Sebelum memulakan
perjalanan tadi perut Salman sudah berbunyi-bunyi rentak keriuk-keriuk
kelaparan minta diisi. Tidak sempat Salman hendak menjamah makan malam masakan
emaknya di rumah sebelum bertolak balik ke bandar.
Kelam-kabut dia mengemas
pakaian sebaik saja dapat panggilan telefon daripada majikannya yang mengesa
dia masuk kerja keesokkan hari juga kerana ada mesyuarat tergempar. Bengang
dibuatnya apabila cutinya yang berbaki lagi sehari di kampung terpaksa
dikorbankan begitu saja.
Kurang asam punya bos!
Nasiblah dia memang kuli hendak tak hendak, sudi tak sudi dia terpaksa turutkan
saja arahan orang atasan. Salman sempat menyumpah seranah majikannya itu sementara
menunggu pesanan makanan nasi gorengnya yang masih belum sampai-sampai. Dalam
perjalanannya yang masih jauh itu, Salman berhenti sekejap untuk singgah makan
di sebuah warung tepi jalan.
‘’Lambat lagi ker bang?
Saya dah kebulur ni.’’
Masuk kali ni dah
berapa kali Salman bertanyakan soalan yang sama. Nampak sangat dia dah
kelaparan. Dari tadi tak senang duduk selagi makanannya tak sampai ke meja.
Tukang ambil order makanannya tadi pun dah mula gelisah apabila setiap kali
bertembung dengan mata tajam Salman yang seakan mahu menerkam dia saja dari
tadi. Tahulah lapar jangan dibuat pasal pula dia nanti menjadi korban
pelanggannya yang nampak sedang pelahap ini. Kecut perut lelaki yang bekerja di
warung tepi jalan tersebut.
‘’Haaa…sampai
pun…Lambat sangat!Nasib aku tak mati kebulur!’’
Bebel
Salman sebaik saja makanannya sampai. Budak yang menghantar makanan itu hanya
tersengih sumbing saja. Tanpa membaca bismillah apatah lagi baca doa makan
Salman terus mencekik nasi goreng pattaya yang sudah sedia terhidang depan
mata.
Tiba-tiba
sedang enak dia menjamu selera Salman berasa tidak selesa apabila kakinya
digesel-gesel oleh seekor kucing yang kotor dan berbau busuk.Dia yang berang dengan aksi mengada-ngada kucing
tersebut terus saja menendang kucing yang berwajah pelik itu.
Kucing berbulu tombok hitam putih itu mempunyai
sepasang telinga yang hodoh. Telinganya sebelah kecil dan sebelah besar. Ada
kudis dan kurap di serata badannya.
Salman berasa jijik. Loya tekaknya melihat keadaan kucing yang tiba-tiba muncul
entah dari mana. Putus terus selera tekaknya yang sedang enak mencekik tanpa
pandang kiri kanan sebentar tadi.
‘’Berambuslah kau! Jijiklah aku tengok kau ni!
Dahlah kotor!Ishhhhhh….!!!’’
Salman memaki hamun kucing yang tidak bersalah
itu. Kucing itu mengiau kesakitan apabila Salman berkali-kali menyepak tubuhnya
tanpa belas kasihan menggunakan kasut Croc bertapak tebal 3 inci. Puas hatinya
apabila dapat menyepak terajang binatang tersebut.
Memang dari dulu lagi dia bencikan kucing
walaupun ramai yang berkata kucing adalah haiwan kesayangan Nabi. Kucing adalah
pembawa rezeki. Kucing itu, kucing ini…Aghhh…Peduli apa dia dengan semua itu!
Haiwan perlu dilayan seperti haiwan. Martabatnya tidak sama seperti manusia
walaupun hakikatnya haiwan juga makhluk ciptaan Tuhan.
Tidak bagi Salman.
Sesekali pun dia tidak akan merendahkan martabatnya. Haiwan langsung tiada
nilai dimatanya. Ujar Salman dengan nada bongkak. Terlalu bongkak. Terus lupa
dengan kekuasaan Dia yang satu. Sedangkan semua makhluk dianggap mulia disisi
Tuhan.
Salman meneruskan perjalanannya sebaik saja
perut penuh diisi. Puas ditahan mata yang mula mengantuk. Itulah bahananya
melantak lagi macam ular kekenyangan. Manalah tak layu mata nak memandu jauh
pulak tu. Seperti biasa untuk menghilangkan rasa kantuk Salman menghisap rokok.
Dari satu batang ke satu batang habis dihembusnya. Berkepul-kepul asap rokok
berterbangan ke udara apabila Salman membuka sedikit tingkap keretanya itu.
