kucing itu
untuk ditanam. Kerja menyapu daun-daun kering ditangguh seketika.
Kucing betina
yang sedang bunting itu hanya mampu mengiau lemah. Matanya memandang dua remaja
lelaki yang masih berseragam sekolah dengan pandangan memohon simpati. Kakinya
diikat. Pada perutnya pula terdapat sebutir mercun yang dilekat dengan pita perekat.
Remaja lelaki
berambut terpacak, Sora mengetuk-ngetuk perlahan kepala kucing itu. Riak
wajahnya jelas seronok apabila melihat kucing itu tak mampu melawan. Kemudian,
dia mengeluarkan pemetik api dari poket seluar. Segala perlakuannya dari mula
menangkap kucing itu hingga saat ini dirakam oleh rakannya menggunakan perakam
video. Sempat dia memandang lensa sambil tersenyum lebar.
Sejurus, sumbu
mercun dinyalakan. Sora segera menjauhi kucing tersebut. Selang beberapa saat,
bunyi letupan bergema memenuhi ruang.
Satu lagi
‘kejayaan’ mereka diabadikan menerusi rakaman. Dalam senyum kepuasan, mereka
mula melangkah meninggalkan tempat itu. Namun langkah mereka terbejat apabila
Ren muncul tiba-tiba dan berdiri tegak di hadapan mereka.
“Apa?” Rakan Sora
menyoal kasar. Matanya berbinar memandang Ren yang turut memakai seragam
sekolah yang sama. Sememangnya mereka mengenali Ren, budak aneh yang suka
menyendiri.
Matanya yang
tajam dan dingin hanya merenung mereka. Merasakan seolah-olah dicabar, mereka
mula menolak tubuh Ren beberapa kali sambil menghambur kata-kata kesat.
“Nak cari
gaduh ke, hah?” Gertak Sora. Dia menampar pipi Ren dua tiga kali. “Kenapa diam?
Pondan!”
“Bangga dapat
bunuh binatang lemah? Kalau berani sangat, mari bunuh aku.” Ujar Ren. Sora
tersentak dengan kata-kata itu. Giginya diketap menahan marah.
Tak
semena-mena Sora melepaskan tumbukan, namun dengan pantas Ren menangkap
genggaman tangan remaja itu. Ren merenung ke dalam mata Sora sebelum memulas
tangannya ke belakang menyebabkan Sora menjerit kesakitan.
Dalam
kekalutan itu, rakannya terpandang sebatang kayu sebesar lengan. Dia segera
mencapainya dan menghayun sekuat hati ke kepala Ren. Namun libasannya tidak
mengena apabila Ren mengelak dengan mudah. Ren menolak Sora hingga remaja itu
terjelupuk ke tanah lantas mendekati rakan Sora yang sudah menggigil ketakutan.
Kini
kedua-duanya hanya mampu terduduk lemah dengan kaki dan tangan mereka terikat.
Berkali-kali mereka merayu sambil meminta maaf kepada Ren. Namun Ren langsung
tidak menghiraukannya. Dia menyusun mercun-mercun mengelilingi mereka.
“Aku nak kau
berdua rasa apa yang kucing tu rasa.” Suara dalam milik Ren membuatkan dua
remaja itu tertelan liur.
Kemudian,
perakam video milik rakan Sora diambil. Ren berdiri agak jauh dari dua remaja
itu. Perakam video itu pula diletakkan di atas tanah setelah butang ‘rakam’
ditekan.
Bunyi tangisan
dan jeritan bergema nyaring tatkala sebiji mercun yang dinyalakan sumbunya
dibaling ke arah mereka. Masing-masing menggelupur cuba melepaskan diri dari
tali yang mengikat tubuh mereka. Sebaik saja mercun itu mencecah tanah, letupan
kuat bergema menggegarkan segenap kawasan. Sejurus, suasana kembali sunyi.
#=#=#=#=#
Petang itu
cuaca mendung. Mungkin hujan akan turun bila-bila masa saja lagi. Ren berjalan
seorang diri di kawasan perumahan di pinggir bandar. Penampilannya kelihatan
lebih matang seiring dengan usianya. Wajahnya dihiasi kumis dan jambang nipis.
