Home Cerpen Thriller/Aksi ANTOLOGI GAUN BERDARAH
ANTOLOGI GAUN BERDARAH
Jia Ariza
7/4/2013 00:47:02
8,605
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang

Eli menggayakan gaun pengantin di hadapan cermin. Dia tersenyum sendiri ketika membayangkan dirinya memakai gaun kembang berwarna putih mutiara itu. Bagi Eli, hanya dia seorang yang layak memakainya. Gaun mahal itu akan kelihatan murah dan hodoh jika tersarung di tubuh Melina. Dia mencebik bila memikirkan hal itu.

“Hoi! Kau buat apa dengan baju pengantin aku tu?!” Melina muncul di pintu bilik dengan muka menyinga. Dia cukup pantang kalau Eli menyentuh barang-barangnya.

Eli menoleh pada kakaknya tanpa sebarang riak. Tanpa berkata apa-apa, dia meletak kasar gaun pengantin itu di atas katil dan terus berlalu keluar dari bilik Melina. Tatkala berselisih, sempat Melina menolak tubuh Eli.

“Tak guna betul perempuan ni. Nanti tak pasal-pasal rosak baju aku!” Melina membebel sendiri. Gaun pengantin tersebut diambil dan dibelek-belek setiap inci.

****

Eli masuk ke dalam biliknya yang terletak di tingkat bawah selajur duduk di bangku yang terletak di tepi tingkap. Biliknya kecil saja. Kalau orang gaji mereka tinggal serumah, silap-silap dia terpaksa berkongsi bilik dengannya. Di tingkat atas ada sebuah lagi bilik yang sepatutnya Eli boleh guna, tapi Melina berkeras mahu menjadikannya perpustakaan mini. Bukannya Melina guna sangat bilik perpustakaan itu, tapi dia sengaja mahu Eli tinggal di bilik bawah.

Ibu bapanya sentiasa lebihkan Melina dalam semua perkara. Apa yang dia nak, mesti dapat. Tak boleh tak dapat. Eli pula terpaksa mengalah dalam semua keadaan. Sejak kecil lagi dia memendam rasa. Kalau luahkan pada ibunya pun, mesti kena marah dan dituduh sengaja mengada-ngada. Entahlah, dia pun tak tahu kenapa dia dilayan begitu. Sedangkan Melina cuma anak angkat, dia pula anak kandung mama dan papanya.

Dulu Melina dihantar belajar ke sebuah universiti di London. Setiap bulan ayahnya masukkan duit beribu-ribu untuk Melina. Tapi bila Eli dapat tawaran belajar ke Jepun, ibu bapanya tak mengizinkan dengan alasan terlalu jauh sedangkan Eli masih tak pandai jaga diri. Mengarut! Mereka tak sedar yang sejak kecil lagi Eli jaga diri sendiri. Ibu bapanya jarang mengambil tahu perihal dirinya kerana terlalu memberi perhatian terhadap Melina.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dengan kuat bertalu-talu. “Eli! Keluar sekarang! Kau ni memang nak kena!”

Eli menjulingkan mata ke atas. Entah apa lagi perempuan ni nak. Dengan langkah malas, dia menuju ke pintu. Sebaik dibuka, Melina terus membaling gaun pengantin tadi ke mukanya. Mutiara-mutiara dan labuci-labuci yang sarat melekat pada gaun itu menyakitkan muka Eli.

“Tengok apa kau buat kat gaun aku! Habis kotor! Kau memang sengaja nak rosakkan gaun aku, kan!” Bagai petir suara Melina menengking Eli.

“Apa yang kotornya? Aku pegang aje tadi.” Eli cuba membela dirinya. Gaun diambil dan dia membeleknya.

Pantas Melina merampas gaun itu. “Ini, bukan kotor ni?” Melina tunjuk pada tompokan berwarna coklat pada dada gaun. Ia kelihatan seperti disimbah air Milo.

“Apa benda yang kau lap kat sini? Tak guna!”

Kerana marah melihat Eli hanya bersikap bersahaja, Melina terus menyerang Eli. Namun Eli tidak hanya mendiamkan diri kerana dia turut melawan. Sedas dua penampar mengenai muka Melina.

Ayah mereka yang terdengar bunyi bising terus mendapatkan mereka. “Sudah! Berhenti kamu berdua!” Si ayah menengking sambil menarik Melina jauh dari Eli.