Angin malam yang sejuk mendinginkan tubuhnya yang sedikit gempal. Tidak perlu
lagi dia membuka penghawa dingin keretanya. Jimat minyak. Tambah-tambah lagi
tengah bulan macam ini poketnya mula kering. Disebabkan itu jugalah dia sanggup
ikut jalan kampung tengah-tengah malam ini. Kalau ikut lebuhraya mahunya
melayang lagi duit dia membayar duit tol pulak.
‘’Meow…meow…meow…’’
Tiba-tiba kedengaran sayup-sayup bunyi suara
kucing yang seakan sedang merintih-rintih. Sayu bunyinya memecah kesunyian
malam. Salman berasa pelik dengan bunyi tersebut. Seingatnya kucing tadi sudah
jauh ditinggalkannya di warung tersebut. Macam mana pula tiba-tiba ada bunyi
kucing dalam keretanya sekarang ini.
Gila! Memang gila! Tubuh Salman tiba-tiba berasa
seram sejuk. Menggigil! Kecut perut dia ketika itu apabila melihat kucing yang
berwajah hodoh tadi sedang berada di tempat duduk belakang dalam keretanya.
Sejak bila? Salman hanya tertanya-tanya sendiri dalam hati. Langsung tidak
berani untuk bersuara.
Salman menjeling sejenak melalui cermin pandang
belakang. Mata kucing tersebut sedang tajam memerhatikannya. Mata haiwan itu
kelihatan bercahaya. Merah menyala. Seakan ada dendam yang tersimpan. Seriau
Salman dibuatnya. Cepat-cepat Salman memberhentikan keretanya di tepi jalan.
Dia mahu menghalau kucing pelik itu berambus daripada keretanya. Sudahlah bau
busuk!
‘’Keluar kau sekarang kucing hodoh,busuk!Hishhh
gelilah aku!’’
Salman menendang kucing itu keluar daripada
keretanya. Tiba-tiba dengan tidak semena-mena kucing tersebut berubah wajah.
Kucing itu bertukar menjadi satu makhluk yang amat mengerikan. Kedua-dua belah
biji matanya tersembul keluar.
Darah menitik-nitik keluar daripada bebola
matanya yang sudah hampir terkeluar itu. Cecair pekat kemerahan yang menitik
keluar dari bebola matanya itu berbau busuk hamis darah. Terus hilang rupa
kucing yang kasihan tadi.
Saiz badannya yang kecil tadi semakin lama
semakin membesar. Kini yang wujud di depan mata Salman adalah sejenis makhluk
yang amat menakutkan. Badan makhluk ini besar dua kali ganda daripadanya dan
berbulu lebat. Telinganya masih lagi pelik seperti kucing tadi iaitu sebelah
besar sebelah kecil.
Badannya yang berbulu lebat itu penuh dengan kesan kurap.
Ulat-ulat kecil kelihatan sedang
menjalar-jalar di sekitar badannya yang berbulu lebat itu. Salman mula berasa
cuak dengan apa yang dilihatnya di depan mata. Mustahil! Memang mustahil! Macam
mana kucing mengemis tadi boleh bertukar menjadi makhluk menakutkan seperti
ini?Syaitan?Hantu?Aghhh…Mustahillah!
‘’Hihihihihi….hihihihihihi….’’
Makhluk bermuka hodoh itu mula mengilai pula. Semakin
lama semakin nyaring ia mengilai. Tubuhnya yang berbulu panjang mula mengerbang
ditiup angin malam. Ulat-ulat yang banyak menjalar di badan makhluk itu mula
melayang ke tubuh Salman apabila ditiup angin.
Puas Salman menepis ulat-ulat
busuk tersebut daripada terus melekat di badannya. Salman menjadi semakin
takut. Mengigil satu badannya menyaksikan sesuatu yang dianggap mustahil di
depan matanya kini. Manakan mungkin seekor kucing kurap tadi mampu bertukar
menjadi makhluk hodoh bertubuh sebesar ini. Gila!
Salman cuba mencubit pipinya sekuat hati.
Aghhh..sakit! Sah dia tidak bermimpi. Dengan badan yang mengeletar ketakutan
Salman cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan mengunci keretanya. Peluh jantan
sudah mula membasahi seluruh muka dan badannya. Salman tercungap-cungap mencari
nafas sambil cuba menghidupkan enjin keretanya berkali-kali.
Disaat getir
seperti ini pulalah keretanya membuat hal susah mahu dihidupkan enjinnya. Berkali-kali
Salman mencuba tetap gagal. Salman memberanikan diri memandang cermin pandang
belakang.
Sah ! Kucing yang sudah bertukar menjadi makhluk hodoh itu tadi sudah
menyelinap masuk semula dan duduk di kerusi belakang keretanya! Berkali-kali
Salman menelan air liur yang terasa perit di tekak. Nafasnya seakan tersekat! -TAMAT-