Dia mengenakan sehelai jaket yang agak lusuh dan seluar jeans yang terkoyak di
kedua-dua belah lutut.
Dia berhenti
di sebatang tiang eletrik. Dari situ, dia memerhati sebuah rumah yang dihuni
sepasang suami isteri. Tak lama menunggu, kelihatan seorang lelaki keluar dari
pagar rumah sambil memegang seekor anak anjing.
Lelaki itu sekadar meninggalkan anak anjing itu di tepi jalan agak jauh
dari rumahnya sebelum bergegas masuk ke dalam rumah. Tanpa berlengah, Ren
melangkah menuju ke arah anak anjing kecil itu.
Jelas pada
pandangan matanya nafas haiwan itu tersekat-sekat, kadang-kadang ia mengerekot
ketika menarik bernafas. Mulutnya pula berbuih. Ia kelihatan amat terseksa
akibat termakan racun. Ren segera mengangkat anak anjing itu dan membawanya
pergi dari situ.
Wanita muda
itu meronta-ronta untuk melepaskan diri tatkala Ren mengheretnya memasuki
sebuah hutan tebal. Namun kudratnya yang tidak sekuat mana tak mampu untuk
melawan Ren. Dia membawa wanita itu ke arah sebatang pokok di mana suami wanita
itu berada. Di situ, lelaki itu telah diikat kedua-dua tangannya pada dahan sebatang
pokok. Lelaki itu meronta sambil menjerit-jerit sesuatu yang tidak difahami
kerana mulutnya disumbat kain.
Ren menarik
nafas panjang sebelum menghembus kasar setelah selesai mengikat wanita itu
bersebelahan dengan suaminya. Matanya tajam berbinar seolah-olah mampu
menembusi daging mangsa-mangsanya.
Mindanya
terbayang kembali keadaan kucing dan anjing yang menjadi mangsa kejahatan
pasangan itu. Mereka meletakkan racun rumput ke dalam makanan sebelum diberikan
kepada haiwan-haiwan tersebut. Kemudian haiwan-haiwan itu dibuang ke tepi jalan
untuk mati dalam keadaan terseksa. Alasan mereka remeh - tak suka melihat
haiwan-haiwan tersebut di sekitar kawasan rumah mereka.
Ren mengambil
beg sandangnya yang terdampar di atas tanah. Botol yang mengandungi racun
rumput dikeluarkan. Sejurus dia mendekati lelaki itu dan mengeluarkan kain dari
mulutnya.
“Kenapa kau
buat macam ni? Apa salah kami pada kau?” Bertubi-tubi soalan dihamburkan. Dia
memberanikan diri untuk merenung Ren.
“Fikir
sendiri.” Ren menjawab ringkas. Racun rumput di tangannya diunjuk ke wajah
lelaki itu. “Ingat?”
Lelaki itu
tertelan liur. Matanya membulat. Serta-merta segala perbuatannya
terbayang-bayang di tubir mata. Bibirnya terketar-ketar cuba mengatakan
sesuatu. Isterinya pula semakin kuat meraung.
“Dasar manusia
tak guna. Sedap sangat kau meracun binatang, kan. Sekarang aku nak kau rasa
sendiri racun ni.”
Rontaan mereka
berdua bertambah kuat sebaik saja Ren berkata begitu. Tanpa berlengah, Ren
mencekak rambut si suami dan menyumbat botol racun rumput ke dalam mulutnya.
Terbatuk-batuk lelaki itu itu apabila cecair dipaksa masuk menerusi rongga
kerongkongnya. Kemudian botol itu disumbat pula ke mulut si isteri.
“Macam mana?
Dah faham perasaan binatang-binatang yang kau bunuh tu?”
Senyuman
kepuasan terukir di bibirnya tatkala melihat pasangan tersebut terkulai tidak
bernyawa selepas beberapa minit menanggung seksa. Dia puas kerana dapat
membalas dendam bagi pihak haiwan-haiwan yang dianiaya.
What you give, you get back. Hatinya berbisik. Dia tak akan berhenti
memburu manusia-manusia kejam yang menganiaya haiwan. Baginya, itu cara yang
cukup adil untuk membalas perbuatan mereka.