Van
meluncur laju di atas jalanraya. Sesekali keranda yang menempatkan jenazah
bergegar di belakang. Jenazah akan dikebumikan sebaik sahaja sampai ke Perlis.
Puan
Siti, Encik Ismadi dan Rizal merenung keranda berwarna putih itu dengan rasa
sayu. Sudah setahun mereka tidak pernah bertemu dengan arwah dan sekarang dia
sudah pulang tetapi sebagai jenazah. Puan Siti tahu suaminya sedang menangis di
dalam hati kerana sepanjang perjalanan lelaki itu merenung keranda anak mereka.
Di
dalam masa yang sama, fikiran Puan Siti terganggu dengan rantai berloket aneh
yang diberi oleh Mak Leha. Rantai itu dikatakan dibuka dari leher arwah ketika
dia dimandikan. Dia tiada kekuatan untuk memberitahu suami kerana khuatir
suaminya akan berasa kecewa. Suaminya memang menentang habis-habisan perbuatan
khurafat seperti ini. Jika dia tahu arwah pernah mengamalkan ilmu salah semasa
dia hidup pasti dia akan berasa sangat kecewa dan sedih.
Rizal
memandang ibunya yang kelihatan serba tidak kena. Dia seperti sedang memegang
sesuatu dalam tas tangannya.
“Apa
tu mak?” tanyanya.
Cepat-cepat
Puan Siti melepaskan rantai dan menutup tas tangannya. Dia menggeleng-geleng.
Rizal berasa curiga.
Pemandu
bernama Din memberhentikan van di luar stesen minyak. Puan Siti dan Encik
Ismadi beredar keluar untuk ke tandas dan mengambil angin segar di luar. Din
juga keluar untuk membeli sesuatu di mart
dalam stesen minyak. Tinggal Rizal seorang diri di belakang bersama-sama dengan
jenazah.
Dia
memandang keranda. Dia ingat lagi bagaimana dia dan arwah bergaduh besar
sebelum arwah keluar dari rumah dan tidak pulang-pulang lagi selepas itu. Arwah
terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral sejak di sekolah menengah dan
ketika itu dia berubah seratus peratus. Arwah menjadi biadap dan suka
menimbulkan kekecohan. Sikapnya yang kurang ajar benar-benar menaikkan
kemarahan Rizal.
Kini
mereka bertemu semula tetapi semuanya tidak sama seperti dulu.
Rizal
bersandar ke dinding van dan terlelap buat seketika namun selepas itu tersedar
apabila mendengar sesuatu. Bunyi tersebut datangnya dari dalam keranda yang
bertutup rapat. Rizal tergamam. Seperti ada suara yang bercakap dari situ.
“Abang?”
Dia memberanikan diri bertanya.
Dia
meninggalkan tempat duduk dan mendekatkan telinganya ke keranda.
“Buka
pintu…”
Sejurus
selepas mendengar kata-kata itu, Rizal terus membuka pintu dan meloncat keluar.
Memang benar itu suara arwah! Dia tahu maksud ‘buka pintu’ itu. Pasti arwah
mahu dibukakan pintu keranda supaya dia boleh keluar. Ya ALLAH!
Puan
Siti meneliti rantai di hadapan cermin dalam tandas. Dia masih tidak dapat
menerima kenyataan yang arwah anaknya pernah memakai tangkal ini semasa dia
masih hidup. Refleksi sesuatu mengganggu konsentrasinya. Dia mengangkat wajah
dan terkejut apabila melihat kain putih sedang berdiri di belakangnya. Hanya
dia yang berada dalam tandas ketika itu. Tanpa menoleh ke belakang, Puan Siti
berlari keluar dari tandas dan meluru ke van yang diparkir di perkarangan
stesen minyak.
Encik
Ismadi terkejut melihat isterinya yang pucat lesi.
“Awak
ni kenapa?” Dia memandang isteri tidak berkelip-kelip.
Puan
Siti tidak menjawab soalan suaminya. Dia meluru masuk ke dalam van. Badannya
menggigil. Rizal turut sama hairan melihat perlakuan ibunya. Seperti dikejar
hantu sahaja. Seketika kemudian, dia menyusul ibunya walaupun kejadian tadi
membuatkannya fobia.
