Alisa memandu pulang sendirian dari tempat kerja. Jalan agak lengang ketika
itu memandangkan waktu sudah melepasi tengah malam. Wanita itu mengatup
mulutnya tatkala menguap. Matanya yang berair kerana menahan rasa mengantuk
dikerlip beberapa kali. Biasanya pada waktu begini dia sudah dibuai mimpi.
Dia mengeluh. Sejak kebelakangan ini memang dia selalu pulang lewat.
Kadang-kadang terpaksa bermalam di tempat kerja. Semuanya kerana kes pembunuhan
bersiri yang semakin menjadi-jadi. Pembunuh tersebut nampaknya sangat cekap dan
teliti kerana setakat ini tiada langsung bukti yang ditinggalkan di tempat
kejadian. Perkara ini sangat mencabar dirinya sebagai seorang juruanalisis DNA
di makmal forensik.
Ketika sedang melayan rasa marah, telefon pintarnya berbunyi pendek. Lantas
dia menyelongkar beg galas yang diletak di tempat duduk penumpang. Matanya
tetap pada jalan raya. Sejurus, mesej yang diterima dibaca sambil matanya
sesekali memandang pada jalan agar kereta yang dipandu tidak terbabas.
Sebarkan kalau tak nak perkara buruk terjadi? Alisa tersenyum sinis.
Ingatkan zaman mesej berantai dah lepas. Rupa-rupanya ada lagi. Lepas itu, menokok
tambah cerita pasal pembunuh bersiri yang menyebabkan dia dan pasukannya tak
cukup rehat. Mesej yang dihantar oleh nombor tak dikenali itu diabaikan. Bukan
baru sekali ini dia menerima mesej begitu, malah ini merupakan kali kelima.
Setelah beberapa minit memandu, akhirnya Alisa sampai ke rumah keluarganya.
Sebaik saja keluar dan menutup pintu kereta, dia menekan butang pada kunci dan
melangkah ke pagar untuk menutupnya kembali. Ketika itulah dia terpandang
seorang lelaki sedang berdiri di tengah-tengah jalan dengan membelakangkan
dirinya. Hud sweater yang dipakai
menutupi kepala. Alisa mula pelik.
Sejak bila dia ada di situ? Tadi tak ada pun.
Alisa terus memerhati dengan rasa curiga. Lelaki itu hanya berdiri kaku
seperti patung, langsung tak bergerak. Enggan berlama-lama di situ, Alisa
segera menarik pintu pagar.Bunyi gelongsor bagaimanapun menarik perhatian lelaki itu. Dia memusingkan
badan menghadap ke arah Alisa. Ketika itu, nafas Alisa seakan tersekat apabila
mata hijau milik lelaki itu merenung tepat ke arahnya. Jantungnya seperti
direntap. Gugusan kunci dalam genggamannya terlepas kerana menggigil. Mindanya
menjerit-jerit supaya dia melarikan diri, namun kakinya terasa kaku. Dia hanya
mampu melihat lelaki itu menghampiri.
#=#=#=#=#
Alisa terjaga dalam keadaan terkejut. Berulang kali dia memejam celik mata,
cuba menyesuaikan penglihatan dengan keadaan ruang yang agak terang dengan
cahaya lampu pendafluor. Kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut.
Buat seketika, dia terasa bingung. Kenapa dia berada di situ? Apa yang
telah berlaku? Namun seketika kemudian dia mula teringat kembali mengenai
kemunculan lelaki bermata hijau di depan rumahnya. Nampaknya mesej berantai itu
betul. Alisa cuba untuk bangun. Namun pergerakannya tersekat. Dia menunduk.
“Ya Allah...” Alisa mula cemas apabila tersedar bahawa dia berada dalam
keadaan terikat pada sebuah kerusi. Dia berusaha untuk meleraikan tali yang
mengikat kedua-dua tangannya pada pemegang kerusi, namun gagal. Dia mengeluh.