“Masing-masing dah besar tapi bergaduh macam budak-budak!”

“Eli yang cari pasal dulu. Papa tengoklah gaun Mel ni. Dia sengaja kotorkan.” Adu Melina sambil menunjukkan kesan kotoran pada gaunnya.

“Eli.” Hassan menoleh pada Eli yang menangis teresak-esak.

“Menangis konon! Saja nak suruh papa kesianlah tu.” Melina menempelak.

“Kenapa Eli buat macam ni? Majlis kakak Eli tinggal sebulan aje lagi. Kalau dah kotor macam ni, kakak nak pakai apa?” Hassan terus memarahi anaknya tanpa memberi peluang untuk Eli menjelaskan diri.

“Eli tak buat!”

“Jangan nak tipulah! Kau yang ambil gaun ni dalam bilik aku tadi. Kalau bukan kau yang kotorkan, siapa lagi?” Melina terus menuduh.

“Papa tak sangka sampai macam ni sekali perangai Eli. Sanggup khianat kakak sendiri! Tak boleh ke Eli hormat kakak Eli?”

“Dia bukan kakak Eli! Kenapa mama dengan papa selalu sebelahkan anak pungut ni dari anak sendiri?! Eli ni anak kandung papa, bukan dia! Dari dulu lagi...”

Tak sempat Eli menghabiskan kata-katanya, Melina terlebih dulu memukul Eli. Ditarik rambut gadis itu sekuat hati. “Siapa anak pungut, hah? Aku anak mama dengan papa! Mama dengan papa sayangkan aku lebih dari kau!”

Tak cukup dengan penangan Melina, Hassan pula menarik lengan Eli dan menampar pipi gadis itu.

“Eli jangan berani panggil Melina macam tu lagi!”

Eli hanya memandang ayahnya dengan rasa sakit hati yang teramat. Dengan rasa sebal, Eli masuk ke dalam biliknya. Pintu dihempas sekuat hati bagi menzahirkan rasa hatinya.

“Papa, macam mana ni?” Melina merengek sambil menunjukkan gaun di tangannya.

Hassan menggaru kepalanya. Pening dengan kerenah dua anak daranya itu.

“Mel nak tempah gaun lain petang ni. Gaun ni bukan boleh pakai dah.”

“Sempat ke? Kan sebulan aje lagi?” Soal Hassan dengan nada lembut.

“Alaa, tak kiralah! Petang ni juga Mel nak pergi butik.”

“Yelah, yelah. Mel ajak mama, ya.” Hassan memujuk anaknya.

Eli tersandar di pintu bilik sambil menangis teresak-esak. Dia mengepal tangannya apabila mendengar rengekan Melina di luar biliknya. Benci sungguh dia dengan perangai Melina yang mengada-ngada dan pandai berlakon. Dadanya yang terasa sakit kerana menahan rasa yang bercampur-baur ditumbuk-tumbuk perlahan.

Tak guna! Kenapa mama dan papa selalu lebihkan anak pungut tu? Cuma sebab aku lambat datang ke dalam keluarga ni, aku dilayan macam orang luar! Semua orang tak guna! Lebih baik mati aje!

****

Melina berbaring di atas katil sambil tersenyum. Hatinya puas! Dia dapat mengenakan Eli, papa sebelahkannya seperti selalu, dan yang paling penting dia boleh dapatkan gaun yang lebih cantik dan lebih mewah daripada yang sedia ada.

Memang gaun pengantin putih mutiara itu pilihannya. Pada mulanya dia amat berpuas hati dengan rekaan itu. Tambahan pula dengan harganya yang mahal. Dia ingat lagi reaksi cemburu Eli ketika mendapat tahu harga gaun itu yang mencecah puluhan ribu.

Tapi sekarang dia mahukan yang lain. Yang lebih cantik dan lebih mewah. Gaun pengantin kembang dan meleret yang dia tengok di butik mewah tempoh hari betul-betul membuatkan dia gila. Dia mahukan yang itu. Maka, dia sengaja mengotorkan gaun pengantinnya sendiri. Eli yang dibencinya pula dituduh menjadi punca dia ‘terpaksa’ menukar gaun pengantinnya.

****

“Hoi, perempuan!” Melina menyergah Eli yang sedang duduk di tepi kolam ikan. Dia ketawa, seronok melihat muka cemberut gadis itu.

