Home Cerpen Thriller/Aksi LOSER (Bahagian 1)
LOSER (Bahagian 1)
Jue Zurhanisza
8/4/2017 09:02:23
1,734
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

‘’Loser..loser…loser!’’

Husin menumbuk dinding batu berulangkali sehingga darah pekat meleleh-leleh keluar di sebalik tangan yang digenggam eratnya itu. Langsung tidak dihiraukannya rasa sakit akibat luka berdarah ditangannya. Amarahnya semakin memuncak apabila panggilan ‘loser’ itu asyik terngiang-ngiang di gegendang telinganya.

Masih dia ingat riak muka penuh sinis yang dipamerkan oleh orang-orang sekelilingnya sambil melemparkan tuduhan ‘loser’ kepadanya. Mereka mencercanya seolah-olah dia tidak punya perasaan. Mereka menghinanya seolah-olah dia sudah mati.

Ya, memang jiwanya sudah mati tetapi jasadnya masih hidup. Tidak kasihankah mereka melihat keadaan dirinya sekarang? Dia sedang jatuh terduduk. Dia mengharapkan sokongan. Tetapi tiada siapa yang sudi bergandingan bahu saat dia terpelecok lalu rebah tatkala ditimpa masalah. Malah mereka mencacinya pula. Dunia ini memang tidak adil!

‘’Dunia ini kejam!Masyarakat kejam! Tuhan kejam! Ya Allah kenapa aku diuji sampai macam ni sekali! Kenapa ha???’’

Husin terduduk sambil merintih sayu. Tatkala ditimpa masalah hatinya seringkali berkata ini merupakan ujian Allah buat hambaNya. Tuhan tidak akan uji hambaNya jika seseorang itu tidak mampu. Tetapi itu dulu. Sekarang jiwa Husin benar-benar berkecamuk. 

Lepas satu, satu masalah yang timbul. Ibarat hidupnya kini sudah jatuh ditimpa tangga. Perit. Pedih. Sakit. Kosong. Jiwanya rapuh. Imannya mula goyah. Husin sudah mula menyalahkan takdir Tuhan.Ya, dunia ini tidak adil! Sekali lagi Husin mengiakan kata-katanya itu.

‘’Kau patut mati!Orang-orang sekeliling kau pun patut mati!Dunia ini tiada adil untuk kita terus hidup dan berjuang!Loser patut mati!’’

Seakan ada satu suara yang berbisik-bisik di telinganya. Semakin lama semakin kuat bisikan tersebut. Hanya diulang-ulang ayat yang sama. Husin berasa tertekan. Dia menutup kedua-kedua belah telinga. Namun kata-kata itu masih terus berbisik-bisik di telinganya. Berulang-ulang tanpa henti.

‘’Diamlah!Aku tak nak dengar! Diam!’’

Pekik Husin berkali-kali seperti orang tidak waras. Husin mengambil permainan robot anaknya yang bersepah di lantai lalu mengetuk kepalanya berkali-kali sehingga berdarah. Tidak cukup dengan itu Hussin turut menghentak kepalanya berkali-kali ke dinding. Baru puas hatinya dapat menyakitkan dirinya sendiri. Dia mula meraung lalu ketawa berdekah-dekah apabila mengenangkan nasib dirinya.

Setitik demi setitik darah merah mengalir laju dari kepalanya lalu membasahi lantai biliknya. Satu bilik berbau hanyir darah yang masih segar. Dia sedang duduk di satu ceruk sambil memegang kedua-dua belah lututnya yang mula mengigil. Husin ketakutan. Dia takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Dia takut bersendirian.

Sebaik saja isteri dan anak-anaknya pergi meninggalkan rumah kelamin mereka kini dia hanya tinggal sendiri. Setiap hari dia perlu berdepan dengan Ahlong yang datang mengutip hutang. 

Setiap hari dia dibelasah hampir lunyai dengan konco-konco Ahlong kerana tidak dapat membayar hutang-hutang yang makin menimbun. Dari sehari ke sehari bunganya semakin bertambah. Dia buntu.

Husin tidak dapat lari kemana lagi. Keretanya sudah ditarik kerana sudah berbulan-bulan tidak dibayar. Rumahnya hanya bergelap kerana tidak mampu membayar bil elektrik dan juga air. Duit rumah pun sudah berbulan-bulan sangkut dan hanya menunggu masa untuk diambil tindakan oleh pihak bank. 

