Aku mempunyai seorang
sahabat yang sanggup berkorban apa saja untuk aku. Kami bersahabat sejak tadika
sehingga tahun kedua kami di universiti. Ya, kami belajar di tempat yang sama
sejak di tadika. Menakjubkan bukan? Cuma di universiti kami tidak sebilik
tetapi tetap di hostel yang sama. Dia di tingkat dua dan aku di tingkat empat.
Tidak menjadi masalah bagi kami kerana kami berkongsi hostel yang sama. Tiap waktu
aku habiskan masa dengannya, sama ada untuk berhibur atau belajar.
Subjek major dan minor
kami juga sama. Sudah menjadi rezeki kami untuk terus bersahabat dari kecil
hingga dewasa. Kami seboleh-bolehnya mahu belajar di kelas tutorial yang sama.
Aku dengan dia ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan lagi.
Semester ketiga kami di
kampus, aku masih ingat dengan jelas lagi bagaimana gembiranya dia berlari ke
arahku. Aku sedang mengulangkaji pelajaranku di bilik pada ketika itu.
“Ira, dia suka kat aku
jugak!” ujarnya dengan senyuman yang mekar di bibirnya.
“Azlan?” aku bertanya.
“Ye! Dia nak aku terima
dia. Dia nak aku jadi teman wanita dia, perlu ke aku terima?”
Soalannya membuatku
terdiam buat seketika. Aku amat mengenali perangai Azlan. Dia seorang yang
perengus dan terkenal dengan sifat kasanovanya. Zana entah gadis yang ke berapa
dia lamar untuk menjadi kekasihnya.
“Ira?”
Zana memandangku dengan
mata redupnya. Aku serbasalah.
“Dia tu player Zana.
Kau sanggup ke kalau dia permainkan kau?” aku memberi peringatan.
Dia hanya tersenyum
manis ke arahku. Sambil memeluk bahuku, dia berjanji yang dia tidak akan
membiarkan dirinya dikecewakan Azlan. Ini kerana dia pasti yang lelaki itu
telah berubah baik. Berkali-kali dia meyakinkan aku yang Azlan bukan seorang
player lagi.
Aku tidak tahu mengapa
aku tidak dapat mempercayainya.
Akhirnya dia bersetuju
untuk menjalinkan hubungan dengan Azlan. Senyuman indah sentiasa terlakar di
wajahnya selepas itu. Dia betul-betul bahagia dengan Azlan.
Namun selepas tiga
bulan, dia mula kerap menangis dan pelajarannya terganggu. Azlan curang dan
seringkali berseronok dengan perempuan-perempuan lain. Lelaki itu tetap seorang
playboy dan tidak pernah cukup dengan seorang gadis.
Aku selalu berada di
sisi Zana dan menenangkannya. Hampir setiap waktu dia menangis dan memintaku supaya
menemaninya. Aku memujuknya supaya memutuskan hubungan dengan Azlan tetapi dia
degil, kepala batu!
“Aku sayang dia…”
Perkataan ini yang dia
ulang-ulang sehingga aku naik muak. Mengapa harus dia menyintai lelaki yang
hanya tahu membuatnya sedih dan terseksa? Aku betul-betul tidak faham.
“Kau jangan tinggalkan
aku Ira. Aku ada kau je sekarang ni…” dan perkataan ini juga yang dia selalu
ucapkan padaku. Airmatanya mengalir laju setiapkali dia berkata begini.
Hati aku sakit, pedih!
Azlan memang tak guna!
“Aku takkan tinggalkan
kau Zana. Kita sahabat dunia akhirat…” kataku penuh ikhlas. Ya, dia memang
sahabatku di dunia dan juga di akhirat. Aku takkan meninggalkannya dan akan
sentiasa berada di sisinya semasa senang dan susah.
Namun,
Aku tidak pernah
menyangka yang kata-kataku dia pegang sampai kiamat. Dia benar-benar mahu aku
menjadi sahabatnya dunia dan akhirat.
Seminggu selepas itu,
Zana dijumpai mati di dalam biliknya. Doktor mengesahkan kepalanya dihentam
dengan senjata tumpul berkali-kali. Ketika mayatnya dijumpai rakan sebiliknya,
dia sedang tertiarap dengan darah menutupi lantai. Ketika itu, rakan sebiliknya
baru pulang dari kelas malam. Tiada siapapun tahu siapa yang telah membunuh
Zana.