Melina berdiri di sebelah Eli. Sambil itu matanya melihat ikan-ikan yang berenang bebas di dalam kolam.

“Kau sedih ke?” Soal Melina.

Apabila Eli hanya mendiamkan diri, Melina menyoal lagi. “Kau sedih ke papa dengan mama tak sayangkan kau? Kesiannya. Kalau akulah, dah lama aku keluar dari rumah ni. Baik duduk tempat lain daripada menyemak mata mama dan papa.” Ujar Melina. Sengaja dia mahu menyakitkan hati Eli.

Muka Eli merah kerana menahan marah. Dia mengetap gigi. Makanan ikan di dalam genggamannya dikepal kemas.

“Hoi, perempuan. Kau dah bisu ke? Ke dah pekak?” Melina menunjal kepala Eli. Dia bertambah seronok kerana Eli langsung tidak melawan.

“Dasar anak pungut.” Eli bersuara mendatar.

“Kau cakap apa?”

“Aku nak bunuh kau.”

“Kau dah gila ke, cakap sorang-sorang?” Melina menolak kepala Eli hingga gadis itu hampir tersungkur ke depan.

Tiba-tiba Eli bangun dan menyumbat makanan ikan ke dalam mulut Melina. Sejurus itu, dia menolak Melina ke dalam kolam yang dalamnya hanya separas lutut saja. Melina yang jatuh terlentang di dalam air cuba bangun dengan kaki yang goyah. Makanan ikan yang memenuhi mulutnya diluahkan. Seluar dan bajunya habis basah.

“Aku cakap aku nak bunuh kau.” Ulangnya lagi. Pandangan mata dan senyuman Eli kelihatan kejam.

Sejurus, Eli berlalu dari situ. Dia mahu menghabiskan petangnya di taman permainan yang berdekatan dengan rumahnya. Melina pula hanya melihat dengan rasa terkejut. Tak sangka gadis itu mampu bertindak begitu. Yang lebih mengejutkan, Eli berani mengugutnya!

****

Azyan yang sejak tadi menunggu kepulangan Eli kelihatan masam mencuka. Geram dengan anaknya yang berani mencederakan Melina malah mengugut untuk membunuhnya.

Dia amat terkejut apabila Melina masuk ke dalam rumah dalam keadaan basah lencun sambil menangis. Katanya Eli telah menolaknya ke dalam kolam dan membenam kepalanya ke dalam air hingga dia hampir lemas. Berulang kali dia merayu dilepaskan, namun Eli langsung tak mengendahkannya.

Azyan melihat pada jam dinding untuk sekian kalinya. Sudah 7.15 petang, langit pun dah hampir gelap. Tapi bayang Eli masih tak kelihatan.

“Geram aku dengan budak ni! Mana dia pergi?” Azyan mendengus. Cerita tokok-tambah Melina bagai terngiang-ngiang di telinganya.

“Dia takutlah tu. Entah-entah dah menyorok!” Sengaja Melina mahu menambah rasa marah ibunya.

Azyan melihat pada Melina yang duduk di sofa hadapannya. Tadi anaknya itu sudahpun membersihkan diri dan menukar baju.

Dia baru mahu membuka mulut apabila telefon bimbitnya berbunyi. Sebaik dijawab, matanya terbuntang menzahirkan rasa terkejut.

“Panggil papa. Eli ada di hospital.” Beritahu Azyan sebaik panggilan dimatikan.

****

Azyan dan Hassan segera mendapatkan Eli yang terbaring lesu. Kepalanya bertampal kain kasa, tepi bibirnya luka manakala tangan kanannya berbalut. Melina pula berjalan lambat-lambat dengan wajah bosan.

“Kenapa ni? Siapa buat Eli macam ni?” Azyan menyoal dengan rasa cemas.

Eli hanya diam. Matanya bergenang. Namun sebaik terpandang Melina yang berdiri di hujung katil, dia terus meraung.

“Jangan pukul Eli! Tolong kak, jangan pukul Eli! Eli janji akan keluar dari rumah tu!”

Hassan dan Azyan panik melihat keadaan Eli yang seperti diserang histeria. Beberapa jururawat yang berada di situ terus mendekat, cuba untuk menenangkan Eli.

Eli memeluk Azyan dengan kemas dan meminta ibunya menyuruh Melina pergi dari situ. Berulang kali dia merayu sambil menangis teresak-esak.