Husin sudah diberhentikan kerja secara tiba-tiba tanpa sebab yang kukuh. Kata majikannya syarikat perlu mengurangkan pekerja akibat ekonomi yang semakin merundum. Sudah berbulan-bulan dia menganggur. Entah mengapa begitu malang nasibnya sehingga kini dia masih belum mendapat pekerjaan yang tetap. Salahnya juga kerana egonya tinggi. Dia lebih rela menganggur daripada membuat kerja yang tidak setaraf dengan kelayakannya.

 Padahal rezeki Tuhan itu luas. Cumanya dia alpa untuk memohon rezeki daripada Yang Punya Hak di langit sana. Nah, kini dia menyesal. Kalaulah masa itu boleh diputarkan kembali. Aghh mustahil…Keluh Husin buat sekian kalinya.

Husin menyesal kerana dia sudah membuat keputusan yang salah. Akibat desakan hidup ketika itu tanpa berfikir panjang dia telah meminjam duit daripada Ahlong. Semuanya gara-gara termakan dengan kata-kata sahabat baiknya sendiri, Arman yang memujuknya masuk satu skim pelaburan. 

Tanpa diduga sahabat baiknya sendiri tikam belakangnya. Husin ditipu hidup-hidup. Kurang ajar punya Arman! Tergamak dia menipu sahabat yang sudah dianggap seperti darah daging sendiri. Sial! Carut Husin lagi. Arman, kau memang patut mati! Jerit Husin penuh dendam.

’’Bukan setakat kau je mati. Semua sekali patut mati! Berani korang semua gelar aku loser ye!Baik aku akan buktikan aku bukan loser. Aku akan bunuh korang semua!HAHAHA…!!!’’

Husin ketawa mengekek pula. Selepas itu dia menangis sayu. Berselang-seli antara ketawa dan menangis. Fikiran Husin seakan tidak waras lagi. Suara tadi masih berbisik-bisik di telinganya. Malam ini dia perlu melunaskan misinya. Semua orang yang mengelarnya ‘loser’ patut mati! 

Ya, mereka patut mati termasuklah isteri dan anak-anaknya yang sanggup meninggalkan dia terkontang-kanting sendiri apabila ditimpa masalah. Tergamak mereka memperlakukan dia sebegini. Mana pergi sumpah setia dan kasih sayang yang ditaburkan sebelum ini? Semuanya dusta belaka. Pembelot!

‘’Sial!Matilah kau!Pembelot!Korang yang ‘loser’! Bukan akulah!!!HAHAHA…!!!’’

Sekali lagi Husin ketawa galak. Dia sudah merancang misinya. Malam ini mereka-mereka semua yang mengelarnya ‘loser’ pasti akan maut ditangannya. Husin tersenyum penuh muslihat. Akhirnya suara-suara bisikan halus tadi berjaya mempengaruhi akal fikiran Husin yang berkecamuk itu. Syaitan sedang bersorak gembira. Tidak sabar lagi mahu melihat Husin menggila.

Tanpa membuang masa lagi Husin mengambil parang panjang yang disimpannya di dalam almari dapur. Parang tersebut sering digunakannya untuk memotong isi daging yang liat setiap kali membeli bahan basah di pasar bersama isterinya. Kini parang tersebut akan digunakannya untuk mencincang daging manusia pembelot. 

Ya, parang ini akan digunakan untuk mencincang daging isteri dan anak-anaknya sehingga lumat. Biar padan muka diorang! Dia sempat mengasah parang tersebut sebelum menciumnya berkali-kali tanda berpuas hati dengan ketajaman parangnya itu. 

Selepas itu Husin menuju ke stor pula. Husin menghidupkan pemetik api di tangan sebagai bantuan pencahayaan. Husin meraba-raba dalam gelap. Akhirnya barang yang dicarinya sedari tadi telah berjaya dijumpainya. Dia mengambil gergaji dan mesin potong rumput yang sedang terletak elok di atas lantai stor. Husin tersenyum penuh sinis. Dia seakan berpuas hati dengan senjata-senjata yang bakal digunakannya nanti.

‘’Mampuslah kamu semua! Ajal korang dalam tangan aku yang korang gelar ‘loser’!Kali ini aku takkan mengalah! Biar semua mampus baru puas hati aku!HAHAHA!’’

 BERSAMBUNG :D

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.