Aku?
Semasa melihat Zana,
aku pengsan tidak sedarkan diri. Selepas aku sedar, aku meraung bagaikan orang
gila. Aku tidak dapat mengawal perasaanku. Hanya beberapa minit selepas itu,
aku mulai tenang selepas ditenangkan dengan bacaan ayat-ayat suci oleh rakan
sehostel.
Kini sudah seminggu
Zana pergi meninggalkan aku tetapi aku tidak pernah berasa sunyi. Dia selalu
mengunjungiku selepas malam melabuhkan tirai. Aku merinduinya namun aku mahu
dia berhenti berada di sisiku. Aku tidak mahu dia muncul di depan mataku lagi.
Malam semalam, dia
datang lagi dan berdiri di hujung katilku. Dengan mata merahnya, dia merenung
tepat ke arahku. Aku tidak tahu apa yang dia mahu dariku. Dia tidak bercakap
atau bergerak. Dia hanya terpacak di hujung katil dan merenungku dari tengah
malam sehingga subuh. Aku tidak dapat tidur. Aku takut!
Malam ini, dia pasti
akan datang lagi. Perlukah aku tidur di bilik rakanku yang lain? Oh ya, rakan
sebilikku tidak dapat melihat Zana. Hanya aku yang dapat melihatnya.
Aku berasa bersalah dan
malu kerana selalu mengganggu rakan sebilikku untuk ke tandas pada setiap
malam. Aku tahu dia rimas tetapi dia tidak pernah merungut. Aku bersyukur
kerana bertemu dengan rakan sebaik dia.
“Aku nak balik rumah
hujung minggu ni. Kau okey ke nanti sorang-sorang?” rakan sebilikku bertanya.
Badanku mula menggigil.
Aku tidak mampu berseorangan di sini namun akhirnya aku menipu dengan
menganggukkan kepalaku. Aku tidak mahu terus menyusahkannya. Biarlah dia balik
kerana ada majlis penting yang dia mesti hadiri.
“Tulat aku balik..”
ujarnya cuba menyedapkan hati aku.
Aku hanya mampu
tersenyum pahit.
Aku bersendirian di
bilik ini. Hujung minggu seperti ini memang ramai yang akan pulang ke rumah
masing-masing. Aku juga yang tidak dapat pulang kerana kampung halamanku yang
jauh. Aku gagahkan diriku. Aku pasang bacaan Yasin pada setiap malam. Aku tidak
mahu dia datang menggangguku lagi.
Ya, dia tidak berada
dalam bilikku selepas aku memasang bacaan ayat suci tetapi dia terpacak di luar
jendela bilik. Melayang-layang di luar jendela tingkat empat. Langsir aku tutup
rapat. Aku tidak ingin melihatnya. Wajahnya semakin lama semakin jelik. Baunya
semakin lama semakin busuk.
“Sahabat dunia
akhirat…”
Aku menekup telinga
dengan bantal. Zana mengulang-ulang perkataan ini.
“Kau dah mati Zana!
Jangan ganggu aku lagi!” marahku yang masih berada di bawah bantal.
“Beri aku masuk Ira.
Kau tak kesiankan aku ke?”
Aku menggigil teruk. Ya
ALLAH, apa yang harus aku buat sekarang? Sesungguhnya aku benar-benar tidak
kuat.
Lampu tiba-tiba
terpadam. Elektrik terputus.
Aku kaget. Bacaan yasin
sudah tiada! Aku cuba baca sendiri tetapi kerapkali tersasul. Bacaanku entah ke
mana. Fikiranku jadi kosong secara tiba-tiba. Ketika itulah dia menyapaku dari
hujung katil. Aku intai dari balik bantal. Dia sedang tersenyum manis ke arahku.
Di tubuhnya dibaluti kain kapan yang dipenuhi tanah dan debu. Ya itulah
pakaiannya sejak seminggu yang lepas. Sejak dia mati dibunuh.
Aku menarik selimut dan
berkelubung di dalamnya. Mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat kursi
walaupun bacaannya tetap lintang-pukang.
“Dah lama aku tak
berbual dengan kau Ira. Setiapkali aku datang, kau akan berkelubung macam
sekarang. Apa yang kau takutkan sangat?”
Dia menyoalku. Aku
tidak menjawab soalannya.