Hassan mula syak. “Mel buat apa pada Eli?” soalnya.

Melina yang terkejut dengan soalan ayahnya terus menggelengkan kepala. “Mel tak buat apa-apa pun. Dia saja nak tuduh Mel!”

“Eli, cuba beritahu mama siapa yang buat. Mel ke?” Azyan cuba memujuk.

Eli memandang Melina sekilas. Tingkah lakunya jelas nampak ketakutan. Soalan ibunya dibiarkan tak berjawab.

Namun Melina yang marah dengan soalan berupa tuduhan itu terus menengking Eli. “Kau jangan nak berlakonlah! Bila masa aku belasah kau?!”

“Mel.” Hassan menegur keras.

“Akak pukul Eli teruk-teruk masa kat tepi kolam. Akak cakap nak bunuh Eli. Eli terus lari dari situ sebab takut. Lepas tu Eli dah tak ingat apa-apa. Sedar-sedar aje, Eli ada kat sini.” Cerita Eli dengan suara tersekat-sekat.

Mendengarkan tuduhan itu, Melina naik marah dan cuba menyerang Eli. Namun pantas Hassan menghalang dan menampar Melina. “Jangan berani sentuh anak aku!”

Azyan bangkit dan turut memukul Melina sambil memaki hamun. “Budak tak guna! Berani kau buat anak aku macam tu! Kau nak bunuh anak aku ke, hah?! Menyesal aku ambil kau dulu. Anak pungut tak kenang budi!”

Pesakit-pesakit yang berada di situ sudah tak dihiraukan. Sekali lagi jururawat yang berada di situ terpaksa menenangkan keadaan.

****

Melina berkurung di dalam bilik dengan hati yang sebal. Habis barang-barang berselerakan di atas lantai akibat dibaling ketika dia mengamuk sebentar tadi. Seumur hidupnya, itulah kali pertama dia ditampar dan dipukul oleh ibu bapanya. Malah ibunya juga tergamak mengatakan mahu mengusirnya dari rumah itu.

‘Anak pungut tak kenang budi!’ Kata-kata Azyan masih terngiang-ngiang di telinga. Dia menggenggam kemas comforternya dengan rasa marah.

Telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang tak dikenali terpapar di skrin.

“Kau ingat kau pandai sangat? Aku akan buat kau menyesal sebab hidup dalam keluarga aku.” Suara Eli berkumandang sebaik Melina menjawab panggilan.

“Tak guna!! Berani kau reka cerita depan papa dan mama! Aku akan pastikan yang kau tak wujud lagi lepas ni!” Melina menengking.

Eli hanya ketawa. Namun suara ketawanya membuatkan Melina kecut perut. Eli seperti sudah berubah watak. “Yang itu aku belajar dari kau. Kita tengok ajelah siapa yang tak wujud.”

Cepat-cepat Melina menekan butang merah. Dadanya turun naik menahan marah. Namun ancaman Eli sedikit sebanyak membuatnya berasa takut.

Di hospital, Eli tersenyum puas. Gagang telefon diletak. Sejurus, dia kembali semula ke wadnya. Sebentar tadi ibu bapanya meminta agar dia ditempatkan ke wad kelas pertama. Maka tak perlulah dia berkongsi wad dengan pesakit-pesakit lain.

Ibunya ada memberitahunya tentang cerita Melina yang ditolak ke dalam kolam. Ibunya sangat marah apabila menyedari Melina telah menipunya untuk menutup perbuatannya terhadap Eli. Eli menyembunyikan senyuman.

Memang Eli tolak dia, mama. Tapi macam selalu, dia menambah-nambah cerita sebab nak buat Eli nampak jahat.

Dia fikir dia hebat? Aku dah agak yang dia akan buat macam tu supaya aku teruk dimarahi. Tapi aku berada dua langkah di depannya. Mulai sekarang, mama dengan papa akan sebelahkan aku pula.

Eli memandang tangannya yang berbalut. Cedera akibat dihentak dengan batang besi. Kepalanya pula sengaja dihantuk ke dinding pagar rumahnya. Luka di bibirnya pula? Dia sendiri tumbuk dengan sekuat hati.

Tanpa disedari, rasa marah yang dipendam sejak kecil perlahan-lahan telah mengubah dirinya menjadi seorang yang sadis.