Terbayang-bayang dalam kepalanya mengenai berita yang bakal keluar mengenai
penemuan mayatnya. Dikelar, kesan
torehan memenuhi seluruh tubuh, kelopak mata dibuang. Alisa menggeletar. Ngeri
apabila membayangkan keadaan mayat-mayat mangsa pembunuh bersiri itu. Pasti
kehilangannya sudah disedari. Ibu dan bapanya pula pasti sedang bersedih dan
bimbang.
Alisa meneliti segenap ruang pondok usang itu. Nampak seperti sudah lama
ditinggalkan. Atau mungkin sengaja dibiarkan tak berkemas. Bersepah dan
berhabuk tebal. Pintu dan tingkap tertutup rapat, langsung tiada ruang untuk
pengaliran udara. Namun masih terasa nyaman dan sejuk. Dia tahu pondok itu
terletak di kawasan hutan kerana suasana sunyi dan hening yang menyelubungi.
Hanya sesekali terdengar bunyi unggas bersahut-sahutan.
Dalam cemas dan ketakutan, Alisa cuba berfikir cara untuk melepaskan diri.
Ikatan tali pada tangan dan tubuhnya agak kemas, sukar untuk dileraikan. Maka,
dia harus mencari sesuatu yang tajam untuk memotong tali itu.
Hampa. Tiada serpihan kaca. Tiada pisau atau apa-apa yang boleh digunakan
untuk memotong tali yang mengikat. Alisa mula mahu menangis. Selama ini dia
bertungkus lumus untuk menangkap pembunuh bersiri itu, tetapi kini dia pula
yang menjadi mangsa. Dalam keadaan begini, dia tak mampu berbuat apa-apa.
Alisa segera mematung diri apabila terdengar bunyi derap-derap langkah di luar
pondok. Jantungnya mula berdegup kencang. Pasti lelaki bermata hijau itu
kembali untuk menyudahkan kerjanya. Dia tak mahu mati begitu saja.
Pintu dibuka dari luar. Kemudian ditutup kembali.Lelaki bermata hijau itu berjalan menghampiri Alisa. “Dah bangun?”
Suara garau lelaki itu kedengaran seperti sapaan biasa yang mesra.
Hakikatnya ia merupakan ancaman yang menakutkan. Alisa hanya mendiamkan diri.
Lelaki itu mencangkung di depan Alisa sambil merenung tajam ke dalam anak
mata wanita itu. Alisa pula cepat-cepat mengalihkan pandangan. Tidak mahu
memandang sepasang mata milik lelaki itu yang aneh dan menyeramkan.
“Kenapa takut?” Soalnya lagi.
Matanya masih merenung Alisa. Riak wajahnya tampak tertanya-tanya, seperti
benar-benar tak tahu sebab Alisa berada dalam ketakutan.
“Takut dengan mata aku?”
Tangannya dihulur, cuba menyentuh pipi Alisa. Namun, dia tersungkur ke
belakang. Tindak balas spontan Alisa yang mengesan bahaya telah menyebabkannya
menendang lelaki itu dengan kuat.
Terpamer riak bengis pada wajah lelaki itu untuk seketika sebelum riaknya
kembali tenang. Dia mengeluh. Tanpa berkata apa-apa, dia bangkit dan terus
melangkah ke tingkap lalu membukanya luas. Dia termenung di situ dan nampak
terkhayal sejenak.
Pada masa yang sama, Alisa cuba melonggarkan ikatan tali pada kedua-dua
pergelangan tangan.
“Kau lain daripada yang lain,” Lelaki itu bersuara tiba-tiba. “Langsung tak
menangis, merayu-rayu minta dilepaskan.”
“Aku takkan merayu sebab aku sendiri yang akan bunuh kau!” Alisa bersuara
lantang. Rasa takut cuba dibuang jauh-jauh.
