Matanya
merenung jarum yang tercucuk di tangan. Pedih juga rasanya. Begitu juga dengan
luka pembedahan di bahagian abdomennya. Sudah beberapa jam berlalu selepas dia
menjalani pembedahan membuang apendiksnya. Hendak bergerak pun dia tidak larat,
hendak bersin atau batuk pun serbasalah.
“Encik
nak ke tandas ke?” tanya nurse yang kebetulan berada di wad itu.
“Tak
payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil saya abang Farish je,” ujarnya
gatal. Seronok melihat nurse cantik di hadapannya ini. Hilang sekejap rasa
sakitnya.
“Mari
saya bantu encik Farish ke tandas,” balas nurse, selamba. Malas dia mahu
melayan kegatalan pemuda ini.
Farish
tersengih macam kerang busuk. Memang cantik nurse ni! Dia akan mengorat gadis
ini bila dia dibenarkan keluar nanti. Ajak pergi makan pun bagus juga. Sudahnya
dia dibantu oleh nurse itu untuk ke tandas. Hatinya berdoa supaya nurse ini
yang akan selalu memapahnya untuk ke tandas. Bahagia terasa berbunga di
hatinya.
Malam
itu, dia tidak dapat tidur. Pesakit di katil sebelah mengerang-ngerang
kesakitan. Seksa sungguh nampaknya. Mulutnya berbuih-buih. Beberapa ketika
kemudian, doktor dan beberapa orang pembantu perubatan bergegas ke katil
pesakit tersebut.
“Waktu
meninggal pukul sebelas lima belas minit malam…” doktor mengumumkan waktu
kematian sambil nurse mencatatnya ke atas kertas.
Farish
terkebil-kebil. Lelaki di katil sebelah sudah mati. Mayatnya dibawa keluar dari
wad dan dipindahkan ke bilik mayat. Malam itu malam pertama dia bermalam di
alam barzakh. Ada kesan darah di bantal yang pernah melapik kepala arwah.
Mungkin ada darah yang keluar dari mulutnya sebentar tadi. Matanya bertemu
dengan mata pesakit-pesakit yang lain.
Tepat
pukul satu pagi, Farish membuka mata selepas mendengar bunyi aneh dari katil
sebelah. Bunyi orang yang tersedu-sedan. Fuh, siapa tu? Berdebar-debar pula
dia. Rasa mahu terkucil pun ada. Kepalanya terasa berat, tidak terdaya dia
untuk menoleh ke belakang. Bulu roma sudah meremang hebat. Sejuk satu badan.
“Aku
dah datang, tak mau berbual dengan aku?” tegur suara itu dari belakang.
Farish
bergegar seluruh badan. Suara macam kenal! Suara arwah yang mati beberapa jam
lepas! Ya ALLAH, apa aku nak buat ni?? Mata dipejam rapat-rapat. Dia tidak mahu
menoleh atau berbual-bual dengan hantu!
“Aku
sunyi kat sana. Sejuk…”
Ya
ALLAH… Apa yang hantu ni nak daripada aku? Tolonglah blah secepat mungkin! Farish
menarik selimut hingga ke kepala. Dia sudah cuak. Mahu pengsan pun ada. Arwah
ketika hidupnya memang suka menyapa pesakit-pesakit lain. Orang yang paling
selalu disapa arwah ialah dia. Sekarang arwah kembali menegurnya dan mahu
berborak.
“Aku
sunyi, berbuallah dengan aku…” suara itu terus-terusan merayu. Farish
mematungkan diri di dalam selimut. Dia tidak betah berbual dengan hantu!
Esoknya,
Farish didatangi beberapa pesakit yang satu wad dengannya. Mereka membuka
cerita bagaimana menakutkan kejadian pagi tadi.
“Aku
berkelubung dalam selimut sampai ke pagi,” cerita Ariff sambil menggosok
lengannya yang merinding.
“Aku
pulak sikit lagi nak terkencing dalam seluar. Nasib baik aku sempat control,”
ujar si Kamal pula. Fobia betul dia pagi tadi. Kepala terasa sebesar besen.
Farish
hanya mampu mengukir senyuman pahit. Rupa-rupanya mereka juga mendengar suara
arwah. Ingatkan dia seorang saja. Harap-harap malam ini arwah tidak lagi
mengganggu ketenteraman hidup mereka. Jika dia muncul sekali lagi, dia tidak
dapat berjanji yang dia dapat mengawal kencingnya daripada membasahi katil.
Takut punya pasal.
Selepas
tengah malam, wad itu dihantui oleh arwah sekali lagi. Seperti semalam, dia
menyapa Farish dan mengajak lelaki itu berborak dengannya. Farish separuh mati
mengawal ketakutannya.
“Aku
sunyi. Pandanglah aku…”
Farish
menggeleng-geleng. Gila! Tak mungkin dia akan memandang wajah hantu! Dia
bersembunyi di balik kain selimut. Kain selimut pula fabriknya jarang-jarang.
Dia nampak dengan jelas arwah sudah berdiri di sebelahnya. Tidak lagi di
belakangnya. Kulitnya biru dan baju hospitalnya ada kesan tompokan darah.
“Aku
tak suka tidur di bilik mayat. Tempat tu sunyi…Aku takde teman berbual,”
Farish
cuba memekakkan telinga. Dia tidak ingin mendengar luahan perasaan orang yang
sudah mati. Dia tidak perlukan orang yang sudah mati untuk berbual dengannya.
Dia memejamkan mata rapat-rapat.
“Bila
kau nak teman aku kat sana? Boleh kita berbual setiap malam….”
Dia
suruh aku mati ke? Gumam Farish. Ini benar-benar gila. Arwah merendahkan
wajahnya dan merenung Farish tidak berkelip. Jantung Farish bagaikan berhenti
berdegup. Bau busuk meloyakan tekak. Mata arwah merah menyala dan kulit
wajahnya pucat membiru. Dia mahu berbual-bual dengan Farish seperti ketika dia
masih hidup.
“Bilik
mayat sejuk. Boleh kau temankan aku kat sana nanti?”
Soalan
gila! Farish melaungkan azan sekuat-kuat hatinya. Dia sudah tidak tahan lagi!
Laungan azannya mengejutkan pesakit-pesakit lain. Mereka melilau memandang ke
sekeliling tetapi arwah sudah tiada. Jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi.
Mana yang beragama Islam mula membaca ayat-ayat suci al-Quran supaya iblis itu
tidak lagi muncul di situ.
Farish
dibenarkan keluar. Masa yang sesuai untuk dia pergi dari situ. Ada kemungkinan
arwah akan kembali lagi pada malam ini tetapi dia sudah berada di rumah. Lega!
Tentang nurse cantik itu pula, lain kali sajalah dia mengoratnya. Tunggu bila semuanya
sudah reda dan ketakutannya sudah tiada, baru dia akan kembali menjejakkan kaki
ke hospital itu.
Farish
merebahkan kepalanya ke bantal. Selesa betul di rumah. Lampu bilik ditutup, dia
bersedia untuk tidur.
“Aku
datang untuk berbual dengan kau….”
*TAMAT*