****

“Mama, papa, Mel nak keluar dengan Shahril. Kami nak tengok rumah baru kami.” Melina memberitahu ibu bapanya yang sedang bersantai sambil minum petang di gazebo. Hassan sekadar mengangguk tanpa memandangnya, manakala Azyan buat tak tahu seolah-olah dia tak wujud di situ.

Melina menghempaskan keluhan melihat layanan mereka. Sejak peristiwa minggu lepas, mereka berdua tidak lagi melayannya seperti dulu. Hal itu menambahkan dendamnya pada Eli. Tapi buat masa sekarang dia akan mendiamkan diri dulu. Lepas keadaan sejuk kembali, dia akan kenakan gadis itu teruk-teruk.

Melina dan Shahril melihat-lihat ruang tamu yang sudah lengkap dengan perabot. Rumah berkembar dua tingkat itu hanya menunggu masa untuk didiami. Walaupun rumah itu tak sebesar rumah ibu bapanya, Melina sudah berpuas hati. Dari ruang tamu, Melina beralih ke dapur dan seterusnya ke setiap bilik tidur di tingkat atas.

Hatinya melonjak riang. Untuk seketika, dia terlupa mengenai ibu bapanya yang sudah berubah kasih. Dia ada Shahril, bakal suaminya yang akan membahagiakannya. Tetapi itu masih belum cukup baginya. Dia tidak akan benarkan Eli merampas kasih sayang dan perhatian ibu bapanya.

“Sayang, abang nak guna bilik air kejap. Sayang tengok-tengoklah rumah ni.” Beritahu Shahril ketika mereka berada di balkoni. Melina hanya mengangguk dan mengalihkan pandangan kembali ke tasik yang terbentang.

****

Sudah hampir setengah jam menunggu, tapi Shahril masih tak muncul. Akhirnya Melina meninggalkan balkoni dan menuju ke bilik utama untuk mencari Shahril.

Sebaik pintu terbuka, dia tergamam. Kelihatan Shahril terlentang di atas katil dalam keadaan kaki dan tangannya terikat. Mulutnya pula disumbat kain. Melina menjerit nama tunangnya dan segera menerpa untuk membantu melepaskan Shahril.

Shahril menggelengkan kepala dan menjerit dengan suara yang tersangkut oleh gumpalan kain. Menyedari maksud Shahril, Melina terus berkalih ke belakang. Ketika itulah Eli yang muncul entah dari mana terus menumbuk muka Melina hingga menyebabkannya tersungkur. Kemudian Eli menjerut leher Melina dengan sehelai tuala.

Melina meronta-ronta cuba melepaskan diri. Nafasnya makin sesak. Eli mengheret Melina menjauhi katil. Kemudian jerutan pada lehernya dilepaskan. Melina tercungap-cungap mencari nafas sambil berundur ke belakang. Dia mahu menjauhi Eli.

“Perempuan gila! Apa yang kau nak?!” Dalam keadaan lemah, Melina masih mampu memaki hamun Eli. Air matanya sudah berjejeran membasahi pipi. Kehadiran Eli di situ amat mengejutkan, apatah lagi dengan berpakaian gaun pengantin yang Melina kotorkan tempoh hari.

Eli hanya tersenyum melihat Melina yang duduk tersandar di dinding. Dia duduk mencangkung di hadapan Melina. Sejenak, dia menoleh ke belakang memandang Shahril yang masih terikat.

“Aku nak ambil balik semua hak aku yang kau dah rampas. Aku dah dapat mama dan papa, sekarang aku nak ambil yang selebihnya.” Ujar Eli.

“Aku tahu kau sengaja menggoda Shahril lepas kau dapat tahu aku sukakan dia. Memang dasar anak pungut! Semua yang aku nak, kau rampas! Dia sepatutnya jadi milik aku, bukan kau!” Mata Eli mencerlung memandang Melina.

Eli mencapai pisau memotong sayur di atas meja solek yang tadinya digunakan untuk menakutkan Shahril. Sejurus dilayang-layangkan di depan Melina. Melina semakin takut melihat tingkah laku Eli yang tak ubah seperti orang tak siuman.

Eli mencekak leher Melina manakala pisau di tangan kanannya ditekan ke pipi wanita itu. Rayuan Melina yang meminta agar dilepaskan langsung tak dihiraukan. Malah dia makin seronok melihat Melina merayu-rayu padanya.

“Kau nak aku lepaskan kau?” Eli menyoal. Melina mengangguk laju.