Alisa menghentikan usahanya untuk melonggarkan ikatan tali apabila lelaki
bermata hijau itu melangkah mendekatinya. Setelah berdiri di hadapannya, lelaki
itu mengeluarkan sebilah pisau rambo yang tersisip pada pinggangnya. Cahaya
lampu yang mengenai bilah menghasilkan kilauan.
Alisa tertelan liur. Gerun melihat senjata tajam itu. Pasti pisau itu akan
digunakan untuk merobek isi dagingnya.
“Nak main satu permainan?” Lelaki itu menekan bilah tajam pada jari,
seolah-olah mahu menguji ketajamannya. Kemudian, dia memandang Alisa sambil
tersenyum.
“Syaratnya mudah. Kalau kau dapat bertahan dan langsung tak menangis sampai
habis permainan, aku akan lepaskan kau.”
“Orang gila! Jangan harap kau boleh apa-apakan aku!” Alisa membentak.
Lelaki itu memang gila dan sadis walaupun zahirnya nampak seperti waras.Sekelip mata, pisau dilayangkan ke bahu Alisa. Goresan yang dalam
menyebabkan wanita itu terjerit kesakitan. Luka memanjang pada bahunya mengalirkan
darah membuak-buak hingga membasahi kemeja kuning yang dipakai.
Kemudian mata pisau ditekan ke leher Alisa. Lelaki itu mendekatkan wajahnya
ke wajah Alisa, merenung tepat ke dalam anak mata wanita itu. “Aku suka bila
kau menjerit. Merdu.”
Butiran cecair merah mula terbentuk pada hujung torehan kulit leher.
Perlahan-lahan cecair itu menuruni leher dan meresap ke kolar kemeja. Lelaki
pembunuh itu memerhati dengan wajah teruja. Jelas, dia seorang yang sadis. Suka
melihat orang terseksa sebelum mati perlahan-lahan.
“Kenapa kau buat semua tu?” Alisa menyoal. Ada getaran dalam nada suaranya.
Lelaki itu tersenyum. “Sebab aku suka. Bila tengok darah mengalir keluar
lepas daging dihiris, bagi aku macam satu seni. Aku suka warna darah. Cantik.”
Kata-kata lelaki itu membuatkan perut Alisa terasa bergelora. Tanpa berfikir panjang, Alisa menghantukkan kepalanya ke kepala lelaki itu sekuat hati.
Kemudian dia menghadiahkan tendangan tepat ke halkum lelaki itu membuatkan
lelaki itu tersungkur ke belakang. Namun rasa sakit akibat hantukan itu
membuatkan Alisa tertunduk. Dia mengerang.
Lelaki itu pula sudah tergolek di atas lantai sambil memegang lehernya.
Telinga terasa berdengung akibat kesakitan yang teramat. Nasib baiklah Alisa
tidak berkasut tumit tinggi, kalau tidak pasti sudah berlubang leher lelaki
bermata hijau itu.
Sebaik mengangkat kepala, Alisa terpandang pisau rambo yang elok terdampar
dekat dengannya. Lantas dia mencapai pisau itu dengan kaki. Agak sukar untuk
dia memegang bilah pisau dengan kedua-dua kakinya. Sebaik saja berjaya, pisau
diletak ke atas riba dan dia menggigit pemegangnya sebelum dipindahkan ke
tangan kanan. Memandangkan ikatan tali sudah agak longgar, mudah untuk dia
memotongnya dalam keadaan tangan masih terikat.
“Tak guna! Aku bunuh kau!” Lelaki itu melampiaskan rasa marahnya dengan
menumbuk lantai sekuat hati. Dia menggagahkan diri untuk bangun walaupun
kakinya terasa goyah.
Melihatkan lelaki itu yang sudah mula bangkit, Alisa bertambah cemas. Dia
menghiris tali selaju mungkin.