“Bukak la selimut tu
dan pandang aku. Macam yang kita selalu buat sebelum ni….”
Dia memujukku dengan
suara yang berlapis-lapis. Suaranya dan suara garau. Bau busuk usah dikata
lagi. Memang aku mahu termuntah.
“Azlan dah mati. Dia
terkejut tengok aku. Jatuh dari tingkat 10…”
Mataku membulat. Azlan?
“Dia la yang bunuh aku
malam tu. Sampai hati dia bunuh aku. Aku sunyi Ira. Sebab tu aku datang ke
bilik kau tiap-tiap malam. Kau tak rindu kat aku?”
Dadaku turun naik.
Rupa-rupanya Azlan yang telah membunuh Zana. Secara tidak sedar, airmataku
menitis. Aku mula merindui Zana.
“Kita dah janji akan
bersahabat dunia akhirat. Sekarang aku dah arwah, kau bila lagi? Aku tunggu kau
temankan aku kat barzakh…”
Aku mula menangis
teresak-esak. Itu bukan Zana. Zana sudah meninggal dunia dan tidak akan kembali
lagi. Ini iblis! Tetapi aku tidak cukup kuat. Aku tidak mampu membuka selimut
dan bertentang muka dengannya.
Beberapa saat selepas
itu, kedengaran bunyi esakan Zana. Dia sedih kerana aku tidak mahu menemaninya
di alam sana.
“Kalau kau ada, boleh
kita sama-sama. Macam selalu. Kau tak teringin pakai kain ni?”
Aku benar-benar tidak
dapat mengawal ketakutanku lagi. Aku memejamkan mataku. Sejurus kemudian, bau
busuk lebih kuat menerpa ke rongga pernafasanku. Aku membuka mataku dan
ternampak mukanya melekap ke selimut yang menutup mukaku. Jarak muka kami hanya
beberapa inci sahaja!
“Aku rindu kau…..”
Aku sudah tidak tahan
lagi. Aku buang selimut ke tepi dan berlari keluar dari bilikku. Di luar,
suasana terang-benderang. Aku ketuk pintu bilik sebelah dan bertamu di sana
sehingga pagi. Aku tidak berkata apa-apa sepanjang menumpang di situ. Mereka
faham dan hanya menenangkanku yang kelihatan serba tidak kena.
Akhirnya aku
menceritakan hal ini kepada kedua ibu bapaku. Mereka terus bertindak dengan
meminta bantuan seorang ustaz yang mereka kenali untuk mengubatiku. Aku pulang
ke rumah selepas malam itu. Pelajaranku terganggu selama beberapa minggu tetapi
keluargaku sudah menguruskan semuanya dengan pihak universiti. Aku hanya akan
kembali setelah pulih. Aku berubat dengan ustaz Iman selama tiga minggu. Ustaz
Iman menceritakan bagaimana aku terkena badi mayat dan semangatku semakin
hilang selepas kematian Zana. Yang mengganggu bukanlah Zana tetapi syaitan
iblis.
Masakan yang sudah mati
boleh kembali mengganggu yang masih hidup.
Aku sudah kembali ke
kampus. Selepas berubat, aku sudah tidak diganggu lagi. Aku bersyukur pada yang
Maha Esa kerana telah menyelamatkanku.
Petang tadi aku pergi
ke bilik yang pernah dihuni oleh arwah semasa dia masih hidup. Bilik itu sudah
tidak berpenghuni lagi selepas kejadian bunuh itu. Tiada siapa yang berani
untuk menginap di sini. Aku labuhkan punggung ke birai katil. Bilik ini kosong.
Sudah hampir dua bulan Zana meninggal dunia.
Semoga ALLAH menempatkan
rohnya di kalangan roh-roh orang yang beriman, aamiin.
Aku tutup pintu bilik
dan bersedia untuk menunaikan solat maghrib. Segala kenangan manis aku bersama
Zana tidak akan pernah aku lupakan. Dia sahabat aku di dunia dan akhirat.
Biliknya aku tinggalkan dengan wajah sayu.
Takah-takah anak tangga
aku daki. Mahu cepat kembali ke bilik untuk solat. Semasa di tingkat tiga, bulu
romaku tiba-tiba meremang. Suasana menjadi teramat dingin.
“Aku rindu kau Ira…….”
*TAMAT*