Encik
Ismadi duduk di hadapan, bersebelahan Din. Puan Siti dan Rizal sibuk melayan
perasaan masing-masing. Dua beranak itu ada kisah menakutkan yang telah berlaku
ke atas diri mereka sebentar tadi. Jemari Puan Siti kembali memegang rantai itu
dan kali ini ia berjaya dirampas oleh Rizal.
“Apa
ni mak?” tanyanya dengan kening berkerut.
Puan
Siti sudah tidak boleh mengelak. Rizal sudah melihat sendiri rantai itu. Dia
terpaksa berterus-terang.
“Mak
cik Leha yang beri ni pada mak. Diambil dari leher arwah abang Riz,” ujarnya
separuh berbisik. Khuatir jika didengari oleh Encik Ismadi.
Rizal
terdiam. Kalau tidak silap, ini macam tangkal. Dia menyerahnya kembali pada
ibunya. Ibunya juga menyuruh dia merahsiakan hal ini daripada pengetahuan
ayahnya. Ibunya akan memberitahu ayahnya pada masa yang sesuai.
Perjalanan
yang masih jauh membuatkan dua beranak itu terlena.
Kreek…
Puan
Siti dan Rizal terjaga serentak. Ada bunyi sesuatu tadi. Mata mereka terpaku
pada penutup keranda yang terbuka separuh. Jantung mereka berdetak laju
serta-merta. Ada sesiapakah yang telah membukanya? Rizal mendekati keranda dan
mahu menutupnya kembali.
Tatkala
tangannya memegang penutup keranda, mata arwah terbuka dan terbeliak luas
sambil merenung ke arahnya. Rizal menjerit lalu terduduk dengan muka penuh
ketakutan. Semua yang ada di situ bertukar panik.
“Stop kejap Din,” pinta Encik Ismadi.
Setelah van diberhentikan di bahu jalan, Encik Ismadi keluar dan memeriksa
keadaan anak bongsunya di belakang.
“Kenapa
ni Riz?” Dia bertanya.
Rizal
tidak dapat berkata-kata. Lidahnya kelu. Dia hanya memandang ke keranda arwah
abangnya. Encik Ismadi mendekati keranda dan sempat menyentuh wajah arwah
sebelum keranda ditutup sepenuhnya. Hatinya benar-benar sayu.
Jenazah
dikebumikan sejurus sahaja mereka sampai di Perlis. Encik Ismadi sama-sama
mengangkat jenazah masuk ke liang lahad. Tetapi ternyata urusan pengebumian
tidak semudah yang disangka. Beberapa kali jenazah gagal dimasukkan ke liang
lahad kerana beratnya yang melebihi beberapa orang lelaki dewasa. Semua yang
terlibat sudah kelelahan.
Encik
Ismadi orang yang paling malu sekali. Pasti akan ada suara-suara sumbang yang
berkata yang bukan-bukan tentang arwah.
“Tak
apa. Kita angkat sampai dapat,” kata Tok Imam sambil menepuk-nepuk bahu Encik
Ismadi. Mahu menenangkan perasaan lelaki itu.
Encik
Ismadi tersenyum pahit. Sempat dia mendongak memandang ke wajah isteri. Wanita
itu memandangnya dengan pandangan berkaca.
Percubaan
kali keempat akhirnya berjaya. Jenazah berjaya diletakkan ke liang lahad.
Tetapi selepas itu ada dugaan lain pula yang muncul.
“Naik!
Naik!” Orang kampung bertempik-tempik. Ada kala jengking bersaiz sangat besar
sedang berkeliaran di dalam lubang kubur. Entah dari mana ia datang.
Encik
Ismadi semakin bingung. Puan Siti dan Rizal juga. Apakah petanda kepada semua
ini? Adakah kerana amal arwah ketika di dunia? Astaghfirullah…
Tok
Imam membaca ayat-ayat suci sehingga kala jengking tersebut ghaib secara
tiba-tiba. Kerja-kerja pengebumian disambung sebelum binatang berbisa itu
muncul buat kali kedua. Encik Ismadi bersyukur kepada ILAHI kerana akhirnya
urusan pengebumian selesai. Selepas itu mereka berkumpul secara beramai-ramai
di sisi kubur untuk mendengar bacaan talkin Tok Imam.
Malam
itu selepas Isyak majlis tahlil bermula. Ramai saudara-mara dan sahabat handai
yang datang untuk meringankan beban Puan Siti sekeluarga. Mereka yang banyak
membantu di dapur dan sepanjang majlis tahlil berlangsung. Puan Siti yang lebih
banyak duduk di dapur banyak diberi kata-kata semangat oleh para tetamu yang
hadir.
Selesai
bacaan yasin, para tetamu dijamu dengan juadah-juadah yang telah disediakan.
Rizal duduk termenung di dalam bilik tidur arwah abangnya. Sudah setahun bilik
ini tidak berpenghuni dan sekarang ia akan berpanjangan buat selama-lamanya
kerana penghuninya sudah tiada.
Pada
waktu yang sama, ada sebatang tubuh berkafan bergerak meninggalkan tanah
perkuburan Islam. Dia terhuyung-hayang berjalan ke jalan utama untuk pulang dan
bersatu dengan ahli keluarganya yang masih hidup. Sudah setahun dia tidak
bersua muka dengan mereka.
Jep
dan Mamat yang dalam perjalanan ke gerai minum Pak Ya memperlahankan motosikal.
Mamat yang sedang duduk di belakang ternampak sesuatu di hadapan.
“Siapa?”
tanya Jep.
“Jom
tengok. Macam tengah panggil-panggil kita aje tu?” usul Mamat.
Jep
memecut dan memperlahankan enjin di sisi seseorang yang dilihat oleh Mamat
namun selepas itu memecutnya kembali sehingga ke gerai Pak Ya. Itu bukan
manusia, itu hantu!
Mereka
berlari mendapatkan Pak Ya yang ketika itu sedang sibuk melayan pelanggan. Puas
mereka menceritakan apa yang mereka nampak tetapi orang tua itu langsung tidak
mempercayainya.
“Mana
ada hantu.” Pak Ya ketawa dan menggeleng-geleng. Budak berdua ini memang suka
mengada-adakan cerita.
“Betullah
Pak Ya. Memang kita orang nampak hantu tadi!” Mamat berkata tidak puas hati
tetapi seperti tadi Pak Ya tidak percaya pada mereka.
Suasana
gerai itu tiba-tiba bertukar riuh-rendah. Separuh daripada pelanggan sudah
hilang entah ke mana. Meninggalkan makan minum yang masih banyak berbaki di
atas meja.
Hasnita,
cucu Pak Ya berlari mendapatkan datuknya. Dia mengajak orang tua itu pulang ke
rumah.
“Ada
hantu tok!” ujarnya penuh ketakutan. Dia bersembunyi di belakang datuknya.
Pak
Ya mengeluh kerana tiada apapun yang dia nampak di gerainya. Usahkan hantu,
bayang hantupun tiada! Bunyi sudu besi jatuh di dapur bergema memecah
keheningan yang mula tercipta. Pak Ya mengatur langkah untuk ke dapur tetapi
ditegah oleh Jep dan Mamat.
“Tu
mesti kerja hantu tu tok!” Jep berkata.
Pak
Ya tidak peduli. Dia ke dapur dan mengutip sudu yang tersadai di lantai. Ketika
dia mengangkat tubuhnya dia melihat dengan jelas bagaimana arwah Razif sedang
terpacak di muka pintu belakang. Arwah sedang memandang tepat ke arahnya. Pak
Ya bergegas ke luar dan mengajak cucunya pulang.
“Tak
mau tutup gerai ni dulu ke tok?” tanya Hasnita.
“Esok
kita tutup,” kata Pak Ya lalu menarik tangan cucunya ke motosikal dan
memecutnya pulang ke rumah.
Kini
hanya Jep dan Mamat yang masih di situ. Yang lain sudah lari tidak cukup tanah
tadi. Mereka berdua mengintai ke dapur dan mampu menarik nafas lega kerana
hantu itu tiada di situ.
“Takde
Mat. Mat?” Jep menoleh dan melihat Mamat sudah tiada di sebelahnya.
Motosikalnya masih cantik terparkir di situ. Ke mana Mamat menghilang?
“Bawa
aku pulang….”
Suara
yang datangnya dari arah belakang serta-merta membuatkan Jep menggigil. Bau
busuk seperti bangkai menusuk-nusuk ke lubang hidung. Dia menoleh dan melihat
arwah sedang berdiri di belakangnya.
Argh!!
Bayangan
yang melintas di luar jendela yang bertutup menarik perhatiannya. Dia membuka
jendela dan cuba memeriksa keadaan di luar tetapi pandangannya terbatas kerana
suasana yang gelap. Selepas menutup jendela, tangisan anak-anak kecil di ruang
tamu mengetuk gegendang telinga. Dia bergegas keluar. Anak-anak kecil sedang
menangis sambil ditenangkan ibu dan ayah masing-masing. Rizal mendekati ibunya.
“Apa
yang dah jadi mak?”
“Mak
pun tak tau. Dia orang cakap dia orang nampak abang putih dekat luar.”
Jawapan
ibunya mengejutkan Rizal. Abang putih?
Keadaan
yang semakin gamat memaksa mereka membawa anak-anak kecil itu pulang ke rumah.
Tangisan mereka semakin menjadi-jadi.
Puan
Siti sudah siap menyusun pinggan mangkuk dan cawan yang kotor di atas meja
makan. Esok sahaja dia mencuci semuanya. Malam ini dia terlalu letih kerana
seharian di atas jalanraya dan juga menguruskan majlis tahlil untuk arwah
anaknya.
“Awak
pergilah tidur,” kata Encik Ismadi. Isterinya kelihatan lesu dan tidak bermaya.
Puan
Siti mengangguk tanpa banyak bicara namun sebelum dia sempat bergerak ke bilik
untuk tidur, pintu utama tiba-tiba diketuk oleh seseorang. Siapa pula yang
datang bertandang pada tengah malam begini? Bunyi ketukannya pula perlahan sahaja.
“Ayah,
mak, Riz… Raz dah balik….”
Pandangan
tiga beranak itu bertemu. Persis suara arwah Razif. Tetapi tidak mungkin ia
milik arwah kerana dia sudah meninggal dunia.
“Buka
pintu. Raz nak masuk…”
Berderau
darah mereka. Memang suara arwah cuma ia kedengaran sengau. Encik Ismadi
bangkit dari sofa dan berjalan perlahan-lahan ke jendela. Dia ingin mengintai
apa yang sedang berada di luar. Ketika dia menyelak langsir, bayang putih jelas
kelihatan di luar. Cepat-cepat Encik Ismadi menutup langsir itu semula.
Allahuakbar.
“Siapa
tu yah?” soal Rizal. Ayahnya kelihatan bingung.
“Arwah
Razif,” balas Encik Ismadi perlahan.
Puan
Siti dan Rizal berpandangan. Arwah terus mengetuk-ngetuk pintu dan
memanggil-manggil supaya dibukakan pintu. Encik Ismadi, Puan Siti dan Rizal
beredar ke bilik tidur utama dan mula membaca yasin di situ.
Ketukan
beralih ke luar jendela bilik itu pula. Arwah mengetuk cermin jendela dan
menyatakan hasratnya mahu masuk ke rumah. Puan Siti sudah menangis teresak-esak.
Pilu hatinya.
“Itu
bukan anak kita dah,” bisik Encik Ismadi.
Sebak
pula hati Rizal mendengar kata-kata ayahnya. Sebenarnya dia amat merindui arwah
abangnya walaupun ketika dia masih hidup, mereka kerap bertengkar. Apa-apapun
lelaki itu tetap darah dagingnya.
Keesokkan
harinya, pasangan suami isteri itu melihat ada kesan tanah di lantai simen di
luar. Kesan tanah itu juga terdapat di luar bilik mereka. Turut mengotori
cermin jendelanya. Jadi kejadian malam tadi bukanlah halusinasi mereka tetapi
ia benar-benar terjadi. Kesan tanah dibersihkan menggunakan berbaldi-baldi air.
Rizal
yang terlena selepas solat Subuh terjaga dari tidur. Bunyi air di luar
memaksanya bangun. Dia melihat ibu bapanya sibuk mencuci lantai di luar.
“Riz
nak ikut kami pergi ke kubur tak?” Puan Siti bertanya.
“Mak
dengan ayah pergilah dulu. Insya-ALLAH Riz pergi petang nanti.” Rizal membalas.
Tubuhnya masih penat.
Semasa
ibu bapanya ke kubur, Rizal berlalu ke dapur untuk menolong mencuci apa yang
patut. Semuanya sudah bercuci bersih dan disusun di atas meja untuk
dikeringkan. Rizal mengambil kesempatan ini untuk menyusunnya ke rak dan ke dalam kabinet dapur.
“Krekkk…”
bunyi pintu dibuka seseorang menarik perhatian Rizal. Awalnya mereka pulang?
Ada sesuatu yang tertinggalkah? Dia bergegas ke ruang tamu.
Sangkaannya
meleset. Ibu dan bapanya masih belum pulang dan bunyi pintu itu datangnya dari
pintu bilik arwah abangnya. Ia terkuak luas. Dia malas mahu berfikir yang bukan-bukan. Dia menutupnya kemas dan kembali
ke dapur.
“Krekkk…”
Berderau
darahnya apabila ia terbuka buat kali kedua. Siapa yang membukanya? Dia menutup
dan menguncinya. Kali ini ia tidak akan terbuka lagi.
Malam
itu, mereka berkumpul di ruang tamu seperti biasa. Malam pula semakin larut.
Ketukan di pintu sekali lagi mengejutkan mereka. Siapa pula kali ini? Encik
Ismadi bingkas bangun dan berjalan menuju ke pintu utama untuk membuka pintu.
Dia memulas tombol dan pintu terkuak.
Arwah
anaknya sekali lagi pulang ke rumah. Wajahnya pucat biru dan semakin mereput di
dalam kain kafan yang dikotori tanah kubur. Encik Ismadi menghempas pintu.
Tindakannya mengejutkan isteri dan anaknya.
“Kenapa
bang?” Puan Siti bertanya cemas.
“Dia
balik sekali lagi,” ujar Encik Ismadi dengan dahi yang berpeluh-peluh.
Puan
Siti dan Rizal terkedu. Ya ALLAH! Mereka berdebar-debar. Mengapa arwah pulang
sedangkan dia sudah meninggal?
Suara
sengau yang memanggil-manggil di luar menakutkan Puan Siti dan Rizal. Encik
Ismadi mendekati anak isteri dan menyuruh mereka bertenang. Jangan panik. Itu
bukan Razif tetapi syaitan yang menyerupai arwah. Mana mungkin orang yang sudah
mati hidup kembali? Mereka cuba memekakkan telinga dan membaca ayat-ayat suci
al-Quran untuk mengusir syaitan itu.
Arwah
yang bangkit dari kubur telah menggemparkan penduduk kawasan itu. Mereka sudah
tidak berani untuk keluar selepas waktu Maghrib. Sudah ramai yang terserempak
dengan arwah yang berjalan pulang untuk bersatu dengan ahli keluarganya. Arwah
juga akan pergi ke rumah orang-orang yang dia kenali semasa dia hidup. Fakta
itu telah menakutkan penduduk di situ.
Encik
Ismadi dan Rizal semakin kuat membaca ayat-ayat suci apabila arwah mengelilingi
rumah. Dia mahu masuk! Hampir sejam barulah dia berlalu dari situ tetapi bukan
ke kuburnya. Dia bergerak ke rumah-rumah yang dia kenal dan mahu mereka membuka
pintu untuknya.
Ini
termasuk rumah Tok Imam. Anak dan isteri diarah masuk ke bilik dan duduk di
situ sementara dia mengusir arwah pulang ke tempat asalnya. Arwah berkeras mahu
masuk ke rumah. Dia menggoncang-goncangkan pintu rumah Tok Imam dengan penuh
kemarahan.
“Kau
tak boleh masuk. Kau bukan manusia!” marah Tok Imam. Dia berdiri di tingkap
yang dibuka sedikit.
“Bagi
aku masuk!” Arwah bertempik. Dia mengintai-ngintai Tok Imam dari celahan cermin
tingkap itu.
Tok
Imam menutup tingkap rapat-rapat dan mencapai surah yasin lalu duduk bersila di
atas lantai. Dia membaca surah yasin dengan suara yang lantang. Biar syaitan
yang sedang menggoncang-goncangkan pintu rumahnya kepanasan. Setelah beberapa
minit, arwah Razif mula menjauhi rumah tersebut. Dia berasa panas yang amat
sangat.
Semakin
kuat Tok Imam melantunkan ayat suci semakin panas yang dirasakan. Arwah
akhirnya berlalu untuk pulang ke kuburnya. Kelibatnya kelihatan jelas dari
kejauhan. Namun dia bersumpah akan kembali lagi!
TAMAT
----------------------------------------------------------------------------------------------
Nota
Penulis : Cerita ini sedikit tergantung kerana ia akan muncul di dalam versi
cetak. Semuanya akan terjawab di sana nanti. Terima kasih.