Lelaki itu pantas mendapatkan Alisa dan melepaskan tumbukan ke pipinya. Dua
tiga kali tumbukan, pergerakannya terhenti mendadak. Wajahnya tegang.Pisau rambo miliknya kini tertusuk pada perutnya. Darah menyeruak keluar. Alisa pula menggeletar. Dia masih tak melepaskan ulu pisau yang menikam lelaki itu.
Pertama kali perkara begini berlaku kepadanya. Malah terpaksa mengambil nyawa orang
lain demi menyelamatkan nyawanya. Pada masa yang sama, dia lega kerana dapat
menewaskan pembunuh bersiri yang paling dikehendaki.
Tubuh lelaki itu terkulai di atas Alisa. Alisa menarik semula pisau yang
terbenam dalam daging perut lelaki itu sebelum menolaknya sekuat tenaga hingga
jatuh terjelupuk ke atas lantai. Kemudian, cepat-cepat dia memotong tali ikatan
pada tangan kiri dan tubuhnya. Dia harus cepat keluar dari situ.
Setelah selesai, Alisa pantas bangkit dan menuju ke arah pintu. Namun tak
semena-mena kakinya ditarik menyebabkannya tersungkur. Pisau yang dipegang
terlepas dari genggaman.
'Ya Allah, tolonglah aku...' Hati Alisa berbisik, mengharapkan pertolongan dari Yang Esa.
Lelaki pembunuh itu terus mendapatkan pisau rambo miliknya, kemudian dilibas-libas ke arah Alisa Namun wanita itu cepat mengelak daripada terkena
hirisan senjata itu. Kemudian Alisa bangkit dan cuba untuk berlari keluar dari
pondok kayu itu, tetapi langkahnya dihalang oleh lelaki itu. Wajah lelaki itu
membengis. Hatinya sakit apabila permainannya tergendala. Nampaknya wanita itu
bukan calang-calang, tak mudah ditundukkan seperti mangsa-mangsanya sebelum
ini. Dia harus menamatkannya secepat mungkin.
Lelaki itu meluru ke arah Alisa dan melepaskan tendangan ke dada wanita
itu. Alisa terpelanting ke belakang. Nafasnya sesak. Dadanya terasa perit.
Belum sempat Alisa bangun, lelaki itu sudahpun mendapatkannya. Betis dan paha Alisa
ditikam hingga memancutkan darah. Alisa terjerit kesakitan. Bisanya terasa
menjalar ke seluruh tubuh.
Nalurinya mendesak Alisa untuk terus berjuang demi nyawanya. Dia tak mahu
mengalah begitu saja. Lalu dia merangkak laju ke arah kerusi yang tadinya
menjadi tempat dia diikat. Alisa mengangkat kerusi itu tinggi melepasi kepala,
kemudian menghayunnya sekuat hati ke tubuh lelaki bermata hijau itu. Lelaki itu
meraung kesakitan. Pisau yang digenggam tercampak.
Alisa cepat-cepat mencapai senjata tajam itu sebelum mendapatkan lelaki itu
yang sedang berusaha untuk bangkit.
“Aku harap kau suka dengan permainan yang kau cipta.”
Melihatkan mata pisau ditujah ke anak matanya, lelaki itu menjerit dan
meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada Alisa yang sedang menindih
tubuhnya. Dia takut mati. Dengan pantas, Alisa membenamkan bilah pisau ke dada
lelaki itu, tepat pada jantung. Serentak itu juga jeritan lelaki itu terhenti.
Alisa mengengsot ke tepi dinding menjauhi jasad lelaki itu. Tubuh Alisa
menggeletar. Dia benar-benar ketakutan dan keletihan. Ditambah pula dengan
luka-luka di tubuhnya membuatkan dia terasa mahu pengsan. Akhirnya, Alisa
menangis teresak-esak di situ. Dia benar-benar berharap bahawa itu semua hanya
mimpi ngeri.