“Dengan syarat. Kau kena tikam dada Shahril dengan pisau ni.”

Melina menangis lagi. “Aku taknak bunuh dia. Tolong jangan apa-apakan dia.”

“Kau nak buat ke taknak?”

Melina menggeleng.

“Okey. Tapi cuma salah seorang dari kau berdua yang boleh hidup. Sama ada kau, atau dia. Sama ada dia, atau kau. Cuba fikir, kalau kau mati, dia akan teruskan hidup dia dengan perempuan lain. Sekelip mata aje dia akan lupakan kau. Tapi kalau kau bunuh dia, aku janji akan lepaskan kau.”

Melina menahan tangis hingga badannya tersengguk-sengguk. “Aku akan laporkan pada polis.” Melina mengugut.

“Kalau macam tu, kau pun akan kena juga sebab kau yang bunuh dia.”

Melina terdiam. Hanya esak tangisnya yang kedengaran.

“Kau sanggup mati demi dia? Okey.” Eli menjalarkan mata pisau ke leher Melina. Ditekan mata pisau berulang kali ke leher wanita itu.

“Jangan bunuh aku, please.” Melina merayu nyawa. “Aku buat, aku buat.”

“Good girl.” Eli tersenyum dan terus menghulurkan pisau yang dipegang.

Tatkala Melina mengambil pisau itu, sempat Eli mengancam. “Jangan berani melawan cakap aku. Kalau tak, dua-dua aku bunuh. Faham?”

Melina terangguk-angguk.

Perlahan-lahan Melina melangkah ke arah Shahril. Melihatkan pisau di tangan wanita itu, Shahril meronta-ronta minta dilepaskan. Dia menggeleng-gelengkan kepala meminta Melina tidak melakukannya.

Melina teragak-agak. Dalam kepalanya, dia membayangkan untuk menikam Eli dengan pisau itu dan seterusnya menyelamatkan dirinya dan Shahril. Melina menoleh ke arah Eli. Eli pantas mengangkat kening sambil menayangkan sepucuk pistol di tangannya. Sengaja dia membawa pistol itu untuk digunakan kalau-kalau rancangannya tak menjadi.

Kerana takut mati, Melina menoleh semula ke arah Shahril. Pisau diangkat tinggi. Sempat lagi Melina meminta maaf sebelum membenamkan mata pisau ke dada Shahril dengan sekuat hati. Sejurus dia mencabut semula pisau itu hingga darah memercik ke mukanya. Liang luka di dada lelaki itu membuakkan darah.

Melina meraung tatkala melihat Shahril bernafas tersekat-sekat. Pisau dalam genggaman dibiarkan jatuh ke lantai. Berulang kali dia meminta maaf atas tindakannya itu. Tak lama selepas itu, Shahril kaku tak bernyawa.

Melina terduduk di sisi katil. Tak sangka dia terpaksa mengambil nyawa tunangnya demi keselamatan nyawanya sendiri.

“Dah puas menangis?” Eli menyoal.

Melina pantas bangkit mahu menyerang Eli. Namun pistol di tangan gadis itu membantutkan niatnya. “Kau binatang!” Melina menjerit.

“Kau yang jadikan aku binatang. Dari kecil kau seksa aku. Kau buat mama dan papa bencikan aku. Kau rampas semua benda dalam hidup aku. Sekarang, kau rasalah akibatnya.”

Eli menunjukkan pada sebotol air mineral di atas meja solek. “Minumlah. Mesti kau dahaga. Lepas tu pergi bersihkan badan kau.”

Apabila Melina hanya diam, Eli mengangkat laras pistol. “Jangan ingkar cakap aku.”

Cepat-cepat Melina mencapai botol air mineral tersebut. Dua tiga teguk, dia meletakkan semula di atas meja solek. Namun dia tersentak kerana tekaknya berasa panas tiba-tiba. Dia terbatuk-batuk keras hingga darah bersemburan memercik ke atas lantai. Akibat kesakitan yang tak tertanggung, Melina rebah terbaring di atas lantai. Nafasnya semakin lemah.

Eli tersenyum puas melihat Melina mengerekot di atas lantai. Nafas wanita itu sudah terhenti. Setelah pasti bahawa mereka berdua sudah tidak bernyawa, Eli meninggalkan tempat itu. Sebelum itu dia menyelitkan pistol mainannya ke tali pemegang pistol yang dililit